WACANA

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.

  • borneokomrad1@gmail.com
Wawasan Kesihatan Neoliberal 2020

Wawasan Kesihatan Neoliberal 2020

Oleh: Syed Ahmad Fathi

Masyarakat kita hari ini dilamun isu-isu seperti abu mayat Chin Peng dan lagu Negaraku yang dinyanyikan dalam bahasa Cina. Yang terbaru mungkin pergaduhan dan perpuakan yang sedang berlangsung dalam sebuah parti yang terkenal dengan acara baling-membaling kerusi setiap tahun. Media, baik media digital mahupun cetak setiap hari mengipas isu-isu seperti ini.

Tetapi ada satu isu penting yang berlaku baru-baru ini, namun ia tidak mendapat liputan meluas. Ia tidak sensasi atau disensasikan, tidak panas atau dipanaskan. Tetapi ia isu yang lebih besar dan material berbanding isu yang sedang dikipas oleh media-media perdana. Iaitu keputusan kerajaan untuk tunduk pada hasrat swasta untuk menghapuskan kawalan harga terhadap caj perubatan swasta dan memberikan kuasa menentukan harga kepada pasaran.

Sepatutnya ia merupakan isu yang membuakkan kemarahan rakyat, kerana ia mempunyai implikasi besar dan material dalam kehidupan harian. Tetapi sayang, tiada siapa yang mahu menyambut atau memperjuangkannya, mungkin mereka menunggu hingga saat-saat terakhir, ketika semuanya sudah terlambat.

Sektor kesihatan adalah satu sektor yang sangat penting dalam menjamin kelansungan hidup, oleh sebab itu ia tidak boleh diswastakan dari awal lagi. Ia perlu diselia oleh badan awam untuk kepentingan awam. Membukanya kepada syarikat dan korporat untuk membuat keuntungan bukan sahaja satu bentuk ketidak-bertanggungjawaban terhadap amanah, tetapi merupakan satu pengkhianatan terhadap rakyat.

Apabila agenda neoliberal dalam sektor kesihatan ini diketengahkan, maka ramai apologis neoliberal bangkit mempertahankan polisi penindasan ini, katanya caj perkhidmatan klinik sudah lama tidak disemak. Kalau itu pokok permasalahannya, mengapa tidak di semak dan diselaraskan agar bersesuaian dengan kos semasa? Mengapa mahu dihapuskan terus kawalan harga dan membiarkan pasaran yang menentukan harga? Kita semua tidak bodoh, tentulah pasaran akan menentukan harga bagi memerah keuntungan maksimum dan rakyat akan terus ditindas.

Apologis wawasan kesihatan neoliberal kemudian membawakan tema “pilihan”, “kuasa pengguna”, kata mereka “kalau mahal pergilah klinik kesihatan kerajaan”. Apa yang mereka tidak mahu perkatakan adalah perkhidmatan kesihatan kerajaan yang makin tertekan, beratur yang panjang, kekurangan staff, klinik yang sesak. Seolah-olah rakyat ada “pilihan”, tetapi kita semua tahu apa pilihan itu. Kata mereka, apabila harga tidak lagi dikawal, caj perkhidmatan perlu diperagakan di klinik agar rakyat boleh membuat “pilihan”. Namun ketika suasana cemas, panik, dan hidup-mati, setiap orang waras akan cuba mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang terdekat dan cepat, tiada siapa sempat untuk membuat kajian perbandingan harga ketika ahli keluarga mereka memerlukan rawatan segera. Pada ketika itu “caj yang dipamerkan” hanyalah birokrasi yang tak berguna.

Apakah kesan signifikan dasar liberalisasi kawalan caj perkhidmatan ini? Sebenarnya ia secara tidak langsung merupakan serangan terhadap sektor kesihatan awam. Cuba fikirkan caj kesihatan awam “RM1” versus “berapa pun caj swasta yang difikirkan oleh pasaran”, tentulah perkhidmatan swasta dapat menjana keuntungan berlipat kali ganda. Perkhidmatan swasta dapat menyediakan fasiliti yang moden dan lebih baik, mereka akan menarik doktor-doktor pakar, sedangkan perkhidmatan kesihatan awam akan hilang insentif ekonomi dan semakin tertekan, semakin kecil dan tidak efisien. Ia akan mewujudkan ekosistem perkhidmatan kesihatan berdasarkan keuntungan, apabila sektor awam semakin tertekan dan sesak, rakyat akan membina persepsi bahawa ia tidak efisien, dysfunctional, dan ketika itu mungkin rakyat pun akan menyokong sistem kesihatan di swastakan seratus peratus kerana mereka tidak dapat lagi membayangkan ekosistem kesihatan yang lain. Ketika itu baru kita akan tersentak dengan retorik “pilihan” dari apologis neoliberal.

Di Amerika, kita melihat bagaimana perjuangan yang dipelopori oleh Bernie Sanders untuk memastikan setiap rakyat Amerika mendapat perkhidmatan kesihatan melalui polisi Medi-care for all. Di United Kingdom, kita melihat bagaimana perjuangan yang dipelopori oleh Jeremy Corbyn untuk memperkasakan perkhidmatan kesihatan awam dengan melabur lebih banyak wang ke dalam NHS. Tetapi di Malaysia kita bergerak ke belakang, regresif, dengan polisi menghapuskan kawalan harga perkhidmatan kesihatan dan membiarkan ia ditentukan oleh ketamakan korporat. Sepatutnya kita mengekang perkembangan perkhidmatan swasta dan memperkasa sektor awam.

Jangan tersilap, polisi neoliberal ini telah lama diuji, dan terbukti membawa kepada kegagalan dan kerosakan. Sedikit masa lagi kita akan melihat manusia mati kerana tidak mampu membayar harga perkhidmatan kesihatan. Dalam kata lain, penunggang polisi neoliberal ini bersama apologis-apologisnya  ingin menyatakan bahawa “orang miskin dilarang sakit!”

Leave a Reply

Close Menu