Tentang Keusahawanan Sosial
Credit to f-scope.net

Tentang Keusahawanan Sosial

Oleh: Aakmal Yusop

Berapa bulan sudah para graduan UMS tahun lalu berjaya menggenggam sepapan ijazah dan sejambak bunga, yang mungkin ada lebih teddy bear hinggap di kalangannya. Adakah anda sudah mengerjakan sesuatu? Atau adakah anda sudah mempunyai kerja? Atau anda dimalangi statistik dan mendapati diri anda adalah sebahagian daripada 3.3% rakyat Malaysia yang tidak mempunyai pekerjaan? Saya tidak akan sebut peratusan graduan menganggur setelah setahun kerana 56% dari 560 000 lebih tidak perlu lebih banyak berita buruk.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq nun di Twitter, pernah menjanjikan 350 000 pekerjaan bagi rakyat Malaysia yang memang dahagakan nikmat dibayar gaji di hujung bulan. Ia masih tidak begitu kelihatan, terutamanya kerana pekerjaan itu susah mahu dilihat dengan mata kasar. Ia juga tidaklah begitu mengujakan kerana kerja-kerja yang diiklankan tidak semestinya sesuai dengan usaha graduan belajar bersungguh-sungguh (kamu memang study kan?) untuk bertahun-tahun. Mungkin itulah nasib rakyat Malaysia, dimiskini oleh faktor luaran yang tidak boleh dikawal, kononnya.

NAMUN!

Adakah anda mempunyai dua belah kaki dan dua belah tangan? Atau anda boleh bergerak dan hidup walaupun kekurangan itu? Atau anda mempunyai deria yang baik? Anda boleh merujuk internet di telefon bimbit atau komputer rumah anda? Adakah anda dapat mencerap alam dengan nyata dan tidak terganggu dengan persoalan sama ada ia semuanya nyata atau fantasi semata? (Saya gagal di sini; saya hanya halusinasi yang datang dua kali sebulan ke KARMA.)

TAHNIAH!

Anda boleh mengamalkan ilmu sihir yang paling ampuh dan agung, yang diamalkan dari gunung-gunung Sepanyol hingga ke steppe dan gurun Mongolia, dari sejuk muramnya hujan Scotland hingga ke kering tandusnya Afrika Selatan, dari negara sekaya AS hingga semiskin Senegal dan Ghana. Ia disokong dengan kekuatan PBB di bawah pejabat UNDP dan ditaja dengan sokongan Malaysia walau betapa firaunnya Perdana Menteri yang bersemayam di kerusi yang berpusing dan memusingkan itu.

Namanya ialah Keusahawan Sosial (Social Enterprise)! Ya, ia merupakan jawapan kita kepada cara membuat dan menyediakan 350 000 kerja kosong untuk rakyat. Dan kita tidak begitu perlukan Syed Saddiq, kita lebih perlukan Mohd Redzuan Md Yusof. Dalam erti kata lain, sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan Malaysia. Mungkin juga tidak, dari kita-kita juga bah itu.

Baiklah, cukup dengan ratiban penuh kerasukan tidak waras dari saya. Sekarang untuk membina ayat yang lebih waras dan mendidik.

Apakah itu Keusahawanan Sosial? Ia merupakan gabungan dari Keusahawanan dan Kerja Sosial. Dalam erti kata lain, keusahawanan sosial ialah perniagaan keusahawanan yang digunakan untuk membantu menyelesaikan masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat.

Mungkin produk itu mampu menyelesaikan masalah sosial. Mungkin duit hasil jualan produk itu digunakan untuk menyelesaikan ia. Atau, peluang pekerjaan dan upah yang lumayan itu sudah cukup memberi penyelesaian bagi isu sosial. Atau, proses pembinaan produk itu menggunakan sisa bahan atau sesuatu yang secara tidak langsung menyumbangkan masalah sosial.

Contohnya, ada sebuah syarikat keusahawanan bernama Dochaa dari Nepal. Apakah yang mereka jual? Kasut. Bagaimanakah ia membantu menyelesaikan masalah sosial? Dengan membuka pasaran bagi fabrik tempatan Nepal untuk dibeli syarikatnya, dan membawa para pembuat kain tersebut ke pasaran dunia. Bahkan, para penenun fabrik tradisional di Nepal mendapat lebih banyak tempahan berbanding sebelum syarikat Dochaa diwujudkan. Ekoran dari itu taraf hidup para penenun fabrik Nepal meningkat!

Bagaimana kalau di Malaysia pula?

Oh sudah terlalu ramai, namun belum dibilang. Kerana kerajaan Malaysia masih dalam proses membantu, mendefinisi dan menyokong penghasilan keusahawanan sosial baru, melalui MaGIC (Malaysian Global Innovation Center). Namun, memang sebelum ini pun ada yang memberi bantuan kepada masyarakat sambil mengaut untung. Biar saya beri beberapa contoh.

Teach for Malaysia ialah salah satu keusahawanan sosial yang fokusnya mendidik kanak-kanak terpinggir. Tidaklah sepinggir kanak-kanak stateless. Ia lebih kepada kanak-kanak miskin tegar yang cukup-cukup sahaja disekolahkan, keadaan di mana ibu bapanya terpaksa memilih antara makanan untuk ruh atau makanan untuk perut. Bak kata pepatah, menjadi miskin itu amat mahal. Daripada sumbangan, mereka menjana beberapa felo dan pemimpin selama dua tahun. Dua tahun ini penuh dengan program mendidik kanak-kanak terpinggir di sekolah-sekolah.

Para pengetua yang terlibat menyukai hasil dari pendidikan para pendidik tadi. Maka mereka dicadangkan untuk sekolah-sekolah lain, lalu mengembangkan pengaruh. Sekarang, sudah 111 000 pelajar terkesan dari hasil pendidikan mereka, dengan 36% dari jumlah itu sudah membaiki markah mereka di sekolah.

Atau anda tidak minat mengajar? Anda boleh membina objek! Biji-biji Initiative menggunakan bahan buangan untuk membina perabot yang utuh lagi mengasyikkan. Ia dijual dengan keuntungan, lalu duitnya digunakan untuk mengembangkan perniagaan dan melatih lebih ramai orang membina bersama untuk upah lumayan.

Yang menariknya, kejayaan Biji-biji Initiative bukan hanya dipandang dari wang semata. Ia juga mengukur berapa banyak bahan yang berjaya dikitar semula, berapa kali ganda dari gaji minimum mereka dapat berikan kepada pekerja, juga berapa orang yang telah dikesankan oleh inisiatif mereka. Ya, tuan-tuan dan puan-puan, ukuran kejayaan bagi keusahawanan sosial bukan hanya berapa ringgit yang dapat kita peroleh. Impak kepada masyarakat serta alam sekitar juga boleh menjadi kayu ukur.

Saya akan berceloteh lebih banyak akan bagaimana mengarang keusahawanan sosial anda sendiri. Namun, saya berikan dahulu paling ringkas ertinya di sini.

Untuk membina keusahawanan sosial anda, lihat masalah yang ada sekitar anda. Contoh: Plastik yang terus berkumpul di kawasan sekitar kampung anda tanpa diangkut pihak berkuasa.

Kemudian, lihat bagaimana anda boleh selesaikan ia. Kekangan yang diberi keusahawanan sosial ialah anda harus dapat memperoleh wang, serta ia dapat membantu masyarakat dengan mapan. Contoh: Gunakan plastik sebagai bahan binaan rumah. Sumbat plastik keping dalam botol, hingga menjadi bata yang kuat. Kemudian susun ia, lalu lepakan simen. Ulang hingga menjadi rumah.

Sumber:https://www.springwise.com/repurposed-plastic-waste-creates-reusable-building-bricks/

Selepas itu, jalankan keusahawanan anda. Ia merupakan kerja yang mencabar dan penuh dengan pancaroba yang dramatis. Namun jika anda berjaya membina penyelesaian anda, anda boleh memberi pekerjaan kepada diri anda sendiri dan orang-orang yang anda upah. Dalam erti kata lain, anda menyumbang kepada pemberian peluang pekerjaan yang Syed Saddiq janjikan.

Saya harap apa saya karang dalam kegilaan terasuk ini dapat memberi anda kehausan untuk mendalami lebih banyak akan Keusahawanan Sosial. Kalau kamu mahu mula sekarang, bacalah lebih banyak. Google itu pustakamu. Itulah yang sebaiknya. Dan laju! Saya sudah setahun hidup mengidam anggur, sudah tiba masa mengerjakan pekerjaan!

Rujukan

  1. https://ms.tradingeconomics.com/malaysia/unemployment-rate
  2. https://www.sinarharian.com.my/article/42334/BERITA/Nasional/Kadar-pengangguran-suku-kedua-2019-kekal-pada-33-peratus
  3. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/11/09/takut-cari-kerja-bidang-lain-idam-gaji-tinggi-punca-graduan-menganggur/
  4. https://m.malaysiakini.com/news/495006
  5. https://www.undp.org/content/undp/en/home/about-us.html
  6. http://www.dochaa.com/
  7. https://mymagic.my/
  8. https://www.socialenterprise.org.my/
  9. https://www.socialenterprise.org.my/emulating-social-enterprise-structure-malaysia/
  10. https://teachformalaysia.org/
  11. https://www.biji-biji.com/

Leave a Reply