Sains Menghina Seni (Bahagian 2)

Sains Menghina Seni (Bahagian 2)

Oleh: Mohd Rosyaidi

Mana mungkin, pertama kali memijakkan kaki ke tempat ini terus seperti kena panahan cinta kepada seorang bidadari. Terasa senang akan suasana di fakulti ini. Melihat pelbagai kelibat yang bersosial, berkomunikasi dan bertelingkah dengan sangat ramah sekali sesama sendiri. Suasana yang sangat jauh berbeza di fakulti sains tempat berkabungnya para mahasiswa yang dikatakan suci sekali di gedung itu. Apabila berada di fakulti sains, kelibat-kelibat yang berselisih hanya akan memberikan lemparan senyuman dan berlalu pergi tanpa satu patah kata pun keluar daripada mulut masing-masing. Di sini, melihat sosok-sosok yang akan terus duduk apabila bertemu dan berbual panjang sambil ketawa terbahak-bahak. Apa yang digembirakan sangat misteri seperti tidak sedar diri mereka itu siapa sahaja.

Membawa diri ini mencari si kawan budak seni untuk berjumpa sehingga bertemu dengan rakan-rakan yang lain. Rakan-rakan telah membawanya ke sebuah bilik gerakan tempat berkumpulnya mahasiswa seni dan terus bertemu kelibat si kawan budak seni itu. Dia bercerita mengenai sesuatu yang tidak pernah terjangkakan setelah memasuki gedung ilmu ini bersama-sama budak-budak seni yang lain. Mereka berbicara mengenai sesuatu yang sangat asing bagi seorang mahasiswa iaitu perihal masyarakat di luar sana. Diri ini terus tertanya-tanya. Kenapa serius sangat berbicara mengenai masyarakat? Apa mereka telah buat untuk golongan terpelajar seperti kami? Siapa mereka jika dibandingkan dengan kami? Apa faedahnya memikirkan pasal mereka?

Bergegas ke sebelah si budak seni sambil melemparkan senyuman dan duduk di sebelahnya. Belum sempat memberi salam, si budak seni terus bertanyakan khabar dan memberikan sebuah buku. Terasa sangat janggal kerana apabila berada di fakulti sains, tidak pernah sekali diperbuatkan seperti itu, terasa sangat dihargai apabila hanya khabar ditanyakan. Merasa budak seni ini baik sekali sedangkan sebelum ini merasa mereka itu hanya golongan buangan yang mempunyai nasib sahaja untuk menjadi seorang mahasiswa. Selepas saja menjawab pertanyaan itu, diri ini dengan nada sombong berkata bahawa diri ini tidak membaca buku yang kurang ilmiahnya sperti buku yang diberikan tadi dan dengan sombong juga berkata hanya ingin membaca buku yang membincangkan perihal sains. Si budak seni itu hanya tersenyum dan menyuruh menyimpankan buku itu, jika bosan bolehlah baca-baca.

Buku itu terpaksa disimpan juga untuk menjaga hatinya. Melihat tajuk sudah tahu buku itu membosankan. Buku tentang masyarakat? Kenapa perlu dibukukan mengenai masyarakat? Apa kepentingannya untuk golongan terpelajar seperti kami? Semakinlah diri ini berasa taraf pemikiran budak seni hanya biasa-biasa sahaja kerana membuang masa untuk memikirkan perkara-perkara yang tidak penting. Namun itu semua hanya di dalam hati sahaja kerana ingin menjaga hati kawan. Diri ini semakin berasa budak seni itu hina apabila melihat beberapa orang budak seni mengeluarkan makian bila mereka bertegur sapa tanpa menunjukan sifat sepatutnya jika dimaki. Bagi mereka itu biasa-biasa sahaja. Beberapa masa dibazirkan untuk duduk-duduk sambil berbual kosong sama si budak seni, diri ini berasa bosan kerana yang hanya disentuhkan oleh si budak seni hanyalah perkaitan mereka sebagai budak seni untuk masyarakat. Lantas diri ini terus meminta diri untuk pulang ke bilik kerana sudah tiada apa lagi untuk dibuat pada hari itu.

Sesampainya di bilik, perut terasa lapar dan hanya ada mi segera yang terlihat di dalam ruang simpanan makanan. Terus diri ini memasak air untuk merendamkan mi segera itu. Sambil menunggu air tersebut panas, teringat akan buku yang diberikan oleh si budak seni tadi. Membuka beg dan terus mencapai buku itu langsung memulakan bacaan. Setelah membuka dan memulakan bacaan, terasa seperti buku itu memberikan sesuatu yang sangat berat untuk memberhentikan bacaan sehinggalah terlupa mengenai makanan yang perlu disiapkan untuk mengisi perut ini. Buku tersebut banyak menjawab persoalan-persoalan tentang kaitan mahasiswa dan masyarakat. Bacaan diteruskan sehinggalah terjumpa sesuatu yang mampu membuatkan diri ini terkejut dan sesuatu yang sangat baru untuk diri ini. Tentang betapa pentingnya masyarakat kepada mahasiswa. Apa yang mahasiswa perlu tahu sebenar-benarnya fungsi mahasiswa untuk masyarakat.

Bersambung…

Leave a Reply