|Puisi| Memujuk Pemerintah Yang Kecewa

|Puisi| Memujuk Pemerintah Yang Kecewa

  • Post category:PUISI

Oleh: Akmal

Sembah menteri terpilih dua kali!
sembah Fir’aun tidak termahkota!
sembah pencipta dan pemusnah haluan Negara!
sembah dari penganggur tidak dinilai!

Hamba mendengar akan masyghulnya Tuan Patinggi

hantaran laporan orang asing turun ke tanah

habis semua pelusuk kotornya disemah

hiba semua cerita si terpinggir di sana atau sini.

 

Bukankah agung usaha Sang Kemiskinan dibasmi

baiknya bantuan yang sudah menyala

berbau setanggi mengkayakan suasana

burjuazi baharu muncul berseloka menyanyi!

 

Sayangnya raksasa mungkin meracuni diri

statistik yang dikira dikunci dijaga

Si Miskin katil empuk hospital tidak terasa

sehelai sijil kewarganegaraan pun tiada diberi.

 

Belum lagi yang kononnya terlepas sendiri

bawah garis sembilan ratus lapan puluh sengsara

bayu pokai dan muflis masih lagi terasa

bangsat juga kapitalisme barat ini!

 

Sayugia wahai pemacu parti pemerintah perkasa

santunilah para penduduk di ceruk negara ini

Sang Warga atau kononnya pendatang ajnabi

sebaiknya tanpa cemeti penghalau ke Filipina.

 

Atau perlukah kami yang lapar yang dahaga yang sengsara

angguk bersama menarik kamu separlimen hidu sendiri

asas undang yang diteriak tangis dalam bangunan sejuk menggerak gigi

ah, kamu boleh lihat buah dari kemalasan kamu bersama!

 

Mungkin saya patut berhenti mengarang puisi prosa loya

mengguna langgam entah apa bercerita kosong tidak bererti

masa untuk membuat tesis bejatnya negara Malaysia ini

mentwitter panduan mengelak Porak Peranda Perancis di bumi Kita!

Leave a Reply