Reformasilah Sekolah!

Reformasilah Sekolah!

Oleh: Mukmin Nantang

Ramai yang beranggapan bahawa sekolah adalah tempat menimba ilmu. Iya tepat sekali, tapi ilmu yang bagaimana dan adakah ilmu itu sekadar turut, tunduk dan patuh? Budaya ilmu di sekolah sangat beku yang mana kebiasaannya murid-murid sekolah kurang dibenarkan untuk berbeza pendapat dengan kakitangan sekolah dan guru. Sistem pendidikan di sekolah hinggalah universiti kurang mengajak murid-murid dan mahasiswa untuk meraih perbezaan dan pendapat. Kita hanya dibolehkan untuk menurut tentang segala-galanya tanpa ada bantahan. Adakah ini budaya ilmu yang baik? Sistem pendidikan terlalu keras dan menakutkan. Dari sekolah rendah lagi murid-murid kurang diajar untuk berani bersuara tentang kebenaran. Mungkin kita masih lagi terikut dengan sistem yang diamalkan oleh kolonial British yang mengehadkan ilmu sebuah kaum. Masih ingat ingat pecah dan perintah? Sistem yang digunakan untuk membolehkan kolonial British mengehadkan pergerakan dan ilmu setiap kaum. Ilmu dilimitasi; orang ramai hanya boleh belajar hingga tahap yang ditentukan. Ini sesuatu yang sangat jijik dan kejam.

Semasa di sekolah, aku bukanlah seorang pelajar yang bijak pandai. Aku sering saja berada di kelas bawah dan mendapat keputusan peperiksaan di tahap pertengahan. Iya, aku seorang yang nakal. Namun aku bukanlah seorang murid yang suka ponteng kelas. Aku mencintai ilmu. Aku sangat yakin yang aku boleh dapat keputusan yang baik jika aku bersungguh-sungguh. Tapi budaya ilmu di kelas telah dikalahkan oleh budaya sosial gengsterisme di sekolah. Aku lebih tertarik untuk bergaul dan bergembira di luar kelas. Kelas banyak yang membosankan. Tidak pula diusahakan untuk menarik perhatian murid macam aku. Aku tidaklah menyalahkan guru kerana sememangnya sistem pendidikan ini mendesak guru untuk mencapai KPI menaikkan ranking sekolah. Oleh itu, guru-guru terkejar-kejar untuk memberi ilmu dan kurang perhatian untuk murid-murid yang bermasalah macam aku dan kawan-kawan. Dalam kelas suasana pembelajaran sangat membosankan, tidak diwarnai dengan cinta dan keseronokan. Bagaimana mahu soronok kalau pembelajaran terlalu keras? Belajar, buat tugasan dan jawab peperiksaan?

Sistem pendidikan ini tidak pernah mahu mendengar luahan hati murid-murid. Tidakkah guru-guru mahu tahu atau menerima pandangan tentang sistem pengajaran yang mana yang lebih sesuai digunapakai? Tidakkah sistem ini membuatkan guru-guru syok sendiri di depan kelas? Budaya dalam kelas di sekolah sangat sehala, terkadang guru membuka pertanyaan untuk membuka ruang dua hala namun tiada murid yang berani menawarkan diri untuk bangun ke hadapan. Bukan kerana murid-murid semuanya faham dan tak perlukan ruang untuk bertanya, namun sebenarnya murid-murid tidak memahami keseluruhan pengajaran sehinggakan tidak dapat menyusun apa-apa soalan yang sesuai ditanyakan. Alat bantu dan budaya kreatif pengajaran cuma digunakan semasa guru-guru menjadi pelatih di Institusi Perguruan atau universiti. Ketika sampai kepada realiti pengajaran di sekolah, semua metodologi dan pendekatan sudah tidak mampu diimplementasikan. Mana tidaknya, ketika sistem pendidikan sibuk berlumba-lumba mengejar ranking akademik yang baik, kaedah pengajaran berkesan yang manakah digunakan? Guru-guru menjadi stereotaip dan menemui jalan buntu.

Semasa di sekolah, sangat banyak perkara yang aku bercanggah dengan sistem pendidikan. Rambut kena pendek. Mengapa kena pendek? Tak mungkin negara yang mahu mencapai taraf negara maju seperti Malaysia ini masih menilai keilmuan daripada sisi rambut dan penampilan? Yang merosakkan, memakan rasuah, mencuri wang rakyat di negara ini ialah orang yang berambut kemas sisir tepi. Buku wajib beli yang baru, tanpa melihat kepada kemampuan ekonomi seseorang murid sehingga ada yang didenda tidak boleh masuk ke kelas akibat tiada buku. Baju sukan yang tidak direka dengan baik diwajibkan beli dengan harga yang mahal, kami sebagai murid terkadang malu mahu pakai baju sukan sekolah di luar sekolah.

Pengajaran di dalam kelas terlalu membosankan (tidak kreatif) yang mana guru cuma syok sendiri. Guru rehat di kantin ketika murid sedang mengejar masa rehat yang pendek. Masa rehat guru sangat banyak selepas selang satu masa mengajar namun guru-guru sangat suka menyibuk untuk berlaga dengan murid di kantin walhal murid hanya ada masa dalam 15 minit ke 20 minit untuk rehat. Pengurus dan pelayan kantin sudah pastinya akan melayan pesanan makan guru-guru terlebih dahulu. Tidak cukup dengan itu, kerusi meja yang tidak mencukupi dipenuhi oleh kelompok guru ketika murid-murid diharamkan untuk makan di dalam kelas. Murid-murid terpaksa makan berdiri atau duduk di mana-mana sudut lantai.

Itu tidak termasuk cerita perhimpunan sekolah yang menjadi tempat guru-guru berleter panjang membuang masa. Sangat banyak budaya sekolah tidak menyebelahi murid-murid. Murid di sekolah umpama hamba yang hanya boleh turut dan patuh. Sudah sampai masanya reformasi berlaku di sekolah. Murid-murid mengawal sepenuhnya perhimpunan. Biar murid yang bercakap tentang apa yang berlaku dan yang dimahukannya, bukan duduk dan berdiri mengikut arahan seperti tahanan di dalam penjara. Setakat mengutarakan kelas mana yang paling bersih, pemberitahuan peratusan kehadiran mingguan, kes disiplin yang telah dilakukan, pemakluman hari ko-kurikulum dan sebagainya, itu mampu diucapkan sendiri oleh murid-murid. Namun aku sangat percaya sistem di sekolah sangat tidak yakin dengan anak-anak muridnya. Kakitangan dan guru-guru tidak berminat langsung mendengar apa yang cuba diperkatakan oleh murid-murid, mereka sangat suka bercakap seperti raja di atas pentas dan murid-murid hanyalah hamba di bawah. Biarlah murid-murid menjadikan tapak perhimpunan sebagai suatu ruang untuk berlaga idea dan mengkritik sistem pendidikan.

Sistem pendidikan di sekolah harus berubah. Murid dan guru sepatutnya menjadi satu keluarga yang baik, barulah budaya ilmu itu dapat berlangsung dengan baik! Sudah, bersiap sedialah! Selamatkan sistem pendidikan Malaysia!

This Post Has One Comment

  1. Miau dari Gunung si Miau

    Satu coretan yang menarik.

    Reformasi pendidikan adalah amat perlu, walaupun bagi orang yang sedikit sujka ditarik hidungnya seperti saya.

    Saya dulu ‘budak pandai’, tapi markah masih rendah. Saya diasak untuk kuat belajar oleh ibubapa hingga hampir tidak mempunyai minat yang lain. Malangnya, ia tidak berguna dalam dua subjek matapelajaran, Projek Tahun Akhir 1 dan 2.

    Itu kali pertama saya bereksperimen. Saya buntu. Bayangkan seumur hidup kamu, ada sahaja bas, teksi, Grab, dan papan tanda yang wujud untuk menunjuk jalan dalam KK. Tiba-tiba, ibu kamu memanggil kamu. “Nak, ibu mahu garam gunung dari pertapa di gua Bukit Layag. Ambil sebongkah, bayar dengan duit ini.”

    Ya Allah! Garam gunung jenama apa? Pertapa itu makanan kah minuman? Berapa besar sebongkah itu?

    Ya, pernah ada yang membeli garam gunung. Tetapi mereka membeli dari pelbagai sumber, dengan pelbagai kaedah, dan pelbagai celoteh. Rempuhan data ini menggapai kamu hingga lah akhirnya ibumu menampar kamu kerana menghilangkan RM 2000 atau berterima kasih kerana dapat menikmati cahaya lampu kristal garam gunung. Dan kamu tidak tahu pun mana betul silapnya.

    Metafora ini ialah perasaan saya apabila menghadapi Projek Tahun Akhir, Latihan Industri, dan sekarang, usaha mencari kerja dan membina perusahaan sendiri jika boleh.

    Terlalu banyak yang saya pelajari di sekolah setelah tahun 5, tidak dapat membantu saya. Apakah sistem ini?

    Sekarang, masalah semakin rumit. Tiada buku rujukan, tiada mukasurat jawapan belakang, mahupun buku-buku panduan silibus untuk memandu saya. Resume pun saya tidak pandai!

    Nasib ada internet. Semua orang berkongsi ilmu, menunjukkan cara dan kaedah membina sesuatu. Bahkan ia membantu saya mencari maklumat tentang cara membina sesuatu yang saya tidak pernah terfikir dahulu. Yang penting, adakah anda sudi mengotorkqn tangan atau tidak.

    Jika reformasi pendidikan mahu dilakukan, internet wajib disertakan, bersama dengan peluang mengotorkan tangan dan pakaian. Gedung ilmu, hiburan, fitnah, onani, serta duit hanyalah di hadapan skrin kita. Sama ada kerajaan atau rakyat sendiri mahu mulakan, dari mereka sendiri.

    Dan laju, saya ada adik yang penat belajar untuk UPSR!

Leave a Reply