SENI DAN SASTERA

SENI UNTUK MASYARAKAT

  • borneokomrad1@gmail.com
|Cerpen| Reena.Malam.Melankoli

|Cerpen| Reena.Malam.Melankoli

Oleh: adiHJ

Reena tengah duduk bersila di kerusi kayu dalam bilik aku. Kepalanya menghadap ke luar jendela yang gelap gelita sebab sudah dua jam mati karan di tempat ini. Dia tengah cerita tentang impian dia dan aku tahu dia tengah bosan atau kemurungan atau kesepian macam pekat malam ini. Reena kata dia mahu tukar warna rambut, jadi pink bulan depan, biru bulan depan dia lagi, hijau bulan depan dia lagi. Aku tanya kenapa, dia kata sebab dia mahu jadi bintang. Aku tidak tahu kalau bintang yang Reena maksudkan itu bintang di langit ataupun bintang di TV. Tapi yang pasti, Reena memang macam bintang; lebih tepat lagi, dia ada material bintang—kombinasi nama, karakter dan fizikalnya, bersinar. Manic Pixie Dream Girl. Tuhan patut berikan Reena sayap dan biar dia terbang ke langit untuk terangi malam ini.

Suara kucing mengiau di kejiranan membuatkan kami jeda sebentar.

Atau jadi kucing, kata Reena. Yang akan kau namakan aku sebagai Rain, sambung Reena. Yang kau akan mandikan wangi-wangi sampai menenggelamkan bau fatal di rumah ini. Yang kau akan carikan jantan agar aku dapat…

…Lampu hidup beberapa saat dan mati kembali membuatkan kami jeda sekali lagi.

Reena capai telefon bimbit dan pasang lagu Sink to the Bottom. Aku sudah lama tidak dengar Fountains of Wayne. Belum sempat lagu tu habis, dia tukar, Stanger’s in the Night. Aku juga lama tidak dengar versi cover Cake dan Reena menyanyi bersama dengan suara yang halus sambil bermain dengan rambutnya. Kemudian lagu Heroes, David Bowie. Aku mengharapkan Reena berdiri dan berdansa mengikut rentak lagu seperti dulu dan menghulurkan tangannya…

…Reena kata dia mahu bersiar-siar dalam kereta sementara adrenalin masih rancak bersanggama dalam tubuh. Aku rasa itu cadangan yang menarik kerana bilik ini makin mengecil dan terapung dalam kegelapan malam. Dan aku rasa nanti Reena akan rasa jengkel kalau lama-lama berkurung dalam bilik fatal ini.

Dalam kereta, kami tidak tahu mahu menuju ke mana. Pandu saja, kata Reena. Playlist lagu akan bawa kita ke destinasi yang misteri, sambungnya. Lagu There Is a Light That Never Goes Out. Benda klise ini selalu masuk meresap ke dalam situasi yang kita tidak pernah sangka. Reena keluarkan separuh kepala di jendela dan biarkan angin menggerbangkan rambut panjangnya. Aku tahu dia sedang tersenyum sambil memejamkan mata.

Malam itu, Reena nampak macam benda paling cantik yang pernah aku tengok seumur hidup. Bukan macam bintang di langit, atau bintang di TV, atau kucing yang paling wangi di dunia bernama Rain, atau macam Manic Pixie Dream Girl.

Aku tidak mahu malam ini berakhir dengan sia-sia atau sampai bila-bila. Dan aku mengharapkan Reena masih lagi duduk bersila di kerusi kayu dalam bilik. Memasang playlist lagu dan kata biar ia membawa kita ke destinasi yang misteri dalam mimpi.

Leave a Reply

Close Menu