Pedofilia Sebuah Kecelakaan (2)

Pedofilia Sebuah Kecelakaan (2)

Oleh: Alip Moose

BAHAGIAN KEDUA

Pada isu pertama ini, isu agama yang dimainkan oleh pelaku atau lelaki itu yang beralasan dengan alasan agama. Ramai dari kalangan muslim yang cuba mengulas isu ini dari sudut agama, khususnya sirah nabawiyah, perkahwinan Muhammad S.A.W. dan Aishah R.A.

Sejujurnya, selepas membuat pencarian yang terhad, pencarian masalah umur Aishah ketika berkahwin dengan Muhammad S.A.W., aku cuba dengar dan membaca dari agamawan yang pelbagai manhaj khususnya dalam sektarian Sunni. Aku boleh katakan ini adalah masalah khilaf atau masalah perbezaan pendapat dalam membaca dan mengetahui sejarah atau sirah Nabawiyah ini, menurut pemahaman dan metodologi pembelajaran mereka masing-masing.

Disebabkan zaman telah berubah, cara pandang manusia diabad ini berbeza dan rencam. Maka, untuk kesatuan faham, kita cuba memilih yang lebih rasional dan kemanusiaan. Dan aku percaya dengan sesungguhnya inilah yang terbaik, kerana sifat manusia itu adalah rasional dan bukan sebaliknya. Ada beberapa kenyataan yang aku rasa – dalam bab sejarah umur Aishah sewaktu berkahwin dengan Muhamad S.A.W. ini – mesti aku kongsikan bersama. Izinkan aku kongsi petikan daripada Ustaz Wan Ji dan daripada pihak Cukong Press sendiri dalam hal ini.

Ini kenyataan daripada Wan Ji, sewaktu beliau cuba menerangkan umur Aishah R.A sewaktu bernikah dengan Muhammad S.A.W., aku petik terus daripada laman sosial Facebook beliau. Katanya;

“Tersebar berita, ada seorang agamawan berkahwin dengan seorang kanak-kanak berumur 11 tahun. Diceritakan bahawa agamawan itu mendakwa bahawa amalannya itu ikut sunnah Rasulullah.”

Saya percaya, dakwaan itu hadir disebabkan mereka menjumpai hadis bahawa Nabi S.A.W. berkahwin dengan Aisyah sewaktu umur Aisyah adalah 6 tahun [1].

حَدَّثَنِي فَرْوَةُ بْنُ أَبِي المَغْرَاءِ، حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ مُسْهِرٍ، عَنْ هِشَامٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، قَالَتْ: «تَزَوَّجَنِي النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا بِنْتُ سِتِّ سِنِينَ

Saya kira, perbincangan berkenaan Nabi S.A.W. berkahwin dengan Aisyah dalam umur 6 tahun ini perlu diperhalusi kepada beberapa perkara.

Pertama, dalam kitab Siyar ‘Alam wa al-Nubala’ menyatakan bahawa Nabi saw berkahwin dengan Aisyah bersekali dengan Saudah, iaitu selepas berlaku peperangan Badar [2].

وَكَانَ تَزْوِيْجُهُ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- بِهَا إِثْرَ وَفَاةِ خَدِيْجَةَ فَتَزَوَّجَ بِهَا وَبِسَوْدَةَ فِي وَقْتٍ وَاحِدٍ ثُمَّ دَخَلَ بِسَوْدَةَ فَتَفَرَّدَ بِهَا ثَلاَثَةَ أَعْوَامٍ حَتَّى بَنَى بِعَائِشَةَ فِي شَوَّالٍ بعد وَقْعَةِ بَدْرٍ

Kedua, Abu al-Hasan al-Nadawi menyatakan dalam kitab Sirah al-Nabawiyyah bahawa perang Badar tercetus pada tahun kedua hijrah [3].

وفي رمضان سنة اثنتين من الهجرة، كانت غزوة بدر الكبرى ، وهي المعركة الحاسمة التي تقرّر مصير الأمّة الإسلاميّة ومصير الدعوة الإسلاميّة، وعليها يتوقف مصير الإنسانيّة المعنويّ

Ketiga, dalam Siyar ‘Alam al-Nubala’, al-Zahabi ada menyatakan bahawa kakak kepada Aisyah bernama Asma’. Umur Asma’ adalah lebih 10 tahun berbanding Aisyah [4].

وَكَانَتْ أَسَنَّ مِنْ عَائِشَةَ بِبِضْعَ عَشْرَةَ سَنَةً

Keempat, dalam kitab yang sama, dinyatakan bahawa Asma’ meninggal pada tahun 73 hijrah [5].

مَاتَتْ بَعْدَ ابْنِهَا بِلَيَالٍ. وَكَانَ قَتْلُهُ لِسَبْعَ عَشْرَةَ خَلَتْ مِنْ جُمَادَى الأُوْلَى سَنَةَ ثَلاَثٍ وَسَبْعِيْنَ

Kelima, dalam kitab yang sama juga dinyatakan bahawa dia meninggal pada umurnya 100 tahun [6].

وَإِنَّمَا عَنَى أَخِي أَنْ يُقْتَلَ فَيَحْزُنُهَا ذَلِكَ.وَكَانَتْ بِنْتَ مائة سنة.

Jika Asma’ meninggal dunia sewaktu umurnya 100 tahun dan meninggal itu pada tahun 73 hijrah, menandakan umur Asma’ semasa hijrah adalah 27 tahun. Ini bermakna, umur Aisyah semasa hijrah adalah 17 tahun. Kemudian, perkahwinan Aisyah selepas dari perang Badar, sedangkan perang badar tercetus tahun kedua dari hijrah. Bermakna, ketika itu umur Aisyah semasa kahwin dengan Nabi saw bukan 6 tahun, tetapi 19 tahun lebih.

Dari sudut sanad hadis pula, ada perdebatan berkenaan seorang perawi bernama Hisham bin Urwah, komentar tentang dirinya adalah seperti berikut;

Pertama, dia dianggap sahih dalam periwayatannya kecuali selepas berhijrah ke Iraq. Selepas dia ke Iraq, dia ada kecelaruan dalam periwayatannya [7].

وَقَالَ يَعْقُوْبُ بنُ شَيْبَةَ: هِشَامٌ ثَبْتٌ, لَمْ يُنْكَرْ عَلَيْهِ إلَّا بَعْدَ مَصِيْرِهِ إِلَى العِرَاقِ, فَإِنَّهُ انبَسَطَ فِي الرِّوَايَةِ

Kedua, perkara ini ditegaskan lagi oleh al-Zahabi dengan menyatakan dia amat waham [8].

فِي حَدِيْثِ العِرَاقِيِّيْنَ، عَنْ هِشَامٍ أَوهَامٌ تُحْتَمَلُ, كَمَا وَقَعَ فِي حَدِيْثِهِم

Ketiga, imam Malik juga ada mengomentarinya dengan menyatakan kecelaruan Hisham bin Urwah dalam meriwayatkan hadis selepas dia ke Iraq dalam melibatkan Aisyah [9].

وَقَالَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بنُ خِرَاشٍ: بَلَغَنِي أَنَّ مَالِكاً نَقَمَ عَلَى هِشَامِ بنِ عُرْوَةَ حَدِيْثَه لأَهْلِ العِرَاقِ، وَكَانَ لاَ يَرضَاهُ ثُمَّ قَالَ قَدِمَ الكُوْفَةَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ قَدْمَةً كَانَ يَقُوْلُ فِيْهَا حَدَّثَنِي أَبِي قَالَ سَمِعْتُ عَائِشَةَ، وَالثَّانِيَةُ فَكَانَ يَقُوْلُ أَخْبَرَنِي أَبِي، عَنْ عَائِشَةَ، وَقَدِمَ الثَّالِثَةَ فَكَانَ يَقُوْلُ أَبِي، عَنْ عَائِشَةَ يَعْنِي يُرسِلُ، عَنْ أَبِيْهِ

Keempat, dalam dakwaan ramai ulama bahawa Hisham diterima periwayatannya kecuali selepas di Iraq. Di dapati, hadis umur Aisyah ini, yang ambil hadis dari Hisham bernama Ali bin Mus-hir yang merupakan seorang yang tinggal di Kufah, Iraq [10].

العَلاَّمَةُ، الحَافِظُ، أَبُو الحَسَنِ القُرَشِيُّ، الكُوْفِيُّ

Dengan ini jelas, dari sudut sanad, didapati penceritaan berkenaan umur Aisyah 6 tahun semasa berkahwin dengan Nabi saw adalah amat meragukan.”

Itu kata Wan Ji dan izinkan aku memetik pula daripada pihak Cukong Press pasal bab umur ini supaya jelas dan kukuh barang perkara ini – tentang umur Aishah ketika menikah Muhammad. Aku juga petik terus dari laman sosial Facebook Cukong Press.

Kata Cukong Press;

“Dari sudut pandang Islam terhadap penikahan ‘pedofilia’ Nabi Muhammad:

Menurut Ibn Hajar Al-Asqalani: “Asma hidup sehingga usia 100 tahun dan meninggal pada 73 atau 74 H”. (Taqrib al-Tahzib, Ibn Hajar Al-Asqalani, hlm. 654, Bab Fi al-Nisa’, al-Harf al-Alif) Menurut sebahagian besar ahli sejarah, Asma, saudara tertua daripada Aisyah berbeza usia sebanyak 10 tahun. Jika Asma wafat pada usia 100 tahun pada tahun 73 H, Asma seharusnya berusia 27 atau 28 tahun ketika hijrah (622M).

Jika Asma berusia 27 atau 28 tahun ketika hijrah (ketika Aisyah berumah tangga), Aisyah seharusnya berusia 17 atau 18 tahun. Jadi, Aisyah, berusia 17 atau 18 tahun ketika hijrah pada tahun di mana Aisyah berkahwin. Berdasarkan pendapat Ibn Hajar, Ibn Katir, dan Abdul Rahman bin Abu al-Zinad, usia Aisyah ketika berkahwin dengan Rasulullah adalah 19 atau 20.

Maulana Habibul Rahman menulis kertas kerja pada mulanya dalam bahasa Urdu dan kini sudah ada terjemahan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu bagi membetulkan tanggapan khilaf sejarah.

Saidatina Aisyah R.A telah berkahwin pada usia yang sesuai iaitu 16 tahun (bukannya 6 tahun) dan mula tinggal bersama suaminya Nabi S.A.W. ketika umurnya 19 tahun (bukannya 9 tahun) selepas peristiwa hijrah ke Madinah. Ini bermakna 10 tahun itu tersembunyi.

Sesetengah ulama tidak menyatakan hadis berkenaan maudhuk (rekaan) tetapi menyatakan Hisham Urwah telah tersilap mendengar enam belas kepada enam, dan sembilan belas kepada sembilan.

PERINGATAN:

Hal pedofilia ini sering akan dikaitkan dengan pernikahan Nabi Muhammad S.A.W. dengan Aisyah dan sering dimainkan oleh kelompok anti-agama, Cukong Press bukan sebuah kelompok anti atau pro agama, kami hanya menilai sesuatu melalui dari sudut kemanusiaan, post ini tidak ditulis untuk menghentam atau mempertahankan, sifat fasisme adalah ditentang sama sekali.

Selesai kita petik daripada Wan Ji dan Cukong Press, adapun perkara ini boleh dibahaskan lagi tetapi biarlah perbahasan itu lebih rasional dan kemanusiawiaan. Kerana di sini kita menolak fahaman puritanisme dan konservatisme yang merugikan manusia itu sendiri atas nama apa pun. Dan kita akui fahaman konservatisme dan puritanisme ini merebak bagaikan wabak.

Jadi dalam hal umur ini, ulama muslim silam dan kontemporer sendiri pun berbeza pendapat dan seperti mana aku katakan sebelum ini, biarlah pembacaan dan pemahaman dan serta keberpihakan kita itu berdasarkan kemanusiawian.

bersambung…

 

Baca Bahagian Pertama di sini.

Leave a Reply