WACANA

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.

  • borneokomrad1@gmail.com
Menilai Semula Kontrak Suami-Isteri

Menilai Semula Kontrak Suami-Isteri

Oleh: Syed Ahmad Fathi

Saya meneguk teh-o kosong tanpa gula dengan perlahan sambil mendengar perkataan-perkataan yang keluar dari mulut Syazmil (bukan nama sebenar). Beliau menceritakan perihal rumah tangganya. Bagaimana dia berkahwin dengan isterinya yang jauh lebih muda darinya, dia menceritakan pada ketika itu isterinya baru mula bekerja setelah tamat bersekolah. Baginya isteri tempatnya di rumah bersama anak-anak, dia tidak mahu isterinya berkerja. Biarlah dia yang membanting tulang setiap hari mencari peruntukan untuk membeli bahan makanan, membayar sewa rumah, juga kenderaan pengangkutan.

Saya mendengar dengan teliti, tidak membantah atau berhujah. Mungkin saya sudah terlalu tua, hanya mahu makan tengahari dengan aman tanpa konfrontasi, tanpa perbahasan idealis atau falsafah yang berat. Namun berminggu-minggu dialog saya dengan Syazmil tengahari itu berlegar-legar difikiran. Meski saya cuba lipat dan simpan didalam kotak almari di dalam otak ia keluar semula setiap hari, seolah mahu saya mencatatkannya pada tinta.

Ya, saya tidak bersetuju dengan pandangan itu, walaupun begitu saya hormati pandangan dan pilihannya. Saya teringat cebisan tulisan ahli ekonomi Ha Joon-Chang, bahawa revolusi ekonomi yang paling signifikan bukanlah komputer, gadget, artificial intelligence, atau penciptaan kereta terbang, tetapi adalah penciptaan mesin basuh. Buat pertama kali dalam sejarah homo-sapien, manusia tidak perlu lagi membasuh baju secara manual, yang memakan masa dan tenaga yang banyak. Mesin basuh membebaskan wanita dari kerja rumah yang membebankan dan memberi mereka peluang untuk masuk kedalam pasaran ekonomi secara lebih aktif, ia adalah satu revolusi pada ekonomi dunia.

Jangan salah faham, saya bukan feminis walaupun saya bersetuju dengan banyak idea dan tulisan Sheryl Sandberg, antaranya adalah pilihan untuk membesarkan anak dirumah atau memasuki pasaran kerja itu adalah pilihan isteri, dan sebagai suami kita harus menyokong dan mendokong pilihan mereka. Sudah tentu kita punya hak memberi pendapat dan cadangan, namun pilihan akhir adalah pilihan isteri. Adapun tugas menjaga dan membesarkan anak adalah tugas dan tanggungjawab bersama, malah kepercayaan saya ia bukan tanggungjawab ibu bapa sahaja, ia adalah tanggungjawab masyarakat. Hampir mustahil kita menjaga mereka sehingga dewasa sendirian, ada sebahagiannya dilaksanakan oleh masyarakat termasuk ahli keluarga terdekat, pengasuh, guru tadika, guru sekolah, warden, pensyarah dan sebagainya. Kerana anak itu nanti akan hidup dalam masyarakat.

Malah dalam kontrak perkahwinan yang kita persetujui tidak ditulis tugas memasak, membasuh baju, menjaga anak, dan sebagainya adalah tugas isteri. Ia adalah tugas bersama dan perlu digalas bersama, ia perlukan perbincangan dan persetujuan. Tetapi bukan saya yang patut menentukan struktur, kontrak, dan susunan keluarga sesiapa, keluarga adalah persoalan peribadi, dan kita diberi kebebasan untuk berbincang dan menentukan susunan yang sesuai dan adil bagi keluarga masing-masing.

Saya lebih berpandangan isteri perlu berkerja, kerana bagi saya apabila isteri berkerja dia mempunyai kekuatan ekonomi. Dia boleh berunding dan berbincang dengan suami tanpa takut kehilangan sumber pendapatan. Berkerja bagi saya juga bukan persoalan ekonomi sahaja. Ia juga membantu kesihatan mental yang baik. Sesiapa yang mempunyai anak mengetahui bahawa kerja membesarkan anak mengambil tenaga dan fikiran yang besar. Tempat kerja memberikan isteri masa untuk berehat sebentar dari tekanan membesarkan anak-anak. Memberi mereka peluang untuk berbincang dengan rakan-rakan lain yang neutral, yang tiada kepentingan dalam keluarga mereka. Ini semua membantu mengurangkan tekanan dan baik untuk kesihatan mental.

Keluarga adalah unit asas masyarakat, kegagalan kita membina keluarga yang baik bakal melahirkan masyarakat yang rosak. Untuk lahir keluarga yang baik perlu kepada kita untuk memahami peranan masing-masing, dan mengambil tanggungjawab. Harap-harap dialog saya dengan Syazmir boleh saya simpan di dalam kotak di dalam otak kali ini, biarlah ia kemas sahaja di situ tanpa keluar lagi.

Leave a Reply

Close Menu