Perjalanan

Perjalanan

Oleh: Noor

Aku perlahan-lahan menutup buku latihan Bahasa Melayu Tahun 1, sambil mengemas barang-barang mengajar yang merata-rata di atas meja belajar. Anak-anak murid kelas A Samad Said juga sibuk mengemas barang-barang mereka. Kelas Bahasa Melayu pada hari Sabtu minggu kedua September baru sahaja tamat. Cuaca di Teluk Layan terik seperti biasa tetapi ia datang bersama angin nyaman dari Laut Cina Selatan.

“Cikgu, ndak dapatku ikut sekolah hari Khamis sama Jumaat”, Razmel bercakap padaku dengan suara perlahan. Bicaranya jelas biarpun berlatar belakangkan suara anak-anak kecil yang ribut menjerit dan berlari ke sana ke mari di sekeliling kami.

“Kenapa Razmel?” Aku berhenti mengemas dan memandang tepat pada anak mata anak muridku ini. Wajahnya sugul. Dia cuba senyum tapi senyumannya kelat.

Razmel adalah salah seorang anak muridku di Sekolah Alternatif Kota Kinabalu. Berumur 15 tahun, dia antara yang paling ‘dewasa’ dalam kalangan anak-anak muridku yang lain. Sudah mahir menulis dengan kemas dan cantik namun masih terbatas kemahiran membacanya – Razmel masih banyak ragu-ragu untuk membaca tanpa bantuan kawan-kawannya. Melihat pada tubuhnya yang semakin tumbuh meninggi lampai, aku boleh jangka jawapan yang akan dibalas.

“Aku sudah mula bekerja.” Ringkas jawapan Razmel.

Satu-persatu aku bertanya perihal kerjanya. Berdikit-dikit jawapan aku dengar dan cuba proses. Daripada jawapan Razmel, di sebalik perasaan galau, aku selit rasa syukur dalam hati kerana Razmel masih ada kemahuan kuat untuk terus belajar. Aku faham pada usia remaja sebegini, Razmel seperti rakan-rakannya yang lain, sudah mula perlu memilih antara kemahuan dan keperluan. Kemahuan untuk belajar kerana keperluan untuk menjadi insan yang tercerah dalam kalangan keluarganya, kemahuan untuk bekerja memenuhi keperluan bagi menjamin makan minum setiap hari keluarga. Aku tahu bukan kuasa aku untuk memberi kata putus untuk situasi Razmel namun aku gembira kerana anak muridku mahu berkongsi tentang pilihan dan pendapatnya. Mengambil kira pendapat itu bukan bererti aku perlu menuruti setiap kemahuannya. Suara anak-anak harus didengari dan dipertimbangkan dengan ihsan. Menimbang kira pandangan anak-anak itu sebahagian daripada proses ikatan jiwa. Jiwa kita dan jiwa mereka.

Setelah bertukar cerita dan nasihat, aku setuju untuk Razmel hadir sekolah pada hari Sabtu sahaja.

“Tapi aku mahu juga belajar Bahasa Inggeris. Boleh ka cikgu ajar aku nanti?” Kata Razmel buat aku sedikit tersentak. Mengikut jadual sekolah, kelas Bahasa Inggeris hanya berlangsung pada hari Khamis dan Razmel peka akan kerana pilihannya, peluang untuk belajar Bahasa Inggeris kini tipis.

‘Benar anak ini betul-betul mahu belajar’, getus hati. Tanpa berfikir panjang, aku lantas bersetuju. “Baik, kita buat kelas tambahan Bahasa Inggeris setiap hari Sabtu. Selepas tamat sesi persekolahan jam 12.”

“Yeay! Terima kasih cikgu!” Senyuman yang kelat tadi sudah terukir baik dengan manis. Tiba-tiba satu kelas bersorak mengiringi senyum gembira Razmel. “Yeay! Kami mahu ikut kelas tambahan juga cikgu. Biar belajar dua kali”. Rupa-rupanya anak-anak muridku yang lain curi-curi mengikuti perbicaraan antara aku dan Razmel. Aku senang hati melihat gelagat anak-anak yang sedang mendewasa ini.

Bersama rasa senang, ada seribu satu kerisauan yang tidak pernah terubat sejak hari pertama aku mengenali anak-anak ini. Situasi Razmel adalah tidak berbeza dengan situasi anak-anak tanpa dokumen yang sedang tumbuh dewasa. Di saat mereka kecil, mereka boleh terus tersenyum ketawa biarpun sebahagian daripada alam berkonspirasi untuk memijak henyak mereka. Namun di saat umur mereka memasuki belasan tahun, mereka sudah mula perlu berdepan dengan konspirasi dunia, perlu menjawab persoalan-soalan besar yang melibatkan keberlangsungan hidup, diri dan keluarga. Aku tahu bahawa rakan-rakan Razmel; Alkan dan Hassan di Sekolah Alternatif Tawau, Halid dan Suhaimah di Sekolah Alternatif Semporna, Semah dan Norman di Sekolah Alternatif KK; masing-masing dalam rangka usia yang mana jiwa mereka sedang berhempas pulas bergelut dengan realiti kehidupan. Senyum mereka masih ada, tetapi mungkin sedikit sahaja yang tulus dari diri. Malah sudah ada anak-anak muridku memilih untuk meninggalkan sekolah dan bekerja sepenuh masa pada usia muda. Kudrat tulang kecil mereka dijual beli dengan nilai mata wang.

Situasi sebegini buat aku beberapa kali mencari ruang sepi di sebalik hiruk-pikuk dunia untuk berfikir tentang hari-hari esok bagi anak-anak ini. Mencari ruang untuk refleksi tentang perjalanan perjuangan bersama anak-anak ini, apakah destinasinya? Apakah anak-anak mahu terus percaya akan kebarangkalian yang baik bagi hari-hari seterusnya?

Percaya itu berat.
Kerana bersama percaya itu perlu ada pelaburan.
Kerana kita percaya, kita komited mahu melaburkan tenaga, idea, masa, rasa, harta juga nyawa.
Kerana kita percaya, kita mahu mendakap penuh harapan yang kadang samar-samar entitinya.
Namun, adakah setiap pelaburan itu ada pulangannya?
Jika ada, pulangan seperti apa yang kita impikan?

Tapi,
Kepada siapa percaya itu disandarkan?
Daripada siapa pulangan pelaburan itu diharapkan?

“Tuhan, berdampinganlah dengan kami sepanjang perjalanan ini.
Kami berlindung pada-Mu dari rasa sedih dan gelisah,
Dan kami berlindung pada-Mu daripada sifat lemah dan malas,
Dan kami berlindung pada-Mu daripada sifat pengecut dan cengkaman penindasan orang,
Peliharalah kami agar tiada siapa diantara kami dalam kalangan orang yang rugi.”

Leave a Reply