WACANA

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.

  • borneokomrad1@gmail.com
PPSMI; lain yang rosak, lain yang dibaiki
gambar kredit LearningLitOff

PPSMI; lain yang rosak, lain yang dibaiki

Oleh: Nur Huda

Memanjangkan tulisan Rahman Imuda, produk PPSMI yang gagal, juga menyorot semula tulisan professor tersohor, saya ingin menambahkan sedikit rencah ke dalam periuk.

Setakat pembacaan saya di dalam riuh rendah perbahasan tentang PPSMI ini, saya dapati balas-membalas hujah ini akhirnya membawa kepada kesimpulan bahawa masalah sebenar ialah pelajar kita gagal menguasai bahasa Inggeris. Maka secara logik dan berakal, subjek bahasa Inggerislah yang sepatutnya diperkasakan. Tetapi dengan tidak semena-mena, matapelajaran sains dan matematik pula yang diseret.

Saya tidak mahu lagi mengulang-ulang hujah yang telah diperkatakan khalayak. Saya cuma mahu memberi pandangan tentang dua perkara. Pertama, pembelajaran sains dan matematik perlu dan mesti dilaksanakan di dalam bahasa yang difahami oleh pelajar. Kedua, pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris TIDAK menyumbang kepada peningkatan penguasaan bahasa Inggeris mereka.

Apabila kita bercakap tentang pembelajaran sains dan matematik, tumpuan sepatutnya adalah kepada kemahiran menguasai ilmu sains dan matematik, supaya pelajar memahami secara mendalam konsep-konsep di dalam sains dan matematik. Belajar memahami sesuatu perkara/konsep hanya berkesan dilakukan di dalam bahasa yang difahami.

Apabila ada orang tersesat jalan dan meminta bantuan untuk menunjuk arah, kita mesti memberi arahan di dalam bahasa yang difahami, walaupun boleh sahaja menggunakan tangan menunjuk arah ke depan, kiri dan kanan. Kerana kita masih perlu menerangkan tentang kedudukan, jarak, tanda, tempoh dan sebagainya, supaya dia boleh sampai ke tempat yang betul pada masa yang tepat. Inikan pula menerangkan tentang teori dan konsep rumit dalam sains dan matematik. Tentulah perlukan kemahiran komunikasi yang baik, menggunakan medium –bahasa– yang sesuai, yang boleh difahami oleh pelajar.

Memperkasakan sains dan matematik (atau apa sahaja matapelajaran) adalah dengan memberi faham kepada pelajar tentang subjek tersebut. Instrumen pengajaran yang boleh terlibat adalah pemilihan topik pengajaran yang tepat, bahan bacaan berkualiti, peralatan pengajaran yang bersesuaian dan suasana pembelajaran yang dinamik. Tetapi instrumen-instrumen ini adalah keperluan sampingan sahaja. Paling utama, pelajaran yang disampaikan oleh guru mesti berjaya diterima oleh pelajar. Jika penyampaian ini tidak berjaya, terhalang dek tembok bahasa, tidak kira betapa handal pun gurunya, berapa mahal dan canggih pun peralatan mengajar, betapa bijak pun pelajar tersebut, pembelajaran tidak akan berjaya.

Jika belajar sains dan matematik hanyalah sekadar menghafal nama dan istilah, memanglah lebih mudah menggunakan istilah yang digunakan di peringkat antarabangsa. Harus diingat, di zaman moden ini, penterjemahan istilah hanyalah dihujung jari. Jadi nama dan istilah dalam bahasa apa pun bukanlah isu yang sangat besar, sehingga mendesak untuk ditukarkan keseluruhan bahasa pengantara.

Pembelajaran sains dan matematik jauh lebih besar dari sekadar mengenal nama dan istilah. Penguasaan sains dan matematik adalah tentang kebolehan berfikir secara kritis, mempunyai kecurigaan terhadap pemerhatian, bereksperimen dengan pengalaman, dan berupaya menterjemahkan pemerhatian dan pengalaman secara objektif. Bagaimana seseorang boleh berfikir, berangan, berimaginasi dan bereksperimentasi di dalam bahasa yang dia tidak biasa? Mungkin boleh. Tidak ada yang mustahil. Tetapi bolehkan ia mencapai puncak yang paling tinggi dan dasar yang paling dalam?

Jika seorang professor mengatakan “No need for little Einsteins”, jika kita cuma perlu orang yang tahu matahari adalah bintang, pesawat mendarat kerana graviti dan sungai kotor kerana pencemaran, tidak perlulah kita riuh rendah, gegak gempita, berbalah bertumbuk tentang bagaimana sains dan matematik diajar di sekolah. Kita mahu mencari Einsteins kita sendiri, kita mahu mencapai kecemerlangan dalam sains dan matematik, kita mahu bercakap tentang kajian pada aras tinggi dan penemuan baru yang breaking edge. Kita tidak mahu lagi menjadi mediocre. Sebab itu kita bersungguh-sungguh ingin menjadikan pembelajaran sains dan matematik ini berjaya.

Saya faham terdapat kerisauan tentang kebolehan berpartisipasi dalam perbincangan saintifik di peringkat antarabangsa. Biar saya jelaskan di sini. Di dalam perbincangan (colloquium) saintifik, yang paling penting dan diutamakan ialah pengetahuan saintifik dan kebolehan mencari penyelesaian secara kritikal. Barulah saintis dan ahli matematik mengajak kita berbincang dan hujah kita didengar. Mereka tidak peduli pun andai kita bercakap bahasa Inggeris dengan slanga Yorkshire English, tetapi jika merit dalam sains tidak cukup bagus, mereka tak akan pandang kita secara serius. Orang bijak pandai tidak menilai kepintaran seseorang melalui penguasaan bahasa Inggeris.

Jika kita langsung tidak boleh berbahasa Inggeris, memang kita tidak boleh dengan mudah berkomunikasi di peringkat antarabangsa (walaupun ini tidak mustahil kerana di zaman ini banyak sahaja teknologi yang boleh menyelesaikan masalah ini). Jika kerisauan kita ialah tentang kebolehan berkomunikasi, maka bahasa komunikasi tersebut perlu diperkasakan. Ini hanya boleh dilakukan dengan memperkasakan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.

Tidak seperti subjek sejarah atau sastera, sains dan matematik tidak banyak ‘bercakap’. Perungkapan dalam sains adalah secara straight to the point, tanpa berbasa-basi, tanpa perlu ayat panjang, istilah bombastik, berbunga-bunga bersulamkan retorik. Operasi matematik pula diungkapkan dengan bahasanya sendiri, menggunakan simbol-simbol yang boleh difahami tanpa perlu membina ayat dengan tatabahasa lengkap. Sebab itu soalan peperiksaan matematik tidak ditanyakan dalam bentuk karangan atau esei.

Dengan penggunaan bahasa yang sangat terhad dalam kedua-dua subjek ini, mana mungkin bahasa Inggeris –atau bahasa apa sekalipun– boleh diperkasakan melalui subjek-subjek ini. Pada akhirnya, bahasa Inggeris tidak berjaya diperkasakan, pengetahuan sains dan matematik pula yang terkorban.

Kerisauan saya cuma satu; bagaimana jika penawar kepada kanser berada di dalam otak seorang anak yang tidak mahir barbahasa Inggeris?

Leave a Reply

Close Menu