Menapis Berita di Era Limpahan Informasi

Menapis Berita di Era Limpahan Informasi

  • Post category:Pendapat

Oleh: Syed Ahmad Fathi

Kita mungkin pernah dengar frasa-frasa baru seperti “jangan percaya apa yang kamu baca di media sosial”, frasa yang tidak wujud 20 tahun lampau dimana informasi hanya disalurkan melalui beberapa saluran berita melalui surat khabar, televisyen, atau radio. Saluran-saluran sempit ini biasanya dilesenkan oleh kerajaan sebagai instrumen mengawal minda dan pemikiran masyarakat. Media pada masa lalu merupakan organ kerajaan, satu mekanisme propaganda yang hanya di monopoli oleh pemegang tampuk pemerintahan yang berkuasa mengeluarkan lesen.

Hal ini tidaklah seratus peratus buruk. Ya, benar ia boleh, malah selalu sahaja disalahgunakan untuk menekan suara-suara yang melawan arus pemerintahan. Tetapi ia ada juga sisi positifnya. Antaranya dengan mengawal pemikiran, masyarakat lebih mudah disatukan, pemberontakan dan kekacauan dapat dikawal sejak permulaan, dan sesuatu informasi itu ditapis dan dipastikan keabsahannya. Tetapi model media seperti ini tidak terfikir dek generasi hari ini, di mana masyarakat dilambakkan dengan pelbagai informasi, bergaul dan bercampur aduk diantara fakta, pendapat, propaganda, berita palsu, pseudo-sains. Ia adalah kesan sampingan pendemokrasian yang dilakukan kepada sistem media hari ini.

Sudah tentu, proses pendemokrasian ini tidaklah dilakukan oleh pemerintah secara sukarela, ia dipaksa-rela dengan kehadiran teknologi seperti internet, media sosial, blog mikro, yang semuanya berpadu menjadi arus baru menghentam media-media tradisional lama. Secara beransur-ansur masyarakat beralih kepada sistem aliran informasi baru, membangkrapkan syarikat-syarikat media lama, serta beransur-ansur mengambil lesen dari pemerintah dan memberinya kepada operator-operator kecil yang bertebaran, malah sebahagiannnya tidak dapat dikenalpasti siapa dibelakangnya. Bukan pemerintah tidak cuba mengawal situasi, tetapi akta-akta mereka akhirnya tewas dengan slogan kebebasan bersuara. Mengawalnya dianggap zalim dan autokratik.

Maka tumbuhlah pelbagai jenis blog, pelbagai jenis portal, pelbagai jenis rumah penerbitan, tidak lagi dikawal oleh penguasa, kini bebas membajai atau meracuni pemikiran masyarakat. Ideologi kini bertarung di media sosial secara terbuka. Fakta dan propaganda tidak lagi bersifat explicit. Maka di era limpahan informasi ini, penting bagi masyarakat, baik intelektual mahupun massa, melengkapkan diri dengan skil baru – iaitu kebolehan menapis berita yang datang menghujani lensa pembacaan digital mereka.­­

Antara naskah yang baik untuk memahami anatomi media di zaman limpahan informasi ini pada saya adalah tulisan Ryan Holiday dalam kitabnya yang bertajuk Trust Me I’m Lying: Confessions of a Media Manipulator. Diterbitkan sekitar tahun 2012, saya mula menggeluti isu ini pada tahun 2015, di mana tulisan-tulisan Holiday banyak mempengaruhi saya dalam menganalisa kandungan yang sampai pada saya saban minit di media-media sosial. Apabila kita menerima sesuatu bacaan, minda kita perlu segera mengklasifikasikannya, sama ada ia pandangan atau maklumat, fakta atau propaganda.

Holiday dalam kitabnya yang sangat provokatif dan aggresif mendedahkan bagaimana media dimanipulasi oleh pelbagai pihak. Manipulasi ini boleh digunakan untuk pelbagai tujuan, sama ada baik, seperti mengutip dana untuk tujuan kemanusiaan ataupun tujuan buruk seperti memanipulasi pandangan masyarakat umum untuk tujuan perang dan politik. Kitab ini juga menyentuh bagaimana apa yang kita terima sebagai berita, sering kali bukan berita. Tetapi ia adalah perkara yang disensasikan untuk tujuan-tujuan tertentu, untuk menarik perhatian masyarakat umum kepada sesuatu perkara, atau untuk menjual produk.

Mungkin tidak lengkap jika kita perkatakan berkenaan dengan media dan proses tapisan informasi tanpa kita cubit sedikit tulisan Noam Chomsky dalam antara kitab magnum opus beliau Manufacturing Consent yang ditulis bersama dengan Edward S. Herman. Walaupun buku ini boleh dikategorikan sebagai kitab ‘tua’, diterbitkan pada tahun 1988, dan menganalisa media tradisional, namun pada fikiran saya, model yang mereka bawakan masih relevan pada hari ini walaupun sudah tidak seratus peratus sama.

Antara permasalahan media yang dibawakan oleh Chomsky dan Herman adalah pengaruh komersil dalam editorial dan berita. Perkara ini masih kita dapat lihat pada hari ini, dimana syarikat-syarikat pengeluar minyak dan gas sebagai contoh, bukan sahaja mendanai kajian bagi memberi gambaran salah terhadap kesan aktiviti mereka pada alam sekitar, tetapi juga membayar dan menghasilkan kandungan dalam talian bagi memutihkan imej mereka dalam masyarakat.

Oleh itu, generasi baharu perlu melengkapkan diri mereka dengan skil menapis kandungan yang mereka terima, mereka perlu berusaha mengikuti susur galur sumber berita bagi mengetahui keabsahannya, menganalisa tulisan dengan objektif bagi mengasingkan fakta dan propaganda. Bertanya siapa yang menulis dan mengapa dia menulis. Hal ini semuanya sangat penting bagi membina masyarakat yang benar-benar celik media. Jika tidak kita akan menjadi sebahagian dari biri-biri yang hanya mengikut arus dan selok-belok propaganda.

Leave a Reply