Seronoknya Menunggang Marhaen Bersama Cukong Hausboom

Seronoknya Menunggang Marhaen Bersama Cukong Hausboom

­

­

Oleh: Jefry Musa

Hari ini kita membaca kisah bagaimana terseksanya hidup seorang cukong air botol apabila telah ditipu bulat-bulat oleh menteri. Selama empat bulan lamanya dia digantung tidak bertali menunggu menteri memberi promosi kepadanya secara percuma. Cukong ini akhirnya memilih jalan yang paling berani dan murni baginya; berjuang!

Bak kata Widji Thukul, hanya ada satu kata, lawan! Maka bangun dia mencapai satu topeng yang tidak pernah dipakai olehnya. Namun demi perjuangan untuk mencapai keuntungan yang maksimun ini, dia harus memakai topeng ini, dia harus menjadi seperti topeng, menjadi orang Marhaen.

Siap dia memakai topeng, dia sudah bertukar menjadi Si Marhaen (pejuang kelas pekerja/proletariat). Si Marhaen mula mengeluarkan telefon pintarnya dan mula menaip karangan membabikan menteri, marahnya datang apabila dia mengenang bagaimana kuli-kuli atau dalam bahasa topeng marhaennya, Team/Komrad/Saudara-nya diperah tenaga mereka untuk menyiapkan produk buat menteri, namun berakhir dengan sia-sia.

“Perjuangan belum selesai, komrad.”

Apabila janji tidak ditunaikan, Si Marhaen mula menagih wang kos daripada menteri yang digunakan untuk menyiapkan produk-produk tersebut. Walaupun hanya RM192 sahaja, tapi bagi orang yang marhaen, jumlahnya sangat besar. Kali ini Si Marhaen betul-betul menghayati wataknya.

Penindasan ini tidak boleh terus disenyapkan, ramai lagi cukong di luar sana yang sedang ditindas oleh menteri. Bezanya, mereka tidak memiliki topeng marhaen, mereka tidak boleh berjuang. Oleh itu hanya Si Marhaen sahaja harapan terakhir cukong-cukong kecil di luar sana.

Berdiri dengan suara yang lantang Si Marhaen ini berkata;

“Bayar atau kami angkat senjata!”

Tidak… Tidak, saya tersilap baca, Si Marhaen tidak mahu angkat senjata, berat. Tapi dia berkata dengan jelas;

“Bayar atau kami melancarkan mogok pekerja di seluruh negara.”

Ehhh maaf saya tersilap baca lagi… Si Marhean ada gastrik, dia tidak boleh tahan lapar. Katanya;

“Bayar atau saya tidak halalkan setiap titis air yang diminum oleh menteri.”

Suasana menjadi sunyi seketika, pekerja-pekerja di seluruh negara meneruskan kerja mereka seperti biasa, tetap diperah sampai ke tulang-tulang. Tiba-tiba terdengar suara tangisan Soekarno di dalam kubur mengenang hinanya hidup apabila kata yang dicipta olehnya ditunggang oleh cukong.

“Bagi aku sepuloh orang pemuda, akan aku haramkan setiap titis air aku yang diminum oleh menteri.” Cukong Hausboom.

Leave a Reply