SENI DAN SASTERA

SENI UNTUK MASYARAKAT

  • borneokomrad1@gmail.com
MANUSIANYA SEEKOR MONYET
kredit gambar: scientificamerican.com

MANUSIANYA SEEKOR MONYET

Oleh: Izzat Dahelan

Lampu meja belajar menjadi sumber cahaya utama dalam kamar aku. Sinar bulan seperti pencuri menyusup masuk meraba segala objek yang boleh dicapai dalam kamarku. Sinar bulan seperti udara yang setiap hari aku hirup untuk terus hidup. Bezanya, sinar bulan membuatkan jiwaku terus hidup.

Penghujung malam yang juga penghujung tahun 2020 aku manfaatkan dengan menelaah buku-buku lama yang sudah siap aku baca. Walaupun aku diajak teman-teman untuk bersama mereka menanti ambang 2021 dengan berpesta, aku lebih memilih untuk bersendiri. Aku mahu melayani perasaan.

Beberapa buah buku aku telaah ulang. Bukan hanya buku akademik, tetapi turut buku novel. Novel cinta. Novel cinta yang aku baca tidaklah seperti novel yang bertaburan di kedai-kedai buku Malaysia. Aku lebih memilih novel cinta hasil tulisan dari negara seberang, Indonesia. Ini kerana dalam menyelitkan kisah-kisah cinta, turut dimasukkan konflik politik, ekonomi dan sosial yang tidak jarang disusuli dengan kritikan yang pedas. Lebih mudah untuk aku ungkap, membaca novel cinta tulisan dari seberang ini membuka tirai imajinasi dan membuka minda melihat realiti sekitar.

Dalam waktu keenakkan bersama buku-buku kegemaran, jendela kamar diketuk. Perhatian terhadap bahan bacaan terganggu. Aku menoleh ke arah jendela kamar yang separuh terbuka. Aku terkejut. Nyaris jantungku tercabut.

Seekor monyet sedang berpaut pada jendela tersebut dengan wajah sendu, seperti Sufian Suhaimi setelah ditinggalkan Elfira Loy.

“Nyet, kenapa tak bagi salam? Terkejut aku, ingatkan hantu. Fuh,” ujarku kencang kepada Nyet sambil mengusap dada.

Nyet menggaru kepala dan tersengeh. Kemudian meminta izin masuk ke dalam kamar. Aku mengangguk tanda memberi izin.  Sebuah kerusi aku tarik disebelahku untuk Nyet duduk.

“Aku penat lah bro. Girlfriend aku minta putus. Kitorang dah couple setahun tapi akhirnya putus macam tu saja. Mengumpul kenangan untuk dikecewakan.” Nyet membuka bicara.

Nyet ni sahabat aku. Sebulan sekali, dia pasti akan datang menjenguk aku pada waktu malam, sekitar jam 11:30 PM hingga 12:00 PM. Kami akan bercerita soal kehidupan. Ada waktunya aku yang meluah perasaan, dan Nyet akan memberi nasihat. Begitulah juga sebaliknya apabila Nyet yang meluah perasaan, maka aku lah yang akan memberi nasihat. Itulah gunanya seorang sahabat. Eh, seekor sahabat.

“Kau lek-lek dulu Nyet. Cuba kau ceritakan apa yang jadi. Kau nak air tak? Milo? Nescafe? Neslo ice? Nak pisang?” aku cuba membuat Nyet. Aku selitkan sedikit gurauan. Mungkin boleh membantu menceriakan sedikit ‘tawar’ si Nyet.

Nyet hanya mengukir senyuman yang kelat. Jelas gurauan itu tidak memberi kesan berjaya menceriakan Nyet. Hambar.

“Begini…,” Nyet membuka cerita.

Apa yang berlaku kepada Nyet memang menyedihkan. Nyet ditinggalkan oleh kekasihnya kerana Nyet dari kelompok monyet MKB atau Monyet Kelas Bawah. Kekasih Nyet pula dari kelompok MKA atau Monyet Kelas Atas. Nyet makan hasil buangan sampah dan curian, manakala kekasihnya makan dari hasil ‘Gudang Halal’. Gudang Halal merupakan gudang yang diwujudkan untuk menyediakan makanan buat monyet-monyet yang membayar cukai hutan. Bagi monyet yang membayar cukai, mereka adalah dalam kalangan orang yang mampu dan kaya. Monyet yang tidak mampu pula akan mendapat makanan daripada sisa makanan manusia dalam tong sampah dan ada yang mencuri makanan orang, persis si Nyet.

Ayah kepada kekasih si Nyet tidak membenarkan perhubungan mereka terus berlangsung dan berkekalan, malah untuk menjejak ke pelaminan pun ayah kekasih si Nyet akan haramkan. Ini kerana dia tidak mahu cucu-cicitnya nanti menjadi pemakan sampah dan pencuri. Mahu tidak mahu, kekasih si Nyet perlu akur dengan keputusan ayahnya. Jika mereka ingin lari sekalipun, tidak ada lagi hutan yang lebih selamat berbanding hutan yang mereka tinggal sekarang kerana aktiviti pembalakan yang semakin berleluasa.

“Nyet, aku simpati dengan apa yang berlaku. Tapi sebagai seorang ayah, dia wajar untuk menentukan apa yang terbaik buat anaknya,” respon aku setelah mendengar perkara sebenar dari Nyet. Aku cuba rasional.

Nyet mengeluh. Wajahnya nampak penat. Mata sembam, mungkin kerana bertangis meratapi kenyataan bahawa dia dan kekasihnya itu sudah putus. Kenyataan memang menyakitkan, tapi dari terus meratapi, adalah elok untuk kita terus menjalani kehidupan. Itulah hal yang aku pegang selama ini, walaupun kadang-kadang aku juga frust menonggeng di tepi peparitan sumbat Alam Mesra.

“Betul untuk kebaikan. Tapi tak adil untuk ayahnya tidak memberi aku peluang. Aku boleh menjadi kelompok MKA, asalkan aku diberikan ruang dan peluang. Aku boleh pastikan bakal anak cucu dan cicitnya nanti makan dari Gudang Halal.” Nyet berasa sangat sedih dan dalam masa yang sama geram. Semua itu dapat dilihat dari raut wajahnya.

“Kau kena sedar diri Nyet. Kau takda kabel dalam PRB.”

Nyet menunduk.

Keberadaan Nyet dalam kelompok MKB bukan berpunca daripada kehendak Nyet. Tetapi berpunca daripada sistem yang telah diperkenalkan oleh PRB atau Persatuan Rimba Bara. Mereka adalah badan pentadbiran yang menguruskan hal ehwal politik, eknomi dan sosial di hutan tempat Nyet tinggal.

Kronisme yang berlaku dalam PRB telah menafikan hak sebahagian keturunan monyet, yakni MKB. Walaupun mereka sudah masuk sekolah tinggi, jika tidak ada kabel dalam PRB untuk mendapatkan pokok dan tanah untuk diusahakan dan kemudian mendapat hasil bagi membayar cukai, maka mereka akan terus-menerus miskin.

Sedih. Tapi itulah yang berlaku kepada Nyet.

Walaupun Nyet kadang-kadang menyakitkan hati, aku tidak pernah menafikan bahawa Nyet adalah monyet yang bijak. Nyet lebih tahu bahawa AKU 1971 (Akta Kaum Udang 1971) itu telah digunakan sebagai alat mengekang pergerakan mahasiswa berbanding manusia yang bergelar ‘mahasiswa’ itu sendiri. Kata Nyet kepada aku apabila mengulas soal AKU 1971,

“Macam ni lah, kalau AKU 1971 ni baik, kenapa gerakan mahasiswa semakin melemah? Kenapa program yang kau sendiri hadir dan sertai sekarang sekadar untuk mencukupkan takwim universiti dan untuk capai KPI? Undang-undang bodo mana yang larang orang menjual? Undang-undang mana yang bodo menyekat mahasiswa macam kau untuk mewujudkan sendiri sistem dan suatu program yang baru? AKU 1971 kan? Buat apa lagi kau nak defend dan jilat undang-undang tu sangat? Langgar saja, biar ada wacana untuk semak ulang segala perkara bodo dalam undang-undang tu.”

Aku sendiri tak terfikir hal itu sebelumnya, tetapi Nyet yang hanya seekor monyet boleh berfikir demikian. Hebat. Mungkin selepas ini mahasiswa yang sayang AKU 1971 boleh masuk hutan tinggal bersama monyet-monyet.

Berbalik kepada kisah cinta Nyet yang terputus di tengah jalan tadi. Aku sudah tidak tahu apa lagi nasihat yang terbaik buat Nyet. Nyet juga tidak banyak bercakap. Malam tahun baru kami sudah hampir mencapai kemuncaknya.

“Nyet, kau redhakan saja pemergian kekasih kau tu Bro. Tak elok nangis-nangis. Mana tahu lepas ni kau akan jadi monyet hebat. Macam cerita Tenggelamnya kapada Van Der Wijck karya HAMKA. Zainuddin jadi penulis yang hebat. Si kecewa yang berkarya. Kau boleh tukar nama kau, dari Nyet kepada Syed Saddaqqah Segaraga. Raja segala monyet!” ujar aku kepada Nyet.

Usahaku kali ini berjaya. Nyet tertawa dan tersenyum. Nyet memandang ke arah aku kemudian berkata, “Punya sahabat seperti kau tidak pernah merugikan. Tempat bertukar cerita, selalu ada saat saling memerlukan, tidak pergi saat menghadapi masalah. Terima kasih sahabat.”

Pandangan Nyet beralih ke luar jendela. Aku tersenyum dan dadaku terasa lapang mendengar kata-kata Nyet. Kata-kata jujur seekor monyet yang bijak lebih berharga dari kata-kata sahabat manusia yang bermuka-muka.

“Sudahkan kesedihan kau terhadap dia yang telah tiada Nyet. Akan ada yang lebih baik. Aku kini masih jomblo, mungkin akan terus jomblo. Jomblo dan berjuang. Kalau tanya soal cinta aku yang lepas. Aku pernah hancur kerana terlalu percaya. Pernah juga patah kerana memilih orang yang salah. Pernah terkubur dalam-dalam di hati seseorang yang kuselami dengan niat untuk dapat aku fahami. Aku juga pernah memutuskan berjuang untuk hati yang memperjuangkan orang lain. Ya, memang semua itu sakit. Tapi kau perlu bangkit Nyet. Seperti bangkitnya aku.” Aku memberi nasihat kepada Nyet dengan berkongsi pengalaman lepas hidupku yang tidak kurang sadisnya.

“Benar kata kau sahabat. Untuk apa diteruskan dan diratapi, kalau memang kenyataan tidak sesuai dengan harapan,” balas Nyet.

Tepat jam 12:00 PM, bunga api dengan warna-warni yang indah menghias langit malam yang dipenuhi bintang-bintang dan bulan setia. Aku dan Nyet menikmati malam dengan tenang, tanpa perlu menjerit dan meriuhkan malam. Kami tidak mahu bicarakan mimpi dan impian, kami akan tunjukkan kepada mereka bahwa mimpi dan impian itu telah kami capai.

Bro, kalau di tubuh kau ada butang restart dan kau dapat betulkan semua silap yang kau pernah buat, kau akan tekan butang tu?” soal Nyet tiba-tiba kepada aku.

“Tidak. Biarlah terus begini. Kesilapan lepas itu pengajaran buat kita. Lepaskan saja, tidak perlu difikirkan atau difikir untuk diatur semula. Lepaskan semua dari fikiran kau segala garis warna-warni yang silang-menyilang di benak kau itu. Biarkan. Terus maju Bro.”

Leave a Reply

Close Menu
×
×

Cart