WACANA

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.

  • borneokomrad1@gmail.com
Penyedut Minuman Plastik; Perlukah Alternatif?

Penyedut Minuman Plastik; Perlukah Alternatif?


Oleh Nurhuda Manshoor

Menginjak tahun yang baru ini, premis makanan di Kuala Lumpur tidak lagi dibenarkan menyediakan penyedut minuman plastik kepada pelanggan mereka. Ketika diumumkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan pada September lalu, maka gegak gempitalah rakyat Malaysia. Risau betul rakyat mereka apabila penyedut minuman plastik bukan sahaja diharamkan, tetapi bakal dikenakan kompaun sehingga RM1000 sekiranya tidak dipatuhi. Ada yang buntu bagaimana untuk meminum minuman bungkus ikat tepi, ada yang risau tidak lagi boleh meminum minuman berais, ada juga yang sinis membandingkan dengan arak. Begitupun, ada yang lebih pragmatik mencadangkan alternatif kepada penyedut minuman yang diperbuat dari plastik. Telah ada pun di pasaran penyedut minuman bukan plastik ini, cuma kurang mendapat perhatian kerana lebih mahal, leceh untuk dibawa bersama, perlu dibasuh. Lagipun penyedut minuman pakai-buang disediakan secara percuma di restoran-restoran dan gerai menjual minuman. Apa perlunya menyusahkan diri membawa penyedut minuman sendiri, bukan?

Bagaimanakah fenomena penyedut-minuman-plastik ini boleh mencapai perhatian dunia?

Ia bermula apabila satu video memaparkan sekumpulan saintis menarik keluar penyedut minuman sepanjang 10cm dari hidung seekor penyu jenis olive ridley di Costa Rica. Video tersebut menjadi tular dan seluruh dunia tiba-tiba ‘tersedar’ dan banyaklah artikel ditulis, perbincangan dilakukan dan tindakan dirancang. Banyaklah premis perniagaan di seluruh dunia mengambil inisiatif (peluang?) untuk memperkenalkan gantian/alternatif kepada penyedut minuman ini. ‘Inisiatif’ ini akhirnya menjadi strategi pemasaran kepada restoran, hotel, pusat pelancongan. Syarikat-syarikat pembuatan juga dengan pantas mengeluarkan penyedut minuman bukan-plastik, dari jenis biourai, sumber tumbuhan, organik sehinggalah kepada jenis guna-semula yang tahan lama dan boleh diwariskan kepada anak cucu.

Persoalannya di sini, perlukah kita beralih kepada penyedut minuman alternatif tersebut?

Masalah penyedut minuman plastik bukan sahaja dari bahan plastiknya yang mencemarkan alam, mengancam hidupan bumi. Masalah yang lebih besar ialah penggunaan yang keterlaluan (over consumption). Plastik adalah antara penemuan terpenting di dalam sejarah manusia. Plastik sangat versatil, ringan, kalis air, tidak toksik, murah, pelbagai kegunaan dan kebaikan didapati dari perkembangan teknologi plastik. Namun penggunaannya yang berlebihan, melebihi keperluan asas telah mencekik dan menyumbat pernafasan bumi dan isinya.

Bercakap tentang persekitaran, biasanya kita lihat kesan selepas barangan tersebut digunakan dan dibuang. Apabila ia menjadi sampah, adakah ia terurai secara biologi, berapa lama masa yang diambil untuk terurai, berapa tan sampah setiap hari, bulan dan tahun, serta bagaimana untuk mengitar semula. Tetapi alam telahpun terkesan seawal barangan tersebut dihasilkan lagi. Sekiranya barangan tersebut dibuat dari logam, ia perlu dilombong. Jika dari tumbuhan, ia perlukan tanah pertanian, air, baja dan racun. Juga perlu diberi perhatian jumlah tenaga yang digunakan dalam pembuatan, pengangkutan, pengurusan sisa industri dan sebagainya.

Mari kita lihat beberapa alternatif kepada penyedut minuman plastik ini.

1. Penyedut minuman guna-semula.
Terdapat banyak tawaran penyedut minuman logam tahan karat (stainless steel) hasil permintaan para pencinta alam. Ya, ia boleh diguna semula, boleh disimpan lama dan boleh dipusakakan kepada anak cucu. Mari kita lihat bagaimana logam tahan karat ini dihasilkan. Perlu melombong di perut bumi, perlu diangkut ke kilang, perlu proses pembuatan, diangkut dan diedarkan kepada pengguna. Proses perlombongan, pengangkutan, penghasilan menggunakan banyak tenaga termasuk tenaga kerja yang berkerja melombong dalam persekitaran yang tidak sihat dan jauh dari jaminan keselamatan. Proses penghasilannya juga bukan mudah. Ia bukanlah logam semulajadi yang terdapat di dalam jadual berkala unsur yang kita belajar semasa tingkatan 4. Ia adalah jenis aloy, bermakna gabungan beberapa jenis logam yang ditempa untuk memperkuat dan menghalang bahan dari barkarat. Lebih rumit penghasilan sesuatu bahan, lebih banyak tenaga diperlukan dan lebih banyak sisa industri dihasilkan.

Bahan logam tahan karat ini bukan murah. Hari ini jika kita buka portal-portal perniagaan dalam talian, banyak sekali penyedut minuman logam yang dijual dengan harga yang murah. Dengan harga sebegitu murah, tidak mungkin ianya dari bahan logam tahan karat yang berkualiti tinggi. Apabila terdapat permintaan untuk sesuatu produk, syarikat pembuatan akan cuba menghasilkan produk dengan kapasiti yang banyak, jadi ia perlulah murah untuk menarik pembeli. Juga tidak boleh tahan terlalu lama supaya pelanggan kembali membeli. Jadi penyedut minuman logam yang murah dihasilkan dan akhirnya akan kembali ke tempat pembuangan sampah kerana tidak akan tahan bergenerasi lamanya. Perlu diingatkan bahawa logam mengambil masa yang lebih lama untuk lupus berbanding plastik. Penyedut minuman berkualiti rendah juga mungkin mudah mengalami pengaratan, penghakisan dan membebaskan bahan logam ke dalam minuman. Berbanding plastik, belum ada lagi bahan logam yang dikenalpasti sebagai gred makanan.

2. Penyedut minuman biourai (kertas, tepung, pasta, lilin lebah, buluh, pelepah betik)
Ini nampaknya lebih mesra alam, lebih cepat terurai berbanding plastik. Sekali lagi mari kita lihat bagaimana ia dihasilkan. Biasanya kita bayangkan akan banyak hutan ditebang untuk hasilkan produk kertas, sehingga setiap kali penebangan hutan dibicarakan, ada sahaja yang sinis menyuruh hentikan sahaja cetakan buku. Biasanya penebangan hutan bukanlah untuk hasilkan produk ringan seperti kertas dan produk kertas. Kalau adapun, hanyalah sebagai produk sampingan sahaja kerana industri balak adalah industri berat.

Penyedut minuman berasaskan tumbuhan ini, jika hendak dihasilkan, perlukan ladang-ladang yang luas yang menanam pokok untuk menghasilkan kertas. Juga gandum untuk menghasilkan penyedut minuman ala-pasta. Dan ladang lebah. Banyak kawasan pertanian -yang sepatutnya menghasilkan makanan- akan digunakan, juga baja dan racun serangga/rumpai. Juga melibatkan proses pengilangan, pengangkutan, bla bla bla. Akan melibatkan ramai pekerja yang dibayar gaji murah dan berkerja untuk waktu kerja yang lama – kerana produk ini murah dan perlu dihasilkan dengan banyak.

Penyedut minuman berasaskan tidak tahan lama seperti plastik. Kita panggil ‘shelf-life’, maksudnya jika kita simpan lama walaupun tak guna, ia tetap rosak. Negara kita ini lembap, bakteria sangat senang membiak dan ini mempercepat kerosakan bahan organik. Apabila rosak, ia akan dibuang dan menjadi sampah. Memang ia biodegradable, tetapi ambil masa berpuluh/beratus tahun juga untuk terurai. Lagi pula, kertas tidak telap air, maka sebarang produk kertas yang digunakan bersama air/cecair akan dilapisi dengan plastik nipis. Plastik juga! Perlu diingatkan bahawa kertas yang dilapisi plastik tidak boleh dikitar semula.

Kita berbalik kepada isu kepenggunaan (over consumerism) tadi. Sekalipun kita beralih kepada penyedut minuman yang boleh diguna semula, tiada jaminan ianya akan mengurangkan produksi. Apabila kita mengguna semula penyedut minuman, permintaan untuk pembuatan penyedut minuman akan berkurang. Adakan syarikat pembuatan akan terus membiarkan produksi barangan berkurang? Sudah tentu tidak. Mereka akan mencipta keperluan, untuk menambah permintaan supaya mereka boleh memberi lebih penawaran. Jangan hairan apabila nanti akan ada bermacam trend penyedut minuman, dari warna-warni, belang-belang, ada loceng, corak adiwira dan sebagainya. Pengguna akan membeli mengikut trend ini. Selepas itu ada pula tema sedondon, untuk pasangan dan keluarga, juga tema seragam untuk hari raya, Tahun Baru Cina, Thaipusam dan sebagainya. Untuk terus kekal relevan, syarikat pembuatan akan menghasilkan banyak jenis pilihan dengan harga murah. Apabila sesuatu dihasilkan dengan banyak dan murah, kita akan membeli dengan banyaknya, dan menghasilkan banyak sampah. Jika kita bercakap tentang guna semula, penyedut minuman plastik juga boleh diguna semula, tetapi kita tidak membasuh, menyimpan untuk kegunaan semula kerana ia murah dan banyak. Sedangkan telefon bimbit yang mahal itu pun dengan mudah ditukarkan apabila keluar model baru.

Saya dengan ini mencadangkan agar penyedut minuman plastik tidak diberi sebarang alternatif.

Disclaimer:

Cadangan ini untuk orang yang sihat dan tidak berkeperluan khas sahaja.

Leave a Reply

Close Menu