WACANA

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.

  • borneokomrad1@gmail.com
Sains di Sebalik ‘Terbiasa’

Sains di Sebalik ‘Terbiasa’

Oleh: Farahani R

“Kalau sudah biasa rasa hidup susah, apa-apa yang datang pun senang kita lalui,” kata seorang wanita yang sibuk bernasihat-nasihat dengan anak kecilnya. Ketika itu saya di pasar menemankan wanita utama dalam keluarga saya.

Itu benar. Kalau sudah terbiasa rasa susah, cabaran hidup terasa mudah. Sebab itulah wujud jua peribahasa Melayu berbunyi ‘alah bisa, tegal biasa’. Mula-mula pedih, lama-lama tidak peduli.

Dan Ariely mengasbabkan perkara ini dalam bukunya ‘The Upside of Irrationality’ sebagai suatu proses adaptasi. Menurutnya, manusia memang dicipta dengan kebolehan tersendiri untuk beradaptasi –bahasa pasarnya, membiasakan diri- dengan suatu perkara. Dikitabkan pada bab 6, dapat saya ringkaskan proses pembiasaan diri ini kepada tiga hal; situasi katak yang direbus (boiled frog), adaptasi hedonik dan adaptasi yang gagal.

Merebus Katak

Perkongsian sebuah eksperimen biologi tentang seekor katak yang dibiarkan dalam sebuah periuk yang berisi air. Periuk itu kemudiannya dipanaskan perlahan-lahan. Sangat perlahan. Terlalu perlahan sehinggakan katak tersebut dengan semulajadinya mulai mengubah suhu badannya agar sesuai dengan suhu air yang perlahan-lahan meningkat. Katak tersebut tidak melompat keluar sehinggalah ia mati katak dalam periuk besi yang memanas.

Lupakan dahulu katak malang ini. Apabila kita mengambil contoh katak yang direbus perlahan-perlahan ini dalam konteks pengalaman manusia, kita ada kebolehan untuk tinggal dalam suasana yang sangat teruk sehinggakan kita amat ‘selesa’ di dalamnya. Zon selesa atau lebih selesa dipanggil comfort zone dikonsepkan menjadi suatu sempadan yang dipegang oleh manusia untuk menentukan sejauh mana mereka mampu bertindak tanpa ada perasaan negatif seperti takut, murung dan lain-lain.

Seboleh-bolehnya comfort zone ini dilukis menuruti pengalaman psikologi seseorang. Sifat berani mencuba memperluas zon selesa manakala sebaliknya, ketakutan pada suatu perkara baharu hanya memperkecil zon tersebut. Dan Ariely mencontohkan peristiwa katak ini dalam skala yang lebih mudah berbanding imaginasi saya, bau sampah misalnya. Apabila kita terbiasa dengan bau sampah berdekatan dengan rumah kita, sudah pasti kita akan hairan mengapa orang lain pengsan terhidunya berbanding anda yang sudah terbiasa dengan bau busuk sampah tersebut.

Adaptasi hedonik

Proses terbiasa yang kedua ini mungkin lebih dekat dengan kita berbanding eksperimen katak. Dalam bahasa nasihat orang tua-tua, ia lebih mesra dikonsepkan sebagai ‘bersyukurlah dengan apa yang ada’. Orang putih pula kata, make do with what you have. Menarik sekali, to make do juga adalah peribahasa Inggeris.

Seperti orang kebanyakan, saya juga harus menelan air liur tatkala seorang kawan saya sedang memakai baju yang cantik, bergaya dan mewah. Saya juga harus memalingkan nafsu makan makanan mewah ketika ingin mencari juadah pengisi perut. Menariknya, ketika senggang dan berduit sedikit, buku-buku yang dahulunya saya berkenan beli – terus jadi tawar hati. Begitu juga semasa berpeluang membeli baju cantik atau berpeluang merasa makanan mewah. Saya jadi tawar hati dan malas walaupun sudah berkemampuan untuk membelinya.

Inilah yang dipanggil adaptasi hedonik, iaitu apabila anda sudah terbiasa dengan yang biasa-biasa, maka anda akan terus memakai pakaian yang biasa-biasa, makan makanan yang biasa-biasa dan hanya lebih suka mencari tawaran harga buku yang lebih rendah dari penjual buku tersebut. Alasan ini jugalah barangkali rasional paling tinggi di akal saya mengenai mengapa orang Malaysia suka beli buku, namun tidak pada amalan membaca buku.

Adakah gagal beradaptasi itu beradaptasi untuk gagal?

Failed adaptation yang dimaksudkan Dan Ariely ini tidak hanya menyentuh soal kegagalan dalam hidup akibat enggan berubah mengikut peredaran suasana sekitarnya. Ia mencakupi pandangan dunia kita dan bagaimana kita menanggapi perbezaan tabiat dan prinsip hidup manusia.

Dan Ariely juga berkongsi secarik pengalaman hidupnya mengenai adaptasi yang gagal. Kisahnya bermula apabila beliau terlibat dalam sebuah kemalangan, lalu mengakibatkan kecacatan teruk di bahagian wajah serta anggota badannya. Daripada seorang yang sempurna, kulitnya pulih dengan parut-parut kasar yang perit dalam sanubarinya. Tiap hari cermin itu hanya memantul perit payahnya selepas kemalangan tersebut.

Di sini, imej badan di mindanya yang pernah sempurna dahulu terherot. Kesukarannya menerima hakikat kecacatan tersebut dianggap beliau sebagai suatu misal pada adaptasi yang gagal. Ertinya, beliau gagal ‘membiasakan diri’ dengan perubahan drastik apatah lagi ia melibatkan penampilan beliau. Hal ini diheret panjang ke bab-bab seterusnya, menceritakan bagaimana kegagalan untuk membiasakan diri ini memberi impak mendalam pada dirinya.

Buat kita yang tidak mengenali Ariely, kita hanya mampu menilai aspek adaptasi yang gagal ini dari mata kasar kita. Seorang duda yang kehilangan isteri, telah hilang arah lalu tidak lagi dapat disebut sebagai seorang yang waras dan berakal – ini adalah contoh menakutkan dalam adaptasi yang gagal. Seorang isteri yang ditimpa bankrap bersama suaminya yang korup, meninggalkan suaminya sehelai sepinggang – kejadian isteri ini juga dianggap sebagai adaptasi yang gagal.

Namun begitu, saya sebagai devil’s advocate ingin mengusulkan pandangan yang melawan tragedi hasil adaptasi yang gagal ini menjadi suatu insiden yang membahagiakan. Sebuah penutup indah – seorang perempuan yang berada dalam hubungan toksik melibatkan teman lelaki yang suka memukulnya, bertahun-tahun menjadi mangsa buli emosi dan isolasi terancang, akhirnya berjaya ‘bebas’ dari cengkaman teman lelaki bernama Dayus.

Bayangkan jika adaptasi keadaan mangsa itu berjaya; mana mungkin ibu bapanya lega hati mendengar anak perempuannya jadi bahan mentah sukan sepak raga Dayus dan anak kecil mereka dulu ditimang-timang itu kini dilambung orang – malah anak perempuan itu tidak lagi peduli kerana… ‘terbiasa’.

Leave a Reply

Close Menu