Pergerakan Watak Utama Dalam Novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck karya HAMKA

Pergerakan Watak Utama Dalam Novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck karya HAMKA

  • Post category:ARTIKEL

Oleh : Yeyen Khoo

Makalah kali ini membincangkan tentang pergerakan watak utama dalam Novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck merupakan sebuah novel Karya HAMKA yang telah diadaptasi dalam bentuk filem, terbitan semula PTS Publication Sdn. Bhd. Novel setebal 284 halaman ini mengandungi 28 bab. Kesemua bab digarap dengan baik dan dipersembahkan secara teratur dan seimbang.

    Menurut Shahnon Ahmad (1979), dalam sesebuah fiksyen ada manusia yang memainkan peranan. Manusia-manusia ini dicipta bagi memperkenalkan diri dan diberi fungsi untuk mendukung idea pokok yang dikenali sebagai watak dan perwatakan. Watak ialah perilaku yang memainkan peranan menggerakkan dan mengembangkan jalan cerita yang disampaikan oleh pengarang sama ada watak itu manusia ataupun binatang yang diberikan sifat manusia. Pergerakan watak utama dalam novel ini berkait rapat dengan latar tempat yang berbeza mengikut kesesuaian jalan cerita yang disampaikan oleh pengarang. Oleh itu, fokus perbincangan dalam makalah ini tertumpu kepada watak utama iaitu Zainuddin.

    HAMKA dengan jelasnya meletakkan Zainuddin sebagai watak utama yang akan memandu pergerakan cerita dalam novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Zainuddin yang berlayar menuju ke kampung halaman ayahnya iaitu Batipuh, Padang Panjang untuk mencari kerabat keluarganya. Zainuddin hanya seorang yang melarat, tidak bersuku kerana ibunya berdarah Bugis dan ayahnya berdarah Minang. Statusnya dalam masyarakat Minang bernasabkan garis keturunan ibu tidak diakui sehingga dianggap  tidak berketurunan Minang dan tidak mempunyai suku. Namun begitu, dia digambarkan sebagai orang yang kuat berpegang pada prinsip. Kedukaan hidupnya telah menyebabkan dia bangkit sehingga menjadi penulis tersohor dan berjaya.

    Tindakan Zainuddin telah menjadi buah mulut orang. Dia bangkit dari tidurnya dan mula berhijrah ke tempat lain untuk melupakan kenangan pahitnya. Novel ini dengan tepat memperlihatkan kegigihan dan ketabahan seorang anak muda yang meniti jalan hidup yang berliku. Ternyata pada akhirnya, usaha Zainuddin membuahkan kejayaan yang membanggakan semua pihak walaupun pada awalnya dipandang enteng oleh orang-orang sekelilingnya.

    Pada keseluruhanya, pengarang novel ini banyak menampilkan peristiwa-peristiwa menarik yang berlaku di beberapa lokasi di Jakarta. Kebanyakan latar tempat yang digambarkan dalam novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ialah kawasan-kawasan desa. Adapun latar  kota namun sedikit. Antaranya, Makassar, Batipuh, Padang Panjang, Dangau, Batavia, Surabaya, Lamongan dan Pelabuhan Tandjoeng Perak. Hampir 90 peratus novel ini diarahkan di kawasan pedalaman Jakarta.

    Berikut disertakan huraian peristiwa yang melibatkan pergerakan watak utama dalam novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck mengikut bab :

Bab 1: Anak Orang Terbuang

Zainuddin yang bermenung di rumah bentuk Mengkasar, di jendela yang menghadap ke laut di Kampung Baru dan Kampung Mariso. Seorang anak muda yang berusia kira-kira 19 tahun duduk termenung mengingati pesan ayahnya – negeri aslinya bukanlah Mengkasar. Jika Mengkasar ada Gunung Lompo Batang dan Bawa Kara Eng, di kampungnya ada dua gunung bertuah iaitu Gunung Merapi dan Singgalang.

Bab 2: Yatim Piatu

Mak Base bercerita kepada Zainuddin tentang kematian ibu dan ayahnya. Ketika Zainuddin masih merangkak-rangkak ibunya telah menghadapi sakaratulmaut. Zainuddin masih tertawa dan melonjak-lonjak dalam pangkuan Daeng. Pada suatu malam petang Khamis malam Jumaat pula, sedang ayahnya duduk di atas tikar sembahyang, dia telah meninggal dunia. Zainuddin bersedih dan meratap memanggil-manggil.

Bab 3: Menuju Negeri Nenek Moyang

Zainuddin berangkat ke Padang untuk melihat tanah asal kelahiran ayahnya di samping mahu mempelajari ilmu akhirat. Pukul 5 sore kapal belayar menuju ke Surabaya, Semarang, Jakarta, Bengkulu dan Padang. Zainuddin mengungkapkan pepatah orang Mengkasar: “Anak laki-laki tak boleh dihiraukan panjang, hidupnya ialah buat berjuang, kalau perahunya telah dikayuhkan ke tengah, dia tak boleh surut palang, meskipun bagaimana besar gelombang. Biarkan kemudi patah, biarkan layar robek, itu lebih mulia daripada membalik haluan pulang.”

Bab 4: Tanah Asal

Zainuddin sampai di Padang Panjang. Dia tidak diterima oleh orang-orang di sana. Namun, di situlah titik perkenalan antara Zainuddin dan Hayati bermula.

Bab 5: Cahaya Hidup

Zainuddin mulai berkiriman surat dengan Hayati. Inti surat Zainuddin berupa luahan terhadap rasa ingin bersahabat kepada Hayati. Namun, pertemuan mereka semakin hari semakin berkurangan kerana Zainuddin malu dan takut sekiranya permintaannya tidak berbalas.

Bab 6: Berkirim-kiriman Surat

Rasa cinta Zainuddin diluah lewat surat. Ketiga-tiga surat telah dihantar kepada Hayati namun tidak berbalas. Akhirnya, mereka bersemuka. Zainuddin nekad untuk menjadikan Hayati bukan sahaja sahabat malah lebih dari itu.

Bab 7: Pemandangan di Dusun

Zainuddin mulai tidak disenangi ekoran terlalu rapat dengan Hayati. Orang-orang kampung tidak mahu Zainuddin bersama Hayati kerana dianggap tidak bersuku, anak orang terbuang dan tidak dipandang sah dalam adat Minangkabau sedangkan Hayati seorang anak bangsawan berketurunan penghulu-penghulu. Setelah itu, Zainuddin telah dihalau dari Batipuh.

Bab 8: Berangkat

Setelah mengingati kata-kata sindirian dari Datuk, Zainuddin seolah-olah mahu menyalahkan takdir. Dia mulai sesal akan perkahwinan ayah dan ibunya. Lantas, Zainuddin bertemu dengan Hayati untuk mengucapkan kata-kata terakhir. Hayati telah bersumpah untuk tidak akan mengkhianat janjinya. Sebagai tanda mata, Hayati menyerahkan selendangnya kepada Zainuddin.

Bab 9: Di Padang Panjang

Zainuddin tinggal di Kampung Silaing. Hayati masih berutusan surat dengan Zainuddin. Di kota ini Zainuddin telah belajar agama, mempelajari bahasa Inggeris dan mendalami bahasa Belanda.

Bab 10: Pacu Kuda dan Pasar Malam

Hayati berangkat ke Padang Panjang bertemu sahabatnya Khadijah ketika kebetulan pacuan kuda dan pasar malam sedang berlangsung. Atas alasan itu Hayati bertemu dengan Zainuddin. Zainuddin mengenakan sarung Bugis ke pesta itu. Betapa Zainuddin terkejut melihat Hayati yang mengenakan pakaian seksi. Telah hilang pakaian aslinya yang sopan dan tertutup. Zainuddin mengutuskan surat-surat menasihati kepada Hayati.

Bab 11: Bimbang

Kewujudan Zainuddin mulai dipertikai oleh orang-orang yang mengkehendaki Hayati iaitu Khadijah.

Bab 12: Meminang

Zainuddin berasa rawan selepas menerima sepucuk surat yang menyatakan mak angkatnya Base telah meninggal dunia. Zainuddin menghantar surat kepada Datuk untuk menyatakan lamarannya.

Bab 13: Pertimbangan

Lamaran Zainuddin telah ditolak dan Aziz telah dipilih menjadi suami Hayati.

Bab 14: Pengharapan yang Putus

Hati Zainuddin telah remuk. Dia memutuskan untuk bertanya lagi namun sudah tiada harapan lagi. Dia mulai menceritakan halnya sejak mulai ayahnya terbuang, kematian ayah dan ibunya, perjalanan ke Minangkabau, perkenalan dengan Hayati, dia diusir orang dari Batipuh, kematian mak angkatnya, suratnya ditolak orang, sampai kepada surat Khadijah yang baru diterimanya. Semua membikin hiba. Zainuddin mengutuskan suratnya yang terakhir sebelum Hayati berkahwin.

Bab 15: Perkahwinan

Setelah mendengar khabar pernikahan Hayati, lemah sendi tulang Zainuddin. Dia kembali ke kamar dan duduk menghadap meja sambil melepaskan air mata. Sepagian Zainuddin tidak keluar dari kamar. Demam sehingga seteguk air pun sukar diminum kerana sudah tidak ingat diri. Kekecewaan yang melampau sehingga dia hampir gila.

Bab 16: Menempuh Hidup

Dua bulan Zainuddin sakit. Zainuddin mendapat nasihat daripada Muluk, seorang sahabat yang sentiasa bersamanya dari awal kejatuhan. “….Guru telah jatuh sehinanya selemah ini seakan-akan ditusukkannya bilah keris yang tajam ke ujung jantung Guru, sehingga kalau bukan kasihan Allah, binasa Guru dibuatnya.” Zainuddin menangis tersedu-sedu, meratap terisak-isak.

Bab 17: Jiwa Pengarang

Ditinggalnya Pulau Sumatra, masuk ke Tanah Jawa, medan perjuangan penghidupan yang lebih luas. Sesampai di Jakarta, disewanya sebuah rumah kecil di suatu kampung yang sepi bersama Muluk. Di sanalah Zainuddin menyudahkan karangan-karangannya yang terbengkalai. Dikirimnya surat-surat kepada akhbar dan mendapat honorarium meskipun kecil. Setiap Sabtu, keluarlah cerita yang dikarang oleh leter ‘Z’. Awalnya Zainuddin yang datang sendiri ke kantor surat khabar akhirnya redaksi surat khabar itulah yang datang meminta karangannya. Setelah itu Zainuddin dan Muluk berpindah pula ke Surabaya kerana di sana lebih dekat dengan Mengkasar dan penerbitan buku masih sepi.

Bab 18: Surat-surat Hayati kepada Khadijah

Bab ini hanya menceritakan surat-surat antara Hayati dan Khadijah. Namun Hayati banyak menceritakan mengenai penulis buku ‘Terusir’ yang seakan-akan Zainuddin.

Bab 19: Klub Anak Sumatra

Pementasan ‘Berbalik Pulang’ telah diadakan di Gedung Klub. Cerita seorang anak muda yang terlalu menurutkan angan-angan menyangka bahawa perempuan yang dicintainya sesuci dan secantik perempuan yang ada di dunia. Selesai pementasan, keluarlah pengarang cerita tersebut iaitu ‘Z’, Tuan Shabir dari tonil, dia turun ke bawah diiringi pemain-pemain dan pengurus.  Zainuddin telah menukar namanya kepada Shabir. Lenggang badannya, raut wajah semuanya telah berubah, bukan Zainuddin yang penyedih hati lagi. Hayati dan Aziz yang menjadi penonton waktu itu terkejut melihat Zainuddinlah pengarang cerita tersebut.

Bab 20: Rumah Tangga

Hidup di Rantau, tersimpul kembali pertalian persahabatan di antara Zainuddin dan kedua suami isteri (Hayati dan Aziz). Hubungan Zainuddin dan Hayati hanya terbatas sebagai seorang sahabat yang membantu sahabatnya di rantau asing sehingga pernah dua kali Zainuddin ziarah ke rumah Hayati, kebetulan Aziz tiada di rumah. Dianggukkannya kepala kepada Hayati tetapi dia tidak masuk, hanya berjanji akan datang kelak bila Aziz telah kembali.

Bab 21: Hati Zainuddin

Nama Zainuddin telah masyhur di Surabaya dan menjalar ke seluruh Indonesia. Pengarang muda yang pandai bercerita tentang nasib orang-orang sengsara walhal hidupnya tiap hari gembira. Kadang-kadang apabila Zainuddin sedang menulis, dia banyak bermenung, sekali-kali diambilnya biola dilagukannya lagu-lagu sedih dan bernyanyi melayan hati rawan. Pergolakan rumah tangga Hayati dan Aziz bermula, Azizi banyak berhutang, berjoli dan akhirnya diberhentikan kerja. Sudah dua tiga kali Aziz meminjam uang kepada Zainuddin dan akhirnya mereka terpaksa tinggal di rumah Zainuddin.

Bab 22: Dekat Tetapi Berjauhan

Sehabis waktu maghrib, duduklah Zainuddin seorang diri mengepul asap rokoknya. Zainuddin kerap menghabiskan waktunya di luar sepanjang keberadaan Hayati di rumahnya. Hayati berasa tidak selesa kerana merasakan kewujudannya memberatkan orang-orang di rumah Zainuddin. Muluk menceritakan keperitan hidup Zainuddin yang tidak beruntung dan kemudian membawa Hayati masuk ke dalam kamar Zainuddin. Ternyata dalam bilik tersebut terdapat satu gambar yang besar. Gambar itu merupakan gambar Hayati yang ditutup dengan kain sutera. Ditulis di bawah gambar tersebut ‘Permataku yang hilang’. Betapa Zainuddin menjadikan Hayati sebagai cinta agungnya yang tidak pernah tergantikan.

Bab 23: Surat Cerai

Aziz telah mengirimkan surat kepada Zainuddin dengan menyatakan bahawa dia mengembalikan semula Hayati ke tangan Zainuddin. Dia menceraikan Hayati sebelum membunuh diri.

Bab 24: Air Mata Penghabisan

Zainuddin duduk berhadapan dengan Hayati. Perbualan tersebut dimulai oleh Hayati. Zainuddin menggagahkan kata-katanya dengan mematahkan hujah-hujah maaf Hayati. Zainuddin yang selama ini bisa bersabar menerima cubaan, walau bagaimanapun besarnya, sekali ini tidak lagi. Ibarat bergantang sudah amat penuh. Zainuddin nekad menghantar Hayati pulang ke Padang dengan membiayai kos perjalanannya.

Bab 25: Pulang

Kapal Van Der Wijck yang menjalani lin K.P.M dari Mengkasar telah berlabuh di Pelabuhan Tanjung Perak. Sebelum Hayati berangkat pulang, Zainuddin sempat mengucapkan selamat pulang kepada Hayati dan memaklumkan yang dia tidak dapat turut serta menghantar kerana ada urusan kerja. Hayati belayar seorang diri dan sempat mengirimkan sepucuk surat kepada Muluk untuk diserahkan kepada Zainuddin.

Bab 26: Surat Hayati yang Penghabisan

Zainuddin masuk ke dalam rumah sekembalinya dari Malang. Dengan wajah yang muram dan terus ke kamar tulisnya. Muluk menyampaikan surat Hayati kepada Zainuddin. Zainuddin menyatakan kekesalannya melepaskan Hayati pergi. Hidupnya tidak akan tenteram kalau tidak di samping Hayati. Zainuddin mengambil keputusan untuk berangkat ke Pelabuhan Tanjung Perak untuk menjemput kembali Hayati. Setelah itu,  kebetulan surat khabar telah sampai dengan tajuk utama ‘Kapal Van Der Wijck Tenggelam’. Zainuddin dan Muluk bergegas ke rumah sakit. Hayati sedang berbaring dengan kepala dan kakinya penuh perban. Zainuddin mendekati Hayati yang tersedar lemah sambil memeluk meratap. Hayati tidak dapat bertahan lama dan menghembuskan nafas terakhirnya dengan ucapan kalimat syahadat. Zainuddin tidak dapat menahan air matanya. Dia meniarap laksana seorang budak mencium tangan penghulunya. Kemudian dibarutnya kening mayat itu dan diciumnya bibir yang telah pucat. Setelah itu, dia jatuh pengsan.

Bab 27: Sepeninggalan Hayati

Jenazah Hayati telah dibawa ke Surabaya. Zainuddin senantiasa duduk dalam kamar tulisnya dan merenung segala pusaka yang penuh kenangan itu. Sebualan dua Zainuddin hampir tiap hari menziarah kuburan Hayati. Zainuddin kembali mengarang dan menyusun hikayat yang isinya lebih mendalam dan meresap dari yang dahulu.

Bab 28: PenutupSetahun kemudian, Zainuddin wafat dengan meninggalkan satu tulisan akhir di atas mejanya “…dan akan tercapai juga kemuliaan bangsaku, persatuan tanah airku. Hilang perasaan perbedaan dan kebencian dan tercapai keadilan dan bahagia.”

Secara tuntasnya, setelah membaca kesemua bab yang terdapat dalam novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, menunjukkan bahawa watak utama dalam novel ini diperlihatkan oleh pengarang hampir setiap bab. Adapun pada bab 18, watak utama cuma digambarkan dalam bentuk kiriman surat di antara Hayati dan Khadijah.

Oleh itu, dengan menyorot rentetan peristiwa mengikut bab yang berkaitan dengan pergerakan watak utama, pembaca dapat mengikuti plot yang berkaitan dengan perkembangan watak utama dalam novel ini. Lebih-lebih lagi pengarang telah memaparkan kebangkitan seorang pemuda dari jatuh sehingga bangunnya. Penyusunan dari awal cerita sehingga akhir meletakkan kekuatan watak utama untuk diketengahkan dan dijadikan inspirasi oleh para pembaca.

Leave a Reply