WACANA

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.

  • borneokomrad1@gmail.com
Membaca Buku Perihal Keibubapaan

Membaca Buku Perihal Keibubapaan

Oleh: Syed Ahmad Fathi

Antara buku menarik perihal memahami emosi dan psikologi anak-anak adalah buku Brainstorm tulisan Daniel Siegel. Memahami anak-anak adalah penting bagi kita mendidik mereka. Tapi sebelum mendidik kita seharusnya dididik, disini lahirnya keperluan membaca buku perihal keibubapaan. Kita belajar matematik, sejarah, pendidikan seni, sains, thermodinamicvisual basic dan pelbagai matapelajaran lain di sekolah dan universiti. Tetapi kita tidak pernah belajar bagaimana untuk menjadi ayah atau ibu. Tidak ada subjek yang mengajar kita bagaimana mahu menjadi suami atau isteri.

Jika kita punya penyakit dan perlu dibedah, dan doktor bedah memberitahu kita bahawa dia tidak pernah belajar cara membedah manusia, kita akan jerit pada dia “gila! jangan sentuh saya!”. Kita tidak sekali-kali akan memberinya peluang untuk merawat kita. Tetapi kita yang tidak pernah belajar perihal keibubapaan tiba-tiba mahu mendidik anak-anak hingga berjaya? Ia seolah-olah sesuatu yang bersifat magik.

Guru saya berkenaan dengan ilmu kekeluargaan, Tuan Rosdi Baharom pernah bertanya pada saya. “Bagaimana jika satu hari nanti anak-anak bertanya adakah ayah punya sijil atau kelayakan untuk membesarkan saya?”. Apa jawapan kita? Cinta sahaja tidak cukup, doktor yang mencintai pesakitnya tidak mampu merawat sekiranya dia tidak punya ilmu perubatan. Tidak hairan jika masyarakat kita pada hari ini mengabaikan anak-anak mereka, mereka dididik untuk menjadi robot di kilang dan pejabat oleh sistem pendidikan, sebab itu hari-hari kita dengar universiti kita mencari formula “kebolehpasaran graduan”, maka lahirlah masyarakat yang hebat di kilang dan pejabat tetapi anak-anak terbiar tanpa kasih sayang.

Ini adalah satu gap dalam sistem pendidikan kita. Oleh itu kita perlu berusaha mengajari diri, membaca, berkursus, berdiskusi. Setiap buku keibubapaan akan mempunyai pendekatan, teori, dan kaedah yang berbeza, buku Faber & Mazlish sebagai contoh menggunakan kaedah tawar-menawar dengan anak-anak, memberi mereka pilihan.

Tetapi menelaah buku Jamie Glowacki, pemerhatian beliau juga ada benarnya, dari awal lagi Jamie menegaskan bahawa anak kecil dibawah umur 6 tahun masih belum mampu membuat keputusan yang rasional. Oleh itu menjadi tanggungjawab ibu bapa membuat pilihan kepada mereka. Ibubapa juga perlu tegas dengan peraturan dan sempadan untuk anak-anak. Merekalah yang perlu mencatur kehidupan harian anak-anak, bukan sebaliknya.

Penulisan Jamie menggunakan bahasa pasar dan santai, penuh dengan unsur-unsur jenaka. Berbeza dengan gaya bahasa buku biasa yang lebih formal. Saya membaca buku Jamie dengan begitu perlahan. Kerana pertama, benar, kita semua ada perasaan untuk cepat habiskan baca satu buku dan pergi ke pembacaan seterusnya, tapi saya tiada cita-cita membaca buku 100 naskah setahun. Kedua, saya merasakan buku ini betul-betul praktikal dalam mengurus anak-anak kecil. Sekiranya anda mempunyai anak kecil berusia 2-6 tahun, lebih dari seorang anak dalam usia ini, saya sangat sangat sangat sarankan anda membacanya. Ia akan menyelamatkan anda!

Bahasa yang digunakan mungkin sedikit kasar dan blunt, tapi yang lebih penting ia make sense. Jika anda pernah membaca buku Faber & Mazlish, saya kira ada penerbit yang telah terjemahkan ke Bahasa Melayu, asas teori mereka adalah tawar menawar, memberi pilihan kepada anak-anak berbanding memaksa. Teori ini ada benarnya, tetapi ia mempunyai limit dan tidak sesuai untuk semua situasi. Kanak-kanak pada usia ini belum mampu membuat keputusan yang rasional yang mengambil kira kesan jangka masa panjang. Anda boleh beri pilihan untuk mereka pilih baju tidur, tetapi anda tidak boleh beri mereka pilihan sama ada hendak atau tidak memegang tangan anda ketika hendak melintas jalanraya.

Jamie menekankan perlunya ada peraturan dalam keluarga, anak-anak perlu memahami sempadan, agar mereka mampu meneroka dalam sempadan yang selamat – sempadan ini bukan sahaja sempadan fizikal, tetapi sempadan perilaku dan emosi. Anda tidak boleh membiarkan mereka meneka sempadan mereka sendiri, mereka belum mampu. Fasa ini memerlukan anda menjadi ibu bapa yang authoritative, tetapi tidak authoritarian.

Antara teknik ibu bapa yang authoritative, ialah kebolehupayaan mengurus tantrum anak-anak. Jamie memberi contoh situasi di kaunter supermarket. Ketika beratur, biasanya coklat/mainan kanak-kanak akan disusun berdekatan kaunter (marketing genius). Ketika kita menunggu dengan anak-anak, mereka akan lihat, dan mula minta dibelikan coklat. Dalam situasi ini kita ada dua pilihan.

  1. Kita belikan mereka dan kita boleh nikmati ketenangan.
  2. Kita tak bagi dan anak kita akan mula dirasuk keinginan mereka, meraung sambil keluar hingus dan berguling di atas lantai, dan semua manusia akan melihat kita.

Dalam situasi ini, jika pilihan kita adalah yang kedua, tapi kita tahu apabila anak kita mula menjerit, kita akan mengalah. Bagi Jamie, adalah lebih baik kita terus bagi sahaja, berbanding kita beri setelah mereka selesai melaksanakan operasi raungan dan gulingan. Ini kerana kita akan lebih authoritative berbanding kita memberi selepas mereka meraung, dimana mereka mendapat signal bahawa strategi manipulasi mereka telah berjaya mengalahkan keputusan kita.

Tetapi mungkin juga anak kita akan dapat signal kita merestui pembelian coklat, dan esok mereka minta lagi, atau dalam bahasa Inggeris “once means always”. Dalam hal ini kita perlu beritahu mereka bahawa kita hanya beli sekali sekala bukan sentiasa. Jika kita ke supermarket lagi, kita perlu beritahu sebelum masuk bahawa kita tak akan beli coklat hari ini, agar minda mereka telah bersedia dari awal, dan dia tahu dimana sempadan yang kita letak.

Anda tidak semestinya bersetuju dengan semua kaedah dan pendekatan dalam setiap buku keibubapaan yang anda baca, dan anda tidak perlu mengikutinya dengan begitu teliti. Mungkin ada yang sesuai, dan mungkin ada yang sesuai ditinggalkan, kerana setiap anak-anak itu berbeza. Tetapi kita masih boleh belajar dari pengalaman orang lain, dan yang paling penting, kita sentiasa bersedia dengan kemungkinan-kemungkinan yang ada. Setiap buku keibubapaan itu bagi saya merupakan mutiara nasihat, dan sepanjang perjalanan pembacaan anda akan selalu terdetik “Aha saya pernah lalui situasi ini!”.

 

 

Leave a Reply

Close Menu