Saya Mahu Sekolah Bah Cikgu!

Saya Mahu Sekolah Bah Cikgu!

Oleh: Mukmin Nantang

Aku masih teringat kata-kata seorang anak semasa sesi pendaftaran baru-baru ini.

“Cikgu, terimalah bah aku sini, mahu bah aku sekolah cikgu macam kawanku.”

50 orang datang mahu mendaftar untuk masuk ke Sekolah Alternatif Semporna untuk pengambilan 2019 hari ini. Sesungguhnya kemampuan kita cuma 10 orang sahaja untuk sesi kali ini kerana kita masih ada 30 orang lebih murid sedia ada. Atas keterbatasan ruang (sekolah) dan wang (dana) kita tidak mampu mengambil lebih ramai anak-anak yang ingin bersekolah di sini.

Sudah beberapa hari aku terngiang-ngiang suara ibu yang merayu agar anaknya diterima bersekolah semasa datang mendaftarkan anak mereka. Melihat mata anak-anak yang seperti meraung-raung ingin merasai nikmat bersekolah seperti kawan-kawan yang lain. Kisah-kisah mereka tidak sanggup aku ceritakan. Terlalu kejam aku sebagai guru jika tidak menerima mereka untuk bersekolah.

Bangun saja subuh ini, perasaan risau dan takut menyelubungi diri. Pukul enam pagi aku bergerak dari Tawau ke Semporna untuk memulakan kelas minggu ini. Dua jam perjalanan yang sangat mendebarkan. Hari ini aku akan mengecewakan puluhan anak-anak yang ingin bersekolah. Aku akan membunuh impian ibu bapa yang ingin melihat anaknya pandai membaca dan jadi seperti anak-anak normal yang lain.

Sampai saja di jambatan menuju Sekolah Alternatif sekitar pukul 8 pagi, dari jauh aku sudah melihat ramai anak-anak dan ibu bapa di luar Rumah Kolektif Borneo Komrad. Setengah jam lagi sebelum kelas dibuka. Perasaan yang cuba aku hapuskan sepanjang dua jam perjalanan dari Tawau ke Semporna kembali memekat di dalam diri. Arrrgh bagaimana aku mahu katakan kepada mereka yang kita cuma mampu ambil 10 orang sahaja.

Seorang pakcik menyentuh hatiku di pagi yang hening ini. Memegang erat seorang anak perempuannya yang kecil. Aku kira anaknya sekitar umur tujuh ke lapan tahun. Terlalu comel. Mahu saja aku beritahu pakcik itu yang aku takkan terima anaknya kerana terlalu kecil – masih ramai anak-anak berumur 10 ke 15 tahun yang masih belum bersekolah. Tapi aku tidak mahu menghampakan pakcik dan anak itu terlalu awal.

“Makcik, pakcik, tinggalkan saja anak-anak di sini, ndak perlulah tunggu.”

Aku tak sanggup berbual panjang sebab aku tahu begitu besar harapan mereka untuk melihat anak-anak dapat bersekolah. Hari ini sesi untuk pemilihan pelajar baru, kita akan ambil mengikut kelayakan yang kita sudah tetapkan setelah perbincangan, atas pemerhatian anak-anak yang mendaftar. Dari segi umur (10 ke 15 tahun), dan untuk setiap keluarga dipilih cuma seorang sahaja. Kita mahu beri peluang untuk semua keluarga dapat menghantar sekurang-kurangnya seorang anak ke sekolah dan kita harap seorang anak ini mampu mengajar adik-adiknya yang lain di rumah.

Aku bertuah sebab Jefry dan Eqha sudi dan banyak bantu aku di sini. Hari ini mereka bawa anak-anak kita yang sedia ada ke perpustakaan pekan Semporna untuk mengelakkan ruang kita terlalu sempit. Hari ni juga aku minta Aimie untuk datang bantu aku dan cikgu Anis dalam sesi bersama pelajar baru. Aimie merupakan guru baru di sekolah kita tapi minggu depan sepatutnya baru dia mula mengajar. Hari ini aku minta dia datang untuk bantu mana yang patut.

Hari ini anak-anak ini sungguh kemas tidak seperti hari pendaftaran nama yang lalu. Mengenakan pakaian yang cantik, muka ceria dan ramai anak-anak lelaki seperti baru potong rambut. Aku jadi bangga dengan mereka. Semangat anak-anakku!

Sewaktu sesi suai kenal bermula, masih terdapat ibu-ibu yang masih menunggu di luar kelas. Aduh aku jadi serba salah. Beberapa aktiviti seperti kenal mesra, menyanyi, tepuk-tepuk, soal jawab dan sebagainya kita jalankan. Semua anak-anak bersemangat seolah-olah mereka faham yang aku sedang menilai mereka hari ini. Mereka sedang berebut 10 kerusi kosong bersama berpuluh-puluh kawan-kawan yang lain.

Pukul 10.30 pagi aku minta semua anak-anak keluar untuk rehat. Ibu-ibu tadi masih berada di luar kelas dengan penuh harapan menunggu keputusan gembira daripada guru-guru untuk menerima anak mereka. Aku keluar dan duduk bercerita bersama mereka tanpa membawa apa-apa keputusan lagi.

“Lepas rehat ni saya beritahu siapa yang terpilih ya cik.”

Banyak yang aku ceritakan bersama ibu-ibu ni. Mereka tidak berhenti untuk terus merayu agar anak mereka diterima masuk.

“Kalau boleh cik memang kita mahu terima ramai, tapi makcik tengoklah sekolah kita ni kecil saja, doakan kita dapat ruang yang lebih besar ya.”

Setengah jam masa berakhir semua murid kembali ke kelas. Dengan pantas aku membuat pengumuman pemilihan. Aku mahu sesi ini berakhir cepat agar aku tidak terlalu lama terperangkap dalam perasaan serba salah. Fuh memang sukar untuk aku memilih 10. 16 orang yang aku pilih dan akan datang lagi pada hari esok untuk saringan terakhir. Aku terangkan kepada mereka tentang pemilihan ini dan beri kata-kata semangat kepada yang tidak diterima. Hampa memang hampa. Aku tiada pilihan. Ini yang terbaik buat semua. Semoga Tuhan ampunkan dosa aku.

Selesai. Semua anak-anak sudah bersurai keluar dari ruang kelas. Aku keluar sebentar menerangkan kepada ibu-ibu yang mana anak yang terpilih datang pada hari esok untuk saringan terakhir. Cepat-cepat aku patahkan beberapa rayuan dan aku minta maaf kepada ibu yang ada anaknya tidak terpilih.

“Saya minta maaf banyak-banyak ya cik, ini saja yang kita mampu.”

Ibu dan anak-anak itu pun meninggalkan sekolah kita. Selang beberapa minit Jefry panggil aku katanya ada seorang pakcik mahu jumpa. Fuh, pakcik yang tadi pagi bersama anaknya yang comel itu datang semula ke kelas. Seperti awal pagi tadi, dia masih memegang erat tangan anaknya.

“Cikgu, anakku ndak dapatkah sekolah?”

Aduh. Aku lihat mata pakcik itu aku jadi sedih untuk katakan tidak kepada beliau. Tergagap-gagap aku menjawab.

“Ndak pakcik, anak pakcik kecil betul, yang terpilih semua besar-besar, cik. Maaf betul cik.”

“Oh iya ka? Ya la cikgu..’

Melangkah pergi, pakcik itu menggenggam erat tangan anaknya. Aku pula digenggam oleh perasaan serba salah. Maafkan aku.

Maaf dan maaf.

This Post Has 2 Comments

  1. Allisya

    Cg sangat kuat ! Dan mempunyai kesabaran yang tinggi, namun situasi tersebut memang saya sangat faham jika itu keputusan yang cg patut muktamatkan dengan saiz kecil tempat mengajar dan juga late age pada umur mereka untuk baru dapat belajar. InsyaAllah suatu ketika nanti ada orang yang Rasa Bertangunggjawab untuk membesarkan lagi tempat mengajar tersebut. Aamin ,”)

Leave a Reply