SUPLEMEN; MAKANAN TAMBAHAN UNTUK KESIHATAN?

SUPLEMEN; MAKANAN TAMBAHAN UNTUK KESIHATAN?

  • Post category:Perkongsian

Oleh: Nurhuda Manshoor

Permintaan untuk suplemen/makanan tambahan meningkat di negara kita seiring dengan tumbuhnya cendawan usahawan produk-produk berkaitan makanan kesihatan. Pengguna cuba untuk memanjangkan jangka hayat dan memastikan kualiti hidup yang lebih baik. Usahawan menggunakan kesempatan ini untuk menghasilkan pelbagai produk, meningkatkan jualan dan memastikan keuntungan berganda.

Dipercayai makanan harian kita pada hari ini tidak lagi berkhasiat, dicemari racun dan diubahsuai secara genetik. Ubat-ubatan moden pula diberitahu mengandungi bahan kimia berbahaya. Pengguna beralih kepada produk makanan tambahan dan perubatan alternatif yang dikatakan lebih semula jadi dan selamat.

Terdapat pelbagai pilihan suplemen di pasaran, merangkumi vitamin, mineral, asid amino, enzim, probiotik, minyak ikan dan sebagainya. Pengguna yang memilih cara tradisional pula boleh mengambil produk kesihatan yang berasaskan ramuan herba, organik atau makanan sunah dalam usaha mempertingkatkan tahap kesihatan.

Di Malaysia kita lihat pelbagai tumbuhan tradisional diubahsuai, diformulasikan dan dikomersialkan mengikut keperluan pasaran. Untuk memasarkan produk kepada pelbagai lapisan masyarakat dan umur, pengeluar menghasilkan produk dalam pelbagai formulasi. Ada dalam bentuk sirap, untuk mudah di konsumsi, ada yang dalam bentuk pil, kapsul, tablet dan sachet, untuk mudah dibawa ke mana-mana, ada juga dalam persediaan susu formula, untuk bayi, kanak-kanak dan ibu mengandung.

Makanan tambahan bukanlah bertujuan untuk menggantikan makanan harian. Ia tidak boleh membekalkan sepenuhnya semua nutrien dan faedah yang boleh didapati dari makanan sebenar. Makanan harian kita menawarkan tiga faedah utama berbanding makanan tambahan.

Pertama, lebih berkhasiat. Makanan biasa lebih kompleks, satu hidangan sahaja boleh mengandungi pelbagai nutrisi yang diperlukan oleh tubuh kita. Kedua, mengandungi serat. Makanan seperti bijian, kekacang, sayur-sayuran dan buah-buahan kaya dengan serat yang penting untuk kesihatan usus dan mengelakkan sembelit. Ketiga, mengandungi mikro nutrien yang penting untuk mencegah penyakit dan mineral yang berfungsi untuk menstabilkan elektrolit di dalam cecair badan.

Sekiranya seseorang itu sihat tubuh badan, mengambil makanan harian yang cukup dan mengamalkan cara pemakanan yang betul, mereka tidak memerlukan suplemen untuk keperluan nutrisi tambahan. Pengambilan makanan tambahan oleh seorang yang sihat adalah satu pembaziran, malah mungkin juga boleh membawa kemudaratan.

Suplemen, makanan tambahan dan makanan diperkaya nutrisi merupakan bahan gantian yang baik sekiranya terdapat sebarang kekurangan nutrisi dalam pemakanan. Terdapat juga suplemen yang boleh membantu mengurangkan simptom penyakit. Jadi suplemen adalah perlu dalam beberapa situasi tertentu sahaja.

Wanita yang merancang untuk mengandung perlu mengambil asid folik sebagai tambahan kepada makanan harian. Asid folik penting untuk mengelakkan kecacatan kepada bayi. Wanita mengandung perlu tambahan zat besi di dalam diet mereka untuk mengelakkan anemia. Pesakit yang mengalami masalah pemakanan atau penyerapan nutrisi perlu diberikan makanan tambahan atau gantian berdasarkan keperluan.

Terdapat juga kes di mana individu yang sihat juga perlu mengambil makanan tambahan. Biasanya disebabkan oleh gaya hidup yang mereka pilih atau geografi dan keadaan sekeliling di mana mereka tinggal. Pengamal vegan atau vegetarian perlu mendapat bekalan vitamin B-12 kerana vitamin tersebut hanya boleh didapati daripada daging dan produk haiwan. Orang yang tinggal di kawasan jauh dari laut dan tidak mendapat bekalan ikan dan sumber laut perlu mengambil asid lemak omega-3 untuk mengelakkan penyakit jantung. Mereka yang tidak mendapat akses kepada garam laut perlukan suplemen iodin untuk mengelakkan penyakit tiroid. Individu yang mengalami lactose intolerance atau alahan kepada produk tenusu perlukan tambahan kalsium atau makanan lain yang mengandungi kalsium seperti ikan sardin. Wanita yang mengalami pendarahan yang banyak ketika haid perlukan zat besi tambahan.

Pengambilan suplemen, walaupun seseorang itu tersenarai dalam individu yang memerlukan nutrisi tambahan perlukan nasihat dan pemantauan doktor dan dietitian. Berbincanglah dengan mereka tentang suplemen yang diperlukan, kombinasi yang selamat dan dos yang sesuai untuk anda kerana setiap individu mempunyai keperluan yang berbeza. Selalulah peka kepada sebarang kesan sampingan yang mungkin dialami dan segera memaklumkan kepada doktor anda.

Perlu lebih berhati-hati apabila mengambil suplemen ketika mengandung atau menyusukan bayi, juga apabila memberikan kepada kanak-kanak. Kebanyakan suplemen tidak diuji keselamatannya untuk ibu mengandung, bayi dan kanak-kanak.

Suplemen yang diambil untuk mencairkan darah berisiko menyebabkan pendarahan ketika pembedahan atau apabila terlibat dalam kemalangan. Makanan tambahan juga boleh berinteraksi dengan ubat-ubatan hospital dan memberi kesan kepada penyembuhan. Berikut adalah beberapa contoh interaksi yang boleh berlaku apabila mengambil suplemen.

Vitamin K boleh menyebabkan ubat pencair darah kurang berkesan, pesakit akan berisiko mengalami darah beku. St. John’s Wort, sejenis herba boleh memecahkan struktur kimia beberapa jenis ubat seperti antidepresan dan pil perancang, menyebabkan ubat tersebut tidak lagi berkesan. Antioksidan seperti vitamin C dan E boleh menyebabkan terapi rawatan kanser kurang berkesan.

Pengambilan suplemen melebihi dos yang disyorkan, selain satu pembaziran, boleh mendatangkan kesan mudarat. Sebagai contoh, mengambil terlalu banyak vitamin A menyebabkan sakit kepala, kerosakan hati, melemahkan tulang dan menyebabkan kecacatan bayi. Terlebih zat besi menyebabkan loya dan muntah serta boleh merosakkan hati dan organ lain.

Sesuatu produk yang dijual di pasaran, diiklankan di TV, disyorkan oleh artis terkenal, dipromosikan oleh ahli sukan berotot sasa bukanlah jaminan keselamatan dan keberkesanan. Sentiasalah dapatkan nasihat pakar dan peka kepada sebarang kesan sampingan. Sekiranya anda mengalami kesan yang tidak diingini apabila mengambil sesuatu produk, anda boleh membuat aduan kepada Agensi Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan, atau beritahu sahaja kepada doktor anda. Mereka akan laporkan kepada pihak berkuasa.

Leave a Reply