Seorang Arkitek Membina Rumah Terapung – Dan Ianya Kalis Ribut Taufan

Seorang Arkitek Membina Rumah Terapung – Dan Ianya Kalis Ribut Taufan

Oleh: Kyree Leary

Diterjemahkan oleh: Hidayu Hatta

 

Tinggal di Dunia Air

Kita semua tahu bahawa manusia adalah sumber terbesar pembebasan gas, dengan majoriti gas rumah hijau datang dari pembakaran bahan api fosil untuk haba dan kenderaan. Pembebasan ini menyebabkan pemanasan global, yang secara langsung meningkatkan suhu air laut. Awal tahun ini, kita lihat akibat peningkatan suhu laut apabila Taufan Harvey melanda Houston, Texas. Sejumlah besar rumah dan bangunan telah rosak, ditelan banjir, dan hilang.

Walaupun kita baru menghidu bahaya ini dengan beberapa siri peristiwa, malapetaka ini akan terus bertambah teruk hinggalah tindakan mengurangkan pembebasan karbon dilakukan, dan yang lebih penting: diwajibkan. Tapi menunggu dunia sedar diri bukanlah satu-satunya pilihan yang manusia ada untuk mengurangkan jejak karbon. Sesetengah orang, seperti arkitek Belanda Koen Olthuis, telah merekacipta rumah-rumah atas air – rumah yang bukan saja menghasilkan pembebasan sifar, tapi juga kalis ribut taufan.

Menurut Inhabitat, Olthuis – dengan studionya Waterstudio – bekerjasama dengan syarikat avant garde dalam  kehidupan atas air, Arkup, untuk mereka cipta rumah terapung. Setiap unit adalah kira-kira 4350 kaki persegi, dengan struktur terkini Olthuis dan Arkup yang memuatkan 4 bilik tidur dan 4.5 bilik air. Dengan kombinasi panel solar, sistem pembersihan air dan pengurusan bahan buangan, rumah-rumah ini boleh beroperasi sepenuhnya di luar grid.

 

Bersedia Untuk Apa Saja

Kapal-layar-yang-boleh-dididami juga turut disertakan dengan 30 kW panel solar dan 1000 kWh bateri lithium-ion. Air hujan ditadah di atas bumbung  dan disalurkan ke badan rumah, di mana ianya dirawat untuk kegunaan seterusnya. Rumah ini juga direka dengan ruang yang luas untuk bergerak dengan selesa, termasuklah 24×12 kaki teres gelongsor yang membenarkan kita melangkah keluar dan menikmati pemandangan.

Arkup berkata bahawa kapal layarnya adalah “cara terkini untuk hidup di atas air, membuatkan anda rasa 100% selamat dan dilindungi,” dan kita cenderung untuk bersetuju. Setiap rumah dilengkapi dengan panel kaca rintang-kejutan untuk mengelakkan pecah, dan sistem pengangkat hidrolik yang boleh meninggikan rumah dalam situasi hujan lebat atau ribut; setiap kaki hidrolik boleh memanjang sehingga 40 kaki. Bukan itu saja, kaki hidrolik ini juga boleh menggerakkan unit rumah dengan kelajuan 8 batu per jam.

Idea ini merupakan satu lagi contoh yang menunjukkan  rumah yang kita pilih untuk diami boleh mempengaruhi alam sekitar secara positif seperti White Forest Tower di Paris – pencakar langit daripada kayu yang juga dijangka mengurangkan pembebasan karbon. Cuma masa yang akan menentukan bagaimana efektifnya struktur-struktur ini. Sekiranya harganya tepat, kita akan hidup dalam dunia di mana kebanyakan kita tinggal di atas air berbanding di atas tanah.

Leave a Reply