WACANA

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.

  • borneokomrad1@gmail.com
PKP di Sabah: Menyikap Nasib Komuniti Terpinggir & Peranan Masyarakat Sivil

PKP di Sabah: Menyikap Nasib Komuniti Terpinggir & Peranan Masyarakat Sivil

Oleh: Rien Sd

Sandakan, Sabah – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19 adalah keputusan yang baik dan cermat. Namun begitu, pelaksanaan PKP di Sabah terutamanya di Sandakan telah menyebabkan banyak komuniti kurang mampu dan teringgir dalam kalangan masyarakat tanpa dokumen, migran Filipina dan Indonesia, pelarian dan komuniti tanpa negara terjejas teruk dari segi bekalan makanan akibat terputusnya mereka dengan aktiviti ekonomi yang bergantung kepada pendapatan harian. Biasanya komuniti ini bergantung sepenuhnya kepada aktiviti ekonomi di laut. Selain Perintah Berkurung yang dilanjutkan setiap dua minggu oleh ESSCOM di kawasan ESSZONE, PKP turut menghalang mereka untuk turun ke laut mencari hasil pendapatan. Sebahagiannya lagi adalah buruh kasar yang tertumpu di pekan dan pusat bandar. 

Komuniti ini adalah dalam kalangan keluarga yang memiliki tanggungan ramai. Hampir semua daripada komuniti yang terjejas ini memiliki bilangan isi rumah melebihi 5 orang. Hampir setiap keluarga memiliki sekurang-kurangnya satu (1) anak kecil. Latar belakang keluarga yang hidup di kawasan setinggan, kumuh dan tiada akses kepada air bersih telah menyebabkan komuniti ini terancam dengan jangkitan Covid-19. Ketiadaan sistem sanitasi yang rapi dan keadaan rumah yang terlalu rapat mendedahkan komuniti ini kepada wabak yang sedang menular. 

Pengumuman kerajaan Sabah dalam membantu kebajikan rakyat dilihat tidak memihak kepada komuniti ini kerana hanya data penerima miskin yang tersimpan dalam e-Kasih sahaja yang menikmati bantuan. Adapun dari sudut penguatkuasaan undang-undang di perairan, hal yang sama turut berlaku di Fasa 1 PKP apabila komuniti yang menetap di pulau-pulau tidak dibenarkan ke pekan sekaligus bantuan daripada kerajaan dan NGO tidak masuk ke pulau. 

Namun demikian, Fasa 2 PKP telah menunjukkan beberapa peningkatan yang baik. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di setiap daerah telah memudahkan NGO dan NGI untuk menyalurkan sumbangan kepada komuniti yang terjejas tidak kira warganegara ataupun bukan. Di Sandakan, NGO yang menyalurkan bantuan kepada masyarakat miskin (lokal) di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR), setinggan-setinggan (melibatkan bukan warganegara) tidak melebihi 10 NGO (menurut data JKM daerah Sandakan). 

Bantuan kepada warga dan bukan warga hampir sama dari sudut item dan kuantiti. Bergantung kepada pemberi sama ada kerajaan (Adun/MP) atau Unit Pembangunan Perkhidmatan Masyarakat (UPPM) atau NGO. Item yang biasanya diserahkan adalah pek makanan (barang dapur) seperti beras, gula, minyak, tepung, biskut, kopi atau teh, mihun, makanan tin, lampin bayi dan susu bayi. 

Namun, dalam kerancakan bantuan kemanusian dan agihan pek makanan ini, masih ramai komuniti terpinggir yang masih tidak menerima apa-apa bantuan. Pergerakan yang limit akibat banyaknya pemeriksaan polis di jalan raya. Komuniti terpinggir yang memiliki masalah dokumentasi khuatir untuk ke pekan bahkan risau untuk ke hospital untuk membuat saringan Covid-19 sekiranya mereka memiliki simptom kerana risau ditangkap oleh pihak Imigresen. Hal ini hampir serupa di setiap daerah khususnya di pantai timur Sabah. Komuniti di 10 daerah pantai timur ini kebanyakannya bergantung kepada aktiviti ekonomi di laut. 

Masyarakat sivil yang terdiri daripada NGO dan NGI ataupun kolektif aktivisme hendaklah membaca situasi ini dengan cermat. Pendataan isi rumah dan mengenal pasti masalah utama masyarakat terpinggir yang terjejas sepanjang PKP ini disebabkan aktiviti ekonomi yang surut ataupun polisi kawalan keselamatan oleh kerajaan ataupun kerana komuniti ini memang ghaib daripada masyarakat hatta sebelum PKP dilaksanakan. 

Tiada air mata yang diperlukan ketika ini. Air mata pekerja sosial dalam melihat kepayahan ini sama sekali tidak akan membasuh luka yang ditanggung oleh komuniti ini. Mereka perlukan setiakawan bukan kawan tolong kawan ataupun solidarity not charity. Saya harap NGO dan NGI komited menguar-uarkan tentang keperitan masyarakat terpinggir di seluruh Sabah. Tolong, jangan gambarkan masyarakat ini seakan-akan putus harapan, menadah belas, meminta kasih atau apa-apa yang menyifatkan mereka dengan gambaran yang sedih. Paparkan kepada semua bahawa komuniti ini mandiri dan berdikari namun PKP telah mencantas peluang mereka untuk mencari rezeki.

Rien SD adalah koordinator bagi Cahaya Society. Ikuti perkembangan mereka di sini.

Leave a Reply

Close Menu