KOMPEK HITAM (2)

KOMPEK HITAM (2)

  • Post category:CERPEN

“Terpaksa pilih hitam untuk hidup!”

Oleh: Mukmin Nantang

Sinopsis

Kompek Hitam merupakan sebuah adaptasi realiti kehidupan yang berlaku kepada masyarakat sekitar Daerah Tawau Sabah. Daerah Tawau terkenal dengan berbilang etnik yang berasal dari Negara Indonesia dan Filipina. Kisah ini menceritakan tentang sebuah keluarga yang melarat kemiskinan. Acok merupakan seorang anak muda yang terpaksa menyara ibu dan adik perempuan setelah kematian bapanya. Ibu Acok sering saja sakit setelah kematian bapanya. Adiknya pula sedang belajar di peringkat SPM. Acok menghadap masalah sukar mendapat pekerjaan kerana dia tidak mempunyai kad identiti sebagai warga Negara Malaysia. Liku-liku keperitan perjalanan kehidupan Acok sehingga terjerumus ke lembah hitam sebagai seorang penjual rokok seludup di jalanan.

(Bahagian 1)

Babak 2

Laungan azan isyak berkumandang. Indok sedang mundar-mandir di jambatan dalam keadaan resah. Neng sedang belajar di ruang tamu.

Indok: Beccek… Beccek apa kau buat tu?

Beccek: Buat kerja sekolah mak. Aku tulis balik buku kerja matematik kawanku ni mak. Sebab aku belum belikan.

Indok: (Indok terdiam) Cek mana si Acok ya, belum pulang dia ni.

Beccek: Ndak tau pula ni mak, ndakda dia kasitau aku dia pergi mana.

Indok: Nanti kau tanyak-tanyaklah dia pergi mana ya, risau mamak dia keluar pagi, malam belum pulang.

Beccek: Ndak payalah mamak bimbang, ok saja tu. Ada halnya mungkin. Barusan juga dia begini.

Indok: Itulah bah yang mamak risau, sudahlah dia tu…

Acok: Assalamualaikum (sambil membuka pintu)

Indok: Waalaikumussalam Cok, dari mana kau Cok?

Acok: Ndakda lah mak, aku lepak tempat si Andi tadi, tempat dia jual burger. Aku bantu-bantu dia menjual mak.

Indok: Oh… kau sudah makankah? (batuk)

Acok: Sudah juga mak. Ndak payalah mamak risau. Mamak ni sudah makankah?

Indok: Sudah juga Cok.

Acok: Macam mana keadaan mamak sekarang. Sihatkah sudah? sudahlah tu mamak fikir pasal bapak.  Bapakkan lama sudah meninggal.

Indok: Bukan pasal bapakmu saja yang mamak fikir Cok, tapi dalam keadaan begini macam mana kita mahu hidup, mamak sudahlah sakit, macam mana mau kerja, sudahlah makcik Rosmah tadi pagi ada datang marah-marah mahu ambil duit sewa rumah, dia cakap sudah enam bulan kita ndak bayar. Macam mana mahu bayar Cok, kita ni makan pun susah.

Acok: Ndak payah fikir tu, pasal duit nanti aku yang usaha cari. Lagi pun aku saja yang lelaki dalam rumah ni. Aku janji akan jaga mamak dengan si Beccek sama macam bapak.

Indok: Kau mahu usaha macam mana Cok? Kau tu manalah ada IC. Kau lupakah yang operasi imegresen kuat sekarang sudahlah hari tu kau hampir kena tangkap. Risau mamak Cok. Tu lah bah bapakmu tu…

Acok: Sudahlah tu mak. Mamak ndak paya risau betul. Mamak doakan saja aku bagus-bagus supaya tenang juga aku cari duit.

Indok: Cok dengar sini, miskin kita nak, ndak makan kita jangan kau buat perkara yang bukan-bukan ya. Jangan ulang lagi kesilapan bapakmu…

Acok: Mak… Bapak terpaksa buat semua tu pun untuk kita juga, mamak ndak payahlah ungkit sudah tu, aku pun lupa sudah… Apa yang penting kita mesti teruskan hidup biar macam mana pun.

Indok: Ndak tahulah Cok. Mamak pun ndak tahu mahu cakap apa lagi. Tapi kalau bapakmu…

Acok: Mak sudahlah tu. Aku tetap juga besyukur biar pun keluarga kita begini. Aku ndak pernah salahkan bapak… Kalau aku di tempat bapak mungkin aku pun terpaksa buat benda yang sama.

Indok: Cok makin risau mamak dengan kau. Tolong mamak Cok jangan buat benda yang ndak baik nak. Tengoklah bah contoh bapakmu…

Acok: Mamak… satu saja kesilapan bapakkan. Lepas benda tu bapak jaga kita bagus bah mak. Aku sekolah, si Beccek pun sekolah, kita pun makan cukup.

Indok: Tapi Cok kalau bapakmu…

Acok: Sudahlah tu mak. Aku masuk bilik dululah mak, penat aku ni.

Indok: Yalah, jangan lupa sembayang isyak dulu…

(Acok masuk kedalam bilik)

Beccek: Mak si Acok dari mana?

Indok: Dia cakap pergi tempat si Andi, ndak tahu betulkah ndak.

Beccek: Kenapa mamak cakap begitu, selama ni dia mana pernah buat perkara yang bukan-bukan. Dia tengah cari cara tu macam mana mahu dapat duit untuk makan minum kita. Lagi satukan mak, aku disuruh beli buku, sudah dua minggu cikgu paksa beli buku, dua minggu sudah kelas matematik aku berdiri di koridor sekolah…

Indok: (batuk)

Beccek: Sudahlah tu mak, mamak ndak payahlah pikir tu. Beccek faham juga tentang keluarga kita. Mamak masuklah dalam bilik, nanti makin teruk pula sakit mamak tu.

(bersambung…)

Leave a Reply