Mim, Doa Kami di Nadimu

Mim, Doa Kami di Nadimu

Oleh: Jefry Musa

Mengayuh basikal mengelilingi Malaysia malah dunia mungkin bukan sesuatu yang baru bagi kita, lambakan basikal dengan harga yang mampu milik di pasaran menyebabkan hari ini ramai tidak lagi melihat ia sebagai sesuatu yang bernilai dan memberi makna.

200 tahun dahulu Karl Freiherr von Drais telah mendapat idea untuk mencipta basikal kayu bagi menggantikan kuda yang banyak menjadi korban letusan gunung berapi. Namun, basikal ketika itu tidak banyak merubah suasana sosioekonomi-budaya penduduk kerana hanya mampu dimiliki oleh orang bangsawan (dijadikan simbol kekayaan), dan binatang (kuda, unta, gajah dll.) tetap diseksa dan dijadikan pengangkutan yang utama.

Sehinggalah hampir seratus tahun kemudian, Harry John Lawson dan John Boyd Dunlop mencipta basikal yang dikenali seperti hari ini besi, berantai, bertayar getah dan selamat untuk digunakan. Model ini dihasilkan dengan banyak sehinggalah ia mula mampu dimiliki dan menjadi pengangkutan utama penduduk.

Basikal telah menjadi pengangkutan yang mampu menjimatkan masa pekerja-pekerja industri di Eropah membolehkan mereka mempunyai masa terluang untuk berehat dan berhibur malah ia memberi lebih kebebasan untuk mereka bergerak, mencari pekerjaan dan tidak lagi terikat pada satu-satu majikan.

Wanita-wanita di Eropah turut tidak ketinggalan untuk merebut ruang bukan hanya menjadi penumpang tetapi juga pengguna basikal untuk bergerak lebih bebas. Kod etika pemakaian wanita ketika itu menyebabkan mereka sangat payah untuk menggunakan basikal, sehinggalah basikal bersama penutup rantai dicipta membolehkan wanita yang berkain lebih mudah mengayuh basikal.

Basikal sebenarnya bukan hanya menjadi alat untuk bermain, mesra alam atau bersukan (seperti hari ini), ia merupakan simbol yang telah membebaskan berjuta manusia malah binatang. Ketika manusia mula beralih pada kenderaan berenjin di darat dan udara dalam peperangan, basikal tetap digunakan secara meluas oleh tentera ketika perang dunia kedua.

Sahabat saya, Mim Zainol hari ini telah memilih mengayuh basikal sebagai tanda solidaritinya kepada anak-anak tanpa dokumen di Sabah. Basikal yang pernah menjadi alat yang membebaskan pekerja, wanita dan negara seratus tahun dahulu hari ini menjadi alat yang digunakan secara globalisasi.

Hari ini kita semua dengan bebas dapat pergi ke mana-mana, basikal mungkin merupakan pilihan yang terakhir jika difikirkan tentang jarak. Tapi bagi anak-anak tanpa dokumen di Sabah walaupun dengan berbasikal mereka tetap tiada hak untuk bergerak diatas muka bumi ini. Mereka boleh ditahan pada bila-bila masa dan basikalnya dirampas kerana dianggap tiada pemilik.

Jika 200 tahun dahulu manusia tidak memiliki basikal kerana tidak mampu membelinya tetapi hari ini manusia tidak boleh memiliki basikal kerana negara menghalangnya.

Setiap kayuhan Mim hari ini melambangkan satu simbol perlawanan, membawa mesej pembebasan. Setiap degupan jantung Mim hari ini terdapat doa-doa kami mengalir ke setiap sudut organ badannya.

Moga pada suatu waktu kita dapat bersama anak-anak ini di kaki laut melihat terbit mentari tanpa lagi timbul rasa bimbang.

Leave a Reply