Mengimaginasi Sejarah Sabah

Mengimaginasi Sejarah Sabah

Oleh: Farahani R. 

Ketika saya di UMS, saya dan kawan-kawan satu kursus sudah biasa dituba dengan soalan-soalan mengenai prospek masa hadapan dan jaminan kerjaya yang mungkin wujud dalam pembelajaran di kampus sepanjang tiga tahun ini. Selepas saya tamat tiga tahun pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Sejarah), saya sudah terbitkan sebuah buku mengenai tokoh yang amat-amat saya selami jiwanya; Ali Syaria’ti. Saya bongkar kembali khazanah pemikirannya, lalu saya bukukan semula agar dapat menjadi rujukan generasi masa datang. Akhirnya saya terfikir untuk melihat Ali Syaria’ti sebagai seorang Malaysia, dan entah bilalah perjalanan saya bakal berakhir.

Ketika saya sibuk tenggelam-timbul di permukaan laut yang dipenuhi gigi rongak jiran yang bertanya ‘anakmu kerja apa?’ dan jiwa akademik bertanya sendiri ‘bila proposal boleh bentang?’, saya mulai disilusi dengan keseluruhan imaginasi prospek sejarah di Malaysia. Saya melihat sejarah di negara ini khususnya Sabah sudah pun dirakyatkan dengan The Patriots dan North Borneo Historical Society. Terpantul refleksi saya di hadapan cermin: di mana sebenarnya sejarah pada mata dunia? Bidang sejarah tidaklah jelas diperlukan dalam industri (masih ada industri yang terbuka, yang penting bakat dan kemahiran lain saling berdamping dengan pengetahuan) dan bidang sejarah pula sudah pun dimasyarakatkan oleh ramai ‘pseudo-sejarawan’ yang mampu pula mendapatkan akses pada dokumen-dokumen lama.

Di situlah pentingnya speciality bidang. Suatu sub-bidang yang diketahui dan dikuasai oleh seseorang atau sekelompok sejarawan. Ada pseudo-sejarawan di luar sana masih gagal meneliti etika dan jarang menguasai pemilihan bahan rujukan yang sesuai. Akhirnya hasil mereka menang ‘bestseller’ di arena perbukuan perdana tanpa kredibiliti sejati. Sejarawan yang baik tidak akan memakai hasil-hasil mereka ini, tapi masyarakat akan memakai-guna dan percaya-semati-matinya pada ilmu yang dikatakan telah melalui penyelidikan. Akhirnya sejarawan akan terpaksa memulihkan kerosakan ilmu fakta yang di simpang-luarkan oleh para pseudo-sejarawan ini. Oleh sebab itu, saya ada menulis sedikit pertimbangan kepada pseudo-sejarawan ini dalam ‘Anti-Universiti’ terbitan Republik Buku/ Fajar Kiri Publication.

Di sebalik hiruk pikuk perlawanan antara sejarawan-ilmuwan dengan pseudo-sejarawan, sejarah Borneo khususnya Sabah masih lagi terselindung dari perhatian kelompok pseudo-sejarawan ini. Terselindung pada maksud saya bukanlah bermakna tiada langsung yang berminat mengkaji. Sejarah Sabah sebenarnya sudah menghampiri kepesatan rujukan yang semakin banyak hasil dari minat anak watan Sabah (dan anak Malaysia dari keluarga negeri lain). Bermula dari kekayaan budaya bangsa-bangsa di Sabah sehinggalah peninggalan manusia archaic, pengkajian tentang negeri ini sudah semakin meluas.

Namun sejarah Sabah juga ada cabarannya sendiri. Disebabkan masih kurangnya bahan-bahan bernada oksidentalis, imaginasi sejarah Sabah kadangkala dipesongkan menjadi pandangan seorang orientalis. Jika membaca tulisan-tulisan para orang putih mengenai Sabah, anda masih lagi terbayangkan eksotiknya bangsa-bangsa Sabah dahulu yang terpegun melihat peti sejuk putih yang besar di penjuru rumah Agnes N. Keith. Menurut mereka lagi, Sabah itu luas dengan tanah rimba menghijau yang liar menunggu penjinakan besar-besaran oleh manusia yang lebih superior dari orang-orang asli Sabah. Binatang-binatang buas, kumbang dan pohon yang jarang ditemui direkodkan lalu menjadi rujukan ahli mereka yang lain.

Sejak itu, sejarah Sabah mulai didefinisikan sebagai kawasan hutan indah untuk diteroka (tidak banyak bezanya dengan paparan media sekarang) dan pulau-pulau kaya dengan ikan warna-warni yang riang serta terumbu karang bercorak gembira. Kemudian sejarah Sabah akhirnya dibelah dua; satu adalah kawasan Brunei dan satu lagi kawasan Sulu. Detik naratif inilah menjadi bukti segelintir pihak Sulu di Mindanao, dikatakan mahu ‘mengambil’ Sabah. Lebih menarik lagi, dakwaan kekuasaan mereka seolah-olah menguasai seluruh Sabah walhal dengan detik naratif mereka, hanya sebahagian Sabah sahaja yang kononnya pernah menjadi milik mereka.

Tidak cukup lagi, sejarah Sabah dilihat hanya bermula ketika datangnya orang putih ke Borneo Utara. Sepanjang penulisan sejarah dari ilmuwan berabad-abad lamanya, Sabah lebih banyak dirujuk sama ada kepunyaan kerajaan Brunei atau kerajaan Sulu. Hanya pada zaman pasca moden inilah, sejarah Sabah diperluas cakupannya kembali sehingga ke zaman bangsa-bangsa pelayar dengan kajian pembudayaan perahu lepa. Perahu lepa ini dikatakan merupakan tradisi perahu yang cukup lama, dan setiap tahun, Regatta Lepa akan diadakan demi mengenang tradisi perahu ini di Semporna.

Selain itu, sejarah Sabah turut dilakarkan dari segi perkembangan budaya termasuklah perkembangan masyarakat dengan agamanya. Jika ditelusuri dalam persejarahan Melayu, agama Islam menjadi penanda perkembangan budaya yang cukup besar dalam masyarakatnya. Tetapi di Sabah, perubahan agama ini tertakluk pada kapasiti tenaga misionari dan para pendakwah Islam yang hadir di tanah bawah bayu. Sehingga kini, masih wujud kelompok-kelompok tua yang masih pagan. Toleransi agama begitu kuat di Sabah kerana perkaitan bangsa-agama jarang ditekankan, tidak seperti yang berlaku di Tanah Melayu.

Melintasi dekad-dekad di bawah pengurusan Syarikat Berpiagam Borneo Utara, pendudukan Jepun membawa semangat penentangan dengan polisi ketenteraan yang agresif. Perang mengorbankan beratus-ratus tentera gabungan yang berjuang di tanah Sabah, meranapkan Sandakan dan meninggalkan puing-puing yang diserikan kini dengan grafiti camera-worthy berdekatan Suria Sabah Mall, di kota lama Jesselton. Kedatangan British di Sabah diharapkan boleh membangunkan semula infrastruktur yang ada. Tetapi tidak semudah itu, kerana menuruti semangat zamannya, nasionalisme perlahan bangkit dalam kalangan intelektual Sabah ketika itu. Mereka secara automatik menjadi pemimpin yang dipercayai membawa Sabah menuju merdeka, seterusnya bergabung bersama Persekutuan Tanah Melayu dan Sarawak.

Bertitik daripada tahun 1963, kajian sejarah Sabah sudah melepasi era baharu – era Malaysia. Dari sinilah sejarah Sabah ditulis dalam pelbagai perspektif dan teori mengikut bidang kemahiran masing-masing. Sejarah Sabah tidak semestinya ditulis secara retrospektif yakni hanya berputar pada apa yang terjadi dekad-dekad kolonial ataupun semasa pentadbiran Jepun; ia juga boleh ditulis dengan falsafah atau kerangka pemikiran, teori seseorang tokoh. Paling biasa, dalam kerangka hubungan ekonomi-masyarakat Karl Marx dan paling luar biasa setakat ini, dalam kerangka teori Darwinisme sosial. Mungkin ada lagi yang lebih luar biasa selepas ini yang saya sendiri tidak tahu.

Barangkali lain kali, saya akan menyorot ringkas kajian-kajian lepas mengenai Sabah yang boleh saya akses agar boleh dirujuk sepintasnya oleh para sejarawan muda dan pseudo-sejarawan yang berkebolehan menghormati disiplin sejarah serta cukup waras untuk menulisnya.

Leave a Reply