PENYALAHGUNAAN GAM DI KALANGAN KANAK-KANAK

PENYALAHGUNAAN GAM DI KALANGAN KANAK-KANAK

Oleh: Nurhuda Manshoor

Apabila menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah mengumumkan bahawa kementeriannya akan membanteras penyalahgunaan gam, khususnya di kalangan kanak-kanak, kita sepatutnya merasa lega dan memandang cerah ke masa hadapan. Kenyataan yang dibuat sempena Mesyuarat Agong Tahunan PEMADAM itu bagaimanapun tidak jelas apakah yang dimaksudkan dengan ‘membanteras’.

Adakah ‘membanteras’ bermaksud mengharamkan penjualan semua jenis inhalan supaya tidak boleh diakses oleh mereka? Atau membayar penceramah-penceramah motivasi untuk bercakap, memberitahu, menasihati dan memberi janji-janji bahawa masa depan akan cemerlang dan gemilang tanpa dadah? Atau menangkap kanak-kanak ini dan mengurung mereka di satu tempat terasing dari keluarga dan masyarakat?

Inhalan merangkumi pelbagai jenis bahan kimia—apa sahaja yang boleh dihidu tanpa pembakaran dan pemanasan. Bahan-bahan ini disebut sebagai inhalan kerana pengambilannya melalui sedutan hidung. Ada pelbagai jenis bahan yang terdapat di rumah boleh digunakan sebagai inhalan, bukan gam industri sahaja. Cecair pencuci, cecair pemetik api, minyak petrol dan diesel, pelarut, pencair cat, peluntur warna kuku dan banyak lagi bahan kimia yang boleh didapati di rumah boleh digunakan sebagai inhalan. Mengharamkan penjualan sebarang jenis inhalan bukanlah satu langkah yang kelihatannya mungkin.

Inhalan adalah bahan mudah meruap yang boleh menghasilkan kesan psiko aktif atau gangguan pada minda seseorang yang menghidunya. Inhalan yang berbeza memberikan kesan khayal yang berlainan, dari kesan yang rendah seperti gam industri sehinggalah kesan halusinasi seperti gas nitrus oksida. Artikel ini hanya akan membincangkan tentang inhalan yang paling biasa digunakan oleh anak-anak ini—GAM.

Gam industri mengandungi pencair, yang terdiri dari bahan pelarut toluena. Bahan pelarut ini mudah meruap dan menghasilkan bau yang dihidu oleh pengguna. Sifat kimia toluena yang lipofilik (larut lemak) menyebabkan ia mudah untuk pergi ke otak dan bertindak dengan reseptor-reseptor dalam otak. Tindak balas ini menghasilkan kesan serta-merta seperti percakapan tidak jelas, pergerakan anggota badan tidak terkawal, loya dan muntah, khayal serta berhalusinasi. Menghidu gam pada kepekatan tinggi boleh mengakibatkan hilang sensasi (rasa kebas) dan pendarahan hidung yang teruk.

Bahan psiko aktif di dalam gam adalah pelarut, bukan molekul dadah seperti di dalam bahan perangsang (stimulant) yang lain. Oleh itu ia tidak boleh dikesan di dalam air kencing atau darah. Amat sukar untuk pihak berkuasa menahan atau mendakwa pengguna gam, kerana ia sukar dibuktikan secara empirik.

Kesan psiko aktif yang dirasakan dari aktiviti menghidu gam adalah pantas, hampir serta-merta. Kesan ini juga akan hilang dengan segera. Oleh itu, untuk terus merasa kesan tersebut, pengguna perlu berterusan menghidu gam dan ini akan memberi pendedahan bahan psiko aktif yang panjang kepada otak. Pendedahan pada jangka masa panjang ini boleh menyebabkan ketagihan dan membawa kepada risiko yang lebih besar kepada kesihatan.

Penyalahgunaan gam secara berpanjangan di kalangan kanak-kanak memberikan kesan yang sangat berbahaya. Kerosakan yang paling besar adalah pada otak, iaitu sistem saraf pusat. Ini kerana pertumbuhan otak kanak-kanak dan remaja belum mencapai tahap kematangan. Apabila berlaku kerosakan ketika otak masih lagi berkembang, kerosakan ini adalah kekal dan tidak boleh dirawat. Walaupun pengguna kemudiannya berhenti menghidu gam untuk selama-lamanya, kerosakan pada otak ini tidak boleh diperbaiki lagi.

Kesan kesihatan lain termasuklah kegagalan hati, kegagalan buah pinggang, dementia, kehilangan koordinasi tubuh dan menjejaskan fungsi kognitif. Kesan-kesan ini terjadi kerana apabila pengguna menghidu gam, jumlah oksigen yang disedut berkurangan. Organ-organ badan mengalami kehausan oksigen dan terpaksa bekerja keras untuk terus berfungsi di dalam persekitaran defisit oksigen. Akhirnya organ-organ ini mengalami kerosakan dan tidak lagi boleh berfungsi secara normal.

Penggunaan gam sebagai inhalan juga boleh menyebabkan kematian mengejut. Badan kita tidak direka bentuk untuk boleh mengendalikan bahan inhalan dari gam. Kematian paling biasa dikenali sebagai sudden sniffing death di mana jantung berhenti serta merta setelah menyedut inhalan. Ia boleh berlaku pada kali pertama kita menghidu gam atau kali ke seribu, maka ia tidak boleh dijangka.

Gam juga dikenali sebagai entry drug, iaitu dadah permulaan sebelum pengambilan dadah-dadah jenis stimulan yang lain. Pengguna bermula dengan gam kerana ia lebih murah dan mudah didapati. Menghidu gam tidak memberi kesan khayal yang tinggi. Untuk mendapat kesan yang lebih baik, pengguna akan beralih kepada dadah lain seperti ganja dan methamphetamine. Seterusnya membuka jalan kepada dadah-dadah lain yang lebih potent.

Pada masa lalu, penyalahgunaan gam tidak diberi perhatian serius sebagaimana penyalahgunaan dadah, alkohol atau nikotin. Peningkatan dalam penggunaan dan kesedaran masyarakat telah mendapat perhatian penyelidik yang telah mengkaji tentang epidemiologi penyalahgunaan, rawatan dan langkah pencegahan. Jabatan Pendidikan di Virginia (2007) mendedahkan bahawa langkah dan kesedaran pencegahan harus diajarkan seawal umur prasekolah kerana mudahnya kanak-kanak terdedah kepada bahan inhalan terutama dari produk kegunaan rumah.

Tidak ada ubat atau rawatan perubatan yang khusus untuk menghentikan ketagihan gam. Sekiranya pengguna gam jatuh sakit dan dihantar ke hospital, rawatan yang diberikan ialah untuk mengubati simptom yang hadir akibat penyalahgunaan tersebut.

Untuk berhenti daripada ketagihan, pengguna hanya perlu berhenti melakukan aktiviti tersebut. Selain mengalami beberapa kesan sampingan, tindakan ini sangat selamat dan tidak ada kesan yang memudaratkan. Kesan withdrawal juga pendek dan tidak akan mendatangkan sebarang masalah kesihatan.

Di antara kesan sampingan apabila berhenti menggunakan gam ialah sukar untuk tidur, letih, tidur bermimpi, bertambah berat badan, loya dan mulut kering. Terdapat juga pengguna yang di serang sawan apabila berhenti.

Saya tidak tahu apakah perancangan kementerian berkenaan apabila mengatakan bahawa program pemulihan akan diteliti. Saya tidak pernah tahu jika ada program pemulihan untuk ketagihan gam. Oleh kerana ketagihan gam ini adalah berbeza dengan dadah jenis stimulant lain, program pemulihan perlu direka bentuk khas untuk masalah ketagihan gam dan perlu berbeza di antara kanak-kanak dan orang dewasa.

Oleh kerana penggunaan berleluasa oleh kanak-kanak di Sabah ini di sebabkan dari keadaan sosial, mereka perlu dibebaskan dari masalah tersebut dahulu. Apabila kehidupan mereka menjadi lebih baik, lebih mudah untuk mereka keluar dari masalah ketagihan ini. Apabila masa mereka diisi dengan aktiviti berfaedah, mereka tidak lagi menghabiskan masa menghidu gam. Apabila kesihatan mereka menjadi lebih baik, mereka tidak mahu lagi hidup di dalam kesakitan. Apabila mereka terdidik dengan pengetahuan, mereka akan tahu memilih baik-buruk di dalam kehidupan mereka.

Leave a Reply