Mikroplastik dan Kita; Mempercepat Kematian Alam

Mikroplastik dan Kita; Mempercepat Kematian Alam

  • Post category:Alam Sekitar

Oleh: Nurhuda Manshoor

Seorang rakan berkongsi sebuah video dokumentari oleh sekumpulan penyelidik dari UPM tentang mikroplastik yang mencemari laut dan membahayakan hidupan di dalamnya. Video tersebut boleh ditonton di sini https://www.facebook.com/UniPutraMalaysia/videos/625589714523938/.

Kita sudah tahu bahawa plastik adalah bermasalah. Kita telah biasa didedahkan tentang pencemaran plastik. Kita menggunakan botol minuman dan beg plastik sekali-guna dan kemudian membuangnya. Pantai dipenuhi bahan buangan plastik, tempat pelupusan sampah menjadi lebih besar, dan apungan pulau-pulau sampah di permukaan laut merupakan bukti jelas tentang masalah ini. Kita juga pernah menonton video tentang penyu yang hidungnya tersumbat penyedut minuman plastik dan ikan paus yang mati akibat tertelan plastik.

Selain plastik yang kita nampak dengan mata kasar, terdapat plastik yang lebih sukar dikesan dan tidak nampak di mata. Serpihan-serpihan kecil plastik terdegradasi, fiber sintetik dan partikel halus plastik, secara kolektif dipanggil mikroplastik. Hanya kerana saiznya yang lebih kecil tidak bermakna kehadirannya harus diabaikan kerana ia juga tidak ketinggalan mencemarkan alam sekitar dan boleh membahayakan kesihatan kita.

Plastik hari ini tidak pernah larut dan terkumpul di lautan selama-lamanya. Plastik ini tidak terurai secara biologi kerana ia adalah baru kepada alam sekitar, maka bakteria dan mikroorganisma pengurai (saprofitik) tidak berevolusi untuk memecahkan ikatan karbon-karbon yang terdapat dalam plastik. Plastik boleh dipecahkan secara fizikal menjadi partikel yang lebih kecil tetapi akan tetap kekal sebagai plastik. Hanya jika bakteria berkembang keupayaannya untuk memecahkan plastik pada skala yang besar, barulah plastik ini boleh terurai.

Terdapat dua sumber utama mikroplastik, dikenali sebagai sumber primer dan sekunder. Mikroplastik dari sumber primer adalah sengaja dihasilkan dalam saiz tersebut sementara dari sumber sekunder pula adalah hasil degradasi plastik yang lebih besar kepada cebisan dan ketulan kecil.  Sumber lain adalah hasil serpihan dari bahan kegunaan harian di sekeliling kita.

Mikroplastik primer dihasilkan oleh pengeluar pada saiz kecil untuk tujuan tertentu. Ini biasanya kita panggil microbead. Microbead adalah biji-biji plastik yang dimasukkan ke dalam kosmetik, pencuci muka, ubat gigi dan scrub, untuk memberi kuasa menyental kepada produk tersebut. Ia biasanya diperbuat daripada polyethylene, polypropylene, polyethylene terephthalate atau nylon, jadi sila perhatikan kandungan ini apabila membeli produk kosmetik.

Selain kosmetik, mikroplastik juga dihasilkan untuk kegunaan teknologi air blasting, di mana semburan udara pada tekanan yang tinggi digunakan pada mesin, enjin atau kapal untuk menanggalkan cat atau karat. Mikroplastik untuk tujuan ini biasanya terdiri daripada akrilik, melamin atau poliester.

Mikroplastik sekunder adalah hasil dari pemecahan plastik yang lebih besar akibat persekitaran seperti cuaca, gelombang laut, cahaya matahari atau tekanan fizikal lain. Biasanya, ia berasal dari sisa plastik yang tidak diurus dengan betul. Beg dan bekas plastik serta alat penangkapan ikan yang rosak adalah beberapa contoh sampah yang biasa menghasilkan mikroplastik sekunder di dalam lautan. Mikroplastik ini mempunyai bentuk dan saiz yang tidak seragam.

Terdapat juga mikroplastik yang terhasil dari bahan-bahan kegunaan harian kita. Ini menyebabkan kehadirannya lebih sukar untuk dielakkan. Kebanyakan tayar kereta mengandungi getah sintetik dan geseran dengan permukaan jalan menghasilkan kepingan halus fiber getah. Fiber atau fiber getah juga boleh tertanggal dari kasut yang kita pakai. Pakaian boleh mengeluarkan fiber sintetik apabila dibasuh. Pakaian dari bahan fleece menyumbang paling banyak, diikuti fabrik sintetik lain.

Mengapa mikroplastik adalah satu masalah?

Seperti yang kita tonton di dalam video tersebut, mikroplastik banyak dijumpai di dalam laut dan persisiran pantai. Kebanyakan sampah di lautan adalah berpunca dari peralatan menangkap ikan, yang kebanyakannya diperbuat dari plastik pelbagai jenis yang akhirnya tercerai menjadi mikroplastik. Sampah sarap yang dibuang di daratan akan berakhir di lautan juga. Sekalipun pelepasan sampah ke lautan dikawal dengan meletakkan penapis di sungai dan longkang serta parit, saiz mikroplastik adalah sangat kecil dan boleh melepasi penapis ini.

Bukanlah bermakna tidak terdapat mikroplastik di tempat lain. Saintis telah menjumpai mikroplastik di dalam udara yang kita bernafas.  Sebahagian besarnya (2/3) adalah dari fiber sintetik. Fiber lain adalah dari selulosa dan gentian semulajadi terutamanya kapas. Bahan fiber berdiameter halus ini terhasil dari sisa industri terutamanya pembuatan pakaian.

Kehidupan marin – dari plankton terkecil kepada ikan paus terbesar – memakan mikroplastik, dan pertembungan haiwan dengan plastik sering membunuh. Haiwan akuatik kecil yang memakannya akan mati atau mengalami masalah kesihatan. Perut mereka yang kecil itu dengan mudah dipenuhi mikroplastik sehingga tidak mendapat cukup makanan yang mereka perlukan dan akhirnya mati kebuluran. Kajian menunjukkan peningkatan risiko kerosakan terhadap sistem pembiakan dan hati. Kini, terdapat penyelidikan terhadap burung dan haiwan lain, untuk melihat sejauh mana mikroplastik ini memudaratkan hidupan darat pula.

Kegusaran utama kita terhadap mikroplastik yang banyak dijumpai di lautan ini adalah kerana sebahagian besar sumber makanan kita didapati dari laut. Saiz yang kecil bermakna partikel ini boleh ditelan oleh pelbagai hidupan dan memasuki rantaian makanan. Ikan kecil dan udang yang memakan plankton akan mengumpulkan mikroplastik dalam sistem badannya. Kemudian ikan yang lebih besar memakan ikan ini, dan begitulah seterusnya penumpukan mikroplastik di dalam rantai makanan sehinggalah kepada manusia, sebagai pengguna pada aras paling tinggi di dalam rantaian ini.

Sehingga kini, mikroplastik telah pun dikesan dalam makanan laut, termasuk tuna, kerang-kerangan dan udang. Jangan lupa garam yang kita letak di dalam setiap masakan itu juga berasal dari laut, dan telah terbukti juga mengandungi mikroplastik.  

Kajian risiko mikroplastik kepada manusia masih di peringkat permulaan. Kajian pada Oktober 2018 adalah yang pertama dilakukan untuk mengesan kehadiran mikroplastik di dalam najis manusia. Kajian ini melibatkan bilangan sampel yang kecil dari tujuh negara Eropah dan Jepun. Kesemua sampel najis yang diuji menunjukkan kehadiran mikroplastik. Ini bermakna mikroplastik yang memasuki rantaian makanan telah pun sampai kepada manusia. Walau bagaimanapun, bahaya mikroplastik ini terhadap manusia masih belum diketahui.

Sekalipun belum ada kajian yang luas terhadap manusia, risiko kemudaratan boleh dijangka melalui dua mekanisma, iaitu mekanisma fizikal dan fisiologi. Sekiranya mikroplastik tersebut tidak berjaya melepasi dinding usus kita, ia tidak akan diserap ke dalam aliran darah, maka organ vital seperti jantung, paru-paru, hati, buah pinggang dan otak kita akan selamat.

Begitupun, secara fizikal, mikroplastik ini boleh mencederakan saluran pemakanan dan pencernaan kita. Partikel halus ini boleh bergesel pada dinding esofagus, perut dan usus,  boleh mendatangkan keradangan, juga menjejaskan penyerapan nutrien ke dalam badan kita. Mikroplastik ini juga mungkin boleh menyerap bahan toksik di lautan dan persekitaran, lalu apabila memasuki sistem penghadaman kita, bahan toksik ini mungkin dibebaskan dan diserap oleh usus.

Manakala sekiranya mikroplastik ini cukup halus, ia boleh diserap melepasi dinding usus dan akan dibawa melalui aliran darah kepada organ vital dan sistem limfa, maka ini jelas amat membahayakan.

Partikel mikroplastik di udara boleh memasuki paru-paru melalui pernafasan. Sistem pernafasan kita dilindungi oleh lapisan mukosa untuk menghalang partikel di dalam udara yang dihela dari memasuki paru-paru. Namun tidak semua partikel di dalam udara dapat ditapis oleh lapisan mukosa ini. Terdapat juga orang yang mengidap penyakit di mana lapisan ini tidak cukup dihasilkan. Pendedahan yang lama terhadap bahan cemar ini juga boleh menyebabkan lapisan pelindung ini terjejas.

Kajian dalam kalangan pekerja yang mengendalikan nilon dan poliester menunjukkan kerengsaan paru-paru dan berkurangnya kapasiti pernafasan, tetapi tidak ada bukti peningkatan risiko kanser. Walaupun belum ada kajian yang mencukupi untuk membuktikan bahaya mikroplastik di dalam paru-paru, kajian lalu tentang bahaya mendapan asbestos di dalam paru-paru yang mengakibatkan kanser boleh dijadikan rujukan.

Selain mempengaruhi organisma dan membahayakan hidupan, mikroplastik boleh menjejaskan ekosistem dengan mengubah persekitaran biologi. Kandungan mikroplastik di dalam tanah boleh mengubah ciri fizikal tanah tersebut, samada menjadi lebih lembut, lebih keras, menampung terlalu banyak air, terlalu kering dan sebagainya bergantung kepada jenis plastik tersebut. Ini menjejaskan aktiviti dan kehidupan mikroorganisma yang penting untuk kitaran nutrien tanah. Makanya kehadiran mikroplastik di dalam tanah boleh menjejaskan kesuburannya.

Adalah tidak diketahui jika akar tumbuhan juga boleh menyerap mikroplastik ini ke dalam sistem fisiologinya. Sekiranya ini berlaku, bertambahlah sumber mikroplastik yang mungkin hadir di dalam sumber makanan kita.

Apa yang boleh dilakukan?

Tidak ada penyelesaian tunggal untuk masalah ini. Untuk tindakan jangka pendek, pihak berkuasa perlu segera menghentikan penghasilan barangan plastik guna-sekali. Bahan plastik guna-semula pula perlu dihadkan pengeluarannya. Untuk tindakan berterusan, kerajaan perlu mengukuhkan sistem pengumpulan sampah dan kitar semula untuk mengelakkan sisa plastik daripada terbocor ke alam sekitar. Untuk tindakan jangka panjang, kajian untuk mencari cara yang mesra alam mengurai plastik kepada unitnya yang paling asas perlu lebih banyak dan diberi perhatian serius.

Selama bertahun-tahun saintis telah mencuba untuk menghasilkan plastik yang boleh terurai. Hari ini plastik yang dilabelkan biodegradable ini sebenarnya hanya boleh diurai dalam fasiliti kitar-semula yang khas dan memerlukan pemanasan pada suhu yang tinggi. Plastik ini tidak boleh terurai secara semulajadi di dalam persekitaran akuatik, di dalam tanah atau di dalam tangki kompos.

Para saintis juga telah menemui enzim dan bakteria yang boleh mengurai beberapa jenis plastik. Begitupun, praktiknya adalah terhad kerana banyaknya variasi plastik melebihi keupayaan enzim dan bakteria ini yang tindakbalasnya adalah spesifik kepada jenis plastik tertentu sahaja. Lagi pula, ekosistem di mana plastik ini terkumpul adalah luas dan pelbagai – di lautan, daratan dan udara. Pertimbangan juga perlu diberikan agar penguraian biologi ini tidak memberi kesan negatif seperti penghasilan gas rumah hijau. Bakteria ini juga perlu dipastikan tidak memudaratkan manusia dan hidupan lain.

Begitu banyak pun langkah pemulihan yang dilakukan oleh pihak berkuasa, betapa maju pun kajian yang dilakukan oleh saintis, semua itu adalah langkah kawalan kemusnahan (damage control) untuk menyelesaikan masalah yang sedia ada.

Pencemaran yang berlaku ini sebenarnya dapat dielakkan, bermakna  ia boleh dicegah daripada berterusan. Kunci utama pencegahan ini adalah dengan menghentikan aliran kepenggunaan plastik. Kita sebagai pengguna perlu berperanan secara aktif untuk menghentikan penumpukan sisa bahan plastik.

Apabila menggunakan kosmetik, sebagai alternatif kepada scrub, bolehlah menggunakan bahan semulajadi seperti garam, hampas kopi atau oat kerana ia boleh terurai secara biologi.

Apabila membeli pakaian, pilihlah pakaian dari bahan bukan sintetik seperti kapas dan sutera. Kapas juga menghasilkan mikrofiber, tetapi boleh terurai secara biologi. Untuk mengurangkan mikrofiber di udara – yang kebanyakannya sisa industri pakaian- , berhentilah membeli terlalu banyak pakaian, beli pakaian berkualiti dan tahan lama, kawal tabiat konsumerisma kita. Ini boleh mengurangkan pengeluaran pakaian dan mengelakkan penumpukan bahan buangan dari pakaian. Pakaian yang tidak lagi boleh dipakai boleh dibuat bahan kegunaan lain seperti kain pengelap, bahan kraftangan, dijahit menjadi beg guna-semula dan sebagainya.  

Penggunaan harian bahan plastik seperti botol minuman, pembungkus makanan dan beg plastik adalah untuk kesenangan, bukannya keperluan. Oleh itu amalan ini tidaklah sukar untuk dihentikan. Kita boleh membawa beg guna-semula untuk membeli-belah, juga membawa bekas sendiri untuk makanan dan minuman bungkus, atau duduk sahaja makan di restoran. Untuk permulaan, ini adalah sasaran yang mudah untuk dicapai malah senang untuk diamalkan.

Ya, salah urus bahan buangan kita akhirnya akan kembali semula kepada kita.

Leave a Reply