WACANA

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.

  • borneokomrad1@gmail.com
Melawan Depresi Dengan Puisi

Melawan Depresi Dengan Puisi

Oleh: Syed Ahmad Fathi

Suasana di hentian rehat dan rawat pada hari itu sesak, saya bersama seorang sahabat masih menunggu kehadiran kawan kami dari Puncak Alam. Tiba-tiba sahabat saya berubah, pucat mukanya, pantas dia menyuruh saya memegang beg silangnya sambil dia mencari tempat untuk muntah. Dia terkena serangan panik.

Selepas dia selesai muntah, saya mengajak beliau duduk di kawasan yang kurang sesak, mungkin terlalu banyak manusia menyebabkan dia terkena serangan panik. Saya memesan kopi-o sementara sahabat saya, yang hanya mahu dikenali dengan nama penanya Tulip Ungu memesan teh ais. Katanya selain muntah, apabila terkena serangan panik dia akan pengsan.

Tidak berapa lama selepas itu dia menunjukkan gambar kawannya, dengan tangan yang penuh darah dan kesan torehan, saya sedikit mual, salah satu sebab saya tidak boleh menjadi doktor adalah kerana tidak boleh melihat perkara-perkara ngeri.

Dia sedang membantu kawannya yang mempunyai suicidal thought. “Tidak bolehkah dilaporkan pada pihak berkuasa, macam sudah serious?” soal saya. Katanya jika dilaporkan, mungkin kawannya akan hilang kepercayaan padanya, dia lebih suka mengambil pendekatan menjadi pendengar, dia pun menalifon rakannya itu untuk menenangkannya. Jika dia ada berdekatan dia akan memeluk kawannya, skin contact adalah salah satu teknik mengamankan manusia katanya, sama seperti bayi yang akan berhenti menangis apabila didakap ibu.

Saya sedikit sebanyak kagum dengan kerja-kerja beliau terutamanya dalam memberikan kaunseling secara percuma kepada kawan-kawannya yang mempunyai masalah mental atau depresi. Dalam masa yang sama beliau sendiri mempunyai masalah yang lebih kurang sama dengan mereka. Beliau sendiri tidak mempunyai objek tajam di rumah sewa seperti pisau dan gunting kerana dia boleh mencederakan diri sendiri tanpa sedar.

Beliau bercerita bagaimana masyarakat mempunyai stigma terhadap golongan yang mempunyai tekanan, depresi, dan penyakit mental, mereka dianggap gila padahal mereka memerlukan rawatan. Hatta, ahli keluarga terdekat sendiri kebanyakannya tidak memberikan sokongan, sesetengah ibubapa memandang ringan masalah mereka dan menganggap mereka hanya sebagai remaja yang bermasalah. Hakikatnya mereka merupakan pesakit yang memerlukan perubatan dan terapi. Beliau juga menceritakan tentang kesukaran untuk mendapat temujanji dengan kaunselor dan ahli terapi di hospital kerajaan kerana masa menunggu yang lama, sedangkan perkhidmatan swasta menelan belanja yang banyak.

Selain dari membantu sahabat-sahabatnya dengan nasihat dan kaunseling, Tulip Ungu juga aktif menulis karya-karya puisi dengan harapan dapat memberi semangat kepada rakan-rakan seangkatan dengannya. Antara puisi beliau yang terkini adalah puisi yang bertajuk “Di Bawah Cengkaman Risperdal”. Risperdal merupakan sejenis ubat penenang yang biasanya diberikan kepada mereka yang mempunyai masalah mental agar mereka dapat berfikir dengan jelas.

Puisinya mengajak masyarakat memahami golongan ini, melihat mereka dengan kaca mata empati serta memberikan sokongan baik dari sudut kekeluargaan, perubatan, juga kesedaran masyarakat. Saya sendiri hanya terbuka mata berkenaan dengan golongan ini selepas berbicara dengan beliau, dan mendengar sendiri permasalahan mereka. Sungguh masyarakat kita belum benar-benar ke depan dalam mendepani isu ini. Semoga dengan adanya insan-insan seperti ini, masyarakat kita lebih terbuka dan memahami, kita doakan mereka berjaya melawan depresi dan delusi dengan puisi.

Borneo Komrad

Membangun gerakan anak muda dan mahasiswa yang mandiri dan pro kepada rakyat kelas bawah.

Leave a Reply

Close Menu