Satu KK Mati Air

Satu KK Mati Air

  • Post category:CERPEN

Oleh: Aakmal Yusop

Datuk Skleros Magunatip sedang menikmati air dingin yang membasahi badannya. Kenapa orang putih suka dengan air panas, adakah negara mereka terlalu sejuk seperti dalam peti sejuk? Dia mula bersiul, diujakan oleh air yang menggigilkan badannya.

Namun pancuran itu makin lemah, hingga ia hanya tinggal titisan menitik-nitik. Datuk Skleros memukul-mukul kepala pancuran air, dan memulas-mulas kepala paipnya buka dan tutup. “Setan.”

Haris sedang meminum kopinya, banyak susu, kurang gula. Dia tersedak apabila telefon pintarnya melalak lagu Linkin Park. Nasib sahaja kopi itu tidak membasahi kawasan sekeliling, yang penuh dengan dokumen-dokumen pejabat. “Assalamualaikum!”

“Hah, pagi! Saya ini, Datuk Skleros!”

“Ya, kenapa Datuk?”

“Pejabat ada air kah?”

Haris membuka pili air di tandas. “Ada!”

“Hah tutup tu air! Aku mau kau bawa air sini!”

Haris melihat ke kiri dan ke kanan, atas dan bawah. “Bawa air pakai apa?”

Datuk Skleros melihat telefonnya, seperti dia bercakap dengan monyet berbahasa Perancis menjual sosej dan ban. “Pakai otak bah! Bukan ada gelen air kah sana?”

Telefon itu mengeluarkan bunyi tapak kaki yang menghentam air lopak sebelum mengeluarkan bunyi besen-besen plastik berjatuhan.

“Jumpa.”

“Hah, isi air, baru bawa sini.”

“Isi sudah bos!”

“Datuk!” Datuk Skleros mengelap titisan air yang ingin mencuri peluang untuk melepaskan diri dari rambutnya. “Dan bawa sini.”

Datuk Skleros Magunatip meneruskan mandinya dengan air dalam tong gelen itu. Ia tidaklah menyegarkan seperti air pili, tetapi apa-apa sahaja yang boleh menyucikan dirinya dari buih sabun yang melekit di badannya adalah cukup dialu-alukan. Beliau terasa lebih segar, kurang melekit, dan mungkin lebih muda sebanyak lima tahun.

Haris menggosok-gosok kedua-dua tangannya, badannya tertunduk-tunduk. “Bos…”

Datuk Skleros menyikat rambutnya yang mengerbang dan separa kering. “Kamu kenapa pula?”

“Saya belum mandi, bos. Bolehkah…”

Datuk Skleros menghidu orang suruhannya, lalu melompat ke belakang. “Astagha baunya! Apakah?”

Haris terkekeh-kekeh seperti gundik Cina kesipuan. “Sorry bos, airku mati kelmarin.”

Datuk itu sudah memperagakan fesyen penyepit baju di hidungnya. “Laju kau! Pakai saja apa sabun yang ada! Rezeki kaulah pakai L’Oreal Paris.”

Haris dan Datuk Skleros yang lebih wangi menyapa pejabat yang… sedikit hamis. Ia tidaklah teruk, elektrik masih bertugas menyejukkan pejabat itu, tetapi ada sedikit aroma peluh yang bertingkah dengan wangian Ambi Pur, Enchanteur, serta minyak attar dari Arabia. Seorang perempuan yang bertudung labuh dan berbaju lebar menyapa mereka berdua.

“Pagi Datuk, ada sekumpulan orang yang ingin melaporkan masalah air.”

“Saya tahu, Melissa.”

Perempuan itu melihat kertasnya dan kembali ke Datuk Skleros. “Tapi saya baru sahaja dimaklumkan mereka di Whatsapp.”

Datuk itu memberikan senyuman paling harum yang pernah diberinya semenjak dia mendapat projek besarnya lima belas tahun dahulu. “Rumah saya mati air juga.”

Pertemuan tengah hari itu adalah dengan lima orang yang mewakili persatuan masing-masing. Seorang ini berbaju serabai dengan rambut panjang. Seorang lagi berpakaian kot dan tali leher. Ahli ugama juga ialah sebahagian dari perhimpunan ini. Dan dua lagi kelihatan tidak begitu menyerlah, tidaklah terlalu berhias dan tidak terlalu selekeh.

Haris dan Datuk Skleros menutup telefon pintar mereka, ritual melayan tuntutan bermula. “Assalamualaikum semua, saya ialah Datuk Skleros Magunatip, dan ini ialah pembantu saya Haris bin Jamaluddin. Saya mendapat tahu bahawa anda sekalian ingin melaporkan masalah gangguan air…”

Encik berbaju serabai dengan rambut panjang mencelah, “Datuk, kita bukan dalam gangguan air, kita kematian air. Sudah tiga hari air tidak mengalir ke paip-paip kami atau mengisi tangki-tangki kami. Walaupun hampir setiap hari hujan…”

“Cuba jangan mencelah dahulu, Datuk belum habis bercakap.”

“Suka hati sayalah mahu bercakap! Seperti saya mahu bilang…”

Rambut Datuk Skleros masih panjang walaupun ia kelabu dimamah stress. Dia merapikan rambutnya. “Sekejap.”

“Eh, apa pula sekejap?”

Datuk Skleros berdiri dan menguatkan lagi pendingin hawa. “Teruskan.”

“Walaupun setiap hari hujan, ia tidak cukup menampung urusan-urusan dalam rumah. Mandi pun airnya mesti ditakar, mau guna masak kami doa-doa saja jangan sakit perut. Apa lagi mau buat kopi kah teh, kadang-kadang sakit leher kawan-kawan kami minum air.”

“Air hujan bukannya ada klorin atau patogen. Sepatutnya kamu boleh minum air hujan tanpa masalah.”

“Tapi Datuk, air hujan tidak bertapis dan dirawat.”

“Dia turun dari langit. Kalau kamu rasa ada masalah dengan air itu, ertinya cara kamu menadah air hujan itu salah.”

Encik berbaju serabai itu mencebikkan bibir, memandang rendah akan air hujan.

Imam itu mula bercerita sambil menggigil. “Assalamualaikum, Datuk. Saya ialah Haji Mahad Januarius bin Safwan Januarius. Masjid saya masih mempunyai air yang cukup untuk kegunaan sendiri, namun pihak kami mahukan lebih air untuk orang yang meminta air dari tempat kami.”

Datuk itu menghirup tehnya. “Kamu dari masjid mana?”

“Masjid Kota Kinabalu, Datuk. Tempat kami sentiasa dipenuhi orang yang mahukan air untuk kegunaan rumah. Buat masa ini kami tidak boleh tolak, tapi kami takut kalau kami terpaksa sediakan tanah untuk bertayamum pula.”

“Sampai mana orang minta air kamu?”

“Ada sekurang-kurang seorang dari Inanam. Banyak dari kedai-kedai berdekatan. Kami terpaksa catu ke dua gelen sehari. Kalau tiada langkah diambil dalam tiga minggu, pihak kami akan mula mengeringkan kolam untuk menggunakan airnya. Saya harap Datuk dapat menyediakan bekalan air untuk kegunaan masjid dan kedai-kedai berhampiran.”

Salah seorang yang tidak begitu menyerlah batuk kecil, “Selamat pagi, Sir…”

“Datuk, anak.” Datuk Skleros menghirup lagi tehnya.

“Grandfather…”

Teh di dalam mulut Datuk Skleros tersembur keluar, merahmati Haris dengan teh dan air liur. “Ah, Sir jak lah.”

“Saya Melissa dan kawan saya, Shang Wei, mewakili persatuan Pelajar UMS bersama pekedai Sepanggar, we have our concerns regarding…”

Datuk Skleros memberi Haris lebih banyak kertas tisu. “Andu bah, Bahasa Melayu kita nak. Saya masuk U pun Inggeris-nya C+.”

Pelajar universiti itu merenung skrip yang telah dia sediakan. Dia menggaru kepala dan mengamatinya dengan lebih rapi. Dia membuka bicara dengan keluhan. “Saya ingin mewakili perniagaan-perniagaan yang kami rapati dalam kawasan Sepanggar, kami ingin menyuarakan…”

Haris mengetik telefon pintarnya. “Tunggu sekejap, seingat saya UMS Sepanggar itu dalam P171 Sepanggar, bukan P172 Kota Kinabalu.”

“Kami ada cuba hubungi Yang Berkhidmat Pangeran Saifuddin Sayuti, tapi beliau hilang.”

Haris menggelengkan kepalanya. “Innalillah wa inna ilaihi raji’un. Kenapa tidak pergi ke ahli DUN N12 Karambunai atau N13 Inanam?”

Seorang lagi yang tidak begitu menyerlah berbisik kepada Melissa, “Dui la, wo men mei you sousuo shei shi Datuk Karambunai he Inanam.”

Melissa menundukkan kepalanya ke arah dia, “Ai ya, Shang Wei, ke shi mei you zai website ta men de mingzi?”

“Alors, mes amis, je ne compris Chinois, je compris Malais ou Anglais un peu. S’il vous plait langues nous comprendons?” Datuk Skleros mencelah.

Melissa dan Shang Wei terkejut akan perkataan janggal dan purba dari mulut Datuk Skleros. “Hah!”

“Saya bilang, manis kiranya kita bercakap dalam Bahasa Melayu.”

Melissa berdiri dan menghayunkan kepalanya ke bawah dan ke atas beberapa kali. “Oh, sorry sorry.”

“Ah, sudahlah itu. Sambung saja, nanti saya rujuk di mana si Rajimudin lari. Patut dia jaga Sepanggar.”

Shang Wei membuka fail dokumennya. “Kami mengalami gangguan air dari tiga hari lepas, dengan kebanyakan kedai makan sudah ditutup kelmarin. Di UMS, kafe-kafe terpaksa buka setengah hari kerana mereka tidak mampu membeli air mineral untuk mencuci piring.”

Haris membuka pintu untuk seorang pelayan membawa masuk seteko teh, kopi, dan tujuh gelas.

“Hostel kami juga kekurangan air, dan kami bergantung harap kepada air dari Masjid UMS.”

“Jadi kamu, Melissa dan Shang Wei, kamu ingin melaksanakan apa bagi menyelesaikan masalah ini?”

“Kami mahu bekalan air dari tangki atau paip sementara untuk mengurangkan beban pekedai-pekedai serta pelajar UMS.”

Datuk Skleros mengangguk berpuas hati. “Baik, saya akan minta dana untuk membeli air bagi kegunaan UMS. Harap bersabar ya, ambil masa itu. Sementara itu, saya akan memanggil Jabatan Air untuk bertanya tentang krisis air ini.”

Encik berbaju kot pula membetulkan kedudukan di atas kerusinya. “Saya ialah Duncan Baratheon, dan saya ingin memohon penghantaran air ke tapak projek pembinaan hotel Hayat Panjang. Kami perlu menyiapkan projek itu dalam tempoh yang dijanjikan.”

Haris berbisik kepada Datuk Skleros. “Tapak pembinaan perlu air kah, Datuk?”

“Campur simen, cuci netting, beberapa lagi aktiviti lain, entah.”

“Bukan banyakkah airnya yang perlu?”

“Iya.” Datuk Skleros menghadap ke arah Duncan. “Saya akan kaji dahulu keperluan air dan bekalan yang ada. Saya takut kami tidak mampu mengatur jumlah air yang kamu perlukan.”

Duncan mengangkat kedua tangannya. “Jangan risau, kami sanggup bayar berapa yang perlu. Cuma pastikan kami mendapat air yang cukup. Sini ialah kiraan jumlah air yang perlu, dan kosnya. Ya, kami tanggung kosnya.”

Muka Datuk Skleros diwarnai kegamaman, seperti raut muka komputer apabila ia mengalami ‘ranap ke muka meja’.

Haris membaca kertas itu. “Fuuuyooooh, 640 000 liter!”

“Kami tidak perlu kesemua air itu sekarang, anggaran kami ialah kami perlukan 250 liter sehari. Jika kamu perlukan masa, saya diberi penangguhan dua minggu untuk mengatur urusan air itu. Sila ambil kad saya,” kad itu dihulurkan kepada Datuk Skleros, “dan apabila datuk sudah sedia, kita boleh berbincang lagi.”

Haris bersiul melihat kad yang gemerlipan sinarnya. Datuk Skleros penuh dengan hasad dengki akan kad yang berhias elegan itu. Duncan Baratheon bukan calang-calang orangnya.

“Baiklah, jadi kesimpulannya, pihak Masjid Kota Kinabalu, tapak pembinaan hotel Hayat Panjang, dan Persatuan Pelajar UMS bersama pekedai Sepanggar mahukan penghantaran air untuk sementara waktu sementara krisis air ini masih berlaku?”

“Eh, kami pula macam mana?”

Encik berambut serabai itu berdiri laju. Meja itu bergegar dengan teko-teko serta cawan-cawannya.

“Kamu dari mana? Untuk pihak siapa?”

“Saya Safiyan bin Rashidi dari pihak Bambarayon Union, mahukan bekalan air paip berfungsi semula di kampung-kampung ini.” Safiyan memberi skrol kertas kepada Datuk Skleros. Beliau membiarkan skrol itu terurai gulungannya. Haris hanya mampu memandang ke atas dan ke bawah meilhat senarai kampung-kampung yang inginkan air.

“Ini macam kampung-kampung yang tidak pernah ada air.” Haris ujar.

“Ya, memang ada yang tidak pernah mendapat air. Tapi semenjak dua minggu lalu, air ke kampung-kampung yang sudah dibekalkan air pun terputus. Kami perlukan bantuan air yang sesegera mungkin.”

Haris mengira berapa kampung yang tersenarai. Datuk Skleros sudah membuka peta fizikal negeri Sabah, tergamam akan jumlah kampung yang masih wujud dalam kawasannya. “Kalau kau mau tau, aku nampak ini Kampung Jawa, duduknya dalam Pekan Tuaran.”

Safiyan duduk semula, kopi yang ada diteguknya seperti wiski. “Saya tahu itu bukan kawasan Datuk, tapi krisis air itu menjalar jauh ke sana. Bahkan lebih lagi.”

Datuk Skleros mengurut kepalanya. “Nampaknya krisis ini lebih teruk daripada yang dijangka. Tapi saya atur kamu berempat dahulu. Pihak Masjid Kota Kinabalu, Hotel Hayat Panjang, Persatuan Pelajar UMS bersama pekedai Sepanggar, serta Bambarayon Union, kamu semua inginkan penghantaran air sementara untuk pihak-pihak kamu ya?”

Mereka berlima mengangguk serentak. “Ya!”

Haris mengurut dagunya. “Tapi, kamu ada hubungi Jabatan Air?”

Mata Imam Mahad terbuka lebar. “Oh, saya ada cuba telefon. Namun hanya dua orang perempuan menjawab panggilan saya.”

“Perempuan yang kata panggilan anda tidak dapat dihubungkan?”

Imam Mahad menunjukkan jarinya ke arah Haris menunjukkan benarnya tekaan itu. “Ya! Dalam erti kata lain, panggilan saya ke sana tidak pernah diangkat.”

Duncan merapat ke arah Safiyan, Shang Wei, dan Melissa. Mereka berbisik-bisik, lalu mengangguk-angguk antara satu sama lain.

Melissa mengangkat tangannya, “Datuk, kami dan Encik Duncan juga sudah telefon Jabatan Air Negeri Sabah, tapi panggilan kami langsung tidak diangkat.”

Datuk Skleros dapat merasakan jantungnya seperti mahu meletus ke angkasa. Ada plot yang lebih keji dan mungkar di sebalik kemarau ini.

“Baiklah. Saya minta kita bersurai dahulu.”

Kelima-lima mereka berdiri, menundukkan kepala, kemudian beredar.

Haris menelefon Jabatan Air. Telefon itu dipasang pembesar suaranya.

“Nombor yang anda dail tiada dalam perkhidmatan kami.”

Haris dan Datuk Skleros saling berpandangan. “Apa yang sebenarnya terjadi?”

***

Jabatan Air Negeri Sabah bukanlah tempat yang sibuk, tetapi Datuk Skleros dan Haris tidak dapat melihat orang masuk atau keluar dari sana. Ia bukanlah tempat yang lengang, kerana terletak bersebelahan Masjid Negeri Sabah.

“Masuk, Haris.”

Kereta yang dipandu Haris mendekati pagar yang tertutup itu. Haris menekan hon beberapa kali. Datuk Skleros mengusap-usap mulutnya, peluh di misainya merengsakan. “Apa yang jadi?”

Walaupun Haris telah menekan hon berkali-kali, tiada seorang pun yang datang membuka pagar. Datuk Skleros membuka pintunya dan memeriksa pintu pagar itu. Tidak berkunci langsung. Datuk Skleros menolak pagar itu hingga terbuka luas. Haris meletakkan kenderaan di tepi jalan di luar pagar.

Datuk Skleros memeriksa pondok pengawal. Tiada orang. Bahunya ditepuk, membuatkan Datuk Skleros menghayun penumbuk ke perut lawannya.

Haris menonggeng ke belakang, mengelak pukulan. “Eh!”

“Kau ini, bikin takut saja.”

Haris menyerahkan tombak pendek kepada Datuk Skleros. “Nah, Datuk. Macam berhantu pula ini pejabat.”

“Apa senjata kamu, Haris?”

Haris menunjukkan tukul perangnya.

“Itu senjata? Aku ingatkan itu hanya replika latihan!”

“Ya, saya praktis pakai replika betul! Lagipun polis semua ingat itu alat repair kereta.”

Datuk Skleros mengamati tombaknya. “Tombakku pula?”

“Saya bilang dia alat buka getah tayar.”

“Tombak ajaib aku kau bilang alat buka tayar? Mana-manalah, jom masuk.”

Mereka masuk ke dalam pejabat itu, yang kelihatan seperti baru mengalami pengosongan mengejut. Kipas-kipas menggeleng-gelengkan kepalanya sambil meniup kertas-kertas kerja yang tidak diatur di atas meja. Elektrik masih bekerja keras menyalakan lampu-lampu kalimantang dan pendarflour, beberapa yang pecah dan berjuntai.

Datuk Skleros menguis-nguis kertas di atas kerusi, takut-takut jika ada mangsa yang berdarah di dalam timbunan itu. “Pejabat Jabatan Air diserang kah?”

“Apa juga yang ada di sini untuk diserang?”

Seorang lelaki melompat dan memeluk si Haris sambil meraung. Haris juga meraung sambil menolak lelaki itu. Datuk Skleros meletakkan tombaknya atas meja, lalu memegang muka lelaki yang meraung itu. “Apa yang jadi di sini? Apa yang jadi di sini?”

Lelaki yang meraung itu sudah teresak-esak, menghirup teh krisantimum dari mesin air. “Hari ini hari apa? Berapa haribulan?”

Haris memeriksa telefon bimbitnya. “25 Mac 2043.”

Lelaki itu mengangguk. “Saya si Ramli, dari Jabatan Air Negeri Sabah.”

“Ya, kami tau.”

“Saya datang kerja minggu lalu, pukul 8 begitu. Saya buat kertas kerja dan bos saya datang sini,” mengepak-ngepak tangannya sekitar kawasan duduknya, “dan dia bilang, ‘mana sudah itu surat…’”, Ramli menggeletar sedikit, “apabila tiba-tiba pejabat ini jadi gelap.”

Datuk Skleros memeriksa ketajaman tombaknya. Ia sedikit rongak dari pencungkil tayar. “Mati karan?”

Ramli menggelengkan kepala. “Tidak. Saya buka lampu suluh dan telefon bimbit, terlalu gelap. Kemudian, kami takut.”

“Itu saja?”

“Ya. Saya teringat yang saya diflush dalam jamban…,” Ramli mula menangis.

Haris mengurut-ngurut muka Ramli. “Tengok sini. Tengok, kamu di pejabat Jabatan Air Negeri Sabah.”

Ramli mengangguk-angguk. “Jadi…” Ramli menarik nafas lebih dalam sambil Haris duduk semula. “kami semua berteriak. Marisah menggaru-garu, James menghentak kepalanya ke dinding, bos saya mula menghabiskan hampir semua air dalam mesin itu. Saya lari ke sana ke mari mengeflush tandas.”

Haris meneguk air mineral. “Kenapa kamu flush tandas?”

“Kalau saya flush tandas, tiada air akan masuk mulut saya bila saya disumbat dalam tandas.”

Datuk Skleros mengeluh. “Jadi, mana semua orang pergi?”

“Mereka semua keluar dari pejabat ini bertempiaran. Bila saya berlari keluar, ada yang terhempas ke tanah dan terus berlari lagi ke sungai sana,” menunjuk ke arah air yang mengalir di timur laut bangunan itu.

“Bukan longkang kah itu?” getus Haris.

“Entah, ada yang tulis sungai dalam sejarah pembinaan Kota Kinabalu, tapi tidak jual bukunya. Jadi Ramli, kenapa kau tidak ikut diurang?”

“Saya lupa di mana pintu depan. Saya menggigil ketakutan dan menangis di sini sampai kamu datang.” Ramli tiba-tiba mengangkat kedua tangannya ke atas apabila kedengaran bunyi ‘meep!’

“Kamu dua, turunkan senjata kamu dan berdiri perlahan-lahan.”

Datuk Skleros dan Haris menjatuhkan senjata mereka, mengangkat tangan dan pusing ke hadapan. Mulut polis itu terbuka luas. “Datuk Skleros?”

“Assalamualaikum, Inspektor Wahid. Saya sudi memberi kerjasama di balai polis.”

Sekarang mereka berempat pula minum milo di kedai burger berhampiran. Seorang pelayan menggigil sambil menghidangkan burger-burger yang mereka pesan.

Datuk Skleros membaca nukilan-nukilan di Facebook. “Jadi Wahid, balai polis pun kosong?”

“Ya, saya hanya menggeletar sedikit. Tapi banyak polis-polis yang lain berteriak-teriak. Ada yang teriak pasal latihan rekrut dulu, ada yang teriak pasal labah-labah, dan adik kamu teriak pasal…”

Datuk Skleros batuk untuk amaran. “Kamu tidak perlu beritahu apa yang adik saya teriakkan. Aku pun tidak mau ingat lagi.”

“Jadi, adik kamu masuk dalam penjara, dia nampak semua tahanan mengoncang-goncang pintu penjara. Dia… juga menggoncang pintu itu.”

Ramli sudah menghabiskan burgernya serta burger Haris. “Lapar, tiga hari tidak makan.”

Haris mencebikkan muka lalu meneguk kesemua milo ais Ramli, sebelum memicit kepalanya  yang dalam kesakitan. Ramli memesan lagi lima biji burger.

“Apalah jadi pada adikku?”

“Dia sudah tenang tadi, dia pulang ke rumah untuk ambil cuti setengah hari.”

“Dia dapat ambil cuti? Dengan semua orang berteriak-teriak?”

“Ya. Bos kami tidak jadi gila, jadi tadi aku disuruh siasat tentang laporan orang-orang yang timbul-timbul di Sungai Karamunsing.”

Ramli terbatuk-batuk, cebisan burger mengelakkan pernafasan yang tersangkut. “Orang timbul-timbul?”

“Ya, ada yang masih hidup. Tidak sangka sungai, atau longkang itu terlalu cetek.”

Datuk Skleros menambah sos cili pada burgernya. “Kalau kamu tiada masalah, saya mau pinjam kamu untuk menjadi pengawal peribadi saya sekejap. Saya rasa saya perlu melihat Dewan Undangan Negeri. Juga, ada urusan pejabat untuk diatur.”

***

Wahid hanya memberi laporan awal kepada bosnya melalui Whatsapp. Seorang pegawai polis tidak cukup untuk menjalankan kawat polis. Nasiblah pihak ambulans dan bomba masih berfungsi.

Datuk Skleros, Haris, dan Ramli menarik pintu pagar Dewan Undangan Negeri Sabah. Wahid memandu keretanya masuk, lalu mereka bertiga masuk semula ke dalam kereta. Wahid melihat muka mereka bertiga melalui kaca pandang belakang. “Kita tidak tulis buku pelawat?”

Datuk Skleros mengangkat bahu. “Kenapa mau tulis? Saya patut datang sini pukul 10 tadi, mau bertengkar dua jam setengah entah kenapa dan untuk apa.”

Haris keluar semula dan kembali beberapa minit kemudian. “Pondok pengawal kosong.”

“Mungkin DUN pun kena benda yang sama.”

“Mana-manalah, jum masuk.”

Dewan Undangan Negeri itu kosong. Kosong, sekosong tin biskut yang hanya mempunyai habuk. Haris berteriak memanggil sesiapa keluar. Ramli memeluk Wahid, yang hanya mengusap kepalanya tanda kasihan.

“Aih, mana semua orang ini?”

Haris tersadung kakinya lalu terjatuh ke pintu. Ia terbuka lebar, dan sekumpulan ahli DUN berteriak. “Bapa aku tidak bersalah!” “Wani, aku minta maaf!” “Ahhhhh, jangan sunat aku!” “Aku buat FYP aku bah!”

Sekumpulan YB yang berpakaian megah dan segak menggelupur. Mereka bukan kesakitan, mereka memukul-mukul apa sahaja yang di hadapan mereka, menggaru-garu apa sahaja yang kuku mereka capai. Haris juga ditarik masuk, membuatkan dia lagi yang berteriak.

“Eh ambik tanganku!” Datuk Skleros sempat menarik Haris keluar. Tetapi seorang YB juga ditarik keluar dari bilik itu. Wahid menarik YB wanita itu ke tepi, tetapi cengkaman dia kepada Haris terlalu kuat.

“Aku bukan pelacur! Aku bukan pelacur! Aku bukan pelacur!”

Datuk Seri Salina mula menggigit Haris. Dalam panik, Haris menggigit Salina pula. Mereka berdua mula berteriak-teriak dalam kesakitan dan ketakutan.

Datuk Skleros membuka rahang Datuk Seri Salina dan merenung matanya. “Kalabakan, Kalabakan, KALABAKAN!”

Setelah beberapa minit Datuk Skleros menenangkan Datuk Seri Salina, Wahid pula bertanya kepada Datuk Seri. “Datuk Seri, apa yang terjadi?”

“Kami mau mula sidang dengan Perdana Menteri pakai skrin besar. Tapi masa mau pukul 11, tiba-tiba Dewan Undangan jadi gelap. Lepas itu, lepas itu,” Salina mula menggeletar, “saya teringat apa yang jadi 15 tahun dahulu. Saya tidak mau cerita, biarlah dia jadi kenangan saya saja.”

Ramli bersimpuh di sebelah Datuk Seri Salina. “Adakah Dewan ini tiba-tiba jadi gelap?”

“Ya! Dia bukan mati karan, kami masih nampak lampu dan skrin, tapi dia menyala pada jerebu hitam.”

Muka Ramli berkerut. “Saya pun begitu tadi.”

Mereka masuk ke dalam dewan. Skrin memaparkan muka Perdana Menteri Najib Forrester. Dia duduk dengan bergaya, kakinya berlipat ke atas dan dagunya ditopang tangan kiri. Raut wajahnya kelihatan bimbang, seperti cuba memahami erti kejadian yang berlaku.

“Hah, kamu!” Najib melompat dan menuding ke arah mereka, “perkenalkan diri dan apa tujuan kamu?”

“Saya DUN N 15 Api-api Datuk Skleros Magunatip, anak si Theodoros Magunatip.”

“Tidak, tidak kenal. Kamu dari parti mana?”

“Parti WASIAT.”

“Oh, kamu Pembangkang Yang Setia. Baiklah. Apa yang jadi sebenarnya?”

Datuk Skleros melihat ke kiri dan ke kanan. “Saya mahu berjumpa dengan Ketua Menteri Daeng Muhammad bin Daeng Shafi’i. Saya mahu memohon peruntukan bagi meredakan gangguan air di kawasan saya…” beliau mengangkat jari kanannya, “juga di kawasan sebelah,” menunjuk ke arah Karambunai.

“Baiklah. Kalau Ketua Menteri tidak dapat bantu, hubungi Ahli Parlimen kamu, dan saya akan beri peruntukan. Tapi buat masa ini, saya akan berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong. Ada serangan-serangan ganjil… pendek cerita, kita dalam bahaya, balik! Beli apa-apa barang dapur, saya akan minta darurat diisytihar.”

Wahid menaip sesuatu di telefon pintarnya. “Saya rasa kita perlu ke balai polis. Saya perlu ambil keterangan kamu semua.”

***

Seperti yang dijanjikan Perdana Menteri Najib Forrester, darurat yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong diisytihar. Semua rakyat dilarang keluar selepas pukul 7 malam, dan sebelum 7 pagi. Air-air diangkut dalam kapal tangki ke bandar-bandar dan sistem penangkapan air hujan mula dipasang.

Namun semua bantuan itu lambat hadir ke kampung-kampung yang terpencil di Sabah, antaranya Kampung Tompokulat. Safiyan menggenggam tasbihnya. Itu sahaja aktivitinya di waktu petang semenjak lima hari lalu.

“Jangan kamu fikir sangat pasal berita itu, Safiyan. Kita akan dapat giliran air kita juga.”

“Air ada air, si Ronald ada ajar macam mana mau tangkap air hujan. Tapi sungai kering, macam mana kita mau airi padi?”

“Kita bukan tanam padi nak, kita tanam pisang.”

“Lagi banyak pakai air! Kita nda dapat hidup macam ini, study si Ruminah mau dibayar lagi, baru si Wahid gajinya kurang pasal mau membeli barang untuk darurat.”

Ibunya menghirup kopi dan menggigit pisang gorengnya. “Saya nda tau apa mau bilang, sungai nda pernah kering sini selama ini. Baru-baru saja itu. Lagi-lagi kita ini di musim hujan.”

“Si Sanusi sepatutnya akan sampai sini petang ni. Kalau dia nampak apa yang jadi di hulu sungai kita, mungkin kita boleh buat sesuatu.”

Safiyan memandang ke arah timur. “Masih wujudkah magis di alam ini?”

“Kalau ada, lembik sudah itu. Mamak pernah belajar ritual-ritual purba. Tapi itu bukan ilmu yang mamak rasa kamu semua perlu belajar.”

“Mamak pernah pakai?”

Ibu Sufiyan hanya mengenyitkan mata. Sufiyan mengeluh.

Malam itu, darurat dilanggar oleh seluruh kampung. Mereka datang berhimpun di depan rumah Sufiyan. “Assalamualaikum!”

“Wa alaikum salam! Jemput naik seorang dua, saya nda dapat kasi makan kamu semua!”

Melissa maju ke hadapan dari himpunan penduduk kampung itu. “It’s alright, kami mau jemput kamu!”

“Pigi mana?”

“Jumpa ketua kampung, dia panggil.”

Perhimpunan di dewan rumah ketua kampung itu amat meriah dengan keluhan dan luahan. Mereka semua berbincang akan sumber kekurangan air. Ada yang berteriak kerana dituduh mengambil semua air sungai, dan ada yang menuduh kerajaan Malaya sengaja membuatkan Sabah kemarau di tengah musim hujan. Ada beberapa khabar angin bahawa air memang mengalir tetapi ditahan di tengah sungai.

“Assalamualaikum dan selamat petang para hadirin sekalian. Saya, sebagai ketua kampung kawasan ini, mahu bincang tentang kekurangan air kita ini.”

Seorang perempuan berdiri dan berteriak. “Huma saya belum diairi lagi! Mana sudah itu bantuan? Si Daeng itu main,” perempuan itu melenggangkan kepalanya sambil mengetikkan jari, “ladies of the evening kah?”

Seluruh himpunan itu ketawa terbahak-bahak. Seorang lelaki berdiri dan mengambil mikrofon, “Ketua Kampung, kami tidak perlu cerita masalah kami malam ini, ia sudah jelas! Kita kekurangan air untuk tanaman kita. Apa yang kita boleh kumpul dengan hujan di musim kering ini? Syukur saja kalau saya dapat mandi pagi ini! Kawan saya, si Jiman,” dia menghempuk seorang lelaki yang kelihatan bodoh-bodoh, “mati sudah anak jagungnya. Dia baru belajar menanam lepas bapanya cedera. Macam mana kita boleh jaga negara kita kalau negara tidak jaga kita?”

Seluruh ahli kampung bersorak. Safiyan menganggukkan persetujuan. Ketua Kampung itu mengangkat tangannya meminta seluruh kampung bertenang. “Beginilah. Saya ada menjemput seorang dari bandar, dia boleh menunjuk jalan. Melissa, semua!”

Melissa berdiri di sebelah ketua kampung, senyum dan melambai. “Helo, saya sudah menelefon Datuk Skleros itu hari, dan dia bilang bantuan sudah berjalan ke mari. Tapi lori banyak rosak dan dia tidak dapat masuk kampung-kampung.”

“Ah tipu itu! Ladang saya dekat pintu gerbang kampung, tidak pun pernah nampak dia limpas! Mari semua, ambil barang kita baling sama si Skleros!”

“Bukan kita kena bilang sama si Daeng?”

“Mana-manalah, dua-dua duduk KK juga!”

Melissa berlari ke pintu keluar dewan, dan mengisyaratkan berhenti. “Eh stop stop, ah ah ah ah ah ah ahhhhhh…” dan dia hanyut dibawa arus manusia. Mereka membentuk konvoi yang penuh dengan sayur-mayur, buah-buahan, serta amarah. Melissa diikat seperti perempuan di kepala kapal.

Seorang ahli kampung yang mengenakan penutup mata sebelah berdiri megah di belakang Melissa dan mengacukan parangnya ke hadapan. Dengan penuh semangat dia berteriak, “Maju!”

Melissa berteriak sepanjang perjalanan. “Aaaaaaah, kenapa saya?”

Trak di sebelahnya ada Shang Wei terikat di hadapan trak pula. “Heeeeeeloooooo Meliiiiiiiiissaaaaaa!!!” dan trak itu terus maju ke hadapan.

Konvoi trak itu tidak berhenti walaupun ditahan sekatan tentera, polis, dan tangki-tangki air yang tidak dapat bergerak masuk. Mereka terus melanggar penghadang jalan, dan pemandunya mengelak paku-paku penahan dengan liuk lenggang kereta yang gemalai.

Seorang nenek membaling beberapa tembikai ke arah pos tentera. “Nah, rasuah! Makan kamu!” Tentera-tentera itu lari merebut tembikai, lalu mengigit terus kulitnya dan menghirup jus itu seperti pontianak.

Pemandu lori itu kehairanan. “Oh, mereka pun ketiadaan air ya?”

Datuk Skleros sedang menghirup teh susu kurang gula. Banyak ahli DUN dan Parlimen mengalami kes ketakutan, dan ada yang membunuh diri. Dia mengatur semua urusan dari rumahnya, dan Haris baru sahaja sampai dari mengatur catuan air kepada pekedai-pekedai untuk minggu itu.

Rumahnya bukan sebarang rumah, tetapi sebuah kastil barat yang kecil di atas bukit kecil, dibina oleh datuk Datuk Skleros pada tahun 2019. Ia berdinding setebal sepuluh meter dengan tiga menara setinggi dua puluh meter.

Dia berdiri dan berlari ke tingkap. Bukit rumahnya dikerumuni oleh banyak trak hasil tani. Mereka semua menyusun trak-trak itu membentuk bulatan yang ketat.

Seorang itu memasang sistem pembesar suaranya. “Datuk Skleros! Mana kamu? Air kami belum sampai lagi!”

Datuk Skleros menaiki salah satu menara dinding rumahnya dan melihat ke bawah. Dia mengambil mikrofon azan dan berteriak. “Kan sudah saya hantar? Kamu belum dapat kah?”

“Belum dan kami tidak peduli! Cepat kasi air kamu atau kami sumbat semua benda ini masuk buntutmu!”

“Hah, kata-kata berani! Aku mau tengok kamu cuba! Semua, bangun, kita di bawah kubu!”

Petang itu adalah hingar-bingar dengan urusan menghamparkan kubu. Trak-trak diundurkan ke belakang, pancang-pancang kayu dibenamkan dan khandaq digali. Beberapa orang membina tukih dan sigai, dan beberapa yang lain menghias sebatang balak besar dengan besi untuk menghentam pintu gerbang.

Safiyan sedang memakan durian sambil Kiram merokok. Seorang perempuan menghadap mereka. “Trebuchet-trebuchet serta alatan-alatan kubu sudah siap.”

“Bagus. Kita serang esok.”

Datuk Skleros juga bersedia. Di tepi dinding kastilnya labu, durian, tembikai, serta labu air bersusun di tepi catapult. Mereka tidur dengan nyenyak.

Besok pagi Kiram sudah berdiri di sebelah trebuchet. Kiram mengangguk. Seorang pengurus trebuchet berteriak, “Baling tembikai!” Pengurus-pengurus trebuchet mengetuk penahan lengan trebuchet. Dengan bunyi kayu yang bergeser, trebuchet itu melancarkan sekarung tembikai ke arah kastil Datuk Skleros.

Datuk Skleros dan pekerja-pekerjanya sedang mengatur peluru-peluru labu di sebelah catapult apabila sebiji tembikai menghempas dinding kubunya. Mereka tunduk apabila lebih banyak tembikai-tembikai berterbangan, banyak yang menghempas dinding dan beberapa lagi terhempas ke lantai kastil.

Penduduk kampung itu bersorak lalu memulakan serangan. Mereka membimbit tukih-tukih dan sigai-sigai ke arah dinding kastil. Mereka ditembak tembikai, durian, serta labu air dari catapult selagi peluru trebuchet belum sampai ke dinding kastil. Beberapa orang terkena durian dan terguling jatuh bukit. Namun mereka sudah berjaya menyampaikan tangga ke dinding dan sedang menaikinya. Ada juga yang menolak menara kubu ke arah dinding kastil. Ia hancur dihempap tembikai yang dilancarkan dari catapult.

Beberapa orang suruhan Datuk Skleros menarik busur silang, meletakkan lobak di slot peluru, dan melancarkannya ke arah musuh yang cuba menaiki tangga-tangga itu. Mereka terhenti-henti, kesakitan dipukul lobak, tembikai, durian, dan labu.

Beberapa orang kampung sudah sampai ke dinding kastil. Daud berteriak sambil menghunuskan daun selerinya, memukul-mukul orang-orang kampung itu. Mereka membalas dengan ubi kayu. Lebih ramai orang berkumpul sekitar kawasan dinding itu, memukul satu sama lain dengan ubi kayu, daun seleri, bayam, kangkung, dan beberapa sayur lain. Seorang lelaki tegap menghayun lobak daikon ke arah orang-orang kampung yang menceroboh. Mereka pun lari bertempiaran dan turun semula melalui tukih mereka. Lelaki itu menghumban daikonnya ke arah tukih itu, dan ia terbelah dua. Orang-orang kampung terjatuh dan terguling-guling turun bukit.

“Daud, mereka mula menghempas pintu gerbang!”

Daud berlari ke arah rumah pintu gerbang dan menekan suis. Segelen madu dijatuhkan ke atas orang-orang yang menghempas pintu dengan kayu balak. Mereka kegelian dan cuba membuang madu itu dari baju mereka. Ada yang berdisiplin cuba menghempas dengan kayu balak itu, tetapi bilangan mereka tidak cukup dan kayu itu terlalu melekit. Akhirnya mereka menjilat satu sama lain, kekenyangan dan tertidur.

Pertempuran hasil tani itu berterusan hingga ke lewat tengah hari. Datuk Skleros yang berada di menara azan melancarkan lobak ke arah seorang ahli kampung apabila dia mendengar deruman. Dia melihat ke arah ufuk utara, di mana sebatang sungai pernah mengalir. Kepala air menderum deras ke arah pertempuran itu.

“Eh kamu semua, tengok arah utara! Kepala air!”

Penduduk kampung serta pekerja Skleros melihat ke utara. Kepala air itu menderum deras, membawa batang-batang pokok serta kereta-kereta hanyut bersama. Penduduk kampung mula panik dan mereka semua mula menaiki tangga dengan lebih bertenaga.

“Kamu semua, bagi orang kampung masuk! Orang kampung, kamu lari masuk keep aku! Sana, yang rumah kuboid fancy itu! Daud, buka gerbang kayu, bagi orang kampung masuk!

Melissa masih berteriak kerana dia tidak dilepaskan dari ikatannya di kereta. Shang Wei melepaskan ikatan, membawa lari Melissa ke dalam kastil, dan terhempas di atas longgokan tembikai pecah dalam dua puluh minit.

“Ai ya, tembikai kotor ah!”

“Sori Melissa, ini paling teruk gua exercise oh.”

Melissa menggulingkan Shang Wei dari serpihan tembikai-tembikai itu dan mengelap mukanya dengan tisu basah.

Daud melihat semua ahli kampung sudah masuk ke dalam kastil. Dia menekan lagi satu suis dan gerbang besi jatuh menghentam tanah, menutup pintu gerbang dengan sekedapnya. Daud kemudiannya naik ke salah satu menara dinding kastil itu, dan memeluk tiang sekuat-kuat hatinya.

“Kamu semua peluk apa-apa yang paling tahan dan berdoa!”

Semua orang kampung dan pekerja Datuk Skleros lari ke dalam rumah Datuk Skleros dan memeluk benda yang paling berat atau satu sama lain. Shang Wei memeluk Melissa, apabila seekor kucing melintas di hadapan mereka. Melissa merangkulnya dan memeluk kucing tersebut dengan kuat, membuatkan Shang Wei kecewa.

Datuk Skleros dan Haris memeluk Wahid yang atas sebab tertentu tersangkut dalam menara azan itu. “Eh kenapa kamu peluk aku?”

“Sini tiada tiang.”

Lelaki tegap tadi memeluk pinggang Wahid sambil tersenyum.

“Kau kenapa pula?”

“Saya panik dan lari ke sini.”

Wahid mengeluh. “Pegang kuat-kuat.” Wahid memasang kekuda dan memegang panel kawalan pintu gerbang.

Deruman kepala air itu bertukar menjadi bunyi letupan apabila ia menghentam dinding kastil itu. Semua orang berteriak. Datuk Skleros juga berteriak, “Reeeee!!!”

Wahid menampar dia.

Lori-lori, kereta-kereta, dan batang-batang kayu balak menghentam dinding itu. Lori minyak petrol terbelah dua dan terbakar, menyalakan balak-balak yang timbul-tenggelam. Kereta-kereta berhentakan, dan beberapa trak hasil tani tadi terbaling masuk ke dalam dinding kastil.

Akhirnya kepala air itu berlalu, dan aliran sungai di sebelah kastil itu surut kepada normal. Semua orang turun ke dinding kastil untuk melihat kehancuran yang berlaku. Beberapa orang yang malang, mati lemas dalam kepala air itu dan mayatnya bergelimpangan di tanah. Kayu balak, padi, buah-buahan, simen, pasir, rebar konkrit, semuanya berbaur di atas tanah.

“Apa yang jadi sebenarnya?”

“Siapa itu?”

“Hancurlah KK itu?”

“Macam mana kita mau pulang?”

Muka Datuk Skleros makin berkerut. “Apa yang terjadi sebenarnya?”

***

Dua orang sedang duduk di atas batu, di hulu sungai. Air sungai itu terhadang dengan medan ghaib, dan air itu tergenang hingga terlalu tinggi.

“Kamu rasa adakah rancangan kita berjaya?”

Salah seorang sedang menonton video Youtube. Kesan kemusnahan bandar KK adalah amat teruk, menurut apa yang digambarkan.

Bangunan-bangunan dari Teluk Likas hingga bekas tapak Pejabat Pos Kota Kinabalu habis ditarah kepala air itu. Banyak keluarga yang berpakaian indah pada pagi itu untuk bersiar-siar kini menguis-nguis lumpur dan batu-batu untuk mencari saudara mereka.

“Saya rasa kita boleh mula merancang fasa kedua. Lepaskan dahulu hulu ini.”

Dia mengetikkan jarinya. Hulu sungai itu meledak dengan air yang tertahan, dan kepala air terbentuk.

“Kota Kinabalu akan menjadi bandar baru yang megah. Tapi kita harus mencucinya dahulu.”

Leave a Reply