MENSEJAHTERAKAN INSAN DAN MELESTARIKAN BUMI DENGAN MENGINTEGRASIKAN KURIKULUM AKADEMIK DAN KURIKULUM TURATH DALAM SISTEM PENDIDIKAN NEGARA

MENSEJAHTERAKAN INSAN DAN MELESTARIKAN BUMI DENGAN MENGINTEGRASIKAN KURIKULUM AKADEMIK DAN KURIKULUM TURATH DALAM SISTEM PENDIDIKAN NEGARA

Oleh: Muhammad Imran bin Muhammad Yuhaisham

بسْمِ اهللَِّ الهرحْْنِ الهرحِيمِ

Maha Suci Engkau tiada ilmu bagi kami melainkan apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami, sesungguh-Nya Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Segala puji bagi Allah Tuhan seluruh alam serta selawat dan salam ke atas junjungan mulia nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Sungguh, bumi tidak akan lestari tanpa terlebih dahulu insan-insan yang menghuninya sejahtera. Tambahan pula, sejahtera tidak akan tercapai selagimana mereka tidak mematuhi undang-undang Allah sepertimana yang telah termaktub di dalam Al-Quran dan As-Sunnah dengan bimbingan dan merujuk para ulamak yang mewarisi tradisi Islam.

Di era kini, kita dapat lihat betapa rosaknya jati diri, pemikiran para insan dan tenatnya kesihatan bumi akibat tangan-tangan insan itu sendiri. Dimanakah hak kita untuk mengatakan Allah itu tidak adil sedangkan kita (manusia) zalim akan diri sendiri bahkan bumi ciptaan-Nya. Adil itu bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya dan zalim itu adalah berlawanan maksud bagi adil. Kenapa saya mengatakan kita zalim akan diri sendiri dan bumi-Nya?

Allah ciptakan kita untuk mengabdikan diri kepada-Nya, taati segala perintah-Nya, menjauhi segala larangan-Nya dan ‘melantik’ kita sebagai khalifah untuk melestarikan bumi dan segala isinya (Haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya). Namun, adakah kita sudah berusaha menjadi hamba-Nya yang taat? Adakah kita sudah berusaha melestarikan bumi-Nya dari kerosakan dan kemusnahan?

Malang sekali buat kita, namun inilah realiti kehidupan yang sedang berlaku pada hari ini. Kerosakan tidak hanya berlaku terhadap manusia, malah juga terhadap alam yang dihuni oleh mereka. Hal ini tidak hanya berlaku di Malaysia sahaja. Turut berlaku di belahan dunia Nusantara yang lain, dan berkemungkinan diseluruh pelusuk dunia. Mungkin segala (kerosakkan) ini berlaku berpunca dari jauhnya kehidupan seseorang itu daripada nilai agama? Oleh itu, apakah solusi terbaik yang dapat kita fikirkan dalam usaha membentuk insan sejahtera secara tidak langsung menjamin kelestarian bumi?

Pada pengamatan dan penelitian saya, solusi yang terbaik dan ampuh adalah dengan mengintegrasikan kurikulum akademik dan kurikulum Turath dalam sistem pendidikan negara. Tujuan saya memfokuskan solusi kepada bidang pendidikan kerana ia merupakan medium penyampaian ilmu dan makna ke dalam jiwa insani. Sungguh saya katakan, seorang pelajar muslim tidak lengkap dengan hanya dengan mempelajari ilmu sains seperti matematik, biologi dan lain-lain tanpa mempelajari ilmu agama seperti akidah, fiqh, dan seumpamanya. Ilmu agama bukan hanya dipelajari, bahkan perlu difahami dan diamalkan di dalam kehidupan seharian. Ilmu selain ilmu agama hukumnya hanya fardu kifayah, wajib dikuasai hanya pada sebahagian kelompok di dalam masyarakat.

Walau bagaimanapun, ilmu agama ini tidaklah dapat kita fahami dan amalkan dengan sebenar-benarnya melainkan kita menuntutnya melalui pengajian Turath yang dibimbing dan diajar oleh para ulama dan para asatizah yang tsiqah. Jujur saya katakan, pelajaran atau kelas agama yang para pelajar ambil sewaktu di peringkat sekolah rendah atau menengah ber‘title’ kebangsaan mahupun agama tidak cukup untuk mereka memahami agama Islam dan mengamalkannya secara sempurna dalam kehidupan seharian (Bernama, 2014). Kerana apa? Kerana silibus subjek-subjek agama hanya berkisar asas agama Islam sahaja, tidak mendasar yakni mendalam dan tidak menjelaskan secara terperinci setiap topik-topik yang disertakan di dalam silibus tersebut. Oleh itu, para pelajar muslim tidak lengkap pendidikannya, jika mereka tidak memantapkan pemahaman Islam melalui pengajian Turath di samping meneruskan pengajian akademik di mana-mana institut pengajian tinggi.

Sebelum saya membedah tajuk dengan lebih mendalam, elok kiranya saya menjelaskan sedikit apakah itu (1) kurikulum akademik dan (1) kurikulum Turath. Boleh saya takrifkan secara ringkas dengan rujukan Kamus Dewan Edisi Keempat bahawa kurikulum akademik ialah skop dan isi kandungan subjek-subjek ilmu sains dan ilmu agama yang digubal dan disusun atur mengikut kerangka Kementerian Pendidikan Malaysia manakala kurikulum Turath ialah skop dan isi kandungan subjek-subjek ilmu agama seperti akidah, fiqh, tasawwuf dan sebagainya yang berteraskan kitab-kitab Turath (warisan) yang dikarang oleh para ulama muktabar seperti Imam As-Syafie, Imam Malik, Imam Ghazali dan banyak lagi (Maksud Turath, 2020). Juga, kurikulum ini hanya diajar oleh para ulama dan para asatizah yang tsiqah dan istimewanya kurikulum ini bersanad kepada Rasulullah S.A.W. Tambahan pula, kurikulum ini sudah wujud dan diaplikasikan di Malaysia seperti di Institusi Pondok, dan di Maahad Tahfiz, cuma masih belum diserap masuk ke dalam sistem pendidikan negara dan arus perdana.

Berbalik kepada solusi yang saya ajukan diawal tadi, mengintegrasikan pengajian akademik dan pengajian Turath menjamin kesejahteraan insan dan kelestarian bumi. Persoalannya, apakah solusi ini berkesan? Seperti kita ketahui, tiada insan yang sempurna melainkan nabi Muhammad S.A.W. Tuntasnya, baginda adalah kerangka atau acuan terbaik untuk membentuk insan sejahtera, yang sempurna dalam semua aspek kehidupan bahkan sudah jelas terbukti di dalam kalamullah bahawa baginda menjadi rahmat kepada sekalian alam. Namun, kita perlu ingat bahawa para ulamak yang paling faham dan arif tentang baginda kerana ulama merupakan pewaris para nabi. Hal ini menjelaskan lagi pentingnya pengajian Turath yang dibimbing oleh para ulama dalam usaha melahirkan insan yang sejahtera (Antara Kelebihan Mempelajari Ilmu Turath, 2020).

Apa yang pasti adalah pelajar muslim terutamanya amat mustahil menjadi insan yang sejahtera tanpa mempelajari ilmu agama melalui pengajian Turath. Buktinya, dapat disaksikan pada hari ini betapa rosaknya para pelajar muslim bukan sahaja dari aspek akhlak dan pemikiran yang berpunca dari kejahilan dan cetek pemahaman dalam ilmu agama (SUHID, 2007) di samping kurang pengamalan ilmu agama yang telah dipelajari secara teori. Sesungguhnya Allah yang menciptakan manusia dan Dia lebih mengetahui cara mengurus atur hidup umatnya. Oleh hal yang demikian, Allah menurunkan Islam kepada utusan-Nya, nabi Muhammad S.A.W sebagai Ad-Din, satu cara hidup yang meliputi semua aspek kehidupan manusia. Malang sekali, dalam sedar atau tidak sedar gaya hidup kita sudah berpaling dari ajaran Islam yang sebenar. Oleh itu, pentingnya proses integrasi yang dicadangkan agar tradisi ilmu Islam kembali bangkit dan secara tidak langsung membaiki akhlak para pelajar di samping pemikirannya agar selari dengan Al-Quran dan As-Sunnah (SUHID, 2007).

Selain itu, peri pentingnya kurikulum Turath adalah dapat mengembalikan makna agama dalam kehidupan yang telah dipisahkan dari sistem pendidikan negara disebabkan oleh ideologi Barat yakni sekularisme mendasarinya (Yusop, 2014) dan mendekatkan insan kepada penciptanya, yakni Allah Taala. Juga, saya ingin tekankan kurikulum ini adalah bersambungan sanad daripada Rasulullah S.A.W. Sudah pasti, dengan gabungan kurikulum Turath di dalam sistem pendidikan negara dapat menjadikan seseorang itu insan yang sejahtera sepertimana nabi Muhammad S.A.W, seorang insan kamil. Seterusnya, intipati ilmu di dalam pengajian Turath seperti ilmu akidah dapat mengukuhkan pegangan agama seorang muslim, ilmu ibadat dapat menyempurnakan segala amalan soleh yang dilakukan, ilmu tasawwuf pula merupakan ilmu yang paling penting buat umat Islam kerana ia berfungsi mensucikan hati dan jiwa dari segala dosa dan segala penyakit hati dan banyak lagi yang perlu dalam membentuk jati diri dan pemikiran seorang muslim yang sejahtera.

Selain itu, pengajian ini bukan hanya memberi manfaat di akhirat bahkan di dunia. Seringkali apabila bicara tentang pendidikan di Institusi Pondok dan Maahad Tahfiz yang mengamalkan pengajian Turath, masyarakat sekeliling pasti memandang sebelah mata, memandang hina kepada para penuntut di sana dan melihat mereka seolah-olah tidak mampu berjaya pada masa depan. Padahal di negara Malaysia, seorang pelajar lepasan pondok bernama Dr. Afifi Al-Akiti berjaya menjawat tugas sebagai felo tetap di Universiti Oxford dalam bidang teologi, falsafah dan sains. Hal ini membuktikan penuntut di Institusi Pondok dan Maahad Tahfiz mampu untuk bersaing bukan sahaja di peringkat Kebangsaan bahkan di peringkat Antarabangsa.

Kata Ulamak,

“Jika kamu mengejar akhirat, pasti dunia akan mengejarmu.”

Kesimpulannya, pengajian Turath bukanlah aliran ilmu yang wajar diremehkan tetapi ia mempunyai anugerah rahmat buat sesiapa yang menuntutnya, bukti sudah ada di depan mata cuma persoalannya adalah, adakah kita ingin menadah dan menerima rahmat itu atau sebaliknya?

Mengintegrasikan kurikulum akademik dan kurikulum Turath akan menjayakan usaha untuk mencapai wawasan pendidikan yang sebenar dalam melahirkan insan yang sejahtera, yakni tidak hanya cemerlang di dunia semata, bahkan di akhirat juga. Bukan niat saya untuk merendahkan atau bersikap ‘lebih pandai’, namun silibus pendidikan kita pada hari ini belum cukup matang dalam mempersiapkan generasi muda ke arah memberdaya nilai insanan. Lihat saja situasi anak remaja kini, masalah sosial seperti pergaulan bebas, zina dan seumpamanya semakin berleluasa, masalah jenayah seperti rogol, buli, dan sebagainya semakin meningkat (Aizan binti Ali @ Mat Zin, 2017) sedangkan mereka ini merupakan produk sekolah kerajaan dan Institusi Pendidikan Tinggi Awam. Bukankah situasi ini membuktikan bahawasanya silibus pendidikan kita masih lemah dan mempunyai lompong yang perlu ditelaah kembali?

Sepertimana yang telah dijelaskan di atas, kurikulum turath adalah tradisi ilmu Islam yang bersanad dengan Rasulullah S.A.W dan ini sudah pasti sangat diperlukan oleh seorang muslim, bertepatan dengan sebuah hadith Rasulullah S.A.W:

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan pernah sesat selagimana kamu berpegang teguh kepada kedua – duanya iaitu kitabullah (Al – quran) dan sunnah nabi – Nya (As – sunnah).” (Al-Quran dan Sunnah Panduan Hidup Diredhai, 2017).

Oleh itu, gabungan kurikulum akademik dengan kurikulum Turath dapat mengembalikan keseimbangan hidup para pelajar muslim, cemerlang bukan hanya di dunia bahkan di akhirat. Secara konklusinya, melalui proses integrasi kurikulum akademik dan kurikulum Turath dalam sistem pendidikan negara memberi begitu banyak manfaat kepada diri insani yang mana bukan sahaja menjadikannya seorang individu yang sejahtera bahkan bertaraf antarabangsa dan banyak lagi.

Ingin saya tinggalkan persoalan buat para pembaca,

Bayangkan jika seorang insan itu menjadi hamba Allah yang taat dan khalifah yang bertanggungjawab, tidakkah akan lestari bumi ini?

 

RUJUKAN

Aizan binti Ali @ Mat Zin, M. b. (2017). ISU DAN CABARAN PENDIDIKAN REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA. 44. Retrieved from http://commonrepo.um.edu.my: http://commonrepo.um.edu.my/12616/4/Page%2041-49.pdf

Al-Quran dan Sunnah Panduan Hidup Diredhai. (2017, Disember 31). Retrieved from people.utm.my: https://people.utm.my/ajmain/2017/12/31/al-quran-dan-sunnah-panduan-hidup-diredhai/

ANTARA KELEBIHAN MEMPELAJARI ILMU TURATH . (2020, September 12). Retrieved from facebook.com: https://www.facebook.com/tahfizturathsofa/posts/antara-kelebihan-mempelajari-ilmu-turath-jom-bersama-kami-membina-generasi-ulama/2492149597742222/

Bernama. (2014, Februari 14). Silibus pendidikan agama perlu disemak semula, saran Tun M. Retrieved from astroawani.com: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/silibus-pendidikan-agama-perlu-disemak-semula-saran-tun-m-30069

Graduan pondok yang berjaya di persada dunia. (n.d.). Retrieved from facebook.com: https://www.facebook.com/tahfizturathpahang/videos/375969790770601

Kamus Dewan Edisi Keempat – PRPM. (n.d.). Retrieved from DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (Malaysia): https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=kurikulum

Kamus Dewan Edisi Keempat – PRPM. (n.d.). Retrieved from DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (Malaysia): https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=akademik

MAKSUD TURATH. (2020, September 25). Retrieved from facebook.com: https://www.facebook.com/tahfizturathpahang/posts/maksud-turathkebelakangan-ini-kami-pihak-mttnp-dihujani-dengan-panggilan-untuk-p/165053711907630/

SUHID, A. (2007). Pengajaran adab & akhlak Islam dalam membangunkan modal insan. UKM Journal Article Repository, 170 – 171.

Surah Adz – Dzaariyaat: 56. (n.d.). Retrieved from Surah.My: https://www.surah.my/51?q=tidak+aku+ciptakan+jin+dan+manusia#56

Surah Al – Baqarah: 30. (n.d.). Retrieved from Surah.My: https://www.surah.my/2

Yusop, I. b. (2014). IMPAK KOLONIAL TERHADAP PENDIDIKAN ORANG MELAYU. 1203.

Leave a Reply