MEMIKIR SEJENAK SEKSA KEMISKINAN DAN KECELAKAAN JELMAAN POLITIKUS TAMAK

MEMIKIR SEJENAK SEKSA KEMISKINAN DAN KECELAKAAN JELMAAN POLITIKUS TAMAK

Oleh: Izzat Dahelan

Kekayaan melimpah. Kemiskinan melimpah. Darah melimpah. Ludah menyembur dan melimpah.(W.S. Rendra)

Beberapa hari lepas telah dibentangkan berkenaan Belanjawan 2021 yang bertemakan “teguh kita, menang bersama” oleh YB Senator Tengku Dato’ Zafrul Tengku Abdul Aziz di dewan parlimen. Malam tadi sebelum tidur aku mendapat perkhabaran bahawa PKP akan dipanjangkan sehingga Disember 2020. Pagi ini pula aku terbaca berita di Awani yang bertajuk “AS Memilih: Joe Biden sah Presiden Amerika Syarikat ke-46”. Perasaan aku bercampur-baur. Tidak tahu apa yang mahu diungkapkan. Mahu ulas segala hal yang aku sebutkan tadi?

Aku rasa tidak perlu, ada golongan yang lebih pakar. Walaupun di benak fikiran ini banyak ulasan mahu diketengahkan, misalnya ada golongan yang menganggap diri mereka ‘seniman’ mengatakan bahawa Belanjawan 2021 membela golongan B40. Tapi tidak apa, aku serahkan pada yang lebih pakar. Aku akan ungkap sendiri di kamar mandi. Biarlah gemanya dinikmati kuping telingaku sendiri.

Jadi, apa yang aku mahu kedepankan dalam tulisan ini?

Aku mahu berkongsi tentang kemiskinan. Mengapa? Kerana beberapa hari ini aku banyak mendengar kisah tentang kemiskinan. Apabila aku mengingati akan kisah kemiskinan itu, hatiku sebenarnya terasa luluh. Air mata tidak pula mengalir, hanya mengalir saat bersendiri kerana segala pengalaman itu ada serba sedikit dirasai sendiri olehku.

Bagi aku, kemiskinan itu adalah suatu penyiksaan. Bukan hanya penyiksaan kepada perut yang lapar kerana tidak mampu membeli makanan, tetapi penyiksaan dari aspek hak. Kerana miskin, ada golongan yang tidak mampu menghantar anak mereka ke sekolah. Ada anak kecil yang aku lihat bekerja, bila ditanya kenapa tidak ke sekolah, balasnya kepadaku adalah ‘untuk cari wang’. Sedih.

Miskin sehingga tidak mampu mendapat peluang pendidikan? Yuran untuk berpendidikan itu sangat menyiksakan. Pendidikan dikatakan mekanisme untuk mengurangkan jurang kemiskinan, pada hakikatnya yang mampu berpendidikan itu hanya orang-orang kelas menengah dan atasan. Yang mampu menghantar anak mereka ke kelas tuisyen dan belajar sehingga bijak. Yang miskin? Terus bingung belajar di kelas pada awal pagi dengan perut kosong tanpa sarapan, jika adapun hanyalah sarapan yang memenuhi kenyang perut dan bukan sihat akal.

Kemiskinan juga menjadi sebab untuk seseorang itu sering terpinggir dalam masyarakat. Masyarakat kita masih terdidik dengan falsafah bodoh yang menganggap bahawa ‘kemiskinan itu berpuncanya daripada sikap malas’. Mungkin mereka berkiblatkan hujah yang diungkapan politikus tua yang terkenal di negara ini. Bagi aku, kemiskinan itu tidaklah boleh disandarkan secara penuh terhadap sikap malas. Aku pernah melihat dengan mataku sendiri bagaimana keras seorang tua bekerja di kebun menanam sayur. Kudrat tua yang sepatutnya menikmati waktu rehat masih lagi dikerah paksa. Bertanya kepada beberapa teman, rupanya dia memiliki seorang anak yang menuntut di universiti. Memerlukan wang untuk perbelanjaan.

Lantas, layakkah kemiskinan itu disandarkan kepada sikap malas?

Kemiskinan itu sangat kejam buat umat manusia. Kemiskinan itu menyiksaan.

Pada waktu kemiskinan itu sedikit demi sedikit memutuskan harapan hidup manusia kebanyakan, ada kelompok manusia sedikit yang sibuk dengan kekuasaan. Turun naik istana untuk menyatakan ‘sokongan’. Kata mereka, itu proses demokrasi.

Mereka lebih fokus pada ‘proses demokrasi’ berbanding kemiskinan masyarakat kebanyakan di bumi ini. Sangat menyedihkan apabila politik negara ini dikuasai orang-orang yang tamak. Segala tingkah mereka adalah atas dasar kepentingan peribadi, dan bukannya kepentingan publik yang mana itulah sewajarnya.

Aku cemburu.

Cemburu melihat teman yang sangat giat dengan gerakan aktivisme membantu masyarakat, khususnya mereka yang terkesan dengan situasi pandemik sekarang. Mereka tidak putus-putus melakukan gerak kerja membantu masyarakat. Ini merupakan tuntutan kemanusiaan yang telah mereka penuhi. Selain itu, mereka juga membuktikan bahawa kudrat mengubah dan membantu tidak hanya boleh dilaksanakan melalui kedudukan sebagai seorang politikus.

Membantu itu memerlukan keinginan dan keyakinan. Bukan kekuasaan.

Sabah merupakan negeri yang mencatatkan kes tertinggi di Malaysia. Ini tidak lain juga adalah berpunca daripada tamak kuasa golongan poltik yang turun naik istana negeri menunjukkan sokongan. Lucu.

Urusan turun naik masyarakat kebanyakan menguruskan hal dokumentasi di jabatan pendaftaran tidak pernah berjaya mereka selesaikan, tetapi masih sibuk berebut kekuasaan?

Semakin hari semakin menjijikkan politik yang dimainkan di negara ini. Pemainnya siapa? Golongan tua. Tua yang kononnya banyak makan garam. Hakikatnya banyak makan rasuah. Itulah tradisi politik di negara ini yang tidak pernah hilang. Dari meja tinggi politikus sehingga meja pegawai atasan perkhidmatan awam, dikotorkan oleh wang rasuah.

Kemudian, apabila ditanya mengapa rakyat negara ini miskin mereka akan menjawab dengan jawapan celaka iaitu,

“Rakyat malas, rakyat tak berusaha, dan rakyat bersalah.”

Aku menanti perubahan. Bukan perubahan yang dilaungkan oleh Anwar Ibrahim. Tetapi perubahan yang autentik agar dapat menjawab persoalan kemiskinan yang saban hari menyiksakan kehidupan masyarakat.

Kemiskinan itu satu penyiksaan. Kerana kemiskinan juga, masyarakat dan individu telah ‘didosakan’ oleh orang sekitar mereka.

Aku menyaksikan
wajah pemimpin serakah yang menjarah
Melahap apa saja
meski sudah diberikan
segalanya dengan berlimpah ruah
Lalu kenapa rakyat hanya kamu beri remah-remah?
Dari sisa-sisa meja makan si serakah
yang kamu lap hingga berserak tumpah

Leave a Reply