WACANA

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.

  • borneokomrad1@gmail.com
Melawan Perobohan Rumah Penduduk Kampung Teluk Layang

Melawan Perobohan Rumah Penduduk Kampung Teluk Layang

Oleh: Wan Zawawi

Kampung Teluk Layang

Kampung Teluk Layang merupakan kampung angkat bagi mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) terutama kepada mereka yang gemar melakukan kerja-kerja kesukarelawanan dan aktivisme dalam menjalankan misi kemasyarakatan. Kampung ini didiami oleh suku bangsa Bajau dan juga Suluk yang mana dalam suku bangsa Bajau itu terbahagi kepada beberapa suku bangsa Bajau yang lain. Berdasarkan demografi Kampung Teluk Layang, kawasan kampung ini terletak di kawasan persisiran pantai di mana cara hiup, budaya, adat resam dan punca rezeki penduduk di sini adalah bersumberkan laut. Keindahan kampung ini memang tidak dinafikan terutama ketika berada di rumah ketua kampung. Bagaikan anda berada di Bohey Dulang yang terletak di daerah Semporna dengan lautan yang biru. Di dalam kawasan Teluk Layang sendiri terdapat dua kampung kecil mengikut sistem pentadbiran komuniti masing-masing, berpatutan dengan bentuk taburan penduduk di sepanjang kawasan pantai. Mereka sudah mendiami kawasan teluk ini sebelum terbinanya kampus induk UMS. Pembuktian ini diperkukuhkan lagi dengan kubur-kubur lama yang terletak tidak jauh dari tempat tinggal mereka.

 

Anak-Anak Tanpa Negara

Anak-anak Tanpa Negara merupakan golongan kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. Hal ini melibatkan banyak faktor yang menyebabkan mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. Antaranya kelahiran mereka tidak didaftarkan, pendaftaran kelahiran yang lewat, ibubapa tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan ibubapa bukan status warganegara serta beberapa faktor yang lain. Anak-anak ini tidak minta dilahirkan tanpa kewarganegaraan sama seperti kita semua yang mempunyai status sebagai warganegara Malaysia yang boleh pergi ke sana ke mari dengan bebas tapi tidak bagi golongan ini.

Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah

Mahasiswa yang terdidik dari gedung ilmu sering turun meluangkan masa bersama penduduk kampung ini untuk bertanyakan khabar dan permasalahan yang dihadapi oleh komuniti di kampung tersebut. Aktiviti turun ke masyarakat yang dilakukan oleh mahasiswa terutamanya kampung Teluk Layang ini sudah beberapa tahun dilakukan oleh mahasiswa sebelumnya. Pelbagai aktiviti turut dijalankan oleh mahasiswa di kampung ini. Pada satu ketika, mahasiswa tinggal bersama komuniti di sini untuk merasai kehidupan mereka pada waktu siang dan waktu malam.

 

Teratak Mahasiswa (Sekolah Alternatif)

Satu kerja sosial yang jelas sedang dilaksanakan oleh mahasiswa di kampung ini dengan mendirikan Teratak Mahasiswa yang dijadikan tempat sebagai Sekolah Alternatif untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak di kampung ini. Sebelum berdirinya teratak mahasiswa, anak-anak di kampung ini diajar oleh organisasi Social Advocacy Group (SAG) yang dipantau oleh seorang pensyarah Hubungan Antarabangsa. Akan tetapi, organisasi ini terpaksa menghentikan aktiviti kesukarelawanan ini atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan. Kerja sosial ini tidak berhenti di situ apabila Kelab Sastera Mahasiswa UMS (KARMA), Suara Mahasiswa UMS dan Borneo Komrad meneruskan kerja sosial ini dengan mendirikan teratak yang baru siap beberapa bulan lepas.

Mereka turun mengajar setiap hari Sabtu. Anak-anak ini diajarkan 3M iaitu, menulis, membaca dan mengira. Beberapa orang telah dilantik untuk mengetuai kerja sosial ini dengan menyediakan analisis, yang kemudiannya membentuk modul yang akan digunakan oleh tenaga pengajar khas dibantu oleh sukarelawan serta para aktivis mahasiswa yang datang ke teratak ini.

 

PERMASALAHAN YANG MEMBELENGGU KOMUNITI DI KAMPUNG INI.

Notis Arahan Untuk Merobohkan Dan Mengalihkan Struktur/Bangunan.

Pada hari Sabtu kelmarin bertarikh 11 Mei 2019, kami mahasiswa seperti biasa akan turun ke kampung ini untuk mengajar dan kali ini kami turun dengan membawa meja yang baru kami siapkan untuk diguna pakai oleh anak-anak ini bagi tujuan belajar. Kegembiraan terpampang di wajah mereka apabila melihat meja baru – untuk mereka menulis di atas meja tanpa perlu menulis beralaskan lantai lagi. Kami turut gembira melihat anak-anak ini.

Namun di sebalik kegembiraan tersebut ada masalah besar yang dihadapi oleh komuniti di sini. Aku melihat ada tanda yang ditinggalkan (7.5.19) beserta huruf R dibulatkan. Kami bertanyakan kepada anak-anak siapa yang buat tanda ini dan mereka memberitahu kami bahawa pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu DBKK yang buat.

Kemudian kami didatangi oleh penduduk kampung yang diketuai oleh pakcik yang menjaga kawasan teratak, memaklumkan bahawa pihak DBKK telah mengeluarkan notis untuk merobohkan rumah yang terdapat di kampung ini termasuklah Teratak Mahasiswa yang baru sahaja didirikan.

Terdapat 84 buah rumah yang telah dikenal pasti dan diberikan notis untuk merobohkan atau mengalihkan rumah mereka dengan sendiri dalam masa 30 hari. Jika mereka gagal untuk berbuat demikian, pihak DBKK akan merobohkan rumah yang mereka diami serta mendapatkan perbelanjaan yang terlibat daripada penduduk kampung (rujuk no 3).

Ini bermakna pada hari raya ketiga mereka semua perlu merobohkan rumah yang mereka diami. Setakat makluman yang kami terima, tiada pampasan akan diberikan buat rumah yang akan dirobohkan. Bagaimana perasaan anda semua bila menyambut hari raya dengan rumah anda dirobohkan? Sebelum ini ketika pemerintahan kerajaan yang lama, mereka turut menerima notis yang sama akan tetapi kekalahan kerajaan rejim terdahulu menyebabkan notis tersebut telah tertangguh atau terbatal. Jadi ketika ini di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (Warisan Sabah), mereka sekali lagi menerima notis untuk merobohkan dan mengalihkan rumah mereka dari kawasan tersebut.

Mahasiswa akan Mempertahankan Kampung Teluk Layang

Kami mahasiswa dan anak muda akan mempertahankan kampung ini bersama penduduk di sini daripada dirobohkan oleh pihak DBKK. Kami membuat perbincangan dengan wakil penduduk, dan terdapat 14 buah rumah yang akan dirobohkan di kampung Teluk Layang kecil manakala 70 buah rumah lagi di kampung Teluk Layang besar yang menjadikan 84 buah kesemuanya.

Kami akan berjumpa dengan pihak berwajib untuk mereka memberi penjelasan di samping pendirian kami untuk tetap pertahankan kampung ini. Kami juga sedang mengumpul sebanyak mungkin rakan-rakan tidak kira dari mahasiswa, anak muda, rakan-rakan dari semenanjung Malaysia untuk bersama kami mempertahankan kampung Teluk Layang.

Saya meminta kepada semua yang membaca tulisan ini untuk anda sebarkan sebanyak mungkin dan bersolidariti buat penduduk kampung kerana ada perkara yang tidak beres di sini, agar sampai ke seluruh pelosok tanah air. Sekian.

Dari Mahasiswa Kepada Mahasiswa,
Dari Mahasiswa Untuk Rakyat Malaysia.

Wan Zawawi Bin Bakri
Presiden Suara Mahasiswa UMS.

Leave a Reply

Close Menu