Menyoal Kekayaan Sarawak

Menyoal Kekayaan Sarawak

Oleh: Lucy Montk

Tup tap tup tap, keluar lagi dapatan kajian bahawa gaji masuk akal untuk warga di kawasan Lembah Klang haruslah mencecah RM1800 dan ke atas. Sebelum ini, Bank Negara dikatakan mengeluarkan kenyataan yang gaji untuk warga yang belum berkahwin untuk hidup di kawasan Kuala Lumpur haruslah mencecah RM2000 ke atas. Dan di antara waktu kedua dapatan ini dikongsikan kepada umum keluar pula kenyataan yang lain yang mengatakan nilai gaji RM1100 terlalu tinggi buat sesetengah sektor.

Sebelum ini, naik berita bagaimana anak-anak muda dari negeri Sarawak kebanyakannya, terperangkap di Kemboja kerana ditipu sindiket yang kononnya menawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan. Kemudian, naik lagi berita tentang sekumpulan warga Sarawak, kali ini jauh lebih berusia- diselamatkan dari Liberia kerana isu yang sama; tertipu dengan tawaran sindiket yang menawarkan pekerjaan dengan gaji super lumayan.

Bukankah Sarawak disebut sebagai antara negeri terkaya dengan hasil bumi dan minyak? Kalau betullah kenyataan ini, mengapakah berbondong-bondong warganya gian mencari kerja di tempat lain sedangkan seharusnya tanah tumpah darah mereka ini menawarkan sesuatu yang lebih baik?

Perkara-perkara beginilah yang disebutkan sebagai ketidakseimbangan dalam pendapatan. Bila kita mengukur kekayaan sesebuah negeri, kita juga harus mengukur ke mana ia ditumpahkan dan siapa yang akan menikmatinya. Sarawak yang kaya dengan hasil hutan dan minyak ini dinikmati oleh siapa sebenarnya?

Nilai-nilai gaji yang dikongsikan oleh kelompok pemikir independen atau pun ditaja oleh mana-mana institusi itu tadi tujuannya apa sebenarnya jika akhirnya kerajaan yang harus bertindak sebagai orang tengah antara korporasi dan pekerja lebih berpihak kepada kepentingan korporasi dalam melakukan penjimatan untuk pengeluaran produksi tetapi menyalurkan keuntungan ratusan juta kepada lembaga pemegang saham semata-mata dalam masa setahun? Rumus ini sudah diulang sejak era zaman industri dan kita, sesiapa pun yang sedang membaca sudah pun lali dengan apa yang berlaku.

Nilai gaji bermaruah merujuk kepada pendapatan yang wajar dan selamat. Wajar dan selamat yang dimaksudkan adalah yang mampu dijadikan simpanan, membayar kos hidup, mampu digunakan untuk hal-hal riadah dan paling penting setimpal untuk pekerja.

Kerana dalam menentukan nilai gaji, pandangan pemodal dan pelabur dikatakan paling mustahak kerana merekalah yang mengeluarkan modal dan mewujudkan peluang pekerjaan namun kepentingan pekerja dalam meneruskan perusahaan yang didirikan- yang menjadi tiang utama dan merupakan aset terbesar korporasi- nilai opini mereka tersangatlah kecil.

Di sinilah, fungsi kerajaan sebagai orang tengah harus digerakkan. Tetapi untuk kerajaan baharu yang baru saja didirikan ini, nilai gaji tidaklah meningkat malahan cuba dikurangkan walaupun mekanisme penyelarasan gaji ditetapkan dalam masa dua dan empat tahun sekali.

Hal penyelarasan gaji adalah antara hal terbesar dalam perjuangan sosialisme. Ia perkara-perkara dekat untuk melonjakkan perjuangan sosialisme ke tujuan yang lebih besar dan jauh.

Dengan amaun gaji yang tidak bermaruah, makin ramailah warga akan menuju ke pusat-pusat pembangunan seperti kawasan Lembah Klang. Kesannya, pembangunan hanya mengalir di sini. Projek infrastruktur dibangunkan di kawasan ini sahaja dan menyebabkan kawasan-kawasan lain tidak menerima impak pembangunan yang seimbang.

Jika kawasan pedalaman tidak mempunyai bekalan elektrik dan air bersih- ia tidak mengapa kerana tidak ada kepentingan korporasi di sana. Warga sekitar hanya mendapat limpahan pembangunan seandainya tanah mereka sudah dimiliki korporasi. Jika di tanah tersebut boleh didirikan pasar raya, butik, kilang, padang golf- barulah sumber air bersih, elektrik, dan perlindungan legal disampaikan ke sana. Akan diletakkan pihak berkuasa jika perlu untuk menjaga kawasan sekitar supaya tidak berlakunya jenayah.

Peringatan untuk kita yang sedang menyebarkan kesedaran- tidak ada pun hal yang terpisah-pisah bila kita bercakap soal perlawanan. Jika ada sesiapapun telah muak dengan apa yang dijulangkan sebagai perlawanan, maka mungkin itulah strategi barisan taikun dan pemodal yang berdiri di belakang pihak berkuasa dan kerajaan. Mereka membuatkan kita hilang tujuan, patah semangat, menggigil dan buntu kerana sepertinya kita telah gagal melawan dan merungkai permasalahan hidup sehinggakan proses yang berulang dengan kekecundangan ini akhirnya kita menjadi seorang lagi apati.

Yang tidak lagi melawan.

Leave a Reply