Solidariti untuk Palestin

Oleh: Huda Toha

Memberi jubah hakim kepada penjajah dan menyangka mereka untuk menegakkan keadilan adalah satu perkara fantasi, kerana sikap menjajah itu sendiri tidak akan pernah boleh dikaitkan dengan adil, percaya dan tanggungjawab. Tetapi, ini adalah realiti yang berlaku di tanah Palestin; kepercayaan dunia diberikan kepada musang untuk menjaga reban ayam.

Dipaksa untuk meninggalkan rumah sendiri untuk diberikan kepada penjajah Israel, tanpa sebarang kompensasi, inilah yang sedang berlaku di Sheikh Jarrah, kawasan perumahan yang terletak di Timur Jerusalem. Mahkamah Israel telah mengarahkan keluarga-keluarga Palestin untuk keluar daripada rumah mereka di Sheikh Jarrah. Pada tahun 1948, beberapa keluarga Palestin telah diusir secara kasar daripada tanah asal mereka di Jaffa dan Haifa (kota-kota ini kini sudah bertukar status menjadi milik Israel) dan telah ditempatkan oleh UNHCR di Sheikh Jarrah pada tahun 1956.

Kini, mereka diusir sekali lagi.

Normalisasi dan sokongan daripada kuasa-kuasa luar menyebabkan tangan-tangan penjajah Israel secara konsisten berjaya menukar rakyat asal Palestin menjadi pelarian di tanah sendiri. Hakikatnya, lebih daripada 538 buah kota di serata Palestin adalah dahulunya bersifat seperti Sheikh Jarrah, dicuri dan dirampas oleh penjajah dengan menggunakan lesen undang-undang kolonialisme.

Apabila kita bercakap tentang kolonialisme atau penjajahan, ia bukanlah suatu topik yang kuno dan berlaku pada zaman dahulu. Hakikatnya, kolonialisme masih dipraktikkan sekarang – ia bersifat kontemporari, berkembang, halus dan menghakis – seperti asap asidik yang berlegar-legar di ruang ‘undang-undang’. Biologi bagi kolonialisme adalah biologi virus parasit yang sedang bermutasi: ia belajar daripada sejarah dan berubah bentuk, lalu menjadi kebal terhadap retorik anti-kolonial yang lepas. Virus kolonialisme ini menghakis kuasa hos (tuan rumah) secara berterusan sehingga tiba satu masa, virus ini mampu meyakinkan seluruh dunia untuk mengiktiraf kewujudannya, dan akhirnya merosakkan hos – tanah asal – secara kesuluruhannya.

Benarlah kata-kata Nelson Mandela, ‘kita tidak akan pernah bebas sehingga Palestin bebas’ kerana realiti keadaan aperteid di Palestin adalah tidak masuk akal. Bermula dengan kertas putih undang-undang yang membenarkan penempatan penjajah, pembersihan etnik dan aperteid. Daripada menjadikan Gaza sebagai penjara terbuka terbesar di dunia, mengebom anak-anak yang sedang bermain di persisiran pantai, menceroboh tanah-tanah Palestin, mencederakan orang-orang yang sedang bersembahyang di rumah-rumah ibadah – mencemari Al-Aqsa dengan kekerasan, bom gas dan peluru-peluru getah dan melayani rakyat Palestin sebagai rakyat kelas ketiga – terang lagi bersuluh, ini adalah kejahatan-kejahatan imperialis yang tidak layak untuk didiamkan. Ini bukan semata-mata perlawanan antara agama kerana Palestin adalah rumah bagi tiga agama Samawi – Islam, Kristian dan Yahudi, tetapi ini adalah perlawanan pembebasan rakyat Palestin menentang kolonialisme. Ini adalah perlawanan kita semua.

Jika musuhmu adalah hakim, kepada siapa kita boleh mengadu?

Hakikatnya di mana-mana sahaja, semakin hari semakin kita sedar bahawa undang-undang dunia yang sedang menaungi kita punya banyak cacat cela, bersifat kapitalis, ia menguntungkan golongan atasan dan menjatuhkan golongan bawahan. Oleh itu, pilih untuk percaya mereka yang ditindas, bukan mereka yang menindas. Berdoalah sehabis daya. Laungkan dan sebarkan suara mereka selagi mana suara mereka mampu didengari. Perjuangan ini panjang, tanah mereka akan sentiasa direbut untuk diperintah tapi tidak jiwa mereka, jiwa mereka bebas tidak diperintahkan. Solidariti buat rakyat Palestin! Solidariti buat semua penentang penjajahan!

Rujukan:

@mohammedelkurd

@trtworld

@aljazeera

@ajplus

Leave a Reply