Merakyatkan Najib dengan Bossku!

Merakyatkan Najib dengan Bossku!

Oleh: Farahani R

Sebelum 2019: ‘Di Sabah, semua orang adalah bos’.

Saya menonton keratan klip video yang mendakwa sejarah ‘bossku’ itu asalnya digunakan oleh kalangan mat-mat rempit yang secara tiba-tiba, berkerumun mendekati Pak Najib. Katanya, ‘bossku’ itu membawa maksud kemesraan. Seperti bergaul dengan kawan-kawan, sambungnya. Sungguh berseri wajahnya, jelas amat puas hati dengan anekdot peribadinya mengenai seorang kawan yang tiba-tiba berteriak padanya ‘malu apa bosku!’. Seri wajahnya pula tidak kalah seperti seorang penjual motor yang mahu memujuk pembeli. Tersengih-sengih ibarat seorang promoter berjaya atau baru diselit bonus untuk Tahun Baru Cina.

Laman tular dan blog hiburan sudah menulis perkara ini: ‘bossku’ itu asalnya dari Sabah. Dibawa-bawa orang ke Tanah Melayu kerana konotasi istilahnya yang mesra dan rendah hati. Kita orang Sabah juga mengerti dan menghalalkan penggunaan perkataan ini kepada seluruh Malaysia kerana tiada salah, rasanya, untuk menyebarluas benda-benda baik.

‘Bossku’ akhirnya dikomersialkan menjadi grafik pada t-shirt dan beg, button badge hinggalah pelekat motor dan kereta. Rakyat mulai mengamalkannya dalam pertuturan seharian – ya, kita sebagai orang Sabah harus bangga. Kita tidak punyai banyak imej yang mewakilkan orang Sabah di alam media, jadi sedikit sebanyak ‘bossku’ boleh membina bayangan mesra kita pada rakyat Tanah Melayu.

‘Bossku’ mulai dipaparkan bersama dengan Pak Najib yang cuba-cuba menunggang motor disertai tagline: ‘Malu apa bossku!’. Najib dan ‘bossku’ sudah tidak asing lagi dalam minda masyarakat awam. Ikutan istilah ‘bossku’ ini kemudiannya perlahan-lahan hilang pertaliannya pada Sabah, sebaliknya sudah tertempel dengan imej senyum kambing Pak Najib.

Daripada seorang autoriti bersut, beliau menjadi seorang tua putih beruban yang pernah popular suatu masa dulu. Ibarat seorang artis reject yang dikilangkan semula untuk kembali ke pasaran jelata. Dengan senyum kambingnya, beliau tetap berfungsi sebagai anti-tesis kerajaan Pakatan Harapan. Sentiasa mencari alasan untuk kononnya bersama-sama rakyat. ‘Malu apa bosku?’, laungnya sambil bergambar membeli barangan rakyat.

Penjenamaan imej Najib daripada seorang tokoh pemimpin dengan cuba menampilkan dirinya sebagai seorang yang bersama dengan rakyat berhasil dengan satu ayat sahaja – ‘bossku!’. Pekik mat-mat rempit yang bergaul dengannya ‘malu apa bosku!’ menggantikan kemesraan ‘bossku’ sebagai jarum penjahit imej yang ranap dilanggar ribut kekalahan pilihan raya tahun lalu. Ingatkah anda dengan imej badut yang dilakar Fahmi Reza? Badut yang ditertawakan dunia; Pak Najib dengan mekap ala badut dari sarkas jawi yang dieja P.Ramlee dalam filemnya ‘Pendekar Bujang Lapok’.

Dalam proses penjenamaan semula Pak Najib, ‘bossku’ yang dikomersialkan ini larut dalam pertuturan masyarakat biasa. Saya memerhatikan reaksi-reaksi ini di pentas media sosial. Dalam kalangan komuniti warganet kita, ramai yang suka dan ada segelintir kurang suka. Si artis Nabila Huda misalnya tidak begitu suka dengan istilah ‘bossku’ kerana tulisnya, dia bukan bos sesiapa. Reaksi ini dikongsi dengan ramai lagi. Bagi mereka, ‘bossku’ semacam suatu istilah yang sinonim dengan peribahasa Melayu ‘hidung tinggi’. Agak berlawanan dengan maksud sebenar dari perspektif orang Sabah.

Proses penjenamaan semula Pak Najib turut memuatkan ramai pihak dalam suatu situasi belakang tabir yang agak gelap. Pak Najib telah dilahirkan semula sebagai ‘seorang rakyat dalam kalangan jelata’, manakala kumpulan rempit itu untung besar kerana dapat meminjam populariti kebadutan Pak Najib. Kumpulan strategis Pak Najib turut menunggang ‘bossku’ untuk membuktikan mereka berperanan dalam merekayasakan satu personaliti mesra rakyat yang baharu untuk bos mereka.

Sedang proses penjenamaan ini berlaku, saya mengira ‘bossku’ sudah boleh disenarai-tulis sebagai satu lagi retorik politik untuk kegunaan pemimpin-pemimpin tinggi. Mereka menyedut bahasa harian rakyat agar dapat disisip menjadi suatu pepatah canggih masa kempen pilihan raya nanti. Mereka menyebut perkataan ‘biasa-biasa’ yang kemudiannya dijadikan seperti suatu perkataan unik yang sepatutnya menunjukkan betapa dekatnya mereka pada rakyat kerana kita menggunakan perkataan ‘biasa-biasa’ yang sama.

Perkataan ‘biasa-biasa’ ini saya bayangkan lebih jauh dengan meminjam bayangan George Orwell dalam linguistik sebuah masyarakat fiksyen moden. Dalam karya beliau berjudul “1984”, terdapat dua jenis penggunaan tatabahasa berbeza bertujuan untuk mengubah idea masyarakat. Oldspeak ialah bahasa ‘lama’ manakala Newspeak ialah bahasa ‘baharu’. Dalam tatabahasa Newspeak, kebanyakan perkataan Oldspeak dibataskan maknanya atau dinyahkan sekaligus dalam kamus Newspeak. Pemilihan sesuatu perkataan bergantung pada hubungannya dengan percambahan idea baharu. Jadi, dalam masyarakat fiksyen Orwell: Newspeak adalah satu-satunya bahasa komunikasi yang dibolehkan.

Jika saya mengaplikasikan perkara ini pada proses penjenamaan semula Pak Najib dengan istilah harian rakyat ‘bossku’, adakah ini dianggap fenomena Newspeak? Harus kita ingat, terdapat banyak lagi perkataan yang disempitkan maknanya sehingga mengaburi maksud dan konteks sebenar sesuatu perkataan. Contohnya, ‘komunisme’, ‘pluralisme’, ‘liberal’, ‘anarki’ dan banyak lagi. Menariknya, kebanyakan makna sebenar ini dicekik oleh lapisan pemerintah (termasuk agamawan dan para intelektual) dan tidak lahir dari lapisan bawah ke atas piramid hieriarki masyarakat.

‘Malu apa bossku’ kini yang menjadi tagline Pak Najib tidak dapat dipisahkan lagi dengan gambaran senyum sengih pemimpin tryhard tua tersebut. Secara peribadinya, saya sendiri tidak mampu menggunakan ‘bosku’ dalam senda gurau kawan-kawan tanpa memisahkannya dengan Pak Najib. ‘Malu apa bosku’ dahulunya cuma frasa gurauan santai, sekarang menjadi frasa milik Pak Najib. Atau mungkin saya sahaja yang terlalu cakna politik sehingga di bawah minda sedar saya, ‘bosku’ sudah dinewspeakkan menjadi satu lagi cogan kata berunsurkan politik. Lebih ngeri, berupakan Pak Najib.

‘Bossku’ bukan lagi sekadar perkataan sapaan dan panggilan mesra. Ia kini dimaknakan semula menjadi ‘bossku’ dalam nuansa politik. Barangkali buat warga tempatan yang sudah sebati dengan konteks santainya tidak akan mengalami keadaan ini, lagi-lagi kepada yang bersifat apathy pada perkembangan politik Malaysia. Tapi saya masih tertanya bagaimana keadaan rakyat Malaya yang baharu saja mendengar ‘bossku’ dari mulut Pak Najib sendiri terutamanya yang belum pernah mengunjungi atau bergaul dengan orang Sabah sendiri. Adakah mereka mampu memahami perubahan konteks sosial ‘bossku’ dan terus menggunakannya, terpisah dari jenama Pak Najib?

This Post Has One Comment

  1. Miau dari Gunung si Miau

    Shame what m’boss!

Leave a Reply