WACANA

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.

  • borneokomrad1@gmail.com
Mengenali Pemikiran Rekaan (Design Thinking)

Mengenali Pemikiran Rekaan (Design Thinking)

Oleh : Aakmal Yusop

Pemikiran rekaan ialah salah satu kaedah pemikiran, di mana masalah yang wujud diselesaikan dengan membina satu rekaan untuk mereka yang mengalami masalah tersebut. Ia tidaklah semestinya bererti kita membina mesin yang boleh menyelesaikan masalah untuk orang sasaran dengan ajaibnya. Selalunya itu yang terjadi, namun, jawapan kepada pemikiran rekaan juga boleh menjadi program komputer, mobile app, atau sistem perkhidmatan.

Saya tidak perlu kiranya menceritakan kewujudan ‘app-app’ yang anda selalu gunakan di telefon pintar anda, seperti Whatsapp, Grab, Facebook, serta Lazada, contohnya. Ia menyelesaikan pelbagai masalah penggunanya, dan anda dengan gembiranya menggunakan ia. App-app itu ada cara mereka yang menarik untuk menjana kawangan (pendek cerita: iklan), namun asas mereka ialah dengan menyelesaikan masalah.

Penyelesaian masalah boleh terjadi secara rambang, tetapi ia terlalu perlahan bagi para usahawan dan penyelesai masalah. Mereka memerlukan sistem, dan pemikiran rekaan pun disintesiskan.

Pemikiran rekaan ada lima langkah:

  1. Fahami (Empathise)
  2. Definisikan (Define)
  3. Menjana Idea (Ideate)
  4. Membina Prototaip (Prototype)
  5. Uji (Test)

Untuk memudahkan pemahaman dalam artikel ini, saya akan gunakan contoh Sekolah Alternatif Teluk Layang untuk memekarkan erti setiap langkah.

  1. Fahami

Apakah masalah yang ada?

Sebelum kita menggunakan mana-mana paradigma untuk menyelesaikan masalah, langkah kita yang jauh lebih awal ialah memahami apakah masalah kita sebenarnya?

Mari kita membuka hikayat Sekolah Alternatif Teluk Layang. Sebelum papan sekolah itu terbina, sebelum rumah kosong dipinjam, bahkan sebelum kawasan bersimen digunakan sebagai tapak sekolah, ada seorang lelaki muda yang mencari hala tuju berjoging ke arah sana.

Dia mendapati runtuhan sebuah kampung yang terlalu daif. Penduduknya sudah lama tinggal di sana dan baru sahaja tinggal di sana; rumah mereka selalu dirobohkan. Rumah yang paling kaya di sana hanyalah seindah rumah kampung yang diperbuat dari kayu dan selalu merengek, tetapi luas.

Si pejoging memahami masalah di sana setelah bercerita beberapa kali dengan penduduk kampung. Mereka ketiadaan kemudahan asas: air, elektrik, gas memasak, bahkan rumah yang tidak diganggu pihak berkuasa pun tiada. Mereka tidak diakui sebagai warganegara Malaysia, sedangkan mereka sepatutnya tiada masalah jika mahu mula memohon kewarganegaraan. Teorinya lah.

Bagi anda, senaraikan dahulu semua masalah yang anda ada. Anda juga boleh senaraikan masalah yang timbul dari masalah yang anda ada. Adakah anda tidak cukup duit? Adakah anda tidak cukup duit untuk membayar deposit rumah, atau tidak cukup duit untuk mengahwini orang yang anda idamkan? Atau sebaliknya, anda tiada masa? Anda tiada masa kerana terpaksa membuat kerja di pejabat dengan berulang alik ke pejabat sehingga sejam dua setiap hari?

Anda perlu tulis semua ini di atas kertas. Tulis juga masalah yang anda ada. Mungkin inilah peluang untuk selesaikan ia dengan baik. Dan mungkin menguntungkan. Bincang dengan orang lain juga. Menyelesaikan masalah anda membantu diri. Tetapi menyelesaikan masalah ramai orang ialah kunci kekayaan. Mana tahu, kamu sahaja yang tidak terkena masalah yang dihadapi orang lain, memberi anda peluang untuk menyelesaikan masalah mereka.

Apakah sumber yang kita ada?

Si pejoging mendapati situasi yang dia lihat adalah amat runcing. Secara konvensionalnya, untuk menyelesaikan semua masalah yang ada memerlukan tenaga kerja dan duit yang banyak. Air harus dipaip dari grid, elektrik juga, gas memasak harus mengharapkan lori yang membawanya untuk dijual. Sekolah mesti memberikan para pelajar masuk ke dalamnya untuk belajar. Dan paling penting, polis mesti tidak datang menganggu mereka setiap masa, hanya kerana mereka tidak memiliki dokumen yang secukupnya untuk dilayan seperti manusia di Malaysia.

Si pejoging tiada itu semua. Apa yang dia ada?

Dia ada ilmu. Bukan banyak ilmunya. Tulis, kira, baca. Oh, dia juga sedang dididik di universiti sebagai seorang mahasiswa. Dia juga diberi makan ibubapanya, serta mempunyai pinjaman PTPTN. Juga, dia belum tahu, tapi dia ada rakan-rakan yang akan datang untuk membantunya.

Tidak banyak. Tapi sumber itu ada.

Anda juga ada sumber anda sendiri. Adakah makan minum anda masih ditanggung? Adakah anda mempunyai pekerjaan? Adakah anda mempunyai masa terluang, atau aktiviti yang anda boleh gugurkan untuk masa itu? Adakah anda mempunyai apa-apa, sekurang-kurangnya muka yang bersih dan kata yang manis?

Anda mempunyai sahabat sehidup semati? Isteri yang memahami? Atau sebaliknya, seorang yang sanggup melakukan apa sahaja untuk anda dengan bayaran yang setimpal?

Atau adakah anda ada kemahiran menarik? Anda boleh menganyam, bercerita, memprogram? Anda ada kemampuan mental untuk belajar benda baru? Atau anda sebaliknya, ada kecekalan untuk mengajarnya? Sumber anda bukan sahaja apa yang anda miliki, tetapi apa anda boleh gapai serta berikan.

Dengan masalah yang ada, dan sumber yang ada, apa yang kita boleh selesaikan?

Soalan ini ialah tunjang kepada langkah-langkah seterusnya. Tapi, apakah yang si pejoging boleh selesaikan?

Si pejoging tahu tulis, baca, kira. Apabila dia menceritakan apa yang dia lihat dengan kawan-kawannya, ada seorang dua yang sudi membantu. Dan si pejoging tidak perlu berbelanja banyak. Apakah sekolah, kalau bukan guru, pelajar, dan tempat berkumpul? Apakah tulisan, kalau bukan contengan pensel kayu atas kertas murah?

Maka, apa yang pejoging boleh selesaikan ialah masalah pendidikan. Langkah ini berbaur dengan langkah kedua dan ketiga.

Dengan masalah yang anda ada, serta sumber yang anda ada, apa yang anda boleh selesaikan?

  1. Definisikan (Define)

Mendefinisikan masalah nampak seperti remeh-temeh. Apakah itu masalah? Bukankah sudah jelas dan terang di mata kita? Apakah perlunya lagi definisi? Selesaikan semua yang ada!

Namun, sumber adalah terhad. Bukan duit sahaja. Masa, tenaga, dan kekuatan mental kamu ialah sumber, dan ia tidaklah infiniti. Mendefinisikan masalah untuk diselesaikan ialah cara yang paling baik untuk menjitukan penyelesaikan masalah. Jangan risau, banyak lagi persoalan dan isu yang akan timbul untuk menghiburkan anda, kalau kamu rasa masalah yang ada sekarang terlalu membosankan.

Tapi bagaimana caranya mendefinisikan masalah? Senang sahaja, sebut atau tulis ia dalam satu ayat.

“Masalah yang saya mahu selesaikan ialah…”

Bagi kes Sekolah Alternatif Teluk Layang, ayatnya menjadi: “Masalah yang saya mahu selesaikan ialah masalah kanak-kanak penduduk kampung Teluk Layang yang tidak dapat memperoleh pendidikan asas di sekolah konvensional.”

Apakah masalah yang kamu mahu selesaikan?

Mendefinisikan masalah sudah membantu. Ia memfokuskan anda dengan apa yang anda mahu selesaikan. Tapi sekarang, apakah penyelesaian yang ada? Untuk itu, kita perlu ke langkah ketiga.

  1. Menjana Idea (Ideate)

Sekarang si pejoging akan menjana idea. Apakah yang dia boleh lakukan untuk kanak-kanak yang tidak dapat bersekolah? Antara idea yang anda boleh fikirkan:

(a) Paksa ke sekolah juga
(b) Bawa sukarelawan untuk mengajar
(c) Berikan buku untuk pelajar diajar oleh orang dewasa atau ibubapa yang memang di kampung itu.
(d) Bina sekolah untuk para pelajar mempelajari sesuatu

Kebanyakan idea yang anda jana pada waktu ini tidak perlu terikat kepada kekangan realiti. Itu berada di langkah keempat. Buat masa ini, jana idea yang ada. Seru dewata purba, ikat perjanjian dengan syaitan keji dan mungkar, bina robot yang mengajar dengan hanya bergajikan elektrik dan pembaikan. Tipu seluruh rakyat Malaysia dan Mahathir untuk memberi kanak-kanak ini uniform, buku teks, buku tulis, serta peralatan sekolah.

Lupakan kewarasan pada langkah ini. Anda menguasai ruang pemikiran anda, semua benda adalah mungkin di sana. Jangan malu dengan apa yang anda fikirkan, sekarang ialah masa memekarkan fikiran anda.

  1. Membina Prototaip (Prototype)

Kembalikan kewarasan kamu, sudah tiba masa idea untuk bercumbuan dengan dunia nyata.

Apakah itu prototaip? Ia adalah rangka asas kepada rancangan kamu. Ia boleh menjadi benda yang wujud di alam nyata. Mobile app yang banyak masalah, binaan kecil yang bocor dan senang meletup. Ia juga boleh menjadi kertas besar yang penuh dengan pelan rancangan dan idea. Rancangan dan idea yang mungkin tidak terlaksana di dunia realiti yang penuh dengan cubaan, perubahan, dan pengkhianatan.

Tips yang amat penting di sini ialah mulakan dengan minimum viable product. Apakah makhluk itu?

Produk terkecil boleh dijana, nama Melayunya, ialah perkara termudah yang anda boleh lakukan. Anda boleh mengarang hikayat epik? Jangan dahulu, karang cerita pendek. Anda boleh menempa alat membuat wain komersil? Sabar, buat tajau dan peram beras menjadi tuak dulu. Anda mahir dengan konsep kalkulus serta matriks? Katup bilahmu, ajar dahulu tambah tolak darab bahagi.

Kenapa kita mesti memulakan dengan produk terkecil boleh dijana? Kerana dunia realiti yang penuh dengan cubaan, perubahan, dan pengkhianatan. Ia tidak akan berdiam diri dengan kemahuan kamu. Ia akan menentang raliti yang kamu ingin cipta, dan menolak kamu dengan kekerasan dan kerosakan.

Pada waktu ini, langgarkan idea anda dengan segala masalah yang anda fikir mungkin akan timbul. Daripada nyamuk menggigit ke ombak membadai, daripada kepokaian yang dialami oleh para pelajar universiti, hingga ke perobohan kampung yang merugikan semua penduduk kampung beribu ringgit yang mereka tidak mampu tampung, hentamkan ia kepada prototaip anda. Dan hasilkan penyelesaiannya.

Produk terkecil boleh dijana anda akan mengalami pelbagai masalah. Maka sebaiknya ialah memulakan dengan yang kecil, dan tambahkan saiznya kemudian. Anda akan ada banyak masa untuk pembesaran, kalau ajal belum menerpa. Kalau sudah, akan ada orang seterusnya, kerana kamu telah mencambahkan idea itu ke dunia. Walau apapun, teruskan.

Jangan terlalu lama di langkah ini, dan jangan terlalu sekejap. Masa yang terlebih dan terkurang ialah sebab utama kenapa kebanyakan idea gagal; ia tidak terjadi pun di dunia nyata. Karang minimum viable product, produk terkecil boleh dijana anda, sekarang. Sudah hampir masanya untuk produk itu lahir ke alam ini.

  1. Uji (Test)

Apabila anda sudah mempunyai prototaip, sudah tiba masa untuk mengujinya di dunia. Usaha anda di langkah keempat akan melihatkan hasilnya di langkah ini. Masalah baru akan timbul, yang akan menekan kamu dalam arah yang baru dan unik. Ia tidak akan timbul pada hari pertama. Ia akan timbul pada masa akan datang, dan pandangan jauh anda dalam persediaan kepada masalah itu, akan menentukan kejayaan atau kegagalan prototaip anda.

Sekolah Alternatif Teluk Layang bermula dengan prototaip. Produk terkecil boleh dijana mereka ialah seorang dua sukarelawan, termasuk si pejoging, beberapa helai kertas, sedikit pensel dan pen. Oh, dan sejam dua setiap minggu. Dalam beberapa tahun, Sekolah Alternatif mencapai empat sekolah dengan kelengkapan yang jauh lebih banyak dari hari pertama mereka.

Sekolah Alternatif juga memperoleh pelbagai pancaroba. Larangan dari Universiti Malaysia Sabah memasuki kampung Teluk Layang, tanda perobohan sehari selepas ia siap dibina, perlekehan usaha oleh MPP sehingga ke nafas terakhir institusi itu, ialah cerita-cerita menarik yang layak memenuhi artikel, kalau bukan wayang mereka sendiri.

Namun, Sekolah Alternatif masih mempunyai banyak ruang untuk perkembangan. Atau banyak masalah untuk diselesaikan, kalau itu perspektif anda. Tapi bukankah kemekaran prototaip, dari pemikiran seorang pelajar universiti yang berjoging demi mengetahui haluan hidup, itu sudah menjadi kejayaan?

Untuk anda yang ingin kekayaan pula, mungkin anda perlu mengarang definisi kejayaan anda sendiri. Sepuluh orang menggunakan app anda, sepuluh orang memakan resipi anda setiap hari, sepuluh orang hadir ke kelas anda. Definisi kejayaan anda perlulah kecil. Jika ia gagal pada saiz yang kecil, bunuh prototaip itu dan mulakan semula dari langkah tiga. Selesaikan masalah lain, mungkin di situ keramaian pembeli akan mengkayakan anda.

Bagi yang ingin berjuang demi kebaikan masyarakat pula, definisikan kejayaan anda dengan kesan yang diberi kepada orang sasaran anda. Saya ada berita buruk di sini; prototaip anda mungkin akan memberi kesan buruk kepada orang sasaran anda. Bunuh prototaip anda dan mulakan semula dari langkah ketiga. Takziah dan berusaha lagi.

Apakah prototaip anda, dan apakah ujian untuknya? Sudahkah anda bersedia mengarang kejayaan anda sendiri, dengan definisi kejayaan anda sendiri?

Penutup

Lima langkah yang saya tunjukkan bukan hanya untuk tujuan kesukarelawanan. Bahkan ia jauh lebih banyak digunakan dalam perniagaan dan keusahawanan. Jika anda hanya inginkan kekayaan duniawi, anda hanya perlu membeli saham-saham serta bon-bon yang disediakan BSKL dan tunggu 20 tahun. Jika anda inginkan kekayaan dari sumber duit yang maha terhad, tiada cara yang lebih perkasa dari menyelesaikan masalah, yang orang sudi bayar untuk ia diselesaikan.

Anda juga boleh menggunakan pemikiran rekaan untuk mengkayakan anda sambil membantu masyarakat. Ia tidak perlu terpisah sesama sendiri (mutually exclusive). Nama keusahawanan itu ialah keusahawanan sosial (social enterprise). Saya mungkin akan menulis berkenaan itu nanti. Semoga lubuk kekayaan, pembaikan kepada masyarakat, atau keduanya, terpacul dari prototaip anda.

Leave a Reply

Close Menu