WACANA

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.

  • borneokomrad1@gmail.com
MAHASISWA DAN TRADISI PERUBAHAN
credit https://www.hrinasia.com/

MAHASISWA DAN TRADISI PERUBAHAN

Oleh: Izzat Dahelan

“Kita mahu pemulihan dan pembaharuan, bukan hendak berkokok pada jalan yang telah hanyut daripada tujuan asalnya dan bukannya hendak berdegil hendak menyimpan jalan fikiran lama yang telah membeku menjadi adat atau kepercayaan-kepercayaan lama yang sudah berkulat dan bercendawan.”

Demikianlah seruan perubahan yang telah diungkapkan oleh seorang tokoh reformis Melayu yang terkenal iaitu Pendita Za’ba. Beliau telah melakukan pelbagai kritikan semasa hidupnya khususnya dalam hal ehwal agama dan juga moral. Pendirian beliau ini harus menjadi teladan kepada anak muda pada hari ini. Ini kerana beliau tidak bersifat kecut, dan bacul dalam mengungkap suatu hal yang difikirkan benar olehnya. Beliau turut memberi suatu justifikasi yang jelas terhadap segala wacana yang berbeza dengan bawaan tokoh lain yang cenderung kepada idea tradisionalis.

Sebagai seorang anak muda yang menjejak kaki di alam universiti atau turut disebut sebagai mahligai gading, seharusnya anak muda menjadi gologan yang sering memikir-ulang segala tradisi kebiasaan dan turun-temurun dalam masyarakat. Mampunya diri anak muda mendapat ilmu pengetahuan dalam pelbagai lapangan memudahkan lagi urusan menyemak kembali segala hal yang kelihatan tidak beres disekitar mereka.

Anak muda haruslah menjadi golongan yang berani dalam menyatakan pandangan mereka terhadap sesuatu hal dan bukan hanya mengangguk akur terhadap pegangan atau tradisi di sekitarnya. Hamka di dalam sebuah karya beliau yang bertajuk Peribadi menyatakan,

“Keberanian menyatakan pendapat walaupun pendapat tersebut mungkin tidak disetujui adalah tanda kekuatan peribadi. Apalagi jika kita dapat mengatasi kesulitan dengan keberanian menyatakan pendapat dan keinginan.”

Hamka tidak hanya menyata pandangan melalui mata pena, beliau turut melalui zaman-zaman dimana dirinya telah ditangkap kerana membuat kenyataan yang ‘asing’ pada waktu tersebut. Asing yang dimaksudkan oleh penulis adalah berbeza daripada suatu kenyataan atau pegangan umum. Kata-kata beliau bukan hanya melingkari diatas kertas sahaja, tetapi digerakkan idea tersebut secara pragmatis. Tindakan sebeginilah yang harus dipamerkan oleh anak muda dalam usaha untuk menjadi pengubah terhadap tradisi yang tidak beres bagi sesebuah zaman.

Sebagai seorang mahasiswa, penulis dapat menyimpulkan bahawa anak muda hari ini masih kurang sikap dan sifat yang dapat memicu perubahan dalam masyarakat. Masuk ke universiti dalam tafsiran mereka hanyalah syarat untuk mendapat pekerjaan yang baik suatu hari kelak. Maka dengan tafsiran demikian, mereka menjadi anak muda yang hanya menghabiskan masa dengan belajar dari siang hingga ke malam. Mereka tidak mempunyai keinginan untuk ‘menjenguk’ kesusahan yang dihadapi masyarakat luar, dan yang lebih menyedihkan terhadap kesusahan yang dihadapi oleh teman sepengajian.

Bagi kebanyakan mereka, segala permasalahan yang tidak melibatkan diri mereka itu bukan tanggungjawab mereka. Mereka datang ke universiti hanya untuk mendapatkan sijil ijazah sarjana muda, sijil ijazah sarjana dan kedoktoran. Hidup mereka lebih berteraskan kepada pegangan egoisme yang mengutamakan dirinya sendiri lebih daripada orang lain. Tidak dinafikan sikap egoisme itu perlu, tetapi harus ada tempat dan ketikanya. Tuntutan kemanusiaan seharusnya membuatkan diri kita memiliki rasa ‘ingin tahu’ terhadap kesusahan yang dihadapi oleh teman atau orang lain. Maka wujudlah golongan anak muda keluaran universiti yang kekok dalam sosialisasi.

Tidak kurang juga punca kepada masalah ini adalah berakibat daripada institusi universiti itu sendiri. Mereka lebih mengutamakan pencapai daripada pembinaan peribadi mahasiswa. Mahasiswa dipaksa untuk berprogram bukan kerana untuk membina peribadi mereka, tetapi kerana ingin mencapai penanda aras yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. Sistem pendidikan juga sudah hilang nilai, universiti sudah tidak ubah seperti sekolah biasa sewaktu kita berada di sekolah rendah dan menengah. Kepelbagaian berfikir iaitu berfikir kreatif kadangkala disekat atau tidak diterima baik oleh pensyarah. Apabila mahasiswa menyata ketidakpuasan hati dan mengkritik, akan didiamkan dengan peraturan. Seperti kata W. S. Rendra, mahasiswa sudah seperti keluaran ‘pabrik’ yang tidak mempunyai nuansa peribadi. Tetapi hanya sama mengikut corakkan universiti yang terlalu bersistem.

Universiti juga sudah menjadi seperti kilang cetak sijil. Menjadi institusi yang terhina oleh golongan penuntut universiti sendiri. Graduan yang menamatkan pengajian di universiti tidak mempunyai jiwa. Mereka hanya memiliki sijil yang pada hakikatnya hanya sekeping kertas yang tidak mempunyai nilai. Kerana pada akhirnya yang akan menyelamatkan diri mereka daripada segala pengaruh dan kerosakan sekitar adalah keilmuan yang ada di dalam diri. Kepingan sijil kertas yang diperolehi itu tidak akan menjadi pelindung buat diri mereka daripada kerosakan, terutamanya kerosakan hidup yang berpunca daripada kebodohan dan ketaksuban. Namun, jiwa dan ilmu yang dituntut dengan ikhlas itulah yang akan menjadi penyelamat dalam menghadapi pelbagai dugaan kemanusiaan.

Keikhlasan dalam menuntut ilmu tidak dapat tidak dipisahkan daripada tindakan praktik yang disebutkan pada awal penulisan ini. Praktik yang muncul adalah berdasarkan kesedaran yang dipacu oleh ilmu yang telah kita tuntut di universiti. Tetapi ramai juga yang masih berdiam walaupun sedar apa yang berlaku di sekeliling mereka itu tidak beres. Ini kerana rasa takut untuk berbeza dan bertentangan dengan pandangan semasa. Mereka bimbang jika diri mereka berbeza daripada masyarakat umum, mereka akan terpinggir atau seperti yang disebutkan oleh Karl Marx yakni menghadapi keterasingan. Selain itu, bisunya mereka dalam menyata pandangan ini turut berpunca daripada nilai sopan yang disalah tanggap oleh mereka. Mereka bimbang jika tindakan ‘nyaring’ dalam menyata pendirian itu sebagai kurang ajar.

Penyakit takut ‘kurang ajar’ inilah yang menjadi sebab kemunduran masyarakat. Mereka seringkali akur, akur dan akur terhadap kezaliman yang telah diterima oleh diri mereka. Mereka lebih rela diri ditindas daripada bersikap kurang ajar terhadap si Penindas. Mereka lebih rela akur daripada mengkritik sistem yang tidak betul daripada bersikap kurang ajar. Hal ini harus diubah dalam pemikiran masyarakat khususnya dalam kalangan anak muda. Naratif takut untuk bersikap ‘kurang ajar’ ini telah dikritik oleh pujangga Melayu iaitu Usman Awang. Di dalam puisi beliau yang bertajuk Kurang Ajar ada menyatakan,

“Suatu bangsa tidak menjadi besar,
Tanpa memiliki sifat kurang ajar.”

Besarnya bangsa-bangsa Eropah kerana sikap mereka yang ‘kurang ajar’ terhadap sistem yang membelenggu diri mereka daripada terus maju dan berkembang. Zaman Renaisans atau Zaman Kebangkitan merupakan zaman yang menjadi titik permulaan kemajuan dan pembentukan besarnya bangsa Eropah pada hari ini. Pada zaman ini, terdapat pelbagai gerakan reformasi yang melakukan penentangan terhadap institusi Gereja Katolik Rom dan insitusi diraja. Ini kerana mereka sedar akan kemunduran dan kejumudan telah berlangsung akibat daripada dua institusi ini terhadap masyarakat. Mereka tidak hanya berdiam diri atau membisu tetapi memilih untuk bersikap ‘kurang ajar’ demi perubahan bangsa. Walhasil, kita dapat melihat sendiri bagaimana tamadun Eropah menjadi kiblat oleh sekalian umat manusia terutamanya dalam hal-hal yang zahir atau fizikal pada hari ini. Bangsa Eropah ini juga telah menjajah negeri kita, walaupun datang bangsa ini sebagai penjajah tetapi tetap ada tokoh yang memberi pujian atas beberapa manfaat yang diperolehi oleh kita daripada mereka. Misalnya seperti apa yang dikatakan oleh Ahmad Rashid Talu di dalam novelnya yang bertajuk Iakah Salmah?

“Untung seribu kali untung bagi kita penduduk Straits dan Semenanjung [Tanah Melayu] telah dimasuki oleh bangsa Eropah, bangsa yang sopan dan bangsa yang terpelajar. Kalau tidak, wallahua’lam, apakah jadinya negeri kita ini pun saya tak tahu, tetapi pada fikiran saya tentulah menjadi hutan rimba, semak belukar sahaja. Apalah hal penduduknya? Tentu barangkali tak ubahnya daripada bangsa-bangsa yang masih jauh daripada pengetahuan dan jauh daripada mata dan tilikan mereka yang sopan, iaitu seperti bangsa-bangsa Sakai, Semang serta Jakun yang ada lagi sekarang ini di ulu-ulu negeri Perak, saya lihat.”

Walaupun kenyataan ini boleh dikatakan pro-kolonial yakni terpengaruh dengan hegemoni penjajah terhadap pemikiran tempatan, tetapi kita tidak boleh menafikan bahawa bangsa Eropah telah memberi perubahan kepada masyarakat di negeri ini. Daripada sikap ‘kurang ajar’ lah mereka telah menjadi besar dan kuat sehingga meletakkan kita berada di bawah mereka dalam kemajuan ilmu pengetahuan dan fizikal. Za’ba juga melontarkan pandangan yang lebih kurang sama tetapi sedikit ‘garang’ terhadap pemerintah feudal dengan mengatakan bahawa,

“…jika sekiranya tidak dengan sebab kedatangan British (yang dikatakan tentera Allah itu Taala itu) mengambil akan perintah negeri itu daripada genggaman tuan-tuan penghulu yang buas dan tidak berperasaan manusia itu, nescaya orang-orang Melayu ini kesudahannya dalam sedikit kurun lagi tentulah kelak pupus sekali tersapu wujudnya…”

Pernyataan Za’ba ini boleh penulis katakan sebagai kritik terhadap pemikiran feudal dalam minda masyarakat Melayu. Pemikiran yang sangat takut akan ‘tulah’ dan sikap kurang ajar terhadap golongan pemerintah feudal ini menyebabkan mereka tidak maju tetapi terus-menerus dihisap sehingga tiada apa yang tinggal buat mereka. Kedatangan Barat lah yang telah memberi kesedaran kepada mereka agar tidak mudah untuk ditindas dan digunakan.

Anak muda yang terpelajar dan berilmu pengetahuan harus kehadapan dan berani menyata pandangan, ‘kurang ajar’ lah demi pembangunan masyarakat kita! Budaya menjilat, mengampu dan kaki kipas harus dihapuskan dalam budaya hidup anak muda. Golongan ini bukan hanya memusnah potensi diri mereka sendiri, tetapi menjadi duri dalam daging bagi masyarakat umumnya. Kerana ingin kedudukan dan tempat, mereka sanggup menggadai pendirian. Apabila sudah duduk di kerusi jawatan, mereka tidak bekerja tetapi hanya bersenang-senang dan menyombong dengan jawatan tersebut. Hamka juga jelas mengkritik sikap orang yang sebegini, mereka sanggup akur terhadap orang lain untuk memperlihatkan dirinya itu ‘terang’. Kata Hamka,

“Dia menjadi terang kerana suratnya. Jika surat itu hilang, tentu ia menjadi gelap kembali.”

Seyogianya, budaya ampuisme dalam kalangan anak muda tidak wujud. Mereka seperlunya bebas daripada keterikatan orang-orang berkepentingan dan bukan menjadi boneka yang berperanan sebagai pemudah cara orang-orang itu. Anak muda yang bergelar mahasiswa khususnya harus menilai segala hal dengan neraca keilmuan yang mereka miliki. Bukanlah menjadi golongan pengampu, penjilat dan kaki kipas yang hidup seperti lalang. Janganlah menjadi manusia seperti yang disebutkan oleh Baidaba iaitu orang yang “…membenarkan perkara yang dusta. Atau meluruskan barang yang telah bengkok,” hanya kerana ingin mendapat tempat dan kedudukan yang tinggi.

Akhir kata buat para pembaca, jadilah manusia yang berilmu pengetahuan dan memiliki jiwa yang lembut. Dunia hari ini sangat berjaya dalam pembinaan ‘hutan batu-bata’ yakni bangunan-bangunan pencakar langit tetapi dalam waktu yang sama menghadapi kemerunduman dan ketandusan dalam nilai kemanusiaan dan kejiwaan. Letakkan di dalam akal fikiran kita juga bahawa hidup ini perlu digunakan untuk membantu masyarakat. Jadilah anak muda melakukan perubahan kepada masyarakat. Kritikal dalam setiap kenyataan dan isu yang dihadapi. Bukan hanya menjadi para mahir tunduk terhadap segala arahan dan sistem yang bobrok. Kemudian, perlu juga menyimpan dibenak fikiran bahawa tidak semua tradisi itu sesuai dengan zamannya. Tradisi setiap zaman berbeza. Tradisi bukan mutlak sifatnya dan mana-mana tradisi yang tidak sesuai pada konteks kekinian harus difikir-ulang dan dikonstruk agar sesuai dengan zaman.

Jika sudah mempunyai kesedaran ini, maka haruslah lontarkan pandangan dan kritik tersebut dengan berani. Jangan hanya berdiam diri dan takut akan pengasingan, kerana suatu masa kelak keberanian kita akan menjadi puji-puji generasi akan datang. Apa guna bijak dan punya kesedaran tetapi tidak berani menyatakan pandangan. Kata Hamka,

“Bagaimanapun gagah atau manisnya seseorang, berapa pun banyaknya ilmu yang dimiliki, jika lidahnya kelu, apalah jadinya! Padahal lidah adalah besi berani untuk menarik manusia supaya dapat berhubungan dengan kita. Bukanlah sunyi jika hanya sendiri?”

Maka, tampillah ke hadapan umum dan menyatakan pendirian dengan beraninya. Hidup ini jika disiakan dengan ketakutan, apalah gunanya hidup. Hilang keberanian itu sudah sepertinya hilang separuh nikmat kehidupan! Penulis tinggalkan soalan yang pernah diajukan oleh W. S. Rendra di dalam puisinya yang bertajuk Pertemuan Mahasiswa,

“Ilmu-ilmu yang diajarkan di sini,
Akan menjadi alat pembebasan,
Ataukah menjadi alat penindasan?”

Kalian anak muda dan kalian lah mahasiswa. Pilihlah pembebasan atau penindasan!

Leave a Reply

Close Menu