Puisi itu Lagu

Puisi itu Lagu

  • Post category:ARTIKEL

Oleh: adiHJ

Beberapa hari lalu, waktu lepak bersama kawan, dia capai buku puisi dari beg saya dan bertanya perihal kesedapan puisi-puisi di dalam buku itu. Saya jawab, tidak sedap. Seperti dipaksa-paksa. Bila baca, saya tersekat-sekat. Begitu.

Oh boy, I couldn’t be more wrong.

Baik. Ini teori saya, seperti mana kita boleh rasa setiap zarah perasaan si penulis di dalam puisinya, begitu juga kita boleh rasa keterpaksaan si penulis. Tambah, kalau saya baca puisinya tersekat-sekat, hakikatnya si penulis juga dalam keadaan tersekat sewaktu menulis. Dalam erti kata lain, tidak mengalir tulisannya. Tidak disertakan roh. Tiada dia di dalam.

Tapi, ada pengecualian. Sebab bila kawan saya tulis puisi, dia akan paksa masukkan diksi-diksi berat yang entah dari mana dia kutip tapi jadi tepat dan melekat. Selama ini, tekniknya itu menjadi suatu yang mistik bagi saya. Boleh diperjelaskan, namun sukar untuk di mengertikan. Begitu. Dia mengingatkan saya kepada si genius August (dalam filem August Rush), yang sudah mengalir jiwa pemuzik itu sejak lahir. Di mana saja dia pergi, muzik itu bersamanya. Biarpun daripada suara ngiauan seekor kucing di ceruk ibu kota. Dan kawan saya, sama seperti saya, tidak belajar ilmu sajak/puisi secara formal. Namun dia, melalui ritual pembacaan serta kajian komprehensif terhadap puisi dan sajak yang dia gemari, sudah cukup untuk membuatkan dia terbang sama tinggi bersama para penyair yang kau banggakan.

Jawapan kawan saya mudah. Kalau Pak Sapardi kata; puisi itu bunyi, kawan saya kata; puisi itu lagu. Lagu dalam konteksnya di sini sama seperti beat dalam RaP (Rhythm and Poetry). Begini, setiap diksi, kata ganda, mahupun tanda koma itu dipahat di dalam puisi dengan tepat. Kau tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah. Tambah satu huruf atau perkataan, akan mengganggu nafas si pembaca. Buang satu huruf atau perkataan, akan menyebabkan kau dimaki seumur hidup.

Jadi, teori saya di awal tadi itu salah. Kawan saya sudah mencantasnya. Kalau ada syeikh puisi, barangkali saya sudah dilabel sesat kerana mengatakan sesebuah puisi tidak sedap.

Jadi fiqhnya begini, kita tidak boleh katakan puisi seseorang tidak sedap. Begitu juga dengan beratus-ratus puisi di luar sana. Lagipun, kan puisi dan sajak in bersifat subjektif. Tidak sedap bagi saya, tapi sedap bagi orang lain. Seperti kopi dan teh.

Tidak adil bagi mereka kerana kita membaca puisi mereka dengan lagu kita sendiri. Sebab itu kita tersekat-sekat waktu membaca. Kita tidak boleh membaca puisi klasik dengan lagu puisi kontemporari. Begitu juga puisi konvensional ataupun mainstream, kita tidak boleh sembarang baca mengikut lagu spoken word. Itu sudah melanggar norma. Setiap puisi itu berbeza lagunya. Puisi Widji Thukul, Peringatan boleh saja dibaca dengan lantang seperti seorang pemidato, tapi agak kekok didengar jika dibaca berayun-ayun seperti penyair sekolah rendah.

Btw, saya benci lenggokan puisi sekolah rendah. I mean come on. Ini saya tidak kisah kalau direjam ataupun dilabel sesat oleh syeikh puisi. Silakan.

Dia sambung lagi, kawan saya. Kadang-kadang puisi itu hanya akan sedap jika dibaca secara lisan dan bukannya di dalam hati. Baru kita boleh bayangkan bagaimana lagu si penulis itu. Saya setuju. Ada beberapa puisi yang bila dibaca begitu saja tidak meninggalkan kesan. Tapi setelah dipersembahkan puisi atau sajak tersebut, baru kita rasa gemuruh di dalam jiwa. Terutamanya bila sajak itu dipersembahkan oleh penulisnya sendiri. Sebab mereka tulis berdasarkan lagu yang mereka susun sendiri.

Seperti mana persembahan Jack Malik di If Walls Could Talk dan persembahan Amal Kassir di Brave New Voice (Final). Video mereka ada di YouTube. Kau wajib tonton video ini. Sila tonton tanpa gangguan kucing mahupun notifikasi watsap. Pakai earphone kalau boleh, hayati, rasai, selami, amalkan.

Baik.

Ini adalah fatwa. Puisi itu haram dibiarkan terkubur di dalam buku mahupun telefon pintar kau. Puisi itu wajib dipersembahkan biarpun di atas gunung dan penontonnya cuma sekumpulan burung berterbangan. Puisi ini seperti seekor burung merak yang cantiknya wajib diperagakan di khalayak ramai. Barulah ia menjadi sempurna.

Dan kau bacalah, deklamasikanlah, persembahkanlah, mengikutmu. Rentak, gayamu, lagumu. Puisi itu lagu dan kaulah penyanyinya. Kami sekadar penonton yang hauskan lagumu.

Dan seperti entri sebelum ini, beriku merupakan kata-kata motivasi bersifat sufi yang boleh kau cedok dan tempel di status fesbuk mahupun twitter.

Dalam puisi itu harus ada rimanya, dan di sebalik rima itu harus ada lagunya, dan di sebalik lagu itu harus ada diksinya, dan di sebalik diksi itu harus ada hurufnya, dan di sebalik huruf itu harus ada rohnya, dan di sebalik rohnya itu ada dia. Dan dalam dia, ada kita ada semua, bak kata M. Nasir.

Leave a Reply