KOMPEK HITAM (7)

KOMPEK HITAM (7)

  • Post category:CERPEN

“Terpaksa pilih hitam untuk hidup!”

Oleh: Mukmin Nantang

Sinopsis

Kompek Hitam merupakan sebuah adaptasi realiti kehidupan yang berlaku kepada masyarakat sekitar Daerah Tawau Sabah. Daerah Tawau terkenal dengan berbilang etnik yang berasal dari Negara Indonesia dan Filipina. Kisah ini menceritakan tentang sebuah keluarga yang melarat kemiskinan. Acok merupakan seorang anak muda yang terpaksa menyara ibu dan adik perempuan setelah kematian bapanya. Ibu Acok sering saja sakit setelah kematian bapanya. Adiknya pula sedang belajar di peringkat SPM. Acok menghadap masalah sukar mendapat pekerjaan kerana dia tidak mempunyai kad identiti sebagai warga Negara Malaysia. Liku-liku keperitan perjalanan kehidupan Acok sehingga terjerumus ke lembah hitam sebagai seorang penjual rokok seludup di jalanan.

(Bahagian 6)

Babak 11

(Acok berjalan menuju ke rumah. Tiba-tiba Otok dan beberapa orang lagi datang mendekati Acok dari belakang. Berlaku pergelutan apabila Acok dipukul secara mengejut)

Otok: Acok… Acok… Acok! 

(konco-konco Otok menahan dan mengunci badan Acok agar mudah untuk dipukul)

Acok: Apa kau buat ni Tok!

Otok: Kau fikir kau samseng sangatkan sampai mahu kacau tempatku! (menumbuk muka Acok)

Acok: Aduh Tok! Tolong aku Tok!

(Acok meronta kesakitan. Otok dan konco-konconya memukul beramai-ramai sebelum pergi dari tempat itu)

Babak 12

(Dalam kesakitan Acok pulang ke rumah. Dia melihat tiada orang di dalam rumah. Acok dalam keadaan panik menjerit-jerit “Mak… Cek…”. Acok terduduk menangis sendiri. Tiba-tiba kedengaran bunyi telefon bimbitnya berbunyi, Acok menjawab dan bergerak keluar pentas)

 

Babak 13

(Neng sedang gelisah dan terus mendekati Puding)

Neng: Puding, kau ada jumpa si Acok?

Puding: Acok? Innalillahiwainnalillahirojiun.

Neng: Astaghfirullah. Kau ndak payalah main-main!

Puding: Ndak percaya sudah.

Neng: Sampai hatimu ya…

Puding: Sampai Neng, sampai ke hatimu hahaha.

Neng: Ish! Kau ni kan…

(Acok masuk ke pentas. Puding dan Neng melihat Acok dari jauh).

Puding: Alhamdulillah. Masih hidup rupanya.

Neng: (Neng merenung muka Puding) Perangai kau ni macam iblis!

Punding: Astaghfirullah.

(Paman masuk ke dalam pentas)

Paman: Acok!

(Melihat Paman, Acok cuba melarikan diri)

Paman: Kau mahu ke mana Cok?

Acok: Ndakdalah.

Paman: Kau ok kah. Kau cakap betul-betul Cok!

Acok: Apa? Ndakda apa-apa bah.

Paman: Kau jangan mahu tipu aku ya Cok.

Acok: Tipu apa?

Paman: Kau fikir aku ndak tahukah apa yang jadi semalam?

Acok: Baguslah kalau Paman tahu. Paman sukalahkan. Paman bukan peduli pun dengan aku. Aku susah…

Paman: Aku sudah cakap kau jangan buat kerja gila Cok! Aku yang bawa kau ke sini. Di sini ada peraturan dan kau mesti ikut!

Acok: Ya! Semua ni salah Paman. Paman yang bawa aku ke lembah hitam, busuk dan jijik ini! (merenung tajam mata Paman)

Paman: Iya, hitam, busuk dan jijik! Kau dengar sini, orang macam kita ini kerja paling suci. Kau sedar diri sikit Cok. Ingat kau kasitau aku apa? Bapakmu sudah jual surat lahirmu waktu kecil. Kau tiada IC. Kau pendatang tanpa izin di negeri sendiri. Kerja pun tiada. Orang tempatan hina kau. Tiada yang mahu ambil kau kerja. Mamakmu sakit. Adikmu perlu duit, dan kau harus cari duit yang lebih. Ada orang lain tolong kau? Pusat zakat pun tidak terimalah orang macam kau. Aku! aku Cok yang terima kau di sini. Supaya apa? Supaya hidupmu lebih senang.

Acok: Tapi hidup ku masih susah Paman. Aku masih begini. Sama!.

Paman: Kau kena banyak bersabar Cok…

Acok: Sabar macam mana lagi Paman? macam mana?

Paman: Kau fikir di dunia ni kau sajakah hidup susah?

Acok: Sudahlah Paman… Mamakku sakit kuat sekarang ni. Semalam dia masuk hospital. Makin teruk sakitnya. Aku buntu, Paman. Aku perlu duit banyak. Aku tiada siapa-siapa lagi Paman, kecuali keluargaku. Aku mahu buat macam mana lagi, Paman? Macam mana? Sekarang ni aku mesti cari duit lebih.

(Acok tinggalkan tempat itu dan terus menjual rokok).

Paman: Tapi Cok…

(Acok terus rancak menjual rokok sampai ke hari malam. Otok dan kawan-kawan memerhatikannya dari jauh dengan riaksi tidak puas hati)

Otok: Budak ni betul-betul ndak jerak (sambil mengisap rokok)!

 

Babak 14

(Indok terbaring di ruang tamu. Beccek sedang menjaga Indok. Acok keluar dari bilik)

Acok: Mamak ok kah Cek?

Beccek: Ndak taulah Cok susah aku mahu cakap. Kita pun ndak boleh buat apa-apa. Semalam bilang doktor kan paru-paru mamak berdarah. Tapi tulah kita perlu duit…

Acok: Mamak sabar dulu ya, dua tiga hari ni aku dapat duit, aku tanggung semua bil rawatan mamak di hospital.

Beccek: Cok tadi aku minta kerja dengan makcik Timah di rumahnya.

Acok: Kerja apa?

Beccek: Orang gajinya, nanti…

Acok: Astaghfirullah Cek. Apa kau ni! Aku sudah cakapkan banyak kali. Kenapa kau ndak mahu dengar cakapku Cek. Aku boleh cari duitlah untuk keluarga kita. Kau betul-betul ndak hormat aku sebagai abangmu ya.

Beccek: Dengar dulu bah…

Acok: Cek, cukuplahlah orang cakap-cakap pasal keluarga kita sebab miskin sampai terpaksa jual surat lahir anaknya sendiri. Ndak paya lagi kau mahu tambah cakap-cakap orang. Kau fikir aku suka-sukakah larang kau kerja. Aku pun sudah penat bah Cek! Aku mahu kau fokus sekolah!

Beccek: Lepas pulang sekolah bah Cok baru aku kerja. Bukannya susah pun. Kemas rumah, cuci kain, tukar lampin anaknya…

Acok: Aku ndak suka, Cek! Aku mahu kau fokus belajar! Fokus belajar! Fokus belajar! Kau pahamkah!

Beccek: Tapi Cok, aku kesian bah dengan mamak….

(Indok batuk kuat sehingga lemah)

Acok: Ya Allah Cok… Mamak okkah ni? Makin teruk batuk mamak ni. (Sambil mendekati indok yang batuk tidak henti-henti)

Beccek: Cok macam mana ni? Aku takut Cok…

Acok: Aku pun ndak tahu macam mana ni Cek… ambil kain basah tu Cek…

Beccek: Cok fikirlah bah sesuatu. Ya Allah Cok. Makin kuat batuk mamak ni…

(Kedengaran orang mengetuk pintu)

Polis: Assalamualaikum…

Acok: Cek… kau pergi tengok dulu siapa ketuk pintu tu.

Polis: Assalamualaikum…

Beccek: Waalaikumusalam…

(Acok memandang ke arah pintu).

Polis: Kami polis. Boleh kami berjumpa dengan Acok?

(Acok terus berdiri dan cuba melarikan diri)

Acok: Iya saya..

Polis 1: Acok anda disyaki tidak mempunyai surat pengenalan diri yang sah dan menjual rokok seludup secara haram di Bandar Fajar Tawau. Geledah rumah ni. (Memberi arahan kepada pegawai polis yang lain)

Polis 2: Tuan (Sambil menunjukkan plastik hitam yang berisi rokok)

Indok/Beccek: Astagfirullah…

Polis 1: Gari dia. Ikut kami ke balai.

Polis 3: Ikut kami (Sambil menggari tangan Acok dan membawanya pergi).

Beccek dan Indok terkejut lalu meraung menangis dan cuba berdiri namun tidak mampu kerana terlalu sakit lalu dia terjatuh semula ke lantai dan pengsan. Beccek berlari mendekati Indok dan menangis kuat. Acok yang cuba mendekati indok namun dihalang oleh polis.

 

TAMAT

Leave a Reply