WACANA

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.

  • borneokomrad1@gmail.com
Menjawab Idealisme Orang Borneo dalam Politik Malaya
Gambar dari The Leaders Online

Menjawab Idealisme Orang Borneo dalam Politik Malaya

Oleh: Farahani R.

Saya terpanggil untuk memanjangkan persoalan yang membibit imaginasi saya mengenai kedudukan orang Borneo dalam politik Malaya, sepertimana yang pernah disiarkan dalam Sin Chew bertajuk Let Sabah and Sarawak be the kings, not just kingmakers pada 29 Februari 2020.

Ketika ini kita sedang bergelut tahu dan faham mengenai situasi Kabinet pada ketika itu, namun saya kira pada penulisan ini dinukil oleh Prof. Dr. Tajudin Mohd. Rasdi, tiadalah dalam pengetahuan kita bersama bahawa ada rancangan kerajaan pintu belakang tengah berlangsung.

Sepertimana langkah Prof Tajudin membuka pendapatnya, saya juga ingin menafikan sebarang kepakaran dalam memahami dinamik politik Borneo lebih dari apa yang saya tahu sebagai seorang graduan Sejarah.

Kapasiti saya menimbangkan pandangan beliau kali ini adalah hanya sebagai seorang pemimpi biasa dan seorang penduduk Sabah yang merasai duapuluh-an hidupnya setakat ini mengusahakan pembinaan naratif orang Sabah di platform audiens dari Malaya.

Istilah Malaya ini dikhaskan panggilnya untuk memerihalkan Semenanjung Malaysia; penduduknya dan geografikalnya. Istilah ini tidak seharusnya dibaca dengan nada yang derogatori – hanya sekadar mencalit warna sebenar dari mata seorang Borneo.

Bolehkah Malaya berhenti mencengkam Borneo?

Prof Tajudin berpandangan bahawa sudah tiba masanya untuk orang Borneo menonjolkan diri dan merebut ruang politik Malaysia dari tangan Malaya. Saya tabik dengan idealisme tersebut, kerana jujurnya, saya sendiri tidak melihat impian kami cukup besar lebih dari sekadar memegang autonomi di negeri-negeri sendiri.

Kita melihat sendiri di zaman PH yang singkat, kita sudah melalui proses mengubah RUU untuk menyusun kedudukan nama negeri dalam perlembagaan demi memutar kembali memori kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai negeri bersekutu (sepertimana sebelum 1970-an) dan bukanlah negeri ‘di bawah Putrajaya’ lagi. Kita kekurangan hanya beberapa undi (kalau tidak silap saya, dalam 6 undi) untuk menjayakan perubahan susun nama itu. GPS antaranya pihak yang menolak perubahan RUU tu kerana bagi mereka, itu tidak cukup.

Namun hal Perjanjian Malaysia tidak sepatutnya jadi ‘highlight of the decade’ lagi untuk Borneo. Perikatan Nasional juga bertarik tali dengan GPS sekarang, lalu GPS pun menuntut jua agar diadakan terus suatu bahagian khas yang boleh ‘mengutamakan’ hal ehwal Borneo. Bagi saya, langkah baharu ini adalah suatu novelti semata-mata. Selain Jeffery Kitingan, saya tidak melihat sesiapa lagi dari blok Borneo (yang membentuk Perikatan Nasional kini) yang cukup berani untuk mengangkat isu Borneo lagi. Abang Jo lebih lunak berbanding Adenan Satim dahulu. Ketika PH, Borneo diangkat berkali-kali ketika dalam sidang Parlimen.

Kalaupun ada, apa saja isu Borneo yang harus diberi perhatian? Memandangkan kita juga kononnya akan diangkat sebagai negeri bersekutu dengan Malaya, kewujudan jabatan khas itu boleh dilihat sebagai cara kawalan yang halus dari Putrajaya sendiri. Semacam Pejabat Luar British kepada sebuah kawasan di bawah penguasaannya pula. Atau mungkin, sebagai ‘kedutaan’? Kita masih belum dapat lihat zat sejati jabatan itu.

Jika kita sudah memperoleh autonomi sebagai sebuah negeri bersekutu, tidakkah secara langsung (dengan kewujudan jabatan khas untuk Sabah, Sarawak), keputusan kita masih diperhatikan dan dikawal-selia oleh Putrajaya. Dalam hal ini; saya hanya membina argumen ini berdasarkan argumen terdahulu dari golongan ultra-nasionalis Sabah. Mereka kata mereka tidak ingin campur tangan Malaya di tanah Sabah – mampukah, dengan sistem federalisme negara ini? Satu-satunya gerakan merdeka total yang didanai oleh parti politik dan organisasi luar negara adalah SSKM (Sabah Sarawak Keluar Malaysia). Itupun saya tidak melihat sebarang struktur, manifesto dan pemimpin berkaliber untuk menjayakan janji manis-ala-Stevia dari SSKM. Rakyat Sabah, sesiapa yang mudah dipengaruhi, akan cepat termakan kerana diingatkan, mereka tidak akan terkena “kencing” manis.

Ada beberapa nama berlegar di hujung minda saya, selalu menggentarkan rakyatnya bahawa jika kita tidak mengubah susun nama di Perlembagaan maka selagi itu Malaya menjajah Borneo. Lepas susun nama dalam Perlembagaan, apa lagi kita kena buat? Kalaulah benar pernyataan itu, usai kita memegang autonomi negeri yang bersekutu dengan Malaya; kerajaan negerilah yang membahukan tanggungjawab lebih berat untuk selesaikan masalah negerinya dan hanya meminta keperluan wang dan bantuan keselamatan daripada pusat bila diperlukan. Hak-hak imigresen, pendidikan, ekonomi, alam sekitar, hal ehwal warga terapung, tanpa negara dan lain-lain sepatutnya diberi sepenuhnya pada kerajaan negeri.

Lebih ironi, kita sendiri belum ada budaya politik matang di negeri Sabah. Masyarakat kita sendiri kurang mengerti apa itu kesedaran politik melainkan mengkritik dari empuknya sebuah bangku malas. Saya kurang pasti kalau Sarawak, lagi-lagi selepas struktur politik Sarawak itu dimonopoli untuk mengekalkan kekuasaan Taib Mahmud (lebih lucu apabila Menteri yang memegang portfolio jabatan khas itu adalah keturunan Taib Mahmud jua).

Di Sabah, mainan politiknya sentiasa dalam mod ‘menghitamkan’ dan memarginalkan komuniti. Dalam idea Gayathri Spivak, silencing people. Kaedah ini amat kerap digunakan dalam penulisan sejarah dan media, dimana si pemegang kuasa berpotensi memadam dan menulis semula naratif mereka yang dihilangkan itu dengan apa-apa saja paparan yang dimahukan mereka.

Mungkin saya memerlukan artikel yang lain lagi untuk mengutarakan sejauh mana perkembangan ekonomi kita di bawah Shafie Apdal kini, namun yang pasti, kuncinya adalah tarikan industri dari luar dan ekonomi gig (yang masih kurang sustainable untuk kehidupan rakyat dalam jangka masa yang panjang). Malang sekali ekonomi digital tidak begitu laju dipacu oleh kerajaan negeri, selain dari sistem e-kerajaan negeri yang masih ketinggalan lagi. Terbaharu, SabahPay diharap menjadi titik pembaharu ke arah ekonomi digital dan knowledge-based society.

Tambah lagi, saya jarang melihat pemikiran politik yang progresif diajukan dan dimajukan ke dalam pemahaman dan kesedaran politik rakyat Sabah melainkan perihal Perjanjian Malaysia 1963. Minda muda pun tidak jelas siapa yang boleh saya perhatikan lagi; universiti di Sabah tidak banyak melahirkan kudrat komrad berani. Angkat tangan, bertanya soalan adalah suatu kejarangan untuk pelajarnya.

Adapun kematangan ini dipegang oleh segelintir muda, itupun jika tidak dijual beli pengetahuan dan kepakarannya menjuruterakan propaganda pula. Cukup berbekas kecewa saya pada seorang sosok muda bertingkah “superhero Malaysia”. 2 tahun lalu, saya tidak faham. Setahun ini, saya mulai faham gelanggang propaganda dan kenapa dia berbuat demikian. Faham tidak bererti saya berhenti kecewa. Saya masih kecewa kenapa dia tidak ‘bertuan’.

Kita juga jelas melihat antara manifesto pilihan raya ini, kebiasaannya masih berlingkar pada fasiliti yang sedia ada, bukannya fasiliti impian kita.

Para pemimpin Sabah juga banyak yang lemah dan mudah luntur semangat dan percayanya pada partinya sendiri. Mereka lebih mengutamakan karier dan perut politiknya sendiri berbanding rakyatnya – itu sebablah orang Sabah tidak melopong terkejut dengan ‘katak-katak politik’ tiada bertuan melompat sana sini. Ramai pemimpin lama ini suka dirayu agar menjadi kingmaker yang dibeli-janji.

Hieriarki Keperluan Maslow dan Akses.

Impian Prof Tajudin itu menarik, terutamanya apabila disuguhkan idea bahawa biarkanlah Melayu bertahan di benteng UKM dan UiTM. Ia menarik, walaupun ini juga bagi saya, memerlukan ruang dan masa yang lain untuk menghuraikan mengapa perkara ini juga terlalu jauh untuk masyarakat muda Sabah.

Saya memakai kerangka Hieriarki Keperluan Maslow untuk memberi gambaran terbaik pada apa sebenarnya yang perlu dipenuhi dari mereka yang mampu memberikannya pada masyarakat lain. Ini bermakna saya sendiri tidak terlalu percayakan kekuatan kerajaan negeri (kerana kita bukanlah welfare state) dan saya juga masih melihat kekurangan gerakan non-partisan yang konsisten membantu masyarakatnya di Sabah.

Ada lima peringkat penting yang harus dilangsaikan demi membina ekosistem pemikiran yang sihat, kompetitif dan berani; Keperluan psikologikal, keselamatan, kasih sayang dan sense of belonging, keperluan untuk rasa pencapaian dan paling tinggi, pembentukan sifat kecemerlangan diri.

Kredit: Simply Psychology

Di Sabah, berapa ramai mereka yang terlahir dalam keempat-empat peringkat awal tersebut? Saya juga memiliki ramai rakan yang langsung tidak memenuhi keempat-empat ini, malah turut mendengar kisah kehidupan para pelajar saya (ketika saya menjadi guru di sebuah sekolah elit Sabah) dengan rasa sebak.

Seawal umur belasan tahun, mereka dinafikan peringkat-peringkat utama ini – makanan tidak banyak di rumah, persekitaran rumah yang diancam binatang bertopengkan manusia dan binatang sebenar, drama keluarga dan rakan sekelas, guru sendiri tidak memandang mereka sebagai kelompok yang bakal berjaya; lalu bagaimana mereka boleh menjadi belia cemerlang? Sehinggakan saya melihat peringkat Maslow ini di tanah Sabah, adalah suatu priviledge yang hanya dinikmati sebahagian orang sahaja.

Akses pendidikan juga berperanan besar di sini. Haruskah saya sebutkan semula kesukaran seorang pembaca buku untuk membeli buku dari Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak? Di Kota Kinabalu sahaja, hanya ada 1 outlet Times Bookstore dan beberapa lagi cawangan Popular Bookstore serata negeri. Di Sarawak sekurang-kurangnya ada 1 MPH.

Melihat perkara ini, saya berfikiran bahawa untuk mengecapi keilmuan seorang Malaya sepanjang hidupnya, saya perlu bekerja dua kali ganda. Namun untuk bekerja dua kali ganda, ramai terkandas mencari hidupnya sendiri dan menghindari perihal keilmuan kerana baginya, ia tidak membantu duitnya.

Alam media sosial mengubah persepsi ini; dan harus saya lontarkan di sini – saya melihat sikap wanita Sabah itu sendiri yang segelintirnya kurang gemar bercakap hal-hal yang berat (khususnya politik). Kurang ingin tahu, kurang rajin mencari tahu, kurang suka menanam tahu. Apakah ini ada kena mengena dengan teori keperluan Maslow? Apakah budaya dan budaya pemaknaan ‘wanita’ menghalang budaya keilmuan dan bertanya?

Leave a Reply

Close Menu