Masalah Penulis dan Penulisan Menurut Steven Pinker

Masalah Penulis dan Penulisan Menurut Steven Pinker

Oleh: Syed Ahmad Fathi

Mengapa sesetengah penulisan sangat susah untuk dibaca dan difahami? Tanya Steven Pinker, seorang ahli bahasa dan psikologi. Terdapat banyak teori untuk menjawab soalan ini. Sesetengah teori mengatakan ia adalah sesuatu yang dibuat-buat. Atau dalam kata lain, penulis sengaja menggunakan bahasa berbelit bagi menyukarkan kefahaman pembaca. Motifnya mungkin kerana penulis merupakan birokrat yang mahu mengelak dari tanggungjawab, atau pseudo-intelektual yang mahu membuat pembaca merasa mereka merupakan pakar dalam sesuatu bidang. Walaupun teori ini mungkin ada benarnya, namun, ada ahli-ahli akademik, cendiakawan, yang tidak mempunyai sebab untuk menyembunyikan apa-apa, tulisan mereka dalam erti kata lain “memang teruk secara semulajadi”.

Terdapat juga teori yang megatakan bahawa era media digital merosakkan bahasa. Google, Twitter, Facebook merosakkan bahasa generasi baru dan merupakan alat perobohan ketamadunan. Pinker menolak teori ini, kerana sepanjang sejarah bahasa (beliau memperbahaskan Bahasa Inggeris) kita dapati aduan berkenaan dengan “penurunan kualiti bahasa” ini boleh didapati di setiap zaman.

Bagi Pinker, menulis adalah secara semulajadinya merupakan proses yang sukar. Kebanyakan penulis tidak mengenali pembaca mereka, para pembaca hanyalah imaginasi apabila penulis mula menulis, mereka tidak boleh beriaksi atau meminta penjelasan. Jadi menulis adalah satu proses untuk meyakinkan seseorang yang tidak dikenali penulis dengan penyusunan bahasa, agar mereka dapat menerima mesej yang ingin disampaikan, ia merupakan kerja kesenian.

Bahasa merupakan satu medium yang dinamik dan sentiasa berubah, amat sukar untuk mengongkong bahasa kedalam satu peraturan. Salah satu penambahbaikan penulisan bagi Pinker adalah melalui sains kognitif, iaitu dengan menguji apa yang menyebabkan sesuatu ayat menjadi sukar difahami atau dibaca.

Penulisan bukan merupakan kebolehan semulajadi manusia, untuk itu penulis perlu mempunyai model di dalam minda mereka tentang bagaimana untuk berkomunikasi dengan pembaca. Penulis perlu cuba membayangkan situasi pembaca dan penulis perlu tahu apa mesej yang hendak disampaikan. Penulisan merupakan “tingkap” bagi pembaca untuk melihat dunia, penulis telah melihat sesuatu di dunia dan penulis mahu pembaca melihat apa yang dilihatnya dengan mata mereka sendiri. Dalam hal ini, tujuan penulisan adalah untuk pembaca melihat realiti secara objektif, dan gaya untuk menyampaikan tujuan ini adalah dengan gaya perbualan. Dalam kata lain, penulisan yang baik membuatkan pembaca seolah-olah sedang berbual dengan penulis.

Antara gaya penulisan lain, yang menurut Pinker boleh membantu pembaca, adalah gaya penulisan yang membantu pembaca membayangkan subjek tersebut didalam minda mereka, penulis memberi contoh-contoh yang boleh dikaitkan dengan teori atau subjek yang dibincangkan dan pembaca seolah-olah melihat apa yang dibaca itu dalam bentuk “video” dalam pemikiran mereka. Dalam erti kata lain, penulis berjaya membangkitkan ilusi dalam minda pembaca, bukan sekadar mendengar perbincangan verbal.

Bagi Pinker bahasa merupakan satu cara untuk menukarkan pemikiran kepada perkataan. Ramai pencinta bahasa klasik akan berasa marah dengan penggunaan bahasa cara baru, atau terma-terma baru yang wujud yang bercanggahan dengan peraturan bahasa klasik. Namun perkara ini, walaupun tidak disukai akan terus wujud kerana ia mempunyai tujuan. Tujuannya adalah untuk menyampaikan pemikiran dalam bentuk perkataan yang tidak boleh dicapai melalui penggunaan bahasa klasik.

Antara sebab lain yang menjadi masalah kepada penulis adalah “the curse of knowledge” iaitu apabila kita tahu tentang satu perkara, sangat sukar untuk kita bayangkan kefahaman seseorang yang tidak tahu akan perkara tersebut. Oleh itu kita seringkali menulis seolah-olah pembaca mempunyai level kefahaman yang sama dengan kita, tanpa memberikan penerangan tentang latar atau konsep-konsep yang kita gunakan, kerana dalam minda kita, kita mempunyai bias bahawa pembaca telah memahami konsep tersebut. Contoh mudah adalah jika kita menerangkan proses fotosintesis kepada pelajar tadika tanpa menerangkan apa itu sel, oksigen, dan karbon dioksida, kita akan membuatkan mereka bingung. Oleh itu penting bagi penulis menerangkan jargon-jargon yang digunakan, mengulas logik pemikiran mereka, dan memberi contoh-contoh visual agar pembaca dapat melihat apa yang penulis lihat.

Kita mungkin boleh cuba membayangkan situasi atau minda pembaca semasa menulis, tetapi kajian menunjukkan bahawa perkara ini sangat sukar dilakukan dengan tepat. Solusi yang lebih baik adalah memberikan draf penulisan kita kepada orang kedua untuk disemak sebelum diterbitkan.

Pinker turut menyentuh perihal “perang bahasa”, di satu kem kita mempunyai golongan yang mahu bahasa digunakan dengan betul mengikut peraturan dan tatabahasa yang telah ditetapkan. Dengan mengikuti peraturan penulisan ia mengangkat martabat bahasa, jika ia tidak diikuti, ia akan merosakkan bahasa dan membawa kepada keruntuhan ketamadunan. Di sebelah kem yang lain kita punya golongan yang lebih liberal tentang peraturan penulisan, penulis bebas menulis mengikut gaya dan kehendak mereka. Bagi Pinker, dalam “peperangan” ini, kita perlu fahami bahawa bahasa adalah apa yang digunakan oleh orang awam, oleh itu tiada satu peraturan yang dapat mengaturnya tanpa mengekang proses kegunaan dan kreativiti. Selagi ia digunakan dalam komuniti dan dapat menyampaikan maklumat, ia patut diterima. Dan bahasa akan sentiasa berevolusi secara organik. Jadi peraturan perlu diikuti bagi membentuk konsistensi, tetapi dalam keadaan lain ia boleh ditinggalkan jika ia menghalang dalam menyampaikan sesuatu mesej.

Saya merasakan syarahan Steven Pinker ini sangat berguna untuk penulis, malah banyak contoh yang digunakan sangat kelakar dan tidak membosankan. Anda boleh menontonnya sendiri syarahan beliau yang bertajuk Linguistics, Style and Writing in the 21st Century di Royal Institution.

Leave a Reply