PEN DAN KERTAS

PEN DAN KERTAS

Oleh: Hafizairi

Sewaktu kem latihan pra pekerjaan kena masuk hutan dulu, ada satu sesi berkumpul selepas waktu makan malam. Sebelum tu pelatih mengingatkan peserta untuk bawa bersama PEN DAN KERTAS. Duduk berhimpun dalam gelap di tengah tanah lapang. Maka bermulalah ucapan motivasi meluap-luap yang menyentuh semangat diri, keluarga dan negara yang kadangkala melebihi garisan sedar.

Sesudah itu, peserta diminta menulis apa kata-kata atau doa terakhir yang hendak disampaikan pada ibu bapa. Seorang peserta menulis sebalik samar cahaya spotlight berkuasa rendah dari sudut tapak perkhemahan dan suluhan lampu picit pelatih bertugas yang mudar-mandir:

“Tiap hari mendoakan kesejahteraan ibu bapa, tak perlukan PEN DAN KERTAS. Apa kaitan dengan skop kerja akan datang dari sesi malam ini? Adakah seperti rasuah yang terjadi dalam hutan gelap?”

Pada malam itu peserta tersebut dipanggil untuk meronda di kawasan perkhemahan pada jam tiga pagi dan menyediakan sarapan sesudah subuh. Mungkin akibat dari pertanyaan yang diajukan dalam sesi tadi.

Beberapa minggu setelah itu kesemua peserta mulai membuat posting dan peserta tadi telah ditentukan antara skop kerjanya memantau operasi kilang dan ladang dalam hutan.

Rasuah berleluasa secara terang-terangan. Persekitaran ditarah dan keuntungan dikaut sesetengah pihak yang kebanyakannya sudah diketahui penduduk tempatan pemiliknya siapa. Dia persoalkan mengapa perlanggaran undang-undang yang sedia ada termaktub sebegini dipejamkan? Lalu dia diminta berhubung terus dengan pejabat atasan.

Setibanya di sana, dia diberi PEN DAN KERTAS untuk menulis laporan. Akhirnya laporan disimpan dalam fail tebal bersama laporan-laporan terdahulu yang sudah menguning kertasnya atas nama pelapor yang berbeza. Dia pulang tanpa sebarang jawapan dan setibanya di pintu rumah, sudah menanti pelbagai hasil tanaman ladang yang tak pernah dipesan.

Dia sedar kaitan antara skop kerja dengan PEN DAN KERTAS sewaktu sesi dalam hutan dulu. Mungkin pada mereka, itulah doa. Mohon jika dikabulkan Tuhan dan tunduk pasrah melihat kerosakan dari tangan manusia sendiri.

Leave a Reply