|Puisi| Ketika Kau Tak Lagi Bertanya Mengapa

|Puisi| Ketika Kau Tak Lagi Bertanya Mengapa

  • Post category:PUISI

Oleh: Hidayu Hatta

ketika kau tak lagi bertanya mengapa
seorang anak kebuluran mahu jadi pencuri
ibunya tak sempat mengajarkan
rahmat Tuhan untuk orang lapar
juga tentang neraka pembakar
orang-orang yang tak bayar hutang
membeli susu bayi-bayinya

ketika kau tak lagi bertanya mengapa
seorang anak tujuh tahun menghisap gam
bapanya tak sempat mengerjakannya
malam tadi dikerjakan polis
berjalan tanpa pengenalan
sesudah dua puluh tahun bertahan
ke balai penguasa memohon surat
setiapnya membayar palat

ketika kau tak lagi bertanya mengapa
seorang anak dibanting tulangnya
diburuh dan dipijak
apakah yang lebih kejam
selain digaji seringgit sejam
tapi ibunya menyuruh kerja membantu bapa
wang tak cukup membeli ubat
adik di buaian tenat melarat

ketika kau tak lagi bertanya mengapa
seorang anak mati lagi
para doktor tak ada menyelamatkannya
para doktor pun tak tahu
ada bayi lahir di rumah kerana tak mampu
ada bayi lahir
menjamah susu pekat manis dicampur air
ibunya kering susu
bapanya kering wang
anaknya mati – siapa kering mata
bukankah mereka yang berdosa?

ketika kau tak lagi bertanya mengapa
saudaramu hidup dipersoal
mati tak ditanyakan.

15052019
(demi kesakitan anak-anakku lahir tanpa surat)

Leave a Reply