Masyarakat Melawan Elit

Masyarakat Melawan Elit

Oleh: Nurhuda Manshoor

Cerita guru merotan pelajar telah reda. Seolah-olahnya perkara sebegini tidak pernah berlaku, masyarakat gegak gempita bergocoh berlawan dengan hujah betul-salah, membawa ke tengah pegangan moral masing-masing.

Tahun-tahun sebelum ini juga perkara sebegini telah banyak kali berlaku, berulang-ulang. Kita tidak maju walau selangkah dalam menemukan titik sefahaman. Untuk kedua-dua pihak bersetuju dengan satu solusi, nampaknya jauh. Untuk perkara ini berlaku lagi di masa hadapan, adalah pasti.

Penentangan terang-terangan masyarakat terhadap para guru adalah baru dalam budaya kita. Bukanlah bermakna guru hari ini sahaja yang bertindak berlawanan dengan penerimaan masyarakat. Guru pada zaman ibubapa, datuk nenek kita amat dihormati, dipandang tinggi sehinggakan apa sahaja tindakan mereka diiyakan sahaja. Jika terdapat ketidak puasan hati, akan dipendamkan sahaja.

Dalam masyarakat kurang berpendidikan formal pada masa itu, guru adalah golongan paling terpelajar. Di kala masyarakat bertani, berternak, bekerja rencam dengan pendapatan tidak menentu, guru berjawatan dan bergaji tetap. Dalam hierarki masyarakat banyak, guru adalah golongan elit.

Elitis bukanlah satu individu atau golongan tertentu yang terpisah dari masyarakat dan sentiasa berada di atas. Elitis adalah ahli masyarakat, mereka terpilih untuk melaksanakan tanggungjawab yang dimandatkan oleh masyarakat. Ringkasnya setiap orang boleh sahaja dikatakan elitis dalam satu-satu kelompok.

Dalam sesebuah masyarakat, terdapat kontrak sosial yang tidak bertulis antara elitis dan orang banyak. Satu kelompok masyarakat mengangkat individu dan kumpulan dalam kalangan mereka untuk menjaga kepentingan orang ramai dalam komuniti tersebut. Mereka sanggup melepaskan dan menyerahkan sebahagian kepentingan dan hak milik mereka kepada individu atau kumpulan tersebut, yang hari ini kita gelarkan elitis. Sebagai timbal balik, para elitis diberi tanggungjawab untuk dilaksanakan.

Para pemerintah mesti menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta harta benda dan keluarga mereka. Wakil-wakil rakyat  dipilih dalam kalangan rakyat biasa untuk menghantar berita dan masalah rakyat kepada pemerintah. Petugas kerajaan yang terdiri dari penjawat awam bertanggungjawab menyelesaikan masalah sivil. Polis, tentera, bomba dan penyelamat menjaga keselamatan awam. Pendidik ditugaskan untuk menyampaikan ilmu agar masyarakat tercerah. Doktor, jururawat dan petugas kesihatan dibayar untuk memastikan rakyat sihat sejahtera. Para saintis, arkitek, jurutera, juruteknologi, dan pelbagai juru lagi bertugas untuk memudahkan dan melancarkan urusan seharian masyarakat sivil.

Pada masa yang sama, para elitis ini juga adalah ahli masyarakat, yang juga memberi mandat kepada golongan elit yang lain serta mendapat manfaat daripadanya. Mereka juga mungkin dan boleh – bersama masyarakat banyak – menentang elitis yang lain.

Penentangan dan bantahan masyarakat pada asalnya bukanlah langsung terhadap elitis, tetapi terhadap perlakuan mereka yang gagal menunaikan tugas dan tanggungjawab sepertimana termaktub dalam kontrak sosial. Contohnya apabila guru memukul pelajar, bukanlah semua guru dipersalahkan, atau guru tersebut dimusuhi, tetapi perlakuan tersebut yang dikritik.

Begitupun, apabila para elitis berterus-terusan mengabaikan tanggungjawab dalam menunaikan keperluan dan kehendak masyarakat, tetapi pada masa yang sama terus menikmati kelebihan-kelebihan sebagai elitis yang diberikan oleh masyarakat, mereka telah membuang kepercayaan yang diberikan. Masyarakat yang telah hilang kepercayaan ini bertindak menentang mereka secara keseluruhan tanpa mempertimbang perlakuan baik-buruk mereka lagi. Masyarakat juga telah berani melangkah setapak lagi dengan menentang apa-apa sahaja yang datang dari golongan elit, malah sanggup memperjudi keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan mereka. Mereka tidak lagi mahu memberi mandat kepada golongan elit. Kontrak sosial dimungkiri, bukan sahaja oleh para elit, malah juga oleh masyarakat banyak.

Perbuatan mencemuh dan mempersenda golongan elit dipandang hebat. Golongan anti-elitis lebih dipercayai, disokong dan diangkat. Elitis dibenci secara umum tanpa mereka perlu berbuat apa-apa kesalahan. Malahan jika ada saranan baik dan bermanfaat, ia tetap ditolak tanpa perlu sebarang justifikasi.

Hari ini kita lihat penentangan bukan sahaja terhadap pemerintah dan kerajaan serta tentera politiknya, bahkan juga terhadap penjawat awam, petugas keselamatan, perkhidmatan kesihatan, pihak berkuasa, juga institusi pendidikan yang terdiri dari sekolah dan universiti, guru dan pensyarah, pentadbir dan para intelektual juga dibantah secara terang-terangan, beramai-ramai.

Penentangan masyarakat banyak terhadap golongan elit bukan semestinya berlaku secara langsung seperti bangkitnya marah apabila guru memukul pelajar, atau kritik apabila doktor mencadangkan kenaikan yuran konsultasi, atau sinis apabila sasterawan negara dibayar elaun.

Penentangan boleh juga berlaku dalam bentuk aksi bertentangan dengan peraturan dan perundangan, enggan menurut  prosedur dan arahan, bahkan berdiam diri dan tidak berbuat pun adalah satu bentuk penentangan.

Penentangan secara ingkar dan enggan ini dapat dilihat apabila dasar-dasar kerajaan dibantah dan cubaan untuk memberi penerangan tidak diterima. Ibubapa enggan membenarkan bayi mereka divaksin, biarpun diberi segala penerangan dan didikan. Ibu mengandung memilih untuk melahirkan di rumah, biarpun mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang selamat. Pesakit kronik memilih rawatan alternatif walaupun terbukti lebih memudaratkan, malah boleh mengancam nyawa.

Apabila terdapat sekumpulan ahli masyarakat yang mempromosikan anti-universiti, kita boleh jangkakan pada masa akan datang, terdapat pula gerakan anti-sekolah dan seterusnya anti kepada semua bentuk pendidikan formal. Malahan, sudah ada ibubapa menghantar anak-anak ke sekolah persendirian, walaupun ada kala kondisinya daif dan kemudahan amat terhad jika dibandingkan sekolah kerajaan.

Gerakan undi rosak adalah bibit kepada keengganan yang lebih besar. Enggan untuk memilih perwakilan, enggan untuk keluar mengundi, enggan memberi kerjasama kepada amalan demokrasi, enggan memperakui pemimpin yang dipilih secara demokrasi, seterusnya enggan tertakluk di bawah undang-undang negara.

Penentangan ini lebih besar kesannya kepada masyarakat. Lebih rumit lagi jika penentangan ini tidak disedari atau tidak diperakui oleh para elitis. Masyarakat menjauhkan diri dari golongan elit, maka sebarang usaha untuk menjaga kepentingan masyarakat akan tergendala. Segala perbelanjaan yang dikeluarkan akan terbazir tanpa memanfaatkan rakyat banyak.

Sekarang masyarakat telah pun menunjukkan bantahan mereka, menyuarakan tidak puas hati mereka, menuntut jaminan hak mereka ditunaikan. Sekiranya para elitis masih bermimpi-mimpi di atas peterana, bersangka-sangka bahawa mereka paling berkuasa, paling tahu, paling bijak, paling itu dan paling ini, bersedialah untuk kehancuran satu masyarakat. Jangan lupa, elitis juga adalah sebahagian dari masyarakat tersebut, maka  kemusnahan ini akan menyeret para elitis bersama-sama tenggelam dan terbenam dalam runtuhan.

Leave a Reply