Siri Medieval: Kemerosotan Feudalisme

Siri Medieval: Kemerosotan Feudalisme

  • Post category:Perkongsian

Oleh: Cucu Megat

Sains yang semakin yang berkembang maju mula membentuk dan merubah gaya hidup baru di Eropah. Perubahan ini merangkumi semua aspek kehidupan masyarakat. Penemuan-penemuan sains tidak hanya tinggal penemuan, malah dikembangkan dalam bentuk penghasilan teknologi baharu. Bahkan, bangsawan-bangsawan Feudal dan orang-orang kaya baharu menaja beberapa aktiviti penciptaan teknologi untuk mereka melebarkan pengaruh dan kekuatan. Satu hal yang ironi, ahli Gereja Katolik yang anti-sains setegar apa pun akan menerima teknologi-teknologi ini secara rela, sesuai dengan setiap manusia yang menikmati kemajuan material untuk melangsungkan kehidupan sehari-hari. Sementara teknologi-teknologi ini mempunyai hubungan yang semakin erat dengan modal.

Kemerosotan sistem Feudalisme membawa perubahan penting dalam susun lapis masyarakat Eropah. Sebelum ini kita telah bincangkan bagaimana kehidupan golongan serf yang ditekan oleh golongan atasan dalam hierarki lama. Juga tentang bagaimana mereka dikongkong oleh nilai dan ajaran institusi Gereja Katolik. Tanah-tanah pula tidak lagi terlalu bernilai sekiranya ia hanya dipakai untuk pertanian sara diri semata-mata. Malah tuan-tuan tanah yang ketinggalan dalam arus ini akan tersungkur bersama cara lama.

Sejak pertengahan abad ke-14, berlaku krisis wabak yang memberi kesan yang sangat mendalam ke atas warga Eropah seluruhnya. Wabak ini telah meragut nyawa sesuku warga Eropah. Krisis ini lebih kritikal di desa-desa berbanding di perkotaan. Reaksi golongan bangsawan adalah menuntut lebih banyak tenaga kerja untuk mengerjakan tanah mereka. Malah sewa yang tinggi dikenakan ke atas petani-petani yang masih hidup. Petani-petani ini cuba dihalang oleh tuan-tuan tanah daripada berpindah ke kota-kota yang lebih selamat. Walau pun begitu, tuan-tuan tanah gagal untuk menyekat sesiapa dalam suasana yang kacau-bilau, apatah lagi krisis ini diselangi dengan peperangan dan cuaca buruk.

Keadaan mendesak menyebabkan ramai melarikan diri ke kota-kota untuk meneruskan kelangsungan hidup. Perkembangan bandar dan pembinaan banyak sektor perusahaan bebas milik kelas pemodal telah menyediakan peluang kepada petani untuk membebaskan diri dan keluarga mereka dari belenggu nilai-nilai lama. Di bandar, ragam pengeluaran buruh telah menggantikan ragam pengeluaran feudal. Rakyat biasa dibayar gaji dan upah bagi pekerjaan mereka dan bukan lagi kerana terpaksa bekerja atau menyerahkan sebahagian hasil kerja mereka sendiri. Mereka lebih bebas; hanya tertakluk di bawah kekuasaan orang besar semasa waktu kerja sahaja. Namun, mereka memerlukan majikan agar menawarkan pekerjaan kepada mereka.

Memandangkan pengeluaran hasil pertanian sara diri atau cara lama mula berkurang di desa-desa, tanah terpaksa dijual oleh raja dan bangsawan kepada orang-orang kaya baharu, yakni kelas pemodal yang berminat mengusahakan tanah pertanian. Krisis pada abad ke-14 ini sememangnya menyebabkan terjadinya pemindahan milik tanah dan mobiliti sosial yang lebih berleluasa berbanding 100 tahun sebelumnya. Ini bererti golongan bangsawan harus mencari jalan lain untuk mempertahankan sumber pendapatan. Adakala mereka harus memaksa petani-petani untuk bekerja lebih kuat. Adakala juga mereka harus mewujudkan sistem ganjaran sekiranya gagal menggunakan paksaan, sesuai dengan amalan buruh upahan yang diamalkan di bandar-bandar. Lambat atau cepat, ini menggalakkan tuan-tuan tanah melepaskan serf mereka.

Selepas perkembangan bandar dan pertambahan penduduk, tuan-tuan tanah mendapat sedikit peluang dan manfaat. Pertambahan penduduk di bandar memerlukan bekalan makanan yang mencukupi. Ramai tuan tanah perlu menyesuaikan diri dalam suasana yang baharu. Kebanyakan mereka telah menjalankan pertanian dan penternakan komersial dengan diusahakan oleh buruh-buruh upahan yang lebih bebas. Mula wujud sedikit kuasa tawar-menawar antara pemilik perusahaan dengan penjual tenaga.

Tuan-tuan tanah yang gagal mempertahankan perusahaan akibat persaingan yang lebih bebas dengan kelas pemodal, terpaksa menjual dan menyewa sebahagian atau kesemua tanah mereka. Ada juga bangsawan yang terpaksa berpaut kepada raja dengan memperoleh hak-hak memungut tol dan cukai di daerah mereka serta mendapat hak khusus memegang jawatan-jawatan yang ada. Sementara tuan-tuan tanah yang gagal membuat keputusan yang betul dan tersilap langkah, mereka terpaksa turun ke hierarki yang lebih rendah. Akhirnya, penguasaan bangsawan ke atas tanah yang semakin melemah dengan sendirinya mendorong penghancuran Feudalisme.

Kemerosotan kuasa bangsawan atau tuan tanah lama juga digantikan dengan kebangkitan bangsawan baharu dan kelas-kelas pemodal menjelang abad ke-15. Mereka adalah pedagang yang kaya dan pemilik perusahaan yang berjaya mengumpul banyak harta. Perubahan ekonomi dan ragam pengeluaran buruh memberi laba kepada mereka pula. Dalam apa yang telah terjadi, kepentingan golongan bangsawan lama bertembung dengan kelas-kelas atasan baharu ini. Selalunya, kutipan tol dan cukai oleh bangsawan lama mengganggu aktiviti mereka yang secara relatif ingin mengurangkan kos. Ditambah pula dengan isu-isu rasuah golongan bangsawan lama menyebabkan kelas-kelas pemodal menjadi marah dan menanamkan bibit penentangan terhadap Feudalisme secara terbuka.

Konflik demi konflik, konspirasi demi konspirasi mula terjadi dalam pertembungan ini. Cara berperang juga telah berubah setelah pengeluaran senjata api dilakukan secara besar-besaran. Tentera-tentera pula terbentuk dengan lebih seragam dan mempunyai formasi tersendiri. Keadaan bertambah buruk lagi apabila Monarki Baru yang bersifat mutlak turut masuk bersaing dalam gelanggang ini. Raja-raja semakin kuat apabila cukai-cukai dikutip semakin bertambah dari hasil-hasil sewaan tanah dan tol yang perlu dibayar oleh pengusaha-pengusaha. Terdapat bangsawan dan Gereja yang masih mempunyai kedudukan ekonomi berasaskan pemilikan tanah menyokong Raja.

Kelas-kelas modal sangat terkesan dengan perkembangan ini. Mereka memandang kemampuan yang diwarisi raja dan bangsawan dengan pandangan yang serong. Hal ini kerana, perkembangan intelektual dan kemajuan perusahaan meletakkan masyarakat lebih percaya kepada kemampuan sendiri. Apabila idea Liberalisme tersebar secara meluas dan diterima oleh ramai masyarakat Eropah, lebih-lebih lagi Eropah Barat, apa-apa sahaja yang mempunyai unsur pewarisan kemampuan dilihat sebagai perkara yang terbelakang. Selain Liberalisme, Protestanisme juga telah mengiktiraf kemampuan individu untuk mencapai kejayaan dalam masyarakat.

Idea-idea politik dan ekonomi baharu telah digaul oleh masyarakat yang tidak berpuas hati, lalu mencetusnya banyak revolusi, reformasi dan perang terhadap raja, bangsawan dan Gereja. Di Eropah Barat, golongan bangsawan tidak lagi memainkan peranan yang penting dalam ketenteraan, sebaliknya kelas pemodal baharu mempunyai kakitangan keselamatan yang ramai dan diupah untuk memegang senjata.

Di England, tanah-tanah Gereja telah dirampas ketika reformasi dan dijual kepada pemodal-pemodal. Justeru, kekuatan sektor kelas atasan baharu ini semakin kuat dan berkuasa. Di sana pengaruh politik mereka disalurkan melalui House of Commons, yang menjadi saluran bagi melancarkan konflik ke atas raja dan bangsawan lama. Sepanjang Revolusi Inggeris yang pertama sekitar tahun 1640-an, kelas atasan baharu telah mengambil alih kuasa negara. Ramai raja telah melarikan diri dan tunduk terhadap kelas atasan baharu ini. Ada raja dan bangsawan dibicarakan dan dihukum atas kesalahan jenayah terhadap rakyat.

Sememangnya revolusi telah mengurangkan kekuasaan Feudal, bahkan dimansuhkan institusinya. Walaupun pemerintahan raja cuba dibangkitkan semula dalam tempoh 20 tahun kemudian, Revolusi Inggeris kedua mengambil tempat dengan membawa nama “Revolusi Gemilang”. Akhirnya, revolusi ini telah menyebabkan peranan raja dibataskan kepada pemerintahan yang menurut hasrat kelas atasan baharu yang diwakili House of Commons. Keadaan ini melemahkan lagi bangsawan lama dan menghalang mereka bangkit semula, kerana tiada lagi kuasa teratas dan berpengaruh untuk mereka berpaut.

Keadaan agak berbeza di luar England, apabila kuasa mutlak raja berkembang di banyak negara. Namun begitu, apa yang berlaku terhadap bangsawan, Gereja dan lain-lain institusi Feudal di England, telah mempengaruhi sedikit sebanyak suasana kawasan Eropah Barat yang lain. Feudalisme tidak lagi dianggap sesuatu sistem yang teguh dan sakral seperti sebelum ini.

Akhir sekali, sekitar tahun 1690-an, kelas pemodal, pemilik tanah dan pedagang sebagai satu kelas atasan baharu telah memantapkan kuasa mereka di Eropah Barat. Pegawai-pegawai pemerintah telah dilantik oleh golongan ini. Undang-undang dan dasar luar pula digubal demi kepentingan golongan ini. Selepas institusi feudal dimansuhkan, pemagaran tanah berlaku secara berleluasa. Tanah milik bersama juga telah dipecahkan dan dipindah hak milik. Dengan ini, segalanya perlahan-lahan digantikan dengan institusi-institusi kapitalis yang secara khas memberikan hak pemilikan peribadi ke atas sebidang tanah, menyebabkan masyarakat terbanyak yang tidak memiliki harta dan modal tidak mempunyai sesuatu untuk dijual melainkan tenaganya untuk memburuh.

Leave a Reply