Siri Medieval: Institusi Gereja Eropah

Siri Medieval: Institusi Gereja Eropah

Oleh: Cucu Megat

Pada masa berlaku peperangan dan penaklukan dunia luar ke atas Eropah, ketika awal Zaman Gelap, pihak institusi Gereja Katolik agak lemah dan tidak begitu tersusun. Namun, pengaruh dan kekuasaannya semakin meningkat pada sekitar tahun 1000. Lazimnya, institusi Gereja Katolik disertai oleh anak-anak lelaki golongan bangsawan feudal yang terpilih. Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, Gereja Katolik merupakan satu institusi yang sangat akrab dengan Feudalisme. Dari segi struktur dalamannya, Gereja Katolik mempunyai hierarki tersendiri, yang diwakili oleh Paus (Pope), Biskop (Bishop), paderi-paderi desa, para rahib dan lain-lain anggota gereja. Gereja Katolik yang lebih tersusun ini kemudiannya dibiayai oleh cukai sepersepuluh hasil yang wajib dibayar oleh semua petani.

Kuasa Pope pada masa itu tidak sekadar terbatas di Itali, malah berpengaruh ke seluruh Eropah. Oleh itu, Zaman Pertengahan secara amnya dianggap sebagai zaman kekuasaan Gereja dan boleh dikatakan seluruh nilai kehidupan juga telah dipengaruhi oleh Gereja. Dari aspek perundangan, Gereja telah mengkanunkan undang-undang berasaskan kitab Injil dan kesepakatan (ijtihad) golongan tertinggi Gereja. Pengkanunan undang-undang ini dikenali sebagai ‘corpus juris canonici’ yang bukan sahaja terbatas dalam hal-hal kerohanian, malah meliputi hal-hal duniawi juga. Melalui undang-undang ini, Gereja tidak dapat membuat keputusan yang boleh mengheret pesalah awam menggunakan kuasanya secara serta-merta. Namun, dengan pengaruhnya yang luas, mereka mempengaruhi norma-norma masyarakat yang mampu memberi tekanan kepada pesalah yang melanggar undang-undang Gereja.

Sungguhpun terdapat apologi mutakhir ini yang cuba menggambarkan Gereja ini tidaklah seburuk seperti yang biasa dikhabarkan, tetapi hakikat penguasaan Gereja terhadap penduduk Eropah tidak dapat dinafikan dengan mudah dan sambil lewa. Mahu tidak mahu, sejarah institusi ini sukar dibacakan tanpa melihat keterkaitannya terhadap Feudalisme dan perjuangan Reformasi Gereja kemudiannya.

Selama beberapa abad, anggapan yang menjadi tiang pemikiran sosial Gereja bahawa institusi-institusi penindasan yang wujud adalah hukuman terhadap dosa Adam dan Hawa, serta keturunannya. Hanya dengan rahmat Tuhan, raja ditempatkan di atas rakyat untuk memerangi kemungkaran. Namun, satu tanggapan lain mula diterima, bahawa wujudnya penindasan bukannya kerana murka Tuhan, tetapi ini adalah hasil ketentuan Tuhan. Menurut tanggapan ini, kepasrahan manusia kepada tuan dan raja merupakan perkara yang lumrah. Pandangan ini boleh dirujuk lebih lanjut dalam falsafah sosial Thomas Aquinas, melalui karya agungnya ‘Summa Teologia’ yang menjadi ajaran rasmi institusi Gereja Katolik pada penghujung abad ke-13.

Institusi Gereja bertanggungjawab meminta seluruh masyarakat untuk menerima takdir kelahiran mereka di dunia agar masyarakat ini stabil dalam sistemnya. Mereka yang berada di hierarki terbawah dikehendaki memberi penghormatan kepada mereka yang berada di kedudukan yang lebih atas. Sebagai timbal balik, mereka yang berada di tingkat atas hierarki memberi perlindungan dan memimpin dengan sebaiknya golongan bawahan masing-masing. Inilah kewajaran yang dianjurkan Gereja pada waktu itu, walaupun pada hakikatnya golongan bawahan dilihat menerima penindasan secara sistematik dan berkesan.

Segala penentangan ke atas sistem ini selalunya mudah dipatahkan. Namun begitu, penentangan dari golongan bawahan ke atas Feudalisme tidaklah terlalu radikal pada Zaman Gelap ini. Jika ada penentangan dan rusuhan sekalipun, ianya lebih lazim dihalakan kepada tuan-tuan tanah secara individu, bukan dihalakan ke atas seluruh nilai, norma dan struktur-struktur kekuasaan. Kebanyakan rakyat berjaya ‘ditenangkan’ dengan ajaran-ajaran akhirat dan undang-undang yang dibuat oleh Gereja. Kebanyakan masyarakat awal Zaman Gelap menerima ajaran ini tanpa ada keraguan sedikit pun, sebagaimana juga masyarakat seluruh dunia menerima warisan kepercayaan nenek moyang mereka.

Golongan paderi didoktrinkan sebagai ‘suci’ dan ‘mulia’ berbanding rakyat petani dan hamba. Calon-calon bakal paderi ini diwajibkan untuk menjalani beberapa ujian tertentu sebelum diangkat atau ditahbiskan sebagai paderi (ordination) secara rasmi dan perlu mengamalkan hidup bujang (celibacy) supaya ia menjadi ‘manusia suci’. Implikasi amalan inilah, darjat paderi-paderi Eropah ditinggikan dan dilihat sebagai istimewa berbanding orang awam. Justeru, golongan paderi berhak untuk mengendalikan upacara-upacara kerohanian ekslusif seperti pengampunan dosa (salvation), baptis (baptism), taubat (confession) dan peringatan (confirmation). Bila mana Gereja menjadi suatu institusi yang dikaitkan dengan kekuasaan, amalan-amalan ini turut dipakaikan terhadap institusi politik bahkan menentukan corak pentadbiran istana.

Apabila suasana ekonomi Eropah semakin pulih, institusi Gereja tidak mahu ketinggalan untuk menikmati perkembangan dan menikmati kekayaan baharu. Apabila orang-orang Sepanyol dan Portugal mula melakukan ekspedisi ke luar Eropah dan berjaya menemui jalan laut Atlantik, golongan Gereja memberi sokongan yang padu. Ketika berlaku perebutan wilayah jajahan antara Sepanyol dan Portugal, Gereja bertanggungjawab untuk meredakan ketegangan. Akhirnya, duopoli eksklusif antara Portugal dan Sepanyol berjaya dibentuk secara aman melalui Perjanjian Tordesillas. Malah golongan paderi dibawa semasa ekspedisi. Ini membawa keghairahan kepada sebahagian paderi dan orang-orang tertinggi Gereja untuk mengumpul kekayaan material, bahkan ketaksuban ini membawa gejala rasuah yang tidak terkawal dan merebak ke seluruh institusi. Lanjutan dari masalah ini, terdapat sebahagian ahli-ahli gereja dan rakyat awam tidak berpuas hati sehingga mencetuskan gerakan reformasi.

Ketika Eropah mula mencecah Zaman Kemuncak, tampil pula golongan terpelajar mencabar pemikiran dan amalan institusi ini. Mereka ini terdiri daripada saintis, ahli-ahli falsafah dan seniman. Kadangkala penentangan terhadap Gereja Katolik dilakukan secara tidak sengaja, apabila bukti-bukti eksperimen didapati bertentangan dengan nilai dan ajaran Gereja. ‘Iman’ kepada Tuhan ajaran Gereja dicabar dengan hujah, fakta dan data; empirikal dan rasional. Tidak sedikit golongan terpelajar ini dikekang melalui tuduhan ‘infidel’ dan sesat kerana kononnya terpengaruh dengan ajaran Islam atau orang Moors yang lebih akrab dengan sains dan falsafah pada masa itu. Peristiwa-peristiwa konflik seperti ini dapatlah dibaca helaian sejarah, antaranya peristiwa kontroversi perselisihan antara Galileo Galilei vs. Gereja Katolik.

Lebih tragis lagi, golongan ini turut dianggap mengkhianati institusi raja dan tanah air mereka sendiri. Secara kebetulan pertembungan budaya dan persaingan kuasa antara Barat dan Timur mempengaruhi bidang-bidang keilmuan. Lama-kelamaan, sikap Gereja Katolik yang anti-sains membuat masyarakat menjadi muak dan semakin bersemangat pula untuk meneroka. Secara tak langsung, ilmu pengetahuan telah merebak baik secara tersorok mahupun terbuka. Golongan terpelajar telah menggali semula tradisi mereka yang telah lama ditinggalkan sejak keruntuhan Empayar Rom dan mereka mempunyai semangat inkuiri yang tinggi.

Apabila mereka tidak mampu mencantumkan bahagian-bahagian yang telah tertinggal dan hilang, mahu tidak mahu, mereka akan merujuk kepada cendekiawan-cendekiawan Muslim yang hidup dalam suasana yang lebih makmur. Golongan intelektual Eropah ini tahu, cendekiawan-cendekiawan Muslim telah banyak menterjemahkan karya-karya agung tokoh Rom dan Yunani. Warisan-warisan ilmu mereka sedang berada di tangan orang asing, menjadi sentimen dan motivasi kepada cendekiawan-cendekiawan Eropah untuk merampas semula warisan tersebut.

Perdebatan falsafah juga lebih kerap dijalankan secara tertutup mahupun terbuka, baik secara tulisan mahupun lisan. Begitu juga dengan penemuan sains, data-data penemuan dihebahkan kepada umum. Adakalanya, hebahan penemuan-penemuan ini terpaksa membawa kontroversi berdarah. Gereja dan kelompok konservatif begitu gusar akan perubahan ini dan terpaksa mengenakan tindakan keras agar penemuan-penemuan tersebut tidak mengakibatkan status-quo terancam dan binasa. Tidak sedikit golongan terpelajar tumpas. Tidak sedikit juga darah yang tumpah.

Leave a Reply