SENI DAN SASTERA

SENI UNTUK MASYARAKAT

  • borneokomrad1@gmail.com
Mengenali Penyair Wanita Lama di Sabah

Mengenali Penyair Wanita Lama di Sabah

Oleh: Yeyen Khoo

Fokus makalah ini membincangkan tentang beberapa penyair wanita lama di Sabah. Setiap penyair memiliki pendekatan masing-masing dalam menghasilkan sesebuah karya. Penekanan tema dan penggunaan diksi yang diguna juga berbeza-beza mengikut imbangan emosi yang digunakan dalam penghasilan karya.

Ony Latifah Osman, Sahara binti Jais dan Zaiton Ajamain antara penyair senior yang banyak menyumbangkan karya dalam dunia penulisan di Sabah khususnya. Ony Latifah Osman atau lebih dikenali sebagai Ludany On, Ny U’wara dan Umi On (nama pena). Beliau dilahirkan di Kampung Damai, Tandek Kota Marudu Sabah pada 28 Ogos 1963. Beliau mulai berkecimpung dalam dunia penulisan pada tahun 1983 dalam genre puisi, cerpen, skrip radio dan esei agama. Ony Latifah Osman amat terkenal dengan genre penulisan yang berbentuk keagamaan dan kecintaan kepada Tuhan. Pada tahun 2000, 2001, 2003, 2004 dan 2005 beliau memenangi penulisan Puisi Islam berturut-turut dan sempena Mahrajan Sastera Islam Sabah. Keseimbangan emosi beliau dalam karya-karya yang dihasilkan lebih berelementasikan melankolik.

“Latifah, inilah namaku, setelah berlangsir, air bening nur kasih Kausar hidayah-Mu”

(Latifah Inilah Namaku)

“Sekeping nota yang kugenggam menjadi sandaran kukuh dan esok yang hadir engkau kasihku penuh rindu tanpa engkau siapalah aku.”

(Sekeping Nota)

Selepas mengenali seseorang penulis, kita akan melihat kepada peribadi ataupun hidupnya. Karya-karya beliau banyak mengetengahkan hubungan manusia terhadap Tuhannya dan meletakkan situasi ataupun bagaimana penyair berbicara dengan Tuhannya. kebergantungan sifat insaniah dapat dilihat menerusi bait di atas dan meletakkan tingkat rindu yang tinggi kepada Tuhan dalam nada nostalgik. Didapati perasaan-perasaan penyair tidak diperjelaskan secara terus kerana lebih berkias tetapi masih nampak ketegasannya. Penyair mengimbangi emosi di dalam karya menerusi pemilihan diksi-diksi yang islamik dan sopan.

Sahara binti Jais dilahirkan pada 6 Disember 1971, di Kampung Tobobon, Menggatal Kota Kinabalu. Beliau mulai menulis puisi berunsur Islam awal tahun 1990-an. Beliau juga pernah memenangi peraduan menulis Puisi Berunsur Islam sempena Maulidur Rasul peringkat negeri Sabah. Dalam buku Jelita Seorang Aisyah, karya-karya beliau bertendensikan ketuhanan dan peletakan icon wanita Islam dalam karya begitu jelas. Sahara Jais lebih kerap mengangkat isu berkaitan keperibadian seorang wanita yang diinspirasikan daripada tokoh-tokoh wanita terdahulu.

“Mohon jelita seorang Aisyah memanah kalbu saharamu. Agar teguh madrasah cintanya berpaut di putih cahaya.”

(Jelita Seorang Aisyah)

“Ujana mawar yang kau diami, menjadi lautan tragis yang menghiris, pedih menambah luka kara yang dalam, mengalir sungai berdarah”

(Balasungkawa)

Pada umumnya, imej wanita yang dicerminkan dalam karya-karya beliau bersifat positif. Seringkali meletakkan tema ataupun watak adalah wanita yang berjuang, melawan segala dugaan dengan berani serta sering kali menang dalam perjuangan. Penyair meletakkan wanita bukan seperti yang di canang-canangkan iaitu makhluk lemah. Walaupun karya beliau adakalanya bersifat meradang dalam kesedihan namun perkataan yang sederhana, padat dan penuh pengertian menguatkan lagi inti karya beliau. Ditambah lagi dengan penggunaan diksi yang puitis amat menginsafi dan berkesan ke jiwa pembaca. Antara karya beliau ialah Keredaan (Kepada cinta Rabiatul Adawiyah), Di Bibir Cinta Rabiatul Adawiyah, Bukan Milik Kita dan banyak lagi.

Zaiton Ajamain ataupun lebih dikenali sebagai Zarni pada awal 70’an.  anak kelahiran kampung Buang Sayang, Papar. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Inggeris dari University of Newcastle Upon Tyne, England. Beliau pernah bertugas sebagai guru sementara dan penterjemah di Jabatan Ketua Menteri dan Penolong Pegawai penerangan. Antara buku yang banyak menaikkan nama beliau dalam dunia kepenyairan ialah “Bagai Layang-layang”. Bagi beliau, puisi adalah getaran sukma yang dicetuskan dalam bentuk kata-kata yang terpilih.

“…tanpa membuat mama menanggung sakit yang luar biasa kerimasannya.”

(Kalaulah)

“…gondola kasih terus didayung dan aku tidak lagi menunggu. Kerana jika pelayaran ini sasarnya pelabuhan kasih aku akan terus merindu dan menunggu.”

(Gendola Kasih)

Karya-karya beliau merangkumi kaedah yang logik dan bersepadu dalam mempertimbangkan andaian. Kebanyakannya menggunakan kemahiran-kemahiran kreatif iaitu dengan menggunakan minda untuk meneroka pelbagai kemungkinan, menghasilkan sesuatu yang baru, asli, luar biasa dan bernilai. Penerapan yang jelas menunjukkan originaliti beliau yang tersendiri. Membataskan diri dengan tema-tema penghasilan karya ke arah mengungkapkan puisi berunsur ketuhanan dengan pengamatan yang bersifat luaran seperti mengungkapkan pengalaman, pengamatan, pemikiran dan penghayatan terhadap diri dan Tuhan antara kunci utama beliau dalam menghasilkan karya.

Demikian sebahagian deretan penyair wanita lama Sabah. Penglibatan mereka dalam dunia sastera sangat penting sekali bagi mengimbangi dunia penulisan. Penekanan aliran keagamaan yang berunsurkan retorik pathos jelas digunakan oleh kebanyakan penyair wanita di Sabah. Mereka mengajak para pembaca untuk lebih mendalami sesuatu makna dengan cara mendekati jiwa-jiwa pembaca dengan tendensi Ketuhanan.

Leave a Reply

Close Menu