Sharizman Sudah Lama Mati Sementara Kita Sedang Sibuk Menjaga Sensitiviti

Sharizman Sudah Lama Mati Sementara Kita Sedang Sibuk Menjaga Sensitiviti

Oleh: Jefry Musa

Pagi itu aku mengharapkan seperti pagi setiap hujung minggu aku, aku boleh lena, aku boleh rehat sehingga matahari berdiri tegak menghadap ke barat. Sayang hajat aku tidak tercapai bila aku mendengar suara memanggil-manggil nama aku melalui tingkap rumah,

“Abang Jep, abang Jep…”

Tidak, kali ini aku perlu dan wajib rehat, hati aku memberontak keras, tapi mulut aku ringan untuk berbicara,

“Kenapa?”

“Adik aku sudah meninggal abang Jep…”

Suasana sepi berserta bunyi-bunyi tangisan mula memasuki ruang-ruang rehat aku. Hati aku berhenti memberontak, jantung aku mula mengetuk kencang dada ini. Aku perlu bangun, aku perlu buka mata, aku perlu lihat keadaan anak malang ini.

Tapi, apa yang aku boleh buat?

Anak ini sudah tiada Jefry, kau lambat, kau hanya turun membantunya dua hari yang lalu sedangkan kau sudah seminggu tahu anak ini kesakitan. Hampir dua bulan lalu kau tahu anak ini kurang nutrisi, kau juga tahu anak ini diarah untuk masuk wad hospital tetapi keluarganya tidak mampu untuk menampung wang kosnya.

Sekarang hanya dua hal yang aku mampu buat, melihat dan bersimpati. Dua sifat manusia yang paling lemah dan hina. Aku tetap hadir, mengucap selamat tinggal buat kali terakhir.

Tetapi ketika itu aku mula sedar suatu hal yang tidak seorang setan pun nampak dan rasa. Betapa sakitnya hati aku ini apabila bangsa-bangsa simpati datang dengan mengaju persoalan-persoalan yang lucu,

“Sakit apa bayi itu?”

Sakit? Kau kata ini sakit? Seperti ini adalah ketentuan tuhan, boleh juga kau sedang menyalahkan tuhan. Tapi aku tidak nampak dan rasa itu, aku tidak mahu menjadi bomoh yang cuba mengaitkan semua perkara yang terjadi datang daripada alam ghaib. Aku mahu menjadi orang biasa yang jatuh cinta akan kehidupan daripada unsur-unsur yang nyata.

Marah aku tidak pernah padam, sudah tiada lagi air mata untuk jatuh. Walaupun telah mengorbankan jiwa manusia, kita hari ini masih mahu memilih untuk menggunakan perkataan yang dapat menyedapkan hati semua pihak.

Komrad,

hari ini kita perlu jelas, kita perlu berpihak, tidak ada apa lagi yang perlu kita selindung, sedang anak-anak tanpa dokumen yang lain sedang menghitung hari untuk mati. Bangun dengan sepakat kita mengaju persoalan yang tepat untuk dijawab bersama,

“Siapakah yang membunuh Sharizman?”

Mulakan perjuangan daripada sana sahabat, persoalan ini akan membawa kita kepada satu jalan perlawanan yang jelas. Pada ketika itu merdeka tanah ini tidak lagi buat orang-orang yang tewas.

Aku mampu mencintaimu hanya dengan kata-kata, belum tiba rasanya.

Jefry Musa,
Semporna, Sabah.

Leave a Reply