Tazkirah Puisi

Tazkirah Puisi

  • Post category:ARTIKEL

Oleh: adiHJ

Awal kalam.

Tanggungjawab sosial seorang penulis itu adalah menulis. Karya dibukukan itu bonus. Malah, buku bukan utopia seorang penulis. Kami tidak menganggap pencapaian seorang penulis itu dinilai daripada berapa banyak buku yang dia hasilkan. Walhal, sepotong sajak yang kami baca di Instagram namun memberi bekas kepada diri kami lebih bernilai daripada sebuah buku yang dihasilkan demi memuaskan nafsu seorang penulis. Namun, kami tidak menolak usaha rakan penulis yang mahu menerbitkan buku. Lebih-lebih lagi, kami sebenarnya kagum dengan semangat dan iltizam mereka kerana kami menyedari kepayahan untuk menyiapkan satu manuskrip itu bukanlah mudah.

Baik, ini klise. Menjadi seorang penulis itu harus ada niat yang betul. Menulis dengan kejujuran itu lebih bernilai daripada menulis untuk memuaskan nafsu (baca: selera) orang lain. Sesebuah karya itu boleh saja melanggar tata tertib atau peraturan penulisan. Kan peraturan itu sepatutnya dilanggar. Sistem itu sepatutnya dilawan. Jika pengkritik itu orang berkuasa, maka penulis itu orang yang rebel. Sentiasa melawan. Tidak mempedulikan apa yang kritik kata. Janganlah kau marah malah benci kepada pengkritik. Itu suatu pencapaian, kerana karyamu diambil berat. Itu suatu keuntungan. Berbanding ribuan penulis lain yang namanya tidak pernah sampai di telinga pengkritik. Dan bukankah penulis itu sudah mati selepas bukunya diterbitkan. Tapi, jangan berhenti melawan. Bukanlah dengan menumbuk si pengkritik, tapi dengan menulis. Dan beringatlah, selagi kau tidak dibenci, maka kau bukanlah orang hebat. Walaupun ayat ini subjektif sebenarnya.

                “The writer who is a real writer is a rebel who never stops”
William Soroyan.

Berikut merupakan beberapa kata-kata semangat yang barangkali boleh membakar kalian;

“Jika bagimu itulah kebenaran mutlak dan wajib disampaikan kepada umum, maka tulislah sampai kebenaran itu membunuh kebatilan. Jika bagimu suatu ilham yang tidak ditulis itu bakal menyebabkan bencana, maka tulislah agar dirimu tenang esok hari. Jika bagimu, kata-katamu akan sampai ke hati orang yang sedang lara, maka tulislah dengan sepenuh hatimu, titipkan roh dan harapanmu bersama huruf-huruf yang bakal melantunkan orkestra indah kepada para pembaca. Menulislah dengan jujur walau hati sedang lara, nescaya frekuensi itu akan sampai kepada penerimanya.”

Kerana, bukankah tugas seorang penulis itu untuk membuka jiwa? Kemarahan seseorang penulis boleh saja memarakkan api revolusi. Macam puisi Peringatan. Kesedihan seseorang penulis boleh saja menjadi kesedihan orang lain. Macam puisi The Raven. Kecintaan kepada Tuhan boleh saja menjadi jalan rohani kepada orang lain. Macam ribuan syair dalam Kitab Masnawi.

Dan jika kau kata, aku menulis untuk hidup namun gagal menulis sesuatu yang hidup (baca: memberi bekas kepada orang lain), maka beringatlah yang kau harus mati terlebih dahulu. Bak kata guru kami, penulis itu harus mati dan hidup semula agar karyanya hidup. Bila kami tanya bagaimana, katanya, berhenti menulis tentang diri sendiri. Itu kerja orang narsis. Penulis harus berhenti menjadi narsis. Dengan demikian, maka si penulis harus berhenti membaca literatur yang melumpuhkan mindanya. Berhenti membaca soal cinta fatamorgana. Berhenti mengejar syurga materi. Semua itu berhala yang tidak memajukan malah memandulkan. Berhenti memuja karya sendiri. Bukankah Plato pernah kata, seniman tidak boleh mempunyai rasa ghairah terhadap seninya sendiri.

Untuk menjadi penulis yang hidup, penulis itu juga harus membaca manusia dari perspektif yang jauh lebih dalam. Jika kau mahu menulis tentang keperitan nelayan, kau harus menjadi seorang nelayan. Bukannya menjadi seorang pembeli ikan. Itu acuan yang salah. Maksud kami, melihat dari kaca mata orang itu. Barangkali bahasa tingginya empati. Entah. Yang kami tekankan di sini, akan kelihatan palsu orang yang menulis kepayahan namun masih lagi senang lenang setiap hari.

Namun, beringatlah, setiap yang kita nukil itu akan dipertanggungjawabkan di hari pembalasan. Dan bagi mereka yang tidak percaya akan hari itu, maka beringatlah, setiap tindakan kita hari ini akan menjadi penentu esok hari. Termasuk juga nukilan ini.

Namun, janganlah kau mengambil kata-kata ini sebagai satu fatwa mahupun fakta. Kami bukanlah orang yang layak berkata-kata sebegini. Tidak berijazah formal dan hanya menuntut di jalanan sahaja. Yang kami nampak dan teliti, itulah yang di nukil dan menjadi harapan agar ada yang mendapat kesannya. Yang kami harap agar penulis menjadi lebih dirinya sendiri berbanding cuba-cuba menjadi orang lain. Kerana itu sebenarnya racun yang akan membunuh diri penulis itu sendiri.

Dan sebenarnya nukilan ini kami cedok daripada himpunan kata-kata penulis yang lebih masyhur, lebih berpendidikan, lebih berwibawa, dan lebih berpengalaman. Dan sebenarnya nukilan ini sudah engkau tahu seratus peratus. Cumanya kita manusia, lupa itu kan manusiawi. Janganlah mengambil sepenuhnya yang kami katakan. Ambillah sekerat atau buang saja semua. Tulislah dengan sepenuh jiwa dan ragamu. Jadikanlah penamu itu pedang. Dan untuk menutup tazkirah pada kali ini, ada satu pepatah yang menjadi perintis kepada diri kami untuk terus menulis.

“The purpose of literature is to turn blood into ink”
T.S Eliot.

Akhir kalam.

Leave a Reply