WACANA

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.

  • borneokomrad1@gmail.com
Seribu Impian Yang Menyalakan Sebatang Lilin

Seribu Impian Yang Menyalakan Sebatang Lilin

Oleh: Syed Ahmad Fathi

Apa yang membuatkan seorang ibu yang penat berkerja sepanjang hari, kemudian balik ke rumah menjaga anak-anak, memasak dan membasuh baju, kemudian setelah anak-anaknya tidur, dia menyalakan lilin untuk menulis novel? Apa yang membuatkan seorang pemuda yang bekerja tiga pekerjaan sehari, dari pagi hingga ke malam, kemudian memberikan hampir semua hasil titik peluhnya kepada orang lain? Apa yang membuatkan seorang anak kecil, yang hidup miskin dan terhina, keluar dari rumah persembunyiannya dan membaling batu-batu kecil ke arah kereta kebal yang memasuki kampungnya? Apa yang membuatkan seorang lelaki yang baru pulang membeli-belah di kedai, dengan plastik penuh barang keperluan di kedua belah tangan, berdiri di hadapan kereta kebal yang ingin masuk ke dalam bandarnya?

Adakah kerana mereka ingin mencari kegembiraan dan kebahagiaan?

Persoalan mencari kebahagiaan bukan merupakan satu persoalan moden, ia merupakan persoalan yang sangat primitif, telah ditanya sebelum manusia berjaya menghasilkan alatan seperti talifon pintar. Bahkan ia merupakan persoalan yang universal. Ia ditanya baik oleh seorang putera raja yang sepi hidup di balik dinding istana, oleh ahli falsafah yang tekun membaca karya di dalam perpustakaannya, malah oleh tentera di barisan hadapan yang nyawanya di hujung bom-bom yang bakal diletupkan oleh saudara semanusianya.

Lagenda menceritakan bagaimana pada zaman dahulu seorang bangsawan bernama Siddhartha Gautama meninggalkan kehidupan penuh kemewahan untuk mencari makna kehidupan dan mencari kebahagiaan. Gautama mendapati cara untuk mendapatkan kebahagiaan dan menghapuskan kesengsaraan adalah dengan membuang kemahuan. Apabila manusia seronok ia ‘mahukan’ keseronokan itu berkekalan, apabila dia bersedih ia ‘mahukan’ ia segera berakhir. Sebaliknya jika dia membuang kemahuan, dia akan menyedari keseronokan dan kesedihan itu sekadar perasaan yang datang dan pergi. Ajaran Gautama dikenali sebagai Buddhisma dan diikuti oleh banyak masyarakat di Asia.

Begitu juga pengkaji moden turut bertanyakan perihal kebahagiaan. Dalam buku Sapien: A Brief History of Humankind, Yuval Noah Harari membincangkan persoalan sejarah kegembiraan. Beliau bertanya adakah progres sejarah membawa lebih banyak kebahagiaan pada manusia? Jika kebahagiaan dan kegembiraan boleh dicapai melalui bio-kimia, kenapa kita perlu ideologi dan revolusi? Kita boleh hanya mengambil Prozac untuk meningkatkan nilai serotonin dalam badan kita. Yuval menulis, kebahagiaan datang dari kebolehan kita memandang kehidupan sebagai sesuatu yang bermakna, ia mempunyai komponen kognitif dan etikal, bergantung kepada nilai hidup kita.

Karya moden klasik seperti The End of History and The Last Man tulisan Francis Fukuyama turut membincangkan persoalan apa yang menyebabkan seseorang itu gembira. Dalam perbincangannya beliau membawakan pemikiran Jean-Jacques Rousseau yang menyatakan perkembangan sejarah kearah kemodenan menyebabkan manusia semakin tidak gembira. Rousseau juga menyerang ‘kemahuan’, yang menjadikan manusia tidak gembira, namun berbeza dengan Gautama, Rousseau menyerang fahaman konsumerisma moden yang sentiasa menghasilkan produk baharu. Apabila kita membeli gajet baru, sekejap sahaja gajet yang baru lain akan dihasilkan, dan kita mahukan yang itu pula, bila kita mendapatkannya, ada lagi yang baru dihasilkan, begitulah seterusnya konsumerisma menyebabkan manusia sentiasa mengejar kemahuan-kemahuan baru yang mereka cipta.

Persoalan-persoalan yang kita tanyakan di perenggan awal juga sebenarnya boleh dijawab dengan ‘kemahuan’, kemahuan yang kita panggil cita-cita dan impian. Impian mungkin bukan apa yang dicela oleh Gautama atau termasuk dalam kategori konsumerisma moden Rousseau, impian merupakan enjin yang menyebabkan manusia berusaha. Impian menyebabkan mereka menyalakan lilin usaha di malam hari ketika orang lain sedang tidur.

Terdapat banyak filem yang menjadikan impian sebagai tema mereka. Filem animasi Sing pada tahun 2016 merupakan filem yang sangat menginspirasikan perihal tema impian. Bukan sahaja ia mengisahkan haiwan-haiwan yang mengimpikan untuk menjadi penyanyi terkenal serta berusaha melawan keadaan hidup mereka, watak utama filem animasi ini, Buster Moon juga merupakan watak yang sangat komited dengan impiannya untuk menjadi pemilik teater yang berjaya. Walaupun berulang kali gagal Buster tidak menyerah kalah, walaupun terpaksa bermula semula dari bawah mencuci kereta bagi mengejar impiannya.

Antara filem lain yang sangat menginspirasikan perihal impian bagi saya adalah filem musikal The Greatest Showman lakonan Hugh Jackman. Filem ini dimulakan dengan watak utamanya Phineas Taylor Barnum, yang membesar dalam keluarga penjahit yang miskin. Barnum kemudian hilang segala-galanya apabila ayahnya meninggal dunia. Namun beliau tidak menyerah kalah dan terus berjuang untuk hidup dengan menjual surat khabar, bekerja sebagai buruh membina rel kereta api, sehingga akhirnya menjadi kerani syarikat perkapalan yang akhirnya bankrap. Kisah ini menyaksikan bahawa Barnum tidak pernah lupa akan impiannya, hingga akhirnya dia menjadi seorang usahawan dengan membuka sarkas yang berjaya.

Begitulah kuasa sebuah kemahuan yang dinamakan sebagai impian. Impian membuatkan kita berusaha dengan penuh cekal tanpa putus asa. Impian membezakan kita dengan perkara lain di atas bumi ini, kita seharusnya bukan sekadar wujud seperti wujudnya ayam atau lembu yang jika mereka mati disembelih, tiada siapa yang peduli dan ingat pada mereka. Lebih dari wujud kita perlu hidup, dengan tujuan dan impian. Kita juga harus merasai kehidupan sepanjang mengejar impian, dan jika ia tidak tercapai sekali pun, seharusnya kita tidak bersedih dan membinasakan diri, tetapi menerima nasihat Gautama untuk menerima ia seadanya dan berusaha lagi, nyalakanlah semula lilin usaha dan kejarlah impian anda.

Leave a Reply

Close Menu