Semporna yang Menyempurnakan

Semporna yang Menyempurnakan


Oleh: Nur Radhiah

Kunjungan kedua ke Semporna atau lebih spesifik ke Sekolah Alternatif Semporna dan Rumah Borneo Komrad  kali ini lebih memberi makna kerana sepanjang dua minggu di sini, banyak sukarelawan yang datang berkunjung dan bermalam di Rumah Borneo Komrad daripada pelbagai latar belakang seperti MyCorps, Yayasan Salam dan individual.

Konsep Rumah Borneo Komrad adalah rumah kolektif, jadi segalanya perlu dikongsi dan buat sama-sama termasuklah penyediaan makanan harian dan gotong-royong rumah. (untuk yang bakal datang ke sana, boleh rujuk atau tuliskan resepi masakan anda dalam buku resepi Borneo Komrad).  Ianya amat mengeratkan lagi ukhwah kita semua bersama sampai ada yang tak sangka kita semua baru jumpa di sini . Terima kasih Mukmin dan Jep sudi terima kedatangan kami lagi dan lagi.

Objektif kedatangan kali ini lebih terarah dan berfokus iaitu untuk membantu Mukmin dan guru-guru dalam pengajaran dan pentadbiran sekolah. Ada yang berperanan untuk membantu sosio-ekonomi dengan penghasilan produk seperti t-shirt, tote bag dan kraf BK. Ada yang membantu dari segi urusan pentadbiran sekolah seperti penyediaan borang-borang berkenaan dan ada yang membantu soal pembelajaran murid, siap ada kursus teknik mengajar lagi yang disampaikan oleh saudari comel Wan Shakila. Power!

Program untuk anak-anak juga lebih terfokus iaitu memperkukuh bacaan mereka. Jadi setiap sukarelawan akan mengambil sekumpulan murid untuk diajar membaca mengikut tahap mereka setiap pagi selain daripada program gosok gigi untuk mereka. Program pembelajaran sains juga diadakan; idea asal oleh Eqha dengan Projek Roket Botol amat mengembirakan anak-anak dan juga pengunjung buku jalanan BK di padang Pekan Semporna. Ini antara pengalaman-pengalaman manis sukarelawan bersama anak-anak Sekolah Alternatif Semporna.

Pengalaman kunjungan ke Pulau Omadal dan Pulau Bum Bum juga amat manis untuk tidak dikenang. Tidak boleh dinafikan kecantikan pulau-pulau di Semporna yang tiada tolok bandingnya. Buat yang merancang untuk ke Semporna, jangan lupa singgah ke  Pulau Omadal dan sokong produk warga wanita Bajau Laut Pulau Omadal.

Terima kasih Cikgu Mukmin, Cikgu Anis, Cikgu Aimie dan Cikgu Jefry! Anda semua adalah guru sebenarnya yang mendidik tanpa mengharapkan balasan. Moga jasa kalian dibalas Tuhan. Dan kepada semua sukarelawan sama sesi- you guys are the best! Selamat ya.

Sekian,

Radhiah,
Salah seorang volunteer sesi Jan/2019.

Leave a Reply